Wednesday, June 27, 2007

Hukum Hudud di dalam Perundangan Islam (3/3)

(Satu analisa mengapa hukuman hudud perlu dilaksanakan)
Siri ke 3 dari 3 siri

Oleh Dr Haron Din

(Telah dibentangkan dalam, ‘Seminar Pentadbiran Undang-Undang Syariah, Jenayah dan Keluarga Islam Kedah pada 21 Jamadil Awal hingga 23 Jamadil Awal 1398 bersamaan 29 April hingga 1 Mei 1978’ – diterbitkan oleh Pejabat Agung PAS, Cetakan Pertama 1398H/1978)

Sebat hukuman Allah

Salah satu peruntukan di dalam hukuman hudud seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini ialah ‘sebat’. Hukuman sebat sudah merupakan suatu persoalan yang amat gawat dan menjadi tumpuan kecaman dari pihak-pihak yang tidak senang hati terhadap Islam. Kita tidak akan terasa apa-apa jika kecaman-kecaman dan sindiran-sindiran tajam terhadap hukuman sebat itu dilakukan oleh orang-orang yang tidak Islam. Tetapi apabila perlakuan yang tidak senonoh itu dibuat oleh orang-orang Islam sendiri maka ianya sudah menjadi persoalan besar yang boleh disifatkan sebagai persoalan musuh dalam selimut. Perkara itu sudah menjadi menggunting di dalam lipatan namanya.

Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa sebenarnya hukuman sebat bukan direka oleh sesiapa, bukan difikir dan dicadang oleh sesiapa, bukan dicipta oleh sesiapa. Ianya adalah hukuman Allah yang jelas dan terang. Orang-orang yang mengingkari maka tidak syak lagi ia telah menjadi murtad. Murtad mesti dihukum bunuh menurut perintah Allah swt.

Hukuman sebat adalah hukuman yang mesti diterima oleh umat Islam, jika mereka masih mahu jadi Muslim yang benar-benar beriman dengan Allah dan rasulNya. Hukuman sebat sudah merupakan realiti hukum yang tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana ulama Islam. Ia adalah benar dari Allah swt. Setiap Muslim wajib mengimani dan menyakini bahawa hukuman itu wajib dilaksanakan dalam bentuk dan keadaan seperti mana yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Kita tidak ada pilihan lain lagi melainkan itu sahaja. Firman Allah :

Dalam mentafsir ayat di atas terdapat dalam sebuah kitab tafsir yang berbunyi begini maksudnya :

‘Dan tidak boleh sama sekali bagi seorang mukmin lelaki atau perempuan, apabila Allah dan RasulNya telah memberi hukumannya terhadap sesuatu hal, maka mereka hendak memilih-milih dalam perkara itu. Sesiapa yang menderhaka (menentang) hukuman Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah tersesat dengan seterang-terangnya’. Al Ahzab :36 (34)

Untuk lebih jauh kita memahami tabiat-tabiat hukum di dalam Islam maka dengarlah apa kata Allah : (maksudnya)

‘Sesungguhnya hukum ialah yang datang dari Allah. Yang menyatakan sesuatu dengan hak dan Allah lah sebaik-baik yang menghukum.’ (Al An’am: 57)

‘Yang demikian itu adalah hukuman Allah yang menghukum di antara kamu dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’ (Al Mutahanah : 10)

‘Dan siapa lagi yang lebih baik hukumannya dari Allah bagi orang-orang yang benar-benar yakin.’ (Al Maidah : 50)

‘Dan Allah lah yang menjatuhkan hukuman dan tidak boleh ditolak hukumannya dan Allah itu amat segera hisabnya.’ (Ar Rad’u : 41)

Bagaimana sebat dilaksanakan

Tanggapan manusia hari ini terhadap hukuman sebat telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang tentang kekencangannya, kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan sebagainya. Sebat yang dilaksanakan sekarang tidak boleh disamakan dengan sebat yang dikehendaki oleh Islam. Sebat yang dikehendaki oleh Islam adalah ‘unik’.

Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya : Seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah saw, ketika menjatuhkan hukuman sebat ke atas lelaki tersebut, Rasulullah saw meminta sebelah rotan untuk disebat lelaki itu. Apabila rotan yang dikehendaki ditunjukkan kepada Rasulullah didapati rotan itu pecah-pecah. Baginda telah meminta rotan yang lain. Apabila rotan yang kedua dibawa kepadanya didapatinya rotan itu dari suatu dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah saw menolaknya dan meminta rotan lain. Akhirnya dibawa kepadanya rotan yang paling sederhana tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Rasulullah menerimanya.

Alat sebat dan caranya

Pada umumnya alat sebat tidaklah dalam satu bentuk sahaja. Rotan boleh digunakan, pelepah tamar, hujung kain, sepatu semuanya boleh digunakan. Akan tetapi ada ulama yang tidak mengizinkan sama sekali disebat dengan tali.

Ulama-ulama telah berijma’ mengatakan bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah tercapai maksud sebat dengan menggunakan hujung kain atau kain sapu tangan atau pelepah tamar (35)

Sekiranya digunakan pelepah tamar maka hendaklah yang sederhana besarnya. Jangan terlalu muda atau terlalu tua. Ketika menyebat hendaklah dengan cara yang sederhana. Tangan tidak boleh diangkat tinggi hingga ke paras kepala. Mengangkat tangan hendaklah perlahan-perlahan, jangan mengangkat tangan yang memukul hingga ternampak ketiak. Pukulan hendaklah jangan sampai meluka parahkan. Hendaklah diatur agar rata di belakang, jangan dipukul setempat sahaja.

Ketika Omar bin Al Khattab ra menghukum sebat seorang pesalah hudud di zamannya beliau telah berkata kepada orang yang akan menyebat : Sebatlah ia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak. Ketika Omar melihat yang memukul pesalah itu agak terkuat dari yang sepatutnya Omar berkata kepada yang menyebat : Kamu tidak menyebatnya akan tetapi kamu membunuhnya.

Al Imam As Syafie mengatakan : Ketika dijalankan hukuman sebat lelaki yang disebat itu hendaklah berada di dalam keadaan berdiri, jangan sekali-kali disebat bahagian mukanya dan kepalanya.

Jumhur ulama mengatakan bahawa waktu dilaksanakan hukuman sebat janganlah pada ketika terlalu sejuk dan jangan pula ketika terlalu panas. Kalau orang yang disebat itu tidak sihat atau sedang mengandungi atau menyusu maka hendaklah ditangguhkan ke suatu masa yang benar-benar sesuai untuk disebat walaupun memakan masa yang panjang.

Bahagian yang disebat adalah belakang. Demikian serba ringkas tentang hukuman sebat yang dikehendaki oleh Islam. Sebat itu bila dilaksanakan bukan semata-mata bertujuan untuk menyiksa seseorang dari segi fizikalnya seperti yang dilaksanakan sekarang. Malah ianya untuk memberi pengajaran dan peringatan semoga menjadi iktibar.

Kesimpulan

Undang-undang jenayah yang dilaksanakan sekarang ini belum mencapai matlamatnya dan belum ada tanda-tanda yang ianya boleh mengatasi masalah jenayah yang berlaku dengan gawatnya dari hari ke hari. Manusia semakin gelisah, keamanan dan keselamatan masih menjadi satu persoalan besar. Apa kesudahannya?

Islam telah mengemukakan undang-undang hudud untuk kemasylahatan manusia seumumnya. Undang-undang jenayah Islam mampu mengatasi persoalan jenayah dengan dua cara yang pokok. Pertama : Perlaksanaan hukuman hudud seperti yang dikehendaki oleh Islam. Kedua : Allah akan menghalang masyarakat dari melakukan jenayah. Contoh-contoh sudah jelas menunjukkan bahawa undang-undang hudud adalah satu-satunya undang-undang yang akan memberi kebahagiaan kepada manusia.

Majlis-majlis Agama Islam Malaysia hendaklah segera mengambil inisiatif ke arah melaksanakan hukuman jenayah (hudud) seperti yang dikehendaki oleh Islam. Segala peruntukan undang-undang sekarang semestinya dipergunakan sepenuhnya, tanpa memilih pangkat dan darjat.

Semua pihak hendaklah mengalu-alukan sebarang langkah ke arah merealisasikan hukum Islam sebagai hukum yang sebenar untuk faedah umat manusia.

Hukuman sebat adalah hukuman Allah. Orang-orang yang mengingkarinya dengan apa cara yang difaham ianya menentang dan menghalangnya maka orang itu telah murtad. Sebarang Penghinaan terhadap hukum Allah terutamanya sebat hendaklah diambil tindakan yang wajar dan tegas.

Hukum Islam adalah sesuai bagi setiap tempat dan zaman. WabilLahi Taufik wa hu wa ‘alam bissawab.



Dr Haron Din
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi, Selangor



Nota Kaki

1. Ar Razi, Al Imam Muhammad bin Abu Bakar, Makhtaral Sahah ; ‘ha’ ‘dal’
2. Ibnu Hajar Syahabudin Abi Al Fadzil, Subulul Islam Mustaffa Al Babil Khalbi (al Kaherah) 1960 Juzuk 4 halaman 3
3. Abdul Aziz Omar, At Takzir fi Syariatil Islamiah, Maktabah Wahbat (al Kaherah) halaman 13 (tanpa tarikh)
4. Ibnul Hamam, Syarah Fatihul Qadir, Tabi’atal Akhiriah (al Kaherah) Juzuk 4 halaman 112. Lihat juga Ali Ali Mansur, Nizamul Tajrim wal Aqubat fil Islam, Muaasasah az Zahra’ lil Iman wal Khair (al Madinah) 1976, Juzuk 1 halaman 314
5. As Syafie, Al Imam Abi Abdullah Muhammad bin Idris, al Umm, Kitab As Sya’ab (al Kaherah) Juzuk 7 halaman 51 (tanpa tarikh)
6. Al Qurthubi, Abi Abdullah Muhammad bin Ahmad, Al Jami’ul Ahkam al Quran, al Makatbat al Arabiyah (al Kaherah) 1967 Juzuk 6 halaman 151
7. Abu Zahrah, Muhammad, Falsafah al Uqubah fi al Faqah al Islami, Maahad al Idrisat al Islamiah, Matba’atal Mahimar (al Kaherah) 1963, halaman 110
8. As Syafie, Muhammad bin Idris, Ar Risalah, Tabi’al Syararah (al Kaherah) halaman 63 (tanpa tarikh)
9. An Nawawi, Sahih Muslim bi Syarah an Nawawi, al Matba’atal al Masriyah wa Maktabtaha (al Kaherah) Juzuk 11 halaman 192 (tanpa tarikh)
10. al Doktor Abdul Khalik an Nawawi, Al Tasyrik al Jina’i fi Syaria’til al Islamiyyah wal Qanun al Waz’i, al Maktab al ‘Asriyyah (al Kaherah) halaman 88 (tanpa tarikh)
11. Sila lihat ‘Utusan Melayu’ keluaran Khamis 20 April 1978 di muka hadapan terpampang tajuk, ‘Pusat pengguguran korbankan 3,000 (tiga ribu) bayi dalam kandungan’
12. As Sayuti, al Asybah wan Naza’ir, Mustaffa al Babil Khalbi (al Kaherah) halaman 229 (tanpa tarikh)
13. Muhammad As Syaukani, Niyal Authar, Mustaffa al Babil Khalbi (al Kaherah) Cetakan Terakhir, Juzuk 8, halaman 190 (tanpa tarikh)
14. An Nawawi, Syarah Muslim bi Syarah an Nawawi, Juzuk 11, halaman 217
15. Abu Zahrah, Muhammad, Al Jarimah wal Uqubah fi al Feqah al Islami, Darul Fikir, al Arabi (al Kaherah) halaman 192 (tanpa tarikh)
16. Ibnu Rusyd, Abi Al Walid Muhammad bin Ahmad, Bidayatal Mujtahidu wan Nihayah al Muktasad, Matba’atal Muhammad Ali Sabih (al Kaherah) Cetakan Pertama, Juzuk 2 halaman 380 (tanpa tarikh)
17. Al Imam al Akbar, Mahmud Syaltut al Fatwa, Darul Qalam (al Kaherah) Cetakan Ketiga, halaman 45 (tanpa tarikh)
18. Abdul Khalik al Nawawi, As Syaraie al Jina’i al Islami, halaman 88-89
19. Mahmud Syaltut, al Fatwa halaman 43-44
20. Al Qurthubi, al Jami’i al Ahkam al Quran, Juzuk 12 halaman 161
21. An Nawawi, Sahih Muslim bi Syarah an Nawawi, Juzuk 11, halaman 196
22. As Sayuti, al Asybah wan Naza’ir, Matba’atal Mustaffa al Babil Khalik (al Kaherah) Cetakan Kedua 1966, halaman 221
23. Ibnu al Qayyim, ‘Alamul Mauqa’in, Matba’atal Salafiah (al Kaherah) Juzuk 3 halaman 15 (tanpa tarikh)
24. Ayat ini telah dimansuhkan lafaznya di dalam al Quran tetapi dikekalkan hukumannya. Sila rujuk Sahih Muslim bi Syarah An Nawawi, al Matba’atal al Mariyyah wa Maktabtiha Juzuk 11 halaman 191
25. Makhtaral Sahah ; ‘nun’ ’kaf’ ‘lam’
26. al Qurthubi, al Jami’il Ahkam al Quran, Darul Kitab al Arabi (al Kaherah) 1967, Juzuk Pertama halaman 443
27. Perkataan ‘az Zajar’ menurut ‘al Munid fil Lughah wal Adab wal Ilmi’ Zajar, Zajara, Man’ahu wa nahah, bererti menegah dan melarang
28. Syarah Muslim bi Syarah An Nawawi, Juzuk 11 halaman 196
29. Al Ghazali, al Mustafa, al Amiriyat (al Kaherah) Juzuk Pertama halaman 287, 288 (tanpa tarikh)
30. Sila lihat, Undang-Undang mahkamah Syariah Kelantan 1966 (1) 74
31. Undang-Undang pentadbiran Agama Islam Kedah Nombor 9 1962 (166)
32. Undang-Undang pentadbiran Agama Islam Perak 1965 (171)
33. Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Perlis 1963 (131)
34. Al Majlis al ‘Ala lil Syaunil Islamiah, al Muntahab fi Tafsir al Quran, Maktaba’al Ahram al Tijariah (al Kaherah) Cetakan Kedua 1972 halaman 628
35. Sahih Muslim bi Syarah an Nawawi, Juzuk 11 halaman 218

Rumusan Kertas Kerja Ketiga

Hudud dalam Perundangan Islam

1. Hukuman hudud adalah hukuman Allah yang bertujuan membersihkan masyarakat dari perbuatan keji dan mengamankan negara dari bahaya ancaman penjenayah.

2. Hukuman hudud hendaklah dijalankan oleh pemerintah kerana agama Islam adalah agama negara

3. Sejarah telah membuktikan bahawa pemerintahan-pemerintahan Islam yang mengamalkan hukuman hudud didapati kejadian-kejadian jenayah berkurangan.

4. Undang-undang Islam yang menghukum dengan hukuman-hukuman lain dari hukuman Allah dalam masalah hudud ini akan menjadi murtad jika mereka berkeyakinan bahawa hukum-hukum itu adalah lebih baik dan lebih sesuai dari hukum Allah.

5. Hukuman-hukuman yang bertentangan dengan hukum Allah adalah mungkar dan wajib diubah serta ditentang, jika tidak bererti kita meredhai hukuman-hukuman itu, dan ini boleh membawa kepada kekufuran mengikut hadis, “Ar redha bil kufri kufran.”

6. Sesuatu peruntukan undang-undang hendaklah diadakan supaya boleh diambil tindakan ke atas orang-orang yang murtad.

7. Tindakan tegas hendaklah diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dengan cara mempersenda atau mencaci undang-undang Islam.

8. Pemerintah yang mengamalkan hukum hudud tidak perlu bimbang risiko ekonomi kerana Allah telah menjanjikan rahmat ke atasnya.

9. Hukuman hudud adalah disertai dengan ‘nakalam minalLah’ sebab itu hukuman-hukuman hudud berkesan, sedangkan hukuman yang dijalankan sekarang ini amatlah tidak berkesan kerana tidak ‘nakalam minalLah’ (cegahan dari Allah)

10. Kebebasan menyampaikan dakwah Islamiah dan menanamkan keamanan kepada rakyat dari segenap lapisan hendaklah dijamin dengan sepenuhnya oleh pemerintah.

11. Wakil-wakil rakyat hendaklah diberi penerangan sejelas-jelasnya dengan secara peribadi atau berdialog mengenai hukum-hukum hudud dan tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim dalam melaksanakannya

12. Usaha-usaha hendaklah dibuat untuk menghantar rombongan yang terdiri daripada pakar-pakar undang-undang dengan diketuai oleh Peguam Negara melawat Saudi Arabia untuk mengkaji secara mendalam bagaimana kerajaan Saudi menjalankan hukum-hukum hudud dan kesan-kesannya terhadap keamanan negara.

13. Hendaklah dilantik mufti-mufti negeri atau Yang diPertua Jabatan Agama yang terdiri daripada alim ulama menjadi ahli majlis kerja kerajaan negeri (exco) atas nama jawatan.

14. Satu perwakilan hendaklah dihantar menemui Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang bagi menyakinkan mereka dengan hukuman hudud supaya dibawa usul mengenainya ke dalam parlimen.

15. Seminar ini hendaklah disusuli oleh satu kongres yang terdiri daripada cerdik pandai-cerdik pandai di dalam hukum-hukum Islam dan ahli undang-undang.

16. Setiap peserta seminar hendaklah menyampaikan rumusan-rumusan seminar ini kepada pihak-pihak yang diwakilinya dan masyarakat sekeliling dengan seluas-luasnya.

17. Wang denda yang dikutip dari orang-orang yang melakukan kesalahan zina atau arak adalah haram.

No comments: