Wednesday, January 21, 2009

Gelombang kebangkitan rakyat dan skrip keramat BN di Kuala Terengganu

Ghazali Mayudin


Mon Jan 19, 09 5:42:58 pm MYT


Gelombang kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan dalam politik dan pemerintahan negara berlaku dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. BN buat pertama kali gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan tewas dalam empat negeri, di samping gagal merampas kembali Kelantan yang dikuasai PAS semenjak 1990.

Kebangkitan rakyat itu membawa kepada kewujudan Pakatan Rakyat iaitu gabungan PAS, KeADILan dan DAP yang berhasrat menjadi saingan sengit dan alternatif kepada BN. Kekalahan BN dalam dua pilihan raya kecil selepas Mac 2008 iaitu Permatang Pauh dan yang terbaru di Kuala Terengganu menunjukkan bahawa kebangkitan rakyat masih bergelora dan juga menggambarkan keyakinan bahawa mereka ada alternatif: sama ada memilih BN bermakna mengekalkan status quo atau memilih Pakatan Rakyat yang akan membawa perubahan.

Adanya alternatif yang diyakini dan serius ini adalah sesuatu yang baru dalam politik Malaysia selepas Mac 2008. Ini menjadikan politik Malaysia semakin menarik dan mencabar terutamanya kepada BN.

Keyakinan tentang adanya alternatif ini secara langsung memusnahkan momokan BN bahawa hanya parti itu sahaja yang boleh memerintah dan membawa Malaysia kearah kemajuan, sementara parti pembangkang hanya layak untuk terus menjadi parti pembangkang.

Kemenangan empat negeri di Pantai Barat membuktikan parti pembangkang, selain PAS, juga boleh memerintah, sekiranya diberi peluang.

Dalam konteks ini, pilihan raya kecil Kuala Trengganu bukanlah pilihan raya biasa, hanya tentang pertambahan atau pengurangan satu kerusi di Parlimen. Pilihan raya kecil ini boleh dijadikan ujian dan bukti sama ada momentum kesedaran dan kebangkitan rakyat yang menolak BN masih wujud atau tidak.

Oleh itu tidak hairanlah BN dan Pakatan Rakyat berhempas pulas memastikan calon yang diketengahkan menang dalam PRK ini. Kemenangan PAS di Kuala Trengganu membuktikan bahawa momentum kesedaran rakyat masih ada, dan ini bukanlah berita baik buat BN.
Momentum ke Sarawak

Dalam tempoh lebih kurang dua tahun lagi, rakyat Sarawak pula akan berpeluang untuk menentukan sama ada momentum itu terus meningkat atau telah mula menurun.

Sekiranya keputusan pilihan raya Dun Sarawak itu menunjukkan yang momentum itu masih wujud, maka isu yang dijangka akan mendasari pilihan raya umum ke-13 ialah parti manakah yang lebih layak memerintah Malaysia ? BN atau Pakatan Rakyat? Bagaimana pula respons Pakatan Rakyat dan BN terhadap kesedaran dan kebangkitan rakyat ini?

Pakatan Rakyat adalah antara pihak dan faktor yang memainkan peranan kepada timbulnya kesedaran di kalangan rakyat untuk berubah dan tentunya akan berusaha agar momentum itu akan berterusan dan lebih baik lagi kalau berlaku peningkatan. BN pula mungkin menerima hakikat kebangkitan rakyat itu, tetapi sehingga kini gagal untuk menangani dengan berkesan gelombang tersebut sebagaimana yang digambarkan oleh strategi dan tindakan BN dalam PRK Kuala Terengganu.

Dalam keadaan rakyat cukup bosan dengan sikap sebahagian pemimpin BN yang ego, berlagak serba tahu dan memandang rendah kebijaksanaan rakyat, BN pula meletakkan calon yang ada reputasi sebagai kurang mesra.

Poster, risalah dan ceramah digunakan untuk mewarwarkan calon BN tidak sombong, tetapi mesra rakyat.

Strategi dan tindakan BN untuk memenangi hati pengundi di Kuala Terengganu juga menampakkan yang parti itu seakan terperangkap dalam penjara yang dibinanya sendiri. Setelah memenangi puluhan pilihan raya, umum atau kecil, dengan skrip yang sama semenjak merdeka, maka skrip lama ini juga yang digunakan dalam pilihan raya abad ke-21 ini.

Isu pembangunan, penggunaan jentera kerajaan, ugutan terhadap rakyat dan kakitangan kerajaan, peruntukan segera untuk masjid, kuil, tokong, sekolah (dan lain-lain lagi), juga liputan media cetak dan elektronik yang berlebihan termasuklah berita ahli parti pembangkang yang melompat masuk BN adalah antara kandungan skrip yang telah membawa kemenangan kepada BN dalam banyak pilihan raya sebelum ini.

Oleh itu apabila ada pilihan raya, umum atau kecil, skrip keramat ini akan dikeluarkan dan digunakan dengan patuh. Itemnya sama, yang berbeza cuma kadar atau jumlahnya. Sekiranya perlu, ugutan diperkuatkan, jumlah peruntukan ditambah, penggunaan media dipertingkatkan, lebih lama dan lebih luas.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu menunjukkan yang gelombang kebangkitan rakyat masih bergelora dan BN gagal meredakan gelora itu dengan menggunakan skrip lama dalam setiap pilihan raya.

Soalnya, mampukah dan bolehkah BN mempunyai skrip baru? Kemungkinannya kecil selagi BN terbelenggu dan terpenjara dengan kaedah, taktik dan teknik lama yang telah membawa kemenangan dan keagungan parti itu dalam abad ke-20.
----
Ghazali ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments: