Wednesday, June 13, 2007

KITAB AL HUDUD - ZINA


Ini kitab pada menyatakan had zina dan liwat dan mendatangkan binatang
dan qazaf dan lainnya.

(Bermula) yang zani atas dua bahagi yakni orang yang berzina itu
terbahagi atas dua bahagi mukhsan dan lain daripada mukhsan.

(Maka yang mukhsan) itu mereka yang sudah baligh yang berakal yang
kamil yang mengaibkan hasyafahnya atau kadarnya daripada yang terpotong
hasyafnya pada qabul pada nikah yang sahih maka hadnya direjamkan dia
hingga mati dengan batu yang pertengahan iaitu sekira-kira kadar
membuangkan tangan.

(Dan yang lain daripada mukhsan itu) mereka yang tiada disempurna syarat yang tersebut daripada laki-laki atau perempuan maka hadnya seratus kali pukul dan didagang akan dia setahun daripada negeri yang ia berzina kepada musafatul qasar (tiga marhalah) atau terlebih dengan tilik imam.

(Bermula) syarat ikhsan empat perkara. (Pertamanya dan keduanya baligh dan berakal) Maka tiada had atas kanak-kanak dan yang gila bahkan diadabkan keduanya dengan barang yang menakuti akan keduanya daripada jatuh pada zina. (Dan ketiganya) merdeka maka tiada dimukhsankan sahaya dan yang mab’az dan yang mukatab dan 'mak anak'. Dan jika wati’ tiap-tiap daripada mereka itu pada nikah yang sahih sekalipun yakni tiada dinamakan mereka itu mukhsan. (Dan keempatnya) didapatkan wati’ pada nikah yang sahih maka tiada hasil tahsin dengan nikah yang fasadnya.

(Dan had sahaya) lelaki perempuan dan yang mukatab dan yang mab’az dan 'mak anak' setengah had orang yang merdeka pada pukulnya dan pada didagang akan dia tiada rejamnya. Maka dihadkan tiap-tiap daripada mereka itu lima puluh kali pukul dan didagangkan setengah tahun.

(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia mukhsan. Dan dipukul dan didagang akan dia jika tiada mukhsan. Atas yang muzahibnya ialah yang muktamadnya dan pada makbulnya bahawasanya dibunuh akan dia. Dan pada kaifiyat membunuh akan dia itu beberapa wajah. Salah satunya dibunuh akan dia dengan pedang dan keduanya direjamkan dia dan ketiganya dirubahkan cedera atasnya atau dicampakkan dia daripada tempat yang tinggi. Ini pada yang fa’alnya yakni pada yang meliwatnya. Adapun yang kena liwat maka dipukulkan dan didagang akan dia jika ada ia mukallaf lagi taat ia akan dia samada mukhsan atau tiada dan samada laki-laki atau perempuan. Jika tiada mukallaf atau yang digagahi akan dia maka tiada had atasnya.

Maka makna liwat itu wati’ pada dubur lelaki jika pada dubur sahaya yang lelaki sekalipun atau pada dubur perempuan dan wajib had padanya pada yang lain daripada isterinya dan sahayanya yang perempuan. Adapun pada keduanya (isteri dan sahaya) jika berulang-ulang liwatnya wajib ditakzirkan dia jua atas mazahibnya yang Rudhah dan jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan dia seperti barang yang disebutkan dia oleh Syeikh Baghawi dan Ruyani.

(Dan hukum mendatang) akan binatang ditakzirkan dia.

(Dan orang yang mubasyarat) akan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini) pada yang lain daripada faraj seperti ia memasukkan zakarnya pada pusatnya atau pada telinganya atau pada mulutnya atau dipelukkan dia atau dikucup akan dia ditakzir akan dia dengan barang yang dilihat oleh imam daripada dipukul akan dia atau ditamparkan dia atau dihabiskan dia atau dipermalukan dia atau dihitamkan mukanya atau dibangkitkan akan dia daripada tempat duduknya. Dan harus baginya dihimpunkan antara segala pekerjaan ini dan harus baginya memendekkan atas setengahnya. Dan jangan disampai oleh imam dengan takzir itu kepada sekurang-kurang had yakni tiada harus baginya maka jika ia takzirkan sahaya wajib dikurangkan pada takzirnya daripada dua puluh kali pukul atau ia takzirkan orang yang merdeka wajib dikurangkan pada takzirnya daripada empat puluh kali pukul kerana dua puluh dan empat puluh itu sekurang-kurang had tiap-tiap daripada sahaya dan yang merdeka.

Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 192 Cetakan 13 Oktober 1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin Ismail Daud Fatani)

No comments: