Thursday, June 14, 2007

Fasal fi Had al Sariqah - Bhg 1

Ini fasal pada menyatakan had mencuri. (Bermula) dipotongkan tangan yang mencuri dengan sepuluh syarat. (Pertamanya) hendak ada yang mencuri itu baligh maka tiada dipotongkan tangan kanak-kanak kerana tiada taklifnya . (Dan keduanya) bahawa ada ia berakal maka tiada dipotongkan tangan yang gila kerana tiada taklifnya. (Dan ketiganya) bahawa mencuri ia akan nisab dan iaitu serbang (suku) dinar yang khalas (tunai) atau lebih dan seumpama serbang dinar ini sesuatu yang sampai harganya serbang dinar.

(Dan keempatnya) diambilnya daripada tempat pertaruhan seumpamanya maka tiada dikerat akan tangan yang mencuri sesuatu yang tiada pada tempat pertaruhan seumpamanya. (Maka jika) dicurikan dia itu pada padang atau masjid atau pada jalan raya disyaratkan pada pertaruhannya dan memeliharanya itu akan berkekalan memandang kepadanya.. (Dan jika) pada rumah memadai melihat yang beradat pada seumpamanya. (Dan kain) dan mata benda yang ditaruh akan dia oleh seseorang pada hampirnya pada padang atau masjid atau pada jalan raya jika ia memandang akan dia dengan lihat akan dia pada satu waktu dan tiada di sana itu bersesak-sesak orang lalu atau di sana itu bersesak-sesak orang lalu dan banyak orang yang memandangnya maka iaitu mahraz (sesuatu yang ditaruhkan pada tempat pertaruhannya) dan jika tiada seperti yang tersebut maka tiada (dihadkan). Dan disyaratkan pada yang memandang kuasanya atas menegah yang mencuri. (Dan menghukumkan) pada tempat pertaruhan dan peliharaan itu ‘uruf kerana bahawasanya tiada disabitkan pada syara’ dan tiada dapat lughat maka dikembalikan kepada ‘uruf. Dan disabitkan dia oleh Imam Ghazali dengan tiada dibilangkan empunyanya itu menghilangkan baginya.

Dan yang demikian bersalah-salahan ia dengan bersalah-salahan harta dan kelakuan dan waktu. Maka terkadang adalah sesuatu itu tempat pertaruhan pada satu waktu tiada pada suatu waktu dengan sekira-kira baik kelakuan manusia dan fasadnya dan kuat sultan dan dhaifnya. (Maka halaman rumah) dan tsafahnya tempat pertaruhan bejana-bejana dan kain baju yang kurang-kurang (tidak begitu bernilai). (Dan segala) bilik-bilik rumah dan dikan yang teguh pertaruhan bejana-bejana dan kain baju yang elok-elok. (Dan khazanah) dan peti pertaruhan pakaian emas dan niqad dan umpama baginya. (Dan jika) dibuatkan dia bantal ditaruh di bawah kepalanya adalah ia pertaruhan baginya jika dibilangkan dibuat bantal pada seumpamanya itu pertaruhan baginya. Dan jika tiada seperti bahawa buat bantal ditaruh dibawah kepalanya akan kis yang di dalamnya niqad atau permata maka tiada ia tempat pertaruhan baginya seperti yang disebutkan dia oleh Mawardi.

(Dan kerat tangan) dengan sebab nisab yang tumpah keluar daripada bekasnya sebab ditebuknya akan dia atau daripada kis baju sebab dibelahnya akan dia dan jikalau tumpah sesuatu kemudian daripada sesuatu sekalipun. Dan jikalau tiada diambilnya akan dia sekalipun kerana bahawasanya ia mengeluarkan nisab daripada tempat pertaruhannya.

(Dan kelimanya) keadaan yang mencuri itu tiada milik baginya pada sesuatu yang dicurikan dia. Maka tiada dikerat dengan sebab ia curi akan hartanya yang pada tangan orang lain dan jikalau harta yang digadaikan dia atau yang disewakan dia atau yang diberi pinjam dahulu daripada diserahkan harganya atau pada masa khiar (jaminan semasa tempoh percubaan - warranty) sekalipun tiada dikeratkan dia. Dan jika ia curi serta harta yang ia beli itu akan harta yang lain pula kemudian daripada sudah diserahkan harganya atau dahulu daripadanya jika harganya bertangguh tiada dikeratkan dia kerana bahawasanya ia diizinkan baginya pada masa mengambil barang yang ia belikan dia. (Dan demikian lagi - maka tiada dikerat ) jika ia curi sesuatu yang dihibah akan dia dahulu daripada qibaznya (pertukaran barang di antara yang menghibah dan penerima) dan jika yang masyhurnya bahawasanya hibah tiada dimiliki akan dia melainkan dengan qibaz sekalipun.

Bersalahan jika ia curi akan barang yang diwasiatkan baginya dahulu daripada mati musi (orang yang berwasiat) atau kemudiannya dan dahulu daripada terimanya maka dikeratkan dia pada dua surah ini kerana ketiadaan miliknya kerana wasiat tiada dimilik akan dia melainkan dengan diterimanya kemudian daripada mati . (Dan tiada) dikeratkan pula dengan dicuri akan harta yang bersekutu dan jikalau sedikit bahagiannya sekalipun kerana baginya hak yang syayang padanya.

(Dan keenamnya) keadaan yang mencuri itu tiada syubahat baginya pada harta yang dicurikan dia daripadanya. Maka tiada dikeratkan dengan dicuri harta ibubapa dan anak cucu bagi yang mencuri seperti dicuri anak akan salah seorang daripada usulnya (ibu bapa, datuk, nenek) atau dicuri salah seorang daripada usul akan harta anak, cucu cicitnya dan jikalau terkebawah sekalipun. Dan keluar dengan usul dan anak cucu cicit itu sekelian kerabat dan seperti tiada dipotong akan usul dan anak cucu cicit dengan dicuri akan harta yang satunya. Tiada dipotongnya pula akan sahaya tiap-tiap daripada keduanya dengan dicuri akan harta yang satunya dan tiada dipotong dengan dicuri oleh sahaya akan harta penghulunya dengan ijma’ seperti dihikayatkan dia Ibnu al Munzir kerana tangan sahaya seperti tangan penghulunya.

(Furuq) Jikalau dicurikan makanan pada zaman kemarau pada hal kuasa ia atas harganya tiada dipotongkan dia dan demikian lagi orang yang diizinkan baginya pada masuk kepada kampung atau dikan kerana membeli atau lainnya maka mencuri ia seperti yang dirajihkan dia oleh Ibnu Al Makri.

(Dan ketujuhnya) keadaan yang mencuri itu dengan ikhtiarnya maka tiada dipotongkan orang yang tergagah dan tiada dipotongkan pula orang yang mengagahinya (dengan syarat orang yang memaksa itu sendiri tidak mencuri)

(Dan kedelapannya) keadaan yang mencuri itu berpegang ia dengan ahkam (mengetahui hukum haramnya mencuri) maka tiada dipotongkan harbi kerana ketiadaan berpegangnya dengan ahkam. Dan dipotongkan tangan Muslim dan zimmi dengan sebab dicuri harta Muslim dan Zimmi yakni dipotongkan tangan Muslim dengan dicuri harta Muslim dan Zimmi dan dipotongkan tangan Zimmi dengan dicurinya harta Muslim dan Zimmi. Padanya ada empat surah yang tersebut. Adapun dipotongkan tangan Muslim dengan dicuri harta Muslim maka dengan ijma’ dan dipotongkan tangannya (Muslim) dengan dicuri harta Zimmi maka atas yang masyhurnya (jumhur ulama) kerana Zimmi itu maksum dengan zimmahnya. Dan tiada dipotongkan Muslim dan Zimmi dengan dicuri akan harta Mu’ahad dan Mu’amin seperti barang yang tiada dipotongkan Mu’ahad dan Mu’amin dengan dicurinya akan harta Zimmi atau Muslim kerana tiada berpegangnya dengan ahkam maka menyerupai ia akan harbi.

(Dan pada qaul) yang izharnya (jelasnya) dipotongkan salah seorang daripada dua laki isteri dengan sebab dicuri akan harta taulannya yang mahraz daripadanya. Dan tiada memberi bekas syubahat istihaki isteri akan nafkah dan kasuh pada harta suami kerana sudah dipadakan akan dia dan dihadkan dia ini jika tiada bagi isteri dan nafkah dan kasuh pada suami. Maka jika bagi isteri sesuatu daripada yang tersebut pada ketika curinya dan diambil oleh isteri dengan qasad menyempurnakan hakNya tiada dipotongkan dia. Dan dikehendaki dengan mahraz daripadanya ini dengan bahawa ada harta itu pada rumah yang lain daripada rumah yang ada dua laki isteri padanya. Adapun jika ada harta itu pada rumah yang satu tiada dipotongkan dia.

(Dan jika) harta itu di dalam peti yang dikuncikan dia dan ia curikan peti dengan harta yang di dalamnya daripada rumah yang satu itu tiada dipotongkan dia kerana tiada mahraz dengan nisbah baginya. Bersalahan apabila dibukainya peti dan diambil daripadanya akan nisab maka dipotongkan dia dan jikalau pada rumah yang satu sekalipun kerana peti itu haraz yakni tempat pertaruhan bagi benda yang di dalamnya.

(Dan kesembilannya) keadaan sesuatu yang dicurinya yang dihormati akan dia. Maka jika diambil oleh Muslim atau Zimmi akan arak dan jikalau yang dihormatikan dia sekalipun atau babi atau anjing atau kulit bangkai yang belum disamakkan dia tiada dipotongkan dia kerana bukannya harta. Adapun yang sudah disamakkan dia maka dipotongkan dengan dia. (Dan tiada) dipotongkan pada mengambil sesuatu yang dikerasi oleh Syara’ atas memecahkan dia seperti serunai dan berhala dan salib dan thanbur tetapi jika sampai yang dipecahkan dia itu nisab dipotongkan dia kerana ia curikan nisab daripada tempat pertaruhannya. Ini jika tiada ia qasadkan mengubahkan dia seperti barang yang tersebut pada ‘rudhah’ maka jika diqasad hendak mengubahkan dia tiada dipotongkan dia.

(Dan kesepuluhnya) keadaan milik pada nisab itu sempurna lagi kuat seperti yang tersebut pada Rudhah maka tiada dipotong akan Muslim dengan dicurinya akan tikar-tikar masjid yang disediakan bagi istikmal (menyempurnakan) dan tiada pula hamparan yang dihamparkan padanya dan tiada pula segala kandil yang dipasangkan padanya kerana yang tersebut itu kerana maslahah bagi segala Muslimin.

Maka bagi yang mencuri yang Muslim itu padanya hak seperti harta Baitul Mal dan keluar dengan yang disediakan dia bagi istikmal ini segala tikar perhiasan maka dipotongkan dengan dia seperti berkata Ibnu Al Muqari. Dan keluar dengan Muslim itu Zimmi maka dipotongkan dia kerana ketiadaan syubahat padanya. Demikian lagi Muslim yang tiada mustahak mengambil manfaat dengan dia seperti yang ditentukan dia dengan satu taifah yang tiada ia daripada mereka itu.

Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 194-196 Cetakan 13 Oktober1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin IsmailDaud Fatani)

No comments: