Tuesday, June 26, 2007

Kitab Ahkam al Jihad


Ini kitab pada menyatakan hukum perang sabil. (Dan adalah) ia pada ketika hidup Nabi saw kemudian daripada hijrah itu fardhu kifayah dan kemudian daripada matinya. Maka bagi kafir dua kelakuan.

(Salah suatunya) bahawa ada kafir pada negerinya maka perang sabil itu fardhu kifayah atas segala Muslimin pada tiap-tiap tahun. Maka apabila diperbuat akan dia oleh orang yang padanya kifayah gugurlah dosa daripada yang tinggalnya. Dan berdiri tempat yang demikian itu bahawa dipenuh akan imam akan tempat yang ditakuti yang mengiringi negeri mereka itu dipenuhkan dengan alat perang dan orang berperang serta ditegahkan segala kota dan segala parit. Dan diaturkan pada tiap-tiap pihak itu amir diserahkan kepadanya segala pekerjaan Muslimin daripada jihad dan lainnya.

(Dan keduanya) bahawa masuk kafir pada satu negeri daripada negeri Muslimin atau datang mereka itu hampir negeri Muslimin kurang daripada musafatul qasar (tiga marhalah) dan seumpama negeri itu dusun dan lainnya dan seumpama negeri Muslimin negeri kafir Zimmi. Maka perang sabil pada ketika itu fardhu ain atas ahli negeri yang tersebut dan atas orang yang ada ia kurang daripada musafatul qasar dengan negeri itu. Dan jika pada ahli negeri itu memadai sekali pun dan atas orang yang ada ia pada musafatul qasar jika berkehendak kepada mereka itu dengan kadar yang memadai. (Maka lazim) akan ahli demikian negeri itu hingga segala kanak-kanak dan segala perempuan dan sahaya dan yang berhutang dan jika tiada dengan izin wali dan segala suami dan penghulu (pemilik sahaya) dan yang empunya hutang sekali pun menolakkan (mengusir) kafir dengan barang yang sedapat daripada mereka itu dan jikalau melontar dengan batu sekali pun.

(Maka syarat wajib) perang sabil dengan kafir yang ada ia pada negerinya itu tujuh syarat. (Pertamanya) Islam maka tiada wajib perang atas (warganegara) kafir dan jika Zimmi sekali pun kerana ia memberi jizyah supaya kita halaukan seteru daripadanya (melindungi mereka daripada musuh) tiada supaya ia halaukan seteru daripada kita (mereka melindungi kita daripada musuh).

(Dan keduanya) baligh maka tiada wajib atas kanak-kanak. (Ketiganya) berakal maka tiada wajib atas yang gila. (keempatnya) merdeka maka tiada wajib atas sahaya dan jika disuruh oleh penghulunya sekali pun dan jikalau sahaya yang mab’az sekali pun dan tiada wajib pula atas mudabbar dan mukatab.

(Kelimanya) lelaki maka tiada wajib atas perempuan dan khunsa yang musykil. (Keenamnya) hendak ada ia sihat maka tiada wajib atas yang sakit dengan penyakit yang menegah akan dia daripada berperang dan daripada berkenderaan melainkan dengan musyakah yang amat sangat sekira-kira tiada tertanggung pada adat bersalahan sakit yang tiada menegahkan dia daripada yang tersebut. Maka tiada diiktibarkan dengan sakit kepala yang sedikit dan sakit gigi dan demam yang ringan.

(Ketujuhnya) kuasa ia berperang maka wajib atas orang yang terpotong umpama tangan atau terpotong kebanyakan jarinya dan tiada wajib atas orang yang lasa tangannya atau lasa kebanyakan anak jarinya dan tiada wajib pula atas orang yang tiada bekal dan barang yang disediakan bagi perang seperti tiada senjata dan kenderaan dan nafkah.

(Bermula) orang yang ditawankan daripada kafir itu atas dua bahagi. (Satu bahagi) daripadanya tiada boleh dipilih oleh imam bahkan jadi sahaya dengan semata-mata ditawankan dia yakni diambilkan dia dan iaitu segala kanak-kanak dan segala perempuan kafir dan sahaya mereka itu. Dan dihubungkan dengan yang tersebut segala khunsa dan yang gila maka jadi sekeliannya dengan semata-mata ditawankan dia.

(Dan satu) bahagi tiada jadi sahaya dengan ditawankan dia dan iaitu segala kafir asli yang lelaki yang baligh lagi merdeka lagi berakal. Maka diberi pilih akan imam pada mereka itu antara empat perkara, pertamanya dibunuhkan dia dan keduanya dijadikan dia sahaya dan hukumnya kemudian daripada dijadikan sahaya seperti hukum segala harta ghanimah . Demikian lagi yang jadi sahaya dengan semata-mata ditawankan dia dahulu itu maka diberikan khamasnya kepada ahlul khamsa dan yang tinggal lagi diberi kepada ghanamin. Dan ketiganya dinikmatkan dia dengan dilepaskan dia dan keempatnya dibuat penebus dengan mengambil harta daripada mereka itu samada harta mereka itu atau harta kita pada tangan mereka itu atau dibuat penebus dengan lelaki dan lainnya yang ditawankan dia daripada Muslimin. Maka harta penebus mereka itu seperti hukum harta ghanimah diberikan khamsa bagi ahlul khamsa dan yang tinggal lagi diberi kepada ghanamin.

Dan harus ditebus seorang kafir dengan seorang Muslim atau lebih dan beberapa kafir dengan seorang Muslim atau lebih. Maka diperbuat oleh imam atau amir al jish daripada yang empat perkara ini barang yang ada padanya maslahah bagi Muslimin dengan ijtihadnya. Maka jika tersembunyi atasnya yang terlebih maslahatnya habiskan mereka itu dahulu hingga nyata baginya yang terlebih maslahatnya maka dikerjakan dia. Dan keluar dengan kafir asli itu yang murtad maka disuruh imam akan mereka itu dengan masuk Islam maka jika tertegah mereka itu dibunuhkan dia. Dan orang kafir yang masuk Islam ia dahulu daripada ditawankan dia oleh imam terpeliharalah hartanya daripada dijadikan dia ghanimah dan terpelihara darahnya daripada ditumpahkan dia dan segala anaknya yang kecil daripada ditawankan dia dan dihukumkan dengan Islam sekeliannya kerana mengikut baginya. Adapun segala anaknya yang baligh lagi berakal maka tiada terpelihara sekeliannya dengan Islam bapanya kerana tiada mengikut mereka itu akan bapanya pada Islam. Dan anaknya yang gila seperti hukum anak yang kecil maka terpeliharalah ia dengan Islam bapanya. Dan Islam nenek itu memelihara akan cucunya yang kecil dan jika bapanya lagi hidup sekalipun.

Dan Islam kafir tiada memelihara ia akan isterinya daripada dijadikan dia sahaya atas yang muktamadnya seperti di dalam ‘manhaj’ dan jika bunting ia sekali pun pada qaul yang asah. Dan hamilnya itu memelihara akan dia oleh Islam bapanya kerana ia mengikut bapanya pada Islam. Dan jika tiada memelihara ia akan isterinya pada surah ini sekali pun. Maka jika dijadikan isterinya itu sahaya dengan ditawankan dia putuslah nikah suaminya pada ketika itu samada ditawankan dia dahulu daripada dihaul atau kemudiannya kerana tertegah mengekalkan sahaya perempuan yang kafir pada nikah Muslim seperti barang yang tertegah pada permulaan nikahnya.

(Dan hukumkan) bagi kanak-kanak dengan Islamnya manakala didapatkan salah satu daripada tiga sebab ini. (Pertamanya) bahawa Islam salah seorang daripada dua ibu bapanya maka dihukumkan dengan Islamnya kerana mengikut bagi seorang daripada keduanya. Dan pada makna dua ibu bapa itu segala nenek laki-laki dan segala nenek perempuan dan jika yang tiada mempesakai sekali pun samada ia dari pihak bapa atau pihak ibu yakni dikehendaki Islam seorang daripada usulnya dan jika jauh ia dan jika yang hampirnya lagi hidup sekali pun. Dan seumpama kanak-kanak itu ‘hamal’ dihukumkan Islamnya dengan Islam seorang daripada ibu bapanya atau seorang daripada usulnya. Dan yang baligh hal keadaannya gila, atau baligh ia hal keadaannya berakal kemudian gila ia maka seperti kanak-kanak maka dihukumkan dengan Islamnya mengikut bagi salah seorang daripada dua ibu bapanya atau seorang daripada usulnya.

(Dan keduanya) bahawa ditawankan dia oleh Muslim tinggal ia yakni kanak-kanak itu daripada salah seorang ibu bapanya dan umpama kanak-kanak itu yang gila maka dihukumkan Islamnya zahir dan batinnya kerana mengikut bagi yang menawannya. Dan jika ditawankan kanak-kanak itu serta dengan salah seorang daripada ibu bapanya maka tiada mengikut ia akan yang menawannya bahkan mengikut salah seorang daripada ibu bapanya dan makna keadaannya serta dengan salah seorang daripada ibu bapanya bahawa ada keduanya itu pada angkatan tentera yang satu dan ghanimah yang satu dan jikalau bersalah-salahan yang menawan keduanya sekali pun tiada dikehendaki bahawa yang memilik keduanya itu seorang. Dan jika ditawankan dia oleh kafir zimmi dan dibawa akan dia kepada kampung Islam tiada dihukumkan dengan Islamnya pada qaul yang asah bahkan adalah ia atas agama orang yang menawannya. Maka jika yang menawan Yahudi maka ia Yahudi dan jika Nasrani maka ia Nasrani. Dan jika bersalah-salahan dengan agama dua ibu bapanya sekali pun. Dan kata Qil dihukumkan dengan Islamnya kerana dibawa akan dia kepada kampung Islam.

(Dan ketiganya) bahawa didapatkan kanak-kanak itu laqit (menetap?) di dalam kampung Islam dan jika ada padanya kafir zimmi sekalipun maka bahawasanya kanak-kanak itu Muslim ia kerana mengikut bagi kampung. Demikian lagi jika didapatkan di dalam negeri kafir dan padanya orang Islam yang mamkin keadaan kanak-kanak itu daripadanya jika orang Islam yang ditawankan dia sekali pun yang berhamburan yang tiada dihabiskan dia atau orang Islam yang berniaga padanya.

Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 203-206 Cetakan 13 Oktober 1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin Ismail Daud Fatani)

No comments: