Ini fasal pada menyatakan diyat.
(Bermula diyat itu) atas dua bahagi iaitu mughalazah dan muhaffafah. (Maka diyat yang mughalazah) dengan sebab membunuh akan laki-laki yang merdeka lagi Muslim dengan sengaja itu seratus unta iaitu tiga puluh hiqqah iaitu unta betina yang sudah patut berjantan (antara 3 hingga 4 tahun) atau patut dikendera akan dia dan ditanggung atasnya dan tiga puluh jaza’ah iaitu unta betina yang sudah bersalin gigi hadapannya (antara 4 hingga 5 tahun) dan empat puluh halafah iaitu unta betina yang (sedang) bunting sekeliannya.
(Dan yang muhaffafah) dengan sebab membunuh ia akan laki-laki yang merdeka lagi Muslim dengan tersalah itu seratus unta iaitu dua puluh jaza’ah dan dua puluh hiqqah dan dua puluh bintu labun (unta betina umur 2 tahun) dan dua puluh ibnu labun (unta jantan umur 2 tahun) dua puluh bintu mahadh (unta betina umur 1 tahun). Maka bintu labun itu anak betina sudah patut bahawa ia mempunyai laban (susu). Dan bintu mahadh itu anak unta betina yang sudah patut bahawa ia bunting.
Maka diyat tersalah ini muhaffafah yakni diringankan dia pada tiga wajah iaitu keadaannya dibahagikan lima untanya (20 ekor sekali bayar) dan keadaannya atas (ditanggung oleh) aqilah dan ditangguh atas mereka itu di dalam masa tiga tahun. Dan diyat menyerupai dengan sengaja itu muhaffafah ia daripada dua wajah iaitu keadaannya atas aqilah dan keadaannya ditangguh atas mereka itu di dalam masa tiga tahun. Dan mughalazah ia pada satu wajah iaitu keadaannya dibahagikan tiga untanya.
(Maka jika) ketiadaan unta pada tempat yang wajib dihasilkan dia daripadanya atau didapatkan unta padanya mahal lebih daripada harga misalnya berpindahlah kepada harganya ini pada qaul jadid ialah yang sahih yang muktamadnya. Dan kata Qil pada qaul qadim berpindah ia kepada seribu dinar pada ahli emas atau berpindah kepada dua belas ribu dirham pada ahli perak samada pada yang tersebut itu diyat yang mughalazah atau yang muhaffafah.
(Dan diyat mughalazah) akan diyat tersalah pada tiga tempat yakni dikeraskan diyat tersalah itu dengan dibahagikan tiga untanya ganti daripada bahagi lima pada salah satu daripada tiga tempat yang lagi akan datang dan berlakulah takliz (dikeraskan diat) ini pada membunuh dan pada memotongkan anggota yang padanya diyat dan pada menghilangkan ma’ani (fungsi) seperti pendengar dan lainnya. Dan keluar dengan (selain) diyat tersalah - ringan (iaitu) diyat sengaja dan diyat menyerupai sengaja maka tiada ditambahkan kerasnya dengan tiada halaf kerana yang sudah dikeraskan dia tiada ditambahkan kerasnya.
Pertamanya jika ia membunuh pada Tanah Haram Makkah. Adapun membunuh pada Tanah Haram Madinah atau membunuh pada ketika ihram maka tiada ditakliz padanya atas yang asahnya. (Dan keduanya) jika membunuh ia pada bulan haram iaitu Dzulkaedah dan Dzulhijah dan Muharam dan Rejab. (Dan ketiganya) Jika membunuh ia akan karib baginya yang mempunyai rahim (hubungan) lagi mahramnya seperti bapanya dan saudaranya laki-laki dan ibunya dan saudaranya yang perempuan. Maka jika rahim itu bukan mahramnya seperti bintu ‘am dan ibnu ‘am dan bintul amah dan ibnul amah dan bintul khal dan ibnu khal dan bintu khallah dan ibnu khallah maka tiada ditaklizkan pada membunuh akan dia atas yang asahnya pada syikhin.
(Bermula diyat) perempuan dan khunsa musykil setengah diyat laki-laki pada membunuh akan dia atau melukakan dia dan pada menghilangkan ma’ani . Maka diyat perempuan yang merdeka lagi Muslim dan seumpamanya khunsa pada membunuh dengan sengaja atau menyerupai dengan sengaja lima puluh unta iaitu lima belas hiqqah dan lima belas jaza’ah dan dua puluh halifah unta yang bunting. Dan pada membunuh dengan tersalah itu sepuluh bintu mahaz dan sepuluh bintu labun dan sepuluh ibnu labun dan sepuluh hiqqah dan sepuluh jaza’ah.
(Dan diyat) Yahudi dan Nasrani yang laki-laki dan kafir yang musta’min dan yang mu’ahad salasa (sepertiga) diat Muslim (33-34 unta) pada membunuh akan dia atau melukakan dia dan pada menghilangkan ma’ani. Dan adapun diat perempuannya dan khunsanya maka sadasa (seperenam) diat (16-17 unta) Muslim kerana diat keduanya itu atas setengah diat laki-laki mereka itu. (Dan diat) Majusi yang baginya aman dua salasa asyr (seperlimabelas 6-7 unta) diyat Muslim dan seumpama Majusi itu Wathani dan yang menyembah matahari dan bulan dan zindik iaitu yang tiada memilih sesuatu agama dan mereka yang tiada diketahui bagi agama dan yang didamaikan itu pada mereka yang baginya aman. Adapun mereka yang tiada aman baginya maka hadir jua. Dan diyat perempuan dan khunsanya salasa asyar (seperlimabelas) jua.
(Dan disempurnakan) diyat nafas iaitu seratus unta pada memotongkan dua tangan daripada pergelangannya atau dua kaki daripada dua mata kakinya. Maka jika dipotongkan dua tangan atau dua kakinya di atas pergelangan keduanya wajib serta dengan diyat dua tangan dan dua kaki itu. Hukumah yang lebih itu kerana yang lebih itu tiada mengikut bagi dua tangan dan dua kaki maka tiada masuk hukumahnya di dalam diyat keduanya. (dan wajib pada satu tangan atau satu kaki lima puluh unta dan pada keduanya seratus unta. (Dan pada) tiap-tiap satu anak jari tangan atau kaki satu asyr (sepersepuluh) diyat empunyanya iaitu sepuluh unta pada laki-laki yang Muslim yang merdeka.(Dan pada) tiap-tiap seruas anak jari tangan atau kaki satu salasa (sepertiga dari sepuluh unta) diyat anak jari yang lain daripada ibu tangan kerana tiap-tiap jari baginya tiga ruas melainkan ibu tangan maka baginya dua ruas maka pada satu ruasnya setengah diyatnya (lima unta).
(Dan sempurnakan) diyat nafas pada memotongkan hidung dan iaitu barang yang lembut daripadanya yang lain daripada tulang dan pada memotong akan tiap-tiap daripada dua tepinya dan dinding yang pada tengahnya itu salasa (sepertiga) diyat kerana dihancirkan (dibahagikan) diyat atas tiga yang tersebut.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada memotongkan dua telinga atau mencabut akan keduanya daripada umbinya dengan ketiadaan izzah maka jika hasil serta dengan mencabut keduanya itu izzah wajib arash izzahnya dan iaitu setengah asyar diyat empunyanya seperti lima unta dan pada tiap-tiap satu telinga setengah diyat. Dan pada memotongkan setengah telinganya kadarnya daripada diyat dan tiada diferuk (dibeza) pada yang tersebut antaranya telinga yang mendengar dan yang tulinya dan jika dikeraskan(dipekakkan) dua telinga dengan sebab dipukul akan keduanya maka pada keduanya itu diyat kerana ia menghilangkan manfaat keduanya.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan dua mata dan pada tiap-tiap satu daripadanya setengah diyat samada mata yang juling atau mata yang mengalir air matanya serta daif penglihatannya atau mata yang kecil atau mata yang tiada melihat pada malam. (Dan disempurnakan) diyat nafas pada memotongkan kelopak mata yang empat dan pada satu kelopak serubuk (seperempat) diyat.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada memotongkan lidah yang bertutur jikalau dengan kuat sekalipun maka wajib diyat pada lidah kanak-kanak yang belum sampai ketika bertuturnya kerana diambil dengan zahir selamatnya dan kerana inilah wajib diat pada dua tangan kanak-kanak dan kakinya dan jika tiada pada keduanya petampar (tapak tangan) dan pejalan (tapak kaki) pada ketika itu sekalipun. Lagi hendak ada lidah itu sejahtera perasaannya dan jika lidah yang assyak dan erti itu sekalipun wajib diyatnya. Maka lidah yang tiada perasaannya itu padanya khalaf dan dijazam oleh Syeikh Mawardi dan Sahibul Mahazzab dengan bahawasanya pada lidahnya itu hukum seperti lidah yang bisu. Maka assyak itu yang menukarkan huruf dengan huruf yang lain seperti yang menukarkan (huruf) sin dengan (huruf) sa seperti katanya ‘al Mustakim’. Dan erti itu yang mengidghamkakan (memasukkan) huruf serta tukarkan dia seperti katanya al Mutaqim dengan ditukarkan ‘sin’ akan ‘ta’diidghamkan dia pada ‘ta’.
Dan pada tiap-tiap satu gigi setengah asyr (seperduapuluh) diyat iaitu lima unta pada satu gigi laki-laki yang merdeka yang Muslim dan jika dihilangkan sekelian gigi iaitu 32 gigi maka dengan hisabnya (160 ekor unta). Dan jika lebih daripada diyat sekalipun maka wajib pada sekelian gigi iaitu seratus enam puluh unta.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada memotongkan dua bibir mulut dan pada memotongkan salah satunya setengah diyat. (Dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan kalam (suara) sekeliannya dan pada menghilangkan setengahnya maka atas kadarnya daripada diyat dan segala huruf yang dihancirkan(dibahagikan) diyat atasnya itu dua puluh delapan huruf Arabiah maka jika loghatnya lain daripada loghat Arab dihancirkan dia atas segala huruf loghatnya dan jikalau banyak sekalipun.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan penglihatan dua mata dan jika dihilangkan penglihatan daripada satu mata padanya setengah diyat. (dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan pendengaran daripada dua telinga dan pada menghilangkan dia daripada satu telinga setengah diyat. (dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan pencium daripada dua lubang hidung dan pada menghilangkan dia daripada salah satunya setengah diyat. (dan disempurnakan) diyat nafas pada menghilangkan akal jika tiada diharapkan kembalinya diambilkan diyatnya pada ketika itu jua dan jika diharapkan kembalinya pada ahli hibarah pada masa yang didhankan bahawasanya hidup ia sampai kepada masa itu dinantikan dia. Maka jika kembali ia maka tiada dhamannya hingga jikalau sudah diambil akan diatnya kemudian maka kembali akalnya wajib dikembalikan diyatnya.
(Dan disempurnakan) diyat nafas pada zakar yang salim yakni yang sejahtera maka keluar dengan yang salim zakar yang lasa maka padanya hukumah seperti segala anggota yang lasa yang tiada manfaat padanya maka padanya hukumah. Dan zakar yang salim itu jikalau zakar kanak-kanak atau zakar orang tua atau zakar yang ain sekalipun. (Dan pada) memotongkan hasyafah (diatnya) seperti memotongkan zakar pada wajib diatnya maka pada memotong akan hasyafah diat yang sempurna dan wajib pada memotongkan setengah hasyafah kadarnya daripada (setengah) diyat.(Dan disempurnakan) diat nafas pada memotongkan dua biji zakar dan jikalau daripada yang ain dan yang terpotong zakarnya sekalipun dan pada memotongkan salah satunya (sebiji) setengah diat. (Dan pada mudhahah) daripada laki-laki yang merdeka yang Muslim lima unta.
(Dan pada) menghilangkan tiap-tiap anggota yang tiada manfaat padanya seperti tangan yang lasa dan zakar yang lasa dan seumpamanya itu hukumah maka hukumah itu satu juzuk daripada diat maka nisbah juzuk itu kepada diat nafas seperti nisbah kurang dengan jenayat daripada harga mujani alaihi (yang kena bunuh atau yang dicederakan) jika ada ia sahaya dengan segala sifatNya yang ada ia atasnya. Maka jika harga mujani alaihi dengan ketiadaan jenayah atas tangannya misalnya sepuluh dan dengan sebab jenayah jari sembilan maka kurangnya satu asyr maka wajib satu asyr diat nafas dan iaitu sepuluh unta jika mujani alahi itu laki-laki yang merdeka yang Muslim.
(Dan diyat) sahaya laki-laki dan perempuan yang maksum keduanya itu harganya dan jika lebih harga keduanya daripada diyat orang merdeka sekalipun. Dan keluar dengan yang maksum yang tiada maksum seperti yang murtad maka tiada dhaman padanya. (Dan jika) dipotong zakar sahaya dan dua bijinya wajib padanya dua harganya pada qaul yang izhar ialah yang muktamadnya kerana bahawasanya wajib pada keduanya itu pada orang yang merdeka itu dua diyat.
(Dan diyat) janin yang merdeka lagi Muslim dengan mengikut bagi salah seorang daripada dua ibu bapanya yang Muslim (jika ibu bapanya berlainan agama – janin itu mengikut salah seorang daripada mereka yang Muslim) satu (seorang) ghurrah sama ada janin itu laki-laki atau perempuan dan samada yang sudah sempurna segala anggotanya atau yang kurangnya dan jikalau daging sekalipun. Dan berkata ahli al habrah padanya (daging) rupa yang tersembunyi.(Dan wajib) ghurrah pada janin itu apabila bercerai (dilahirkan/keguguran) pada hal mati ia dengan sebab jenayah atas ibunya yang hidup yang memberi bekas jenayah itu padanya samada jenayah dengan perkataan seperti ia menakuti akan dia dengan perkataan yang membawa kepada gugur janin atau dengan perbuatan seperti dipukulkan ibunya atau diberi minum akan dia ubat yang menggugurkan janin atau ditegah akan dia daripada makan atau minum hingga keguguran ia atau puasa ibunya jikalau puasa Ramadhan sekalipun jika ia takut daripada puasa itu akan keguguran dan apabila puasa ibunya maka keguguran wajib ibunya mendhamankan (membayar) ghurrah atas aqilahnya dan tiada mempesakai ibu daripada janin itu kerana ia membunuh akan dia. Bahkan jika meminum akan ubat kerana dharurat dan menggugurkan janin maka tiada wajib ibu dhamankan dia seperti barang yang dikata oleh Zarkasyi.
(Bermula) ghurrah itu seorang (sahaya) lelaki atau perempuan diberi pilih antara keduanya bagi aqilah al jani maka jika ia memilih akan salah satu dijabarkan mustahak atas qabulnya (dipenuhi pilihan mereka) dan disyaratkan sahaya itu sejahtera daripada aib …… dan disyaratkan sampai harga (maksimum) ghurrah itu setengah asyr diat (5 unta). Maka jika tiada dapatkan ghurrah atau dapatkan dia lebih daripada harga misalnya wajib diberi gantinya iaitu lima unta pada janin yang merdeka lagi Muslim dan pada yang lainnya. Maka dengan nisbahnya maka jika tiada dapat lima unta wajib diberi harganya. Maka adalah ghurrah itu atau gantinya diberikan dia bagi segala warisatul janin.
(Dan wajib) ghurrah yang tersebut atas aqilah al jani dan jikalau jenayahnya dengan sengaja sekalipun. (Dan diyat) janin yang sahaya samada laki-laki atau perempuan satu asyr harga ibunya diberikan dia bagi penghulunya. (Dan wajib) pada janin Yahudi atau Nasrani ghurrah seperti satu salasa ghurrah janin yang Muslim iaitu satu unta. Dan dua salasa (dua pertiga) unta. dan (bagi) janin Majusi. Ghurrah seperti satu salasa khamsa ghurrah janin yang Muslim iaitu satu salasa (satu pertiga) unta adapun (bagi) janin kafir harbi dan janin yang murtad mengikut bagi dua ibu bapa keduanya maka hadir keduanya (hak yang sama iaitu satu pertiga unta).
Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 188-191 Cetakan 13 Oktober1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin IsmailDaud Fatani)
No comments:
Post a Comment