Wednesday, June 13, 2007

Khulu' : Hak wanita dalam perceraian

KHULU' : HAK WANITA DALAM PERCERAIAN

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Hukum Khulu’

Khulu’ pada dasarnya adalah makruh kerana ia adalah sejenis talak yang dituntut oleh isteri dengan bayaran ganti (‘iwadh). Sebagaimana sabda Rasulallah Shallallahu’alaihi wasallam dalam sebuah hadis: Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah ialah talak .”
( Di riwayatkan oleh Abu Daud )

Khulu’ yang dihukumkan makruh ialah:

i) Seorang suami membenci isterinya dan ia berhasrat untuk mengkhulu’ isterinya maka makruh bagi suami itu menuntut bayaran ganti (‘iwadh).

ii) Seorang suami tidak menyukai isterinya kerana buruk akhlaknya, lalu ia sengaja tidak memberi nafkah kepada isterinya sehingga si isteri menuntut khulu’, maka makruh ke atas suami mengambil bayaran tersebut.

Bagi kedua-dua perkara ini, makruh bagi suami mengambil bayaran ganti tersebut, walau bagaimanapun hukum khulu’ itu adalah sah.

Namun disebalik hukum makruh itu, ada beberapa perkara yang mengharuskan khulu’ antaranya :

i) Jika isteri tidak menyukai suaminya kerana buruk akhlak atau ugamanya, lalu si isteri takut tidak akan dapat menunaikan hak suaminya, maka harus baginya khulu’ dengan bayaran ganti sebagaimana disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 229.

ii) Jika khulu’ itu berlaku di atas keredhaan kedua suami isteri tanpa sebab yang tertentu, maka ia adalah harus, berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Tafsirnya: “Kemudian jika mereka dengan sesuka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah)pemberian (yang halal)itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya” (Surah An-Nisa : 4)

iii) Jika kedua suami isteri itu atau salah seorang dari keduanya takut tidak akan mampu melaksanakan hukum Allah yang diwajibkan dalam pernikahan maka harus bagi mereka khulu’.
Waktu Khulu’

Harus atau dibolehkan bagi seorang suami mengkhulu’ isterinya sama ada dalam waktu suci ataupun haid.

Berlainan keadaannya dengan talak biasa, di mana suami haram menjatuhkan talak ke atas isteri dalam waktu haid. Ini kerana ia akan mendatangkan mudharat pada isteri sebab terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk menghabiskan waktu ‘iddahnya kerana kiraan ‘iddah itu bermula dalam waktu suci.

Akan tetapi dalam hal khulu’, diharuskan atau dibolehkan bagi suami mengkhulu’ isterinya dalam waktu haid, kerana khulu’ itu adalah keinginan isteri untuk membebaskan dirinya dari suami. Jadi, tidak berbangkit masalah kemudharatan bagi isteri dalam menunggu waktu ‘iddah yang panjang kerana khulu’ itu adalah kehendaknya.

Rukun – rukun Khulu’

Menurut ulama Mazhab asy-Syafi’e rukun khulu’ itu ada lima perkara:

(1) Al-Mujib (2) Al-Qabil (3) Mua’wad (4) ‘Iwadh (5) Shighah

Rukun Pertama : Al-Mujib (Suami)

Yang dimaksudkan dengan al-mujib ialah penyataan khulu’ dari suami misalnya: “Aku ceraikan engkau atau aku mengkhulu’ engkau dengan lima ratus ringgit”

Ataupun suami menjawab pertanyaan isteri, misalnya isteri berkata: “Ceraikan aku dengan lima ratus ringgit”. Lalu suami menjawab “Aku ceraikan engkau dengan lima ratus ringgit”.

Disyaratkan bagi seorang suami itu hendaklah ia seorang yang baligh, berakal dan mampu membuat pilihan ( tidak dipaksa ). Maka tidak sah khulu’ seorang kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa. Manakala khulu’ suami yang mahjur ‘alahi menurut mazhab asy-Syfi’ie adalah sah sama ada dengan izin wali ataupun tidak. Mahjur ‘alaihi itu ialah orang yang ditegah mengurus hartanya kerana ditakuti dia tidak tahu untuk mengembangkannya atau membazirkannya.

Adapun orang yang muflis dan safih (orang yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dengan baik mengenai hartanya) maka khulu’ dari keduanya ini adalah sah.

Oleh itu wajiblah isteri membayar bayaran ganti, dan mestilah diserahkan bayaran ganti itu kepada wali bagi suami yang safih. Adalah tidak harus diserahkan bayaran ganti tersebut kepada suami yang safih, kerana ditakuti ia tidak dapat mengurus harta tersebut kecuali setelah mendapat izin dari walinya, maka bolehlah diserahkan bayaran ganti itu kepada suami yang safih tersebut.

Jika isteri menyerahkan bayaran ganti itu kepada suami yang safih tanpa pengetahuan wali dan harta itu lenyap, maka wajiblah ke atas isteri membayar mahar mithli. Mahar mithli ialah mahar yang sebanding dengan mahar perempuan-perempuan dalam keluarga isteri yang terdekat misalnya adik-beradik, dan jika tidak ada, hendaklah mengikut jumlah mahar yang menjadi kebiasaan bagi perempuan senegerinya.

Misalnya, jika mahar bagi kakak atau adik dalam keluarga isteri ialah lima ratus ringgit, maka wajiblah isteri membayar sebanyak jumlah tersebut kepada wali suaminya. Manakala suami yang muflis pula diharuskan baginya menerima bayaran ganti, kerana pada asalnya ia menepati syarat dan mampu bertindak ke atas hartanya.

Rukun Kedua : Al-Qabil atau al-Mukhtali’

Maksud al-qabil atau al-mukhtali’ ialah adanya penerimaan lafaz khulu’ sama ada dari isteri itu sendiri atau dari orang lain bagi pihak isteri.

Disyaratkan hendaklah dalam penerimaan lafaz khulu’ itu adanya penyerahan ‘iwadh atau bayaran ganti. Disyaratkan hendaklah penerima itu seorang yang mukallaf iaitu seorang yang bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri. Adapun khulu’ seorang kanak-kanak sama ada mumaiyyiz ataupun tidak, atau orang gila tidaklah diambil kira dalam syara’.

Adapun khulu’ ke atas isteri yang safih tidak sah, kerana dia ditegah dari bertindak ke atas hartanya walaupun ada keizinan walinya. Jika ia berlaku maka jatuhlah talak raj’i (talak yang dibolehkan rujuk tanpa akad baru) bukan talak ba’in sughra seperti yang berlaku dalam hukum khulu’.

Jika khulu’ ini berlaku sebelum jima’ ke atas isteri yang safih maka jatuhlah talak ba’in tanpa sebarang bayaran kepada suami.

Rukun Ketiga : Al- Mua’wad

Al-Mua’wad ialah barang tebusan yang ditebus oleh isteri dengan menyerahkan bayaran ganti (‘iwadh) kepada suami. Yang dimaksudkan di sini ialah hak suami ke atas isteri dalam perkahwinan, di mana seorang isteri itu adalah di bawah kuasa suaminya. Jika berlaku khulu’ wajiblah bagi isteri membayar bayaran ganti kepada suaminya bagi menebus hak suami itu dalam perkahwinan kerana khulu’ itu adalah atas kehendak isteri. Disyaratkan hendaklah keadaan kedua suami isteri itu masih terikat dengan perkahwinan.

Rukun Keempat : Al-‘Iwadh

Al-‘iwadh ialah bayaran ganti yang diambil oleh suami daripada isteri sebagai tebusannya dalam menuntut khulu’. Sama ada ia adalah mahar yang diberikan oleh suami semasa pernikahan seperti yang disebutkan dalam riwayat al-Bukhari dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma menganai isteri Tsabit bin Qais. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Bersabda Rasulallah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Tsabit: “Terimalah kembali kebun itu dan ceraikanlah ia dengan satu talak”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Ataupun bayaran ganti itu berbentuk harta atau wang, sama ada nilainya sedikit atau lebih dari mahar yang asal ataupun dalam bentuk hutang ataupun manfaat, kerana tidak ada disebutkan kadar tertentu bagi bayaran ganti ini. Perkara ini berdasarkan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah al-Baqarah, ayat 229 di atas.

Oleh itu setiap apa yang harus dijadikan mahar, maka haruslah ia dijadikan sebagai bayaran ganti atau tebusan dalam khulu’. Disyaratkan pada bayaran ganti ini beberapa perkara:

1. Hendaklah ia berharga atau bernilai menurut pandangan syara’.

2. Hendaklah harta itu diketahui atau dimaklumi.

3. Hendaklah harta itu boleh diserahkan kepada orang lain.

4. Dapat dimiliki sepenuhnya.

bersambung

(dari Pejabat Mufti Brunei Darussalam)

No comments: