(Satu analisa mengapa hukuman hudud perlu dilaksanakan)
Siri ke 2 dari 3 siri
Oleh Dr Haron Din
(Telah dibentangkan dalam, ‘Seminar Pentadbiran Undang-Undang Syariah, Jenayah dan Keluarga Islam Kedah pada 21 Jamadil Awal hingga 23 Jamadil Awal 1398 bersamaan 29 April hingga 1 Mei 1978’ – diterbitkan oleh Pejabat Agung PAS, Cetakan Pertama 1398H/1978)
Perlaksanaan hukuman hudud adalah suatu kewajipan
Hudud telah pun diterangkan pengertiannya sebagai suatu siksaan yang telah ditetapkan Allah yang wajib dilaksanakan kerana menunaikan hak Allah swt. Abdul Khalil an Nawawi menegaskan : ‘Siksaan hudud telah ditetapkan oleh Allah swt. Ianya wajib dilaksanakan sepenuhnya. Oleh itu tidak boleh sama sekali bagi seseorang qadhi mengurang atau menambah hukuman itu walau dalam keadaan apa sekali pun. Begitu juga tidak boleh sama sekali seseorang qadhi menggantungkan hukuman tersebut atau menukargantikan dengan hukuman-hukuman lain. Pihak pemerintah juga tidak memiliki sebarang hak untuk mengampun orang-orang yang telah sabit melakukan kesalahan hudud ini’. (18)
As Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Cansellor Universiti al Azhar) dalam kontek mengulas persoalan perlaksanaan hukum Allah beliau menegaskan : ‘Hukum-hukum qat’ie yang tersebut di dalam al Quran (seperti hukum hudud) wajib dilaksanakan sepenuhnya. Orang-orang Islam (qadhi-qadhi) yang menghukum dengan hukuman-hukuman lain dari itu akan menjadi murtad sekiranya mereka berkeyakinan bahawa hukuman-hukuman itu adalah lebih baik dan lebih sesuai dari hukum Allah’ (19)
Al Qurthubi dalam membahaskan persoalan siapakah yang bertanggungjawab dalam melaksanakan hukuman hudud khususnya hukuman sebat dalam mentafsirkan, “maka sebatlah tiap-tiap seorang dari mereka dengan seratus kali sebat”, beliau menerangkan:
‘Tidak bersalahan ulama-ulama dalam menentukan bahawa orang yang disuruh Allah untuk menghukum dengan hukuman sebat (hudud) itu ialah pemerintah dan sesiapa yang ditugaskan oleh pemerintah untuk melaksanakan hukuman itu. Ada juga qaul yang mengatakan bahawa perintah tersebut adalah ditujukan kepada orang Islam semuanya kerana melaksanakan upacara-upacara keagamaan adalah kewajipan umum yang mesti ditanggung semua sekali. Adapun al Imam (pemerintah) adalah mewakili orang ramai dalam melaksanakan perkara itu bila tiba masanya’. (20)
Oleh yang demikian jelaslah bahawa semua orang-orang Islam telah diamanahkan oleh Allah untuk melaksanakan hukuman-hukumanNya. Memang menjadi kewajipan ke atas setiap umat Islam untuk berusaha sehingga hukum-hukum Allah terlaksana dengan baiknya. Setiap umat Islam khususnya pemerintah bertanggungjawab secara langsung untuk merealisasikan hukuman hudud dan lain-lainnya di dalam masyarakat. Selagi hukum-hukum itu tidak menjadi kenyataan maka selama itulah dosa kecuaian tersebut ditanggung oleh umat Islam. Masing-masing dengan habuannya mengikut keadaan dan kedudukan di dalam masyarakat dan negara.
Mengapa hukuman hudud perlu dilaksanakan?
Keyakinan umat Islam sudah semestinya bulat kepada hukum-hukum agamanya sebagai hukuman-hukuman yang paling baik dan paling sesuai dari semua hukuman-hukuman yang wujud di dunia ini. Apabila hukum-hukum Islam itu paling baik dan paling sesuai, maka sudah semestinya hukum-hukum ini diperjuangkan dengan apa cara jua supaya dapat dilaksanakan di dalam masyarakat demi kebaikan masyarakat seluruhnya. Segala hukuman yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah adalah mungkar. Perkara yang mungkar sudah semestinya diubah dan ditentang samada dengan tangan, lidah dan hati.
Di samping menjunjung titah perintah Allah di dalam melaksanakan hukum-hukumNya hukuman hudud bertujuan untuk mengwujudkan sebuah masyarakat yang harmonis, bermoral tinggi, bersih dari segala ancaman ketakutan, aman damai dan dapat keampunan Allah yang Pengasih lagi Penyayang.
Al Imam An Nawawi menegaskan : ‘Hudud disyariatkan oleh Allah sebagai contoh dan iktibar supaya sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya’. (21)
Al Imam As Sayuti pernah menegaskan : ‘Hudud itu adalah ditetapkan Allah untuk menjauhkan manusia dari melakukan apa yang ditegah dan mentaati apa yang diperintah’. (22)
Ibnu Al Qayyim pula menyatakan : ‘Hukum-hukum Allah diturunkan untuk kemasylahatan manusia di dunia dan di akhirat. Ia adalah secocok dengan fitrah manusia, rahmat semuanya, masylahat semuanya. Undang-undang Islam adalah keadilan Allah untuk hambaNya, rahmat Allah untuk makhlukNya’. (23)
Abu Hurairah ra pernah menyatakan, (Maksudnya) ‘ Melaksanakan hukuman had di sebuah negeri, adalah lebih baik bagi penduduknya dari hujan rahmat yang turun selama empat puluh hari.’
Di dalam Al Quran Allah swt telah menerangkan antara tujuan hukuman hudud yang perlu dilaksanakan seperti firmanNya:
(bermaksud) “ Orang-orang yang mencuri lelaki atau perempuan maka hendaklah dipotong tangan mereka, sebagai balasan bagi apa yang mereka lakukan, cegahan akan datang dari Allah.”
Dan firmanNya lagi : (bermaksud) ‘Orang-orang tua yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah direjamkan mereka. Nakala dari Allah’ (24)
Apakah itu ‘nakala’ ? (‘nakala’ dari Allah)
Dari segi bahasa, ‘nakala, tankila’ bererti menjadikan contoh tauladan yang mengerikan. Kadang-kadang bererti takut dan bacul untuk melakukan sesuatu. (25)
Di dalam tafsir Al Qurthubi terdapat begini, ‘(Maksudnya) ‘ An nakala itu ialah siksaan dan tegahan (az zajar (27) wal uqubat). ‘An nakal wal ankala’ bererti ikatan atau simpulan. Dinamakan ikatan itu ‘ankala’ kerana dengan ikatan terhasillah tegahan. Sebab itu dinamakan ladam kuda yang berat itu sebagai ‘naklun wa nakilun’ kerana binatang yang dipasang dengan ladam yang berat akan menegahnya dari bergerak dan berlari. ‘Nakal’ dalam sesuatu urusan bermaksud tegahan.
An Nawawi dalam Sahih Muslim menegaskan : ‘Nakala’ bererti contoh iktibar bagi orang yang melihat siksaan itu untuk mereka enggan dan menjauhkan diri dari melakukan pekerjaan yang keji. (28)
Dengan pengertian-pengertian yang dipetik di atas dari berbagai-bagai kontek, jelas menunjukkan bahawa hukuman hudud seperti yang dicontohkan bagi hukuman mencuri dan berzina, di antara adalah bertujuan untuk menjadi contoh tauladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah. Manusia akan dapat menyaksikan sendiri siksaan Allah di atas dunia lagi ke atas orang-orang yang melakukan kesalahan-kesalahan hudud. Dengan hukuman-hukuman secara terbuka itu akan menjadi tauladan kepada semua manusia (termasuk yang melakukan kesalahan itu) Betapa pahitnya hukuman Allah dan dahsyatnya hukuman itu, supaya mereka akan merasa perit dan kecut hati untuk mendekati perbuatan-perbuatan keji itu lagi. Dengan itu tidak akan merebak lagi jenayah. Ia akan terus berkurang dan menghilang diri, maka amanlah masyarakat dan negara.
Perasaan kecut hati, takut, perit dan bacul untuk melakukan pekerjaan yang keji, bukanlah datangnya dari kesakitan dan kesiksaan yang diterima oleh penjenayah tetapi adalah dengan pertolongan Allah yang telah memesongkan hati manusia dari jenayah itu. Allah menutup hati manusia supaya jangan tergerak ke arah mungkar dan jenayah. Itulah rahmat Allah untuk hambaNya. Itulah pertolongan Allah seperti yang dijanjikan di dalam ayat tadi (nakala minalLah).
Kalaulah manusia akan merasa takut kerana dahsyatnya hukuman yang diterima dan pedihnya kesan rotan yang menyebat, sehingga mereka tidak mahu melakukannya lagi, maka hukuman-hukuman jenayah di hari ini telah lebih dahsyat dari yang dikehendaki oleh Islam. Sebat yang dikenakan oleh pihak-pihak yang berkuasa kepada perogol, perompak di hari ini lebih jauh siksaannya dari yang ditetapkan oleh Islam. Orang-orang yang disebat di penjara-penjara sekarang sudah cukup ngeri siksaannya. Tetapi mengapa mereka tidak merasa perit? Mengapa mereka terus mengulangi perbuatan-perbuatan keji itu? Mengapa mereka tidak takut dirotan lagi? Semuanya itu kerana hati mereka belum ditutup oleh Allah untuk menjauhi jenayah. Hati mereka masih terbuka luas untuk terus melakukan tindakan jenayah yang semakin hari semakin liar. Segala siksaan yang dilaksanakan sekarang tidak disertai dengan ‘nakala minalLah’ sebab itu ia tidak memberi kesan seperti yang diharapkan.
Dalam melaksanakan hukuman jenayah Allah, Allah telah berjanji akan memalingkan manusia dari jenayah itu. Apabila manusia telah ditutupkan pintu hatinya dari jenayah, maka tercegahlah jenayah, akan berkuranglah ia dari hari ke hari hingga wujudlah keamanan dan kesentosaan yang sebenarnya kepada masyarakat. Oleh itu Allah telah mengakhiri ayat di atas dengan firmanNya (maksudnya), ‘ Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’
Satu perkara lagi yang boleh menjauhkan manusia dari jenayah ialah cara hukuman hudud itu dilaksanakan. Dalam perundangan Islam, hukuman hudud hendaklah dilaksanakan secara terbuka di hadapan khalayak ramai. Allah berfirman.
(maksudnya) : ‘ Dan hendaklah disaksikan siksaan yang dijatuhkan kepada mereka kedua oleh satu kumpulan orang-orang yang beriman.’ (Surah An Nur : 2)
Ayat ini bermaksud memastikan siksaan hudud itu disaksikan oleh orang ramai supaya mereka akan menginsafi dan menjauh diri dari perkara-perkara keji. Penyaksian orang ramai terhadap hukuman hudud adalah perlu untuk memberi kesan yang mendalam dalam kontek mengurangkan jenayah. Samada jenayah zina, menuduh zina, mencuri, merompak, meminum arak, murtad dan jenayah-jenayah lain.
Dengan terlaksananya hukuman hudud maka terhasillah kepentingan umum (al maslahah) kerana Islam memandang maslahah ramai itu lebih utama dari maslahah perseorangan. Dengan itu terhindarlah kerosakan (al mufsidah) dan terciptalah kemuliaan (al fadhilah).
Menjaga kemasylahatan ialah menjaga :
Agama (jangan murtad)
Akal (jangan minum arak)
Keturunan (jangan berzina)
Harta (jangan mencuri atau merompak)
Nyawa (jangan membunuh)
Al Imam Ghazali pernah menegaskan yang bermaksud : “Sesungguhnya menjaga kemasylahatan dan mencegah kerosakan adalah impian dan cita-cita seluruh makhluk, kebaikan makhluk semuanya terhenti di atas tercapainya cita-cita tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan maslahah ialah memelihara tujuan syarak. Tujuan syarak ada lima iaitu menjaga agama, akal, keturunan, harta dan nyawa. Apa sahaja yang membawa kepada terpeliharanya lima perkara itu maka itu adalah maslahat. Setiap perkara yang merosakkan kelima-limanya atau salah satunya maka itu adalah keburukan dan kerosakan yang mesti ditentang’. (29)
Oleh yang demikian jelaslah kita mengapa hukuman hudud perlu dilaksanakan. Semakin cepat dilaksanakan maka semakin besar maslahat. Semakin lambat dilaksanakan semakin merebak keburukan.
Kedudukan undang-undang hudud di hari ini
Islam telah diqanunkan sebagai agama Persekutuan. Namun begitu kedudukan undang-undang hudud tidak mendapat tempat langsung di dalam perlaksanaannya, baik dalam undang-undang negara maupun undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di Malaysia. Oleh kerana urusan agama adalah hak negeri-negeri maka terpulanglah kepada negeri-negeri di Malaysia untuk mengambil inisiatif bagi merealisasikan undang-undang Islam terutama undang-undang hudud di negeri masing-masing.
Hukuman hudud sudah menjadi suatu momokan dan bahan kritik yang terbuka dari berbagai pihak. Setengah-tengah pihak sengaja memburuk-burukkan undang-undang hudud, terutamanya hukum sebat. Dengan memutarbelitkan hakikat undang-undang itu melalui gambaran yang tidak tertanggung oleh undang-undang itu. Hal ini timbul kerana adanya usaha dan keinginan dari beberapa Majlis Agama Islam di Malaysia ini untuk melaksanakan undang-undang tersebut.
Apabila ini timbul, maka reaksi pun timbul bersama dengannya sebagai suatu tindakbalas menentang usaha yang baik dan mulia itu. Ulasan demi ulasan dapat dibaca dan didengar setiap hari di Malaysia yang menentang, samada secara langsung atau tidak untuk menggagalkan usaha perlaksanaan hukuman hudud. Usaha-usaha yang provokatif itu terus dirancang dan dilaksanakan bagi melumpuh sebarang usaha untuk merealisasikan undang-undang hudud. Sebab itu kita sering menemui komen-komen liar tentang undang-undang hudud itu sebagai ‘mundur, balik ke belakang, kejam, tidak sesuai dengan zaman’ dan berbagai-bagai lagi. Kadang-kadang dijadikan bahan ketawa dengan ulasan-ulasan lucu dan lukisan-lukisan karikatur yang mudah untuk ditertawakan. Semuanya itu adalah fitnah besar yang mesti dikutuk.
Demikianlah jadinya apabila undang-undang Islam hendak dilaksanakan. Golongan-golongan yang menentang semuanya adalah golongan yang mengakui dirinya sebagai ‘Muslim’ tetapi malang orang-orang itu sebenarnya tidak mengetahui apakah itu Muslim. Mereka itu jahil hatta kepada hakikat dirinya dan agama yang ia berpura-pura menganuti. Sikap seorang Muslim yang sebenar ialah sikap menyerah diri kepada hukum-hukum Allah, menerima dan mematuhi hukum-hukum Allah. Yakin dan percaya bahawa hukum-hukum Allah itu adalah hukum yang sebaik-baik dan semulia-mulianya. Tetapi nampaknya orang-orang yang menentang hukum-hukum Islam telah tidak sedarkan diri yang ianya telah menjadi alat yang paling murah kepada pihak musuh Islam. Mereka adalah orang-orang yang disuruh tanpa upahan untuk merosakkan dirinya, agamanya dan tanahairnya.
Atas nama kebebasan akhbar dan kebebasan menyuarakan pendapat, manusia yang kononnya Muslim di hari ini ingin menjadikan juara menentang hukum-hukum Islam dengan cara yang halus dan jahat. Pada hemah saya perbuatan itu terang-terang menghina hukum-hukum Islam. Penghinaan itu semakin jelas dan terang apabila ada suara-suara yang menghasut orang ramai supaya membenci hukum Islam terutamanya hukum hudud yang di dalamnya termasuk hukum sebat, dengan menggambarkannya sebagai kejam, tidak berperi kemanusiaan, ketinggalan zaman dan sebagainya. Malah orang-orang yang meragui kewajaran hukuman itu dan mencari-cari alasan untuk menggagalkannya sudah cukup untuk dikatakan ianya menghina agama Islam, menghina hukum-hukum Allah.
Dalam peruntukan undang-undang pentadbiran agama di Malaysia, keseluruhan undang-undang tersebut ada peruntukan begini : ‘Barang siapa dengan perkataan yang dilafazkan atau perkataan yang bertulis mencerca dengan kenyataan yang boleh dilihat atau pun menyebabkan terkeji atau tersenda agama Islam atau cuba mencerca atau mencaci agama Islam atau qaul-qaul daripada mana-mana Mazhab boleh dihukum jel selama tidak lebih dari enam bulan atau didenda tidak lebih seribu ringgit.” (30)
Peruntukan yang hampir sama dengan peruntukan tersebut terdapat di Kedah (31) di Perak (32) di Perlis (33) dan lain-lain negeri yang pada umumnya terdapat peruntukan yang hampir sama. Peruntukan tersebut memberi kuasa Majlis-Majlis Agama Negeri untuk bertindak menjaga nama baik agama Islam dan mendakwa orang-orang yang menghina hukum Islam.
Saya menyarankan supaya peruntukan tersebut dipergunakan sepenuhnya. Saya menyeru supaya orang-orang yang sabit bersalah berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut dijatuhkan hukuman maksima untuk menjadi tauladan kepada orang-orang lain. Peruntukan yang ada masih belum digunakan walaupun perbuatan menghina Islam masih terdengar dengan lantangnya di saat saya menulis kertas ini. Masanya telah sampai undang-undang mesti dilaksanakan, sekadar yang wujud di hari ini tindakan yang tegas perlu segera diambil tanpa mengira darjat.
Dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di Malaysia sekarang ini, sebahagian dari kesalahan-kesalahan hudud boleh dibicarakan di mahkamah-mahkamah Syariah. Mengikut peruntukan yang ada sekarang kesalahan zina dan minum arak boleh dihukum di mahkamah Syariah tetapi malangnya kesalahan-kesalahan itu walaupun dapat disabitkan, hanya mendapat peruntukan yang berlawanan dengan kesiksaan hudud. Peruntukan yang ada sekarang hanya membolehkan qadhi menghukum penzina dengan setingi-tingginya seribu ringgit, atau enam bulan penjara. Setengah-tengah negeri adalah lebih rendah dari yang tersebut itu.
Dalam hukuman hudud, kesalahan zina apabila sabit tidak boleh lagi dihukum selain dari sebat atau rejam. Kesalahan minum arak pula hanya diberi satu sahaja peruntukan iaitu sebat. Adalah jelas kepada kita semua, bahawa hukuman Allah adalah hukuman yang sebaik-baiknya. Hukuman-hukuman itu tidak lagi boleh ditukar ganti. Oleh yang demikian marilah kita sama-sama berusaha dan berazam untuk menolak segala rintangan dan halangan dalam usaha melaksanakan hukum Allah menurut semestinya.
Kesalahan-kesalahan hudud yang lain seperti mencuri, merompak, menjatuhkan maruah orang dan sebagainya tidak diberi peruntukan kepada mana-mana mahkamah Syariah untuk membicarakan kes-kes itu akan tetapi dibicarakan di mahkamah-mahkamah adat. Oleh yang demikian maka jauhlah sekali kesalahan-kesalahan itu akan dihukum dengan hukuman hudud.
Murtad walaupun ianya salah satu dari kesalahan hudud, dan Islam memperuntukkan hukuman yang berat iaitu ‘bunuh’ namun demikian baik mahkamah adat maupun mahkamah Syarak tidak menganggapnya sebagai satu kesalahan. Sebab itu tidak ada sebarang peruntukan untuk membicarakan kesalahan murtad. Dalam mahkamah-mahkamah Syariah murtad hanya disabitkan dalam kontek memansuhkan perkahwinan sahaja dan tidak dibicarakan sebagai suatu kesalahan hudud.
Jelaslah sekarang bahawa kesalahan-kesalahan hudud walaupun setengah-tengahnya mendapat peruntukan yang ianya boleh dihukum di mahkamah-mahkamah Syariah, akan tetapi hukuman yang dijatuhkan bukanlah hukuman hudud akan tetapi hampir menyerupai dengan hukuman ‘takzir’ iaitu hukuman yang dijatuhkan oleh seorang qadhi berdasarkan pertimbangannya menurut bidang kuasa yang diberikan kepadanya.
Sekali pandang kesalahan-kesalahan zina dan minum arak telah menjadi hukuman ‘takzir’ kerana hukuman ke atasnya telah bertukar dari hukum Allah kepada hukuman qadhi. Kalaulah demikian itu benar maka besarlah kesalahannya jika dipandang dari sudut undang-undang hudud itu sendiri. Saya percaya apa yang berlaku sekarang bukanlah pertukaran hukum malahan suatu bentuk hukum yang tidak kena mengena dengan ‘hudud’. Ianya hukuman yang dibuat oleh penjajah sejak zaman penjajahan lagi. Sifat penjajah selama-lamanya bukan sahaja menjajah negeri, tetapi menjajah nilai sesuatu bangsa. Ia juga menjajah agama bangsa itu. Oleh itu hukuman-hukuman yang sedang dilaksanakan sekarang ialah hukuman penjajah bukannya hukuman Allah.
Zaman penjajahan telah lama berlalu, sudah hampir suku abad penjajahan nyah pulang. Dalam jangka masa yang sepanjang itu apakah masih belum sampai masanya bagi umat Islam membersihkan hukum-hukum agamanya dari pengaruh penjajahan? Apakah belum sampai masanya lagi umat Islam kembali kepada hukum-hukum agamanya bagi dilaksanakan di dalam negara yang mengqanunkan Islam sebagai agama rasminya? Apakah belum tiba masanya hukum-hukum hudud diberikan tempatnya yang wajar dan sah? Sampai bilakah hukum-hukum agama itu akan ditundukkan di bawah telunjuk undang-undang Barat?
Masanya sudah tiba untuk umat Islam bangun memperjuangkan agamanya. Segala rintangan masih banyak, pengaruh penjajahan masih tebal, kuncu-kuncu penjajah masih ramai yang ada taring tajam, namun demikian umat Islam tidak harus panik di dalam memperjuangkan yang hak, segala rintangan yang sengaja dibuat insyaAllah akan terhapus. Orang-orang Islam yang menjadi sentuang musuh-musuh Islam akan segera sedar akan perbuatannya yang merugikan dirinya sendiri di dunia dan akhirat. Marilah saudara-saudara kita kembali kepada yang hak, kembali kepada kebenaran.
Kesedaran sudah mula menjalar, negeri Johor telah memulakan langkah dalam mengusahakan agar hukuman-hukuman hudud terlaksana menurut semestinya. Usaha-usaha itu telah lama berjalan, kita mengharapkan supaya ianya terus berjalan meskipun rintangan dan halangan bersimpang siur. Kini kerajaan Kedah pula memulakan langkah ke arah itu. Usaha ini sudah semestinya disokong dan dibantu oleh semua pihak. Kita mengharapkan kejayaan akan tercapai dengan izin Allah. Seluruh negeri-negeri di Malaysia sudah semestinya menyambut baik usaha seperti ini. Semuanya diharap akan turut serta merancangkan dengan penuh gigih supaya perlaksanaan hukuman hudud terlaksana dengan jayanya.
Selama ini kita selalu mendengar dua suara, satunya menyokong perlaksanaan hukuman hudud dan satu lagi menentang. Oleh kerana suara-suara yang menentang itu lebih lantang dari yang menyokong maka sokongan itu gugur dengan sendirinya. Sekarang ini datang lagi giliran kita yang menyokong bersuara marilah kita terus bersuara. Di samping berusaha menyedarkan penentang-penentang itu supaya menyedari hakikat dirinya, hakikat agamanya dan hakikat hidup matinya.
Bersambung ....InsyaAllah
No comments:
Post a Comment