Thursday, June 21, 2007

Kitab al Bughah

Ini kitab pada menyatakan bughah. Iaitu satu puak daripada Muslimin melawan mereka itu akan imam yakni keluar mereka itu daripada taatnya. Tiada mengikut mereka itu baginya atau menegah hak yang wajib atas mereka itu seperti zakat. (Maka jika) diperang oleh imam akan ahli al bughah dengan tiga syarat. (Pertamanya) bahawa ada bagi mereka itu syukah dengan sebab kuat dan banyak. Dan dengan sebab orang besar yang ditaatkan dia pada mereka itu. Dan jika tiada yang ditaatkan dia itu imam sekalipun sekira-kira berhajat oleh imam pada mengembalikan sekeliannya kepada taatnya kepada menolakkan harta dan menyediakan tentera. Maka jika ada mereka itu bilangan-bilangan yang mudah diambilkan (ditangkap) sekeliannya dengan tiada berhajat kepada harta dan tentera maka tiada dinamakan mereka itu bughah.

(Dan keduanya) bahawa keluar mereka itu daripada taat imam dengan sebab tiada mengikut baginya pada barang yang disuruh dengan dia atau ditegah daripadanya pada sesuatu yang tiada menyalahi akan syara’ atau dengan sebab menegah sekeliannya akan hak yang berhadap atas mereka itu samada hak itu harta seperti zakat atau lainnya daripada harta seperti had dan qisas. (Dan ketiganya) bahawa ada bagi mereka itu takwil yang muhtamal bagi sahnya sekira-kira zahir dan adalah ia batin pada zan. Maka jika takwil itu putus batalnya seperti takwil segala orang murtad kemudian daripada wafat Nabi saw dengan kata mereka itu tiada kami beriman dengannya melainkan pada putus batalnya kerana syariatnya saw kekal ia hingga sampai kepada hari kiamat. Maka tiada diiktibarkan takwil ini bahkan yang mempunyai takwil ini orang muanat maka berlaku atasnya segala ahkam.

(Dan jangan)diperang imam akan bughah hingga disuruh kepada mereka itu pesuruhnya yang adil lagi mengetahui segala ilmu dan berperang lagi cerdik pandai memberi nasihat . Ditanyanya apa yang dibenci oleh sekeliannya maka jika menyebut mereka itu baginya (imam) akan zalim yang ia sebab pada menegahkan sekeliannya daripada taat akan imam maka hendaklah dihilangkan (disuraikan) dia. Maka jika tiada menyebut sesuatu atau mengakali mereka itu atas melawan kemudian dihilangkan dia zalim. Maka sunat diberi nasihat dengan menakuti akan sekeliannya. Maka jika tiada menerima menakuti maka diberi ketahui akan mereka itu dengan munazarah (seperti muzakarah untuk menyelesaikan pertelingkahan). Maka jika mengakali maka diberi ketahui akan mereka itu dengan perang. Dan jangan dibunuh akan yang kena tawannya yakni apabila kita perang akan mereka itu. Dan jangan dibunuh akan madbarnya dan orang yang sudah dicampakkan senjatanya dan berpaling daripada berbunuh-bunuh. Maka jika dibunuh akan dia oleh seorang yang adil tiada wajib qisas atasnya pada qaul yang asahnya tetapi wajib diat jua.

Dan jangan kita lepaskan orang yang kita tawan akan dia dan jika ada ia kanak-kanak atau perempuan atau sahaya sekalipun hingga selesai perang dan bercerai perhimpunan sekeliannya melainkan jika sudah taat tawanan itu dengan ikhtiarnya dengan mengikut akan imam maka dilepaskan dahulu daripada tersebut. Dan jangan dighanimahkan harta mereka itu dan dikembalikan senjata dan kuda dan segala harta mereka itu apabila selesai perang dan aman daripada tipu daya dan melawan mereka itu dengan bahawa bercerai-cerai sekeliannya atau kembali sekeliannya kepada taat. Dan jangan diperangkan mereka itu dengan sesuatu yang besar kebinasaannya seperti api dan menjanik melainkan kerana darurat maka dengan dia seperti diperang mereka itu akan kita dengan yang tersebut atau telah meliputi sekeliannya akan kita kerana banyak mereka itu. Dan jangan dibunuhkan orang yang sudah luka daripada mereka itu.

Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 202-203 Cetakan 13 Oktober1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin IsmailDaud Fatani)

No comments: