Wednesday, June 4, 2008

Ucapan Tuan Nasharudin Mat.Isa [Bachok]

Dewan Rakyat : 7 Mei 2008)

USUL JUNJUNG KASIH TITAH DIRAJA
Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Bismillahhirahmanirrahim. Assalamualaikum wbt. Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya rakamkan ucapan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan ucapan balas dalam Dewan Parlimen yang mulia ini merangkap menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena perasmian pembukaan persidangan Parlimen kali ini.

Sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan Parlimen Bachok, Kelantan dan juga sebagai salah seorang daripada barisan kepimpinan Parti Islam se-Malaysia (PAS), saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT serta sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong di atas kesudian Baginda mencemar duli menyampaikan titah ucapan yang amat jelas memperlihatkan keprihatinan Baginda melihat pembangunan negara dan kemajuan rakyat. Ke Bawah Duli Tuanku juga berkenan melihat bagaimana Ahli-ahli Dewan yang mulia ini akan dapat memainkan peranan ke arah membina sebuah negara Malaysia yang mapan, maju dan setaraf dengan negara maju yang lain setelah 50 tahun kita mencapai kemerdekaan.

Maka di atas nada keprihatinan yang sedemikianlah kita sebagai wakil rakyat yang sudah seminggu bersidang ini akan membentangkan di dalam Dewan ini dalam tempoh tahun-tahun yang akan mendatang ini pemerhatian kita terhadap pelbagai isu sosial, ekonomi, politik, kebudayaan yang akan melibatkan seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama kerana kita semua digelar dengan gelaran Wakil Rakyat yang tidak mewakili mana-mana kaum tertentu sahaja.

Tuan Yang di-Pertua, amat wajar bagi PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat untuk merakamkan dalam Dewan ini ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga dan sebesar-besar tahniah kepada pengundi-pengundi yang telah memberikan undi dan mandat kepada parti-parti pembangkang sehingga keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu telah mencatat sejarah melepasi keputusan paling teruk buat Perikatan dan Barisan Nasional dalam kedua-dua pilihan raya 1999 dan 1969. Seperti 1969, kali ini juga Barisan Nasional telah kehilangan majoriti 2/3 nya di Parlimen dan seperti 1969 yang menyaksikan undi popularnya merosot ke paras 46.29%...

Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman [Lipis]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bachok. Jadi saya nak mohon penjelasan di sini. Adakah Pakatan Rakyat ini sebuah parti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebab saya tak pernah dengar pun ada Pakatan Rakyat ni. Saya nak pastikan sama ada Yang Berhormat mewakili parti PAS atau parti yang lain-lain. Mohon penjelasan.

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih pada Yang Berhormat Lipis. Walaupun tidak berdaftar menghadapi pilihan raya tetapi kami dapat mengisi hampir separuh daripada Dewan yang mulia ini Yang Berhormat. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua, Barisan Nasional juga gagal mencapai undi popular 50% dan secara tepatnya hanya mampu menyelamatkan 48.71% undi popularnya termasuk undi rosak di Semenanjung Malaysia. Kalau pada tahun 1969 menyaksikan Perikatan kehilangan dua buah negeri iaitu Pulau Pinang dan Kelantan, kini Barisan Nasional kehilangan lima buah negeri. Sesungguhnya rakyat kota juga menolak Barisan Nasional dengan hanya meninggalkan kerusi tunggal untuk Menteri Wilayah Persekutuan supaya tidak diangkat seorang Senator yang bukan pilihan rakyat, sementara menyapu bersih 10 kerusi yang lain. Tentunya lebih mengaibkan kalau Negeri Sembilan juga turut jatuh ke tangan pembangkang kerana Pakatan Rakyat hanya dipisahkan oleh empat kerusi lagi daripada pusat pentadbiran negeri itu.

Tuan Yang di-Pertua, mengimbau kembali detik-detik yang masih terngiang-ngiang di deria telinga umum sehingga lafaz pembangkang sifar amat menjadi kegemaran beberapa pemimpin tertinggi UMNO dan menteri besarnya dan lagak tidak perlukan pembangkang di Parlimen ini tentunya kini menghantui kepimpinan negara ini. Kini segala keangkuhan dan kesombongan pimpinan tertinggi negara telah dirawat secara surgical, dengan izin, dan dilunaskan secara tunai oleh rakyat sendiri dalam Pilihan Raya Umum Kedua belas yang baru-baru ini.

Rakyat yang ditanggapi mereka boleh sahaja diperkuda dan digula-gula untuk kesekian kalinya dan sekian lamanya dengan pelbagai imbuhan dan projek-projek ‘mi segera’ sudah tidak lagi mampu diperlakukan dan dibelenggu terus-terusan. Gegaran awal di kota Kuala Lumpur tahun lalu ditanggapi hanya sebagai cetusan segelintir kelompok manusia pembangkang yang berdemonstrasi kerana kecewa tidak mendapat sokongan rakyat. Tarikh keramat 26 September 2007 menyaksikan 2000 peguam berarak di Putrajaya atas nama “Walk For Justice” dengan izin, yang diikuti oleh 100,000 perhimpunan “Aman Bersih” dan akhirnya pada 25 November, perhimpunan Hindraf. Keseluruhannya diimbau kembali kini sebagai gejala atau simptom utama kereputan Kerajaan Barisan Nasional.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih, Yang Berhormat Bachok dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Menyentuh tentang kekalahan di lima buah negeri, baru minggu lepas saya balik ke tempat saya dan saya dapati diskriminasi politik ini masih lagi berterusan walaupun disebut oleh Yang Berhormat Muar tadi kita perlu belajar daripada sejarah. Saya rasa kalaulah diskriminasi ini, misalnya rumah orang PAS tidak dibuat ataupun dimasukkan kemudahan asas tetapi di rumah orang UMNO sampai ke tangga dimasukkan jalan-jalan tar oleh Kementerian Luar Bandar. Saya rasa mungkin dalam pilihan raya umum yang ketiga belas lebih banyak lagi negeri-negeri yang mungkin akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Apa pandangan Yang Berhormat?

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih rakan saya Yang Berhormat Pendang. Sudah tentulah kalau performance ataupun sikap angkuh dan bongkak yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional berterusan lagi selepas daripada Pilihan Raya Kedua Belas kali ini, maka tidak pelik pilihan raya ketiga belas nanti bukan sahaja lima, insya-Allah akan beralih kerusi yang kita duduk sekarang di sini ke sebelah sana, insya-Allah.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Yang Berhormat Bachok dan juga Tuan Yang di-Pertua. Saya pada mulanya menghormati bila Yang Berhormat Bachok memulakan ucapan, begitu menarik sekali, profesional dan intelligent, tetapi kemudian tidak sempat berapa minit pun selepas itu sudah menunjukkan sikap buruk. Apa yang saya katakan buruk? Menunjukkan keangkuhan. Baru menang beberapa hari sudah menunjukkan keangkuhan! Macam mana ini? Ini bukan sifat Islam. Muslim tidak bercakap macam ini, dia merendah diri di atas kemenangan, kejayaan, dan kegagalan. Ujian Allah Subhanahuwataala hari ini kita menang, esok belum tentu kita menang lagi. Dulu pun di Kelantan PAS tinggal satu kerusi! Pilihan raya ketiga belas belum tahu lagi berapa pula hendak tinggalnya. Jadi, jangan kita angkuh dan jangan takbur. Sikap tawaduk itu - saya tengok Yang Berhormat ini orang terpelajar. Maintain, maintain, please. [Ketawa]

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih, Yang Berhormat Pasir Salak. Persoalan saya, adakah profesional itu diukur hanya apabila menyokong kerajaan? Adakah profesional itu apabila kita tidak menyebut benda yang benar? Apa yang saya sebutkan di sini adalah fakta. Apa yang saya sebutkan adalah sejarah singkat yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Umum Kedua Belas.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Bachok, adakah Yang Berhormat Pasir Salak bercakap daripada pengalaman dia sendiri setelah begitu lama memegang kerajaan dengan mempunyai dua pertiga majoriti. Apakah pandangan Yang Berhormat Bachok ucapan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Pasir Salak itu menggambarkan satu pengajaran yang telah dipelajari dengan begitu pahitnya bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional? Kedua, berhubung dengan perhimpunan-perhimpunan aman yang telah disebutkan tadi ada hubung kait juga dengan persoalan hak asasi manusia dan sifat serta semangat demokrasi yang dipertahankan oleh kerajaan. Apakah perhimpunan-perhimpunan yang sebesar ini dapat dilakukan dengan secara aman dan terkawal; dan apakah yang perlu dilakukan untuk menjamin bahawa ia akan berlalu dengan baik dan secara aman. Terima kasih.

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih, Yang Berhormat Shah Alam. Tuan Yang di-Pertua, minggu lepas saya menghadiri satu forum yang dianjurkan oleh Alumni LSE - London School of Economy. Saya dijemput sebagai panel bersama dengan wakil di sini dan juga seorang pemimpin daripada Barisan Nasional, UMNO. Menarik untuk saya ungkap apa yang disebut oleh pemimpin Barisan Nasional ataupun UMNO secara spesifiknya di dalam forum itu, beliau menyebut bahawa keputusan dalam Pilihan Raya Umum Kedua Belas yang lepas ada empat sebab kenapa performance Barisan Nasional secara spesifiknya UMNO begitu keadaannya.

Pertama, ungkap beliau adalah kerana UMNO tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina. Kedua kerana tidak mendapat sokongan daripada masyarakat India dan sebab ketiga adalah kerana cyber war yang berlaku sebelum daripada pilihan raya. Namun saya tertarik menjawab apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Pasir Salak tadi disebut sendiri oleh pemimpin kanan UMNO ini sebab kekalahan Barisan Nasional terutamanya UMNO pada Pilihan Raya Umum Kedua Belas baru-baru ini adalah kerana angkuh dan sombongnya sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO Barisan Nasional. [Tepuk] Jadi, apa yang saya sebutkan tadi sejarah, fakta dan kemudiannya...

Apa yang saya sebutkan tadi apabila rakyat melihat keangkuhan dan kesombongan yang berlaku kepada barisan kepimpinan parti di sebelah sana mengakibatkan rakyat pergi ke medan dalam perhimpunan-perhimpunan seperti mana yang telah saya sebutkan. Perhimpunan-perhimpunan besar yang kita adakan ini, Tuan Yang di-Pertua dan juga untuk makluman Dewan tidak berakhir dengan keganasan, tidak berakhir dengan tindakan-tindakan kasar melainkan kalau sekiranya berlaku provokasi daripada pihak-pihak tertentu.

Kemarahan rakyat ini bukan sahaja datang daripada rakyat biasa, saya menerima beberapa cadangan dan permasalahan yang dibawa kepada kita untuk dibawa kepada pengetahuan Dewan. Kemarahan yang datang daripada rakyat ini termasuk daripada golongan profesional. Contohnya satu maklumat yang sampai kepada saya daripada Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Malaysia yang telah beberapa kali melahirkan rasa marah dan tidak puas hati berikutan dengan tindakan Menteri Pelajaran, JPA dan setiausaha kementerian membawa masuk PTD. Saya bukan anti PTD, tetapi isu yang dibangkitkan oleh puluhan ribu guru-guru di sekolah ini yang kita minta supaya kerajaan memberikan respons dalam jawapannya nanti. Sebagaimana yang kita sedia...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih, Yang Berhormat Bachok. Yang Berhormat begitu bangga dengan wujudnya PR ataupun Pakatan Rakyat yang diwujudkan selepas sahaja pilihan raya. Saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Bachok, adakah PAS mampu sebagai contohnya menasihati rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat terutama DAP yang sering membangkitkan soal-soal mengenai dengan kontrak sosial. Kontrak sosial adalah penting kerana ia telah mentakrif bentuk negara kita ini yang berasaskan kepada Malay polity dengan izin, menjadi sebuah negara yang berbilang kaum tetapi masih meletakkan Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasinya dan sosial kontrak ini walaupun tidak disebut di dalam Perlembagaan, tetapi dia real kerana dia melibatkan soal mampu membantu kita membentuk Perlembagaan dan mampu membentuk masyarakat berbilang kaum, sistem pemerintahan dan sebagainya.

Apabila telah berlaku soal-soal seperti yang kita bahaskan pagi tadi, apakah Yang Berhormat fikir kontrak sosial ini perlu dipertahankan, perlu difahami oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat supaya tidak timbul masalah-masalah yang kita hadapi seperti pagi tadi, untuk kita mewujudkan sebuah negara yang berbilang kaum. Soal menang dan sebagainya yang Yang Berhormat sebut tidak mengapalah. Kita pun menerima apa yang berlaku tetapi kita yakin seperti mana yang berlaku tahun 1969, kita akan dapat pulih dan kembali berkuasa dengan dua pertiga majoriti, tetapi tolong beritahu rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, jangan mempersoalkan tentang sosial kontrak yang telah mentakrif bentuk negara kita ini.

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Kalau difikirkan dari segi umur Pakatan Rakyat itu baru dua bulan selepas daripada pilihan raya seperti mana yang kita sedia maklum, tetapi dalam tempoh dua bulan inilah, walaupun berbeza ideologi, berbeza dari segi pendekatan, kita telah berjaya mewujudkan keseragaman, kesepakatan dalam menyelesaikan banyak hal-hal yang berkaitan dengan rakyat. Contohnya, di negeri Perak walaupun tiga parti menang seperti mana disebutkan tadi, berbeza ideologi, berbeza pandangan dan pendapat, tetapi negeri kami lebih jauh, lebih dahulu membentuk kerajaan daripada Terengganu dan beberapa negeri yang lain. Ini hasil berlaku daripada persepakatan yang timbul daripada kesedaran untuk membela hak-hak rakyat dan dalam hal yang berkaitan dengan nasihat-menasihati ini sudah tentulah program nasihat-menasihati ini akan kita teruskan dan seperti mana kita sebutkan tadi, dalam beberapa bulan lagi...dalam hal-hal berkaitan dengan sosial kontrak, dengan apa sahaja akan kita buat.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Bachok. Adakah Yang Berhormat Bachok bersetuju bahawa bila kita katakan Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti, bukan bermakna apabila kita berkawan dengan DAP, kita korbankan kesemua contract social? Itu pertama. Kalaupun di sana-sini ada beberapa kenyataan yang boleh diberikan gambaran dan konotasi yang membawa seolah-olah tidak menghormati institusi Raja, fakta di hadapan kita ialah saya teringat, ketika menemani sahabat saya Yang Berhormat Batu Pahat dalam membuat kajian mengumpul maklumat untuk tesis Ph.D di Kelantan tahun 1993. Kita berkumpul di waktu itu dalam Majlis Pertabalan Raja di padang Sekolah Kebangsaan Ketereh yang dilakukan oleh pemimpin UMNO di Kelantan. Itu fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan dan tidak boleh dipadam. Yang Berhormat Batu Pahat dia mengumpul data untuk kajian Ph.Dnya dan saya teman beliaulah sebab saya pergi pun sebagai pelajar. Di padang Sekolah Kebangsaan Ketereh itu, diadakan satu Upacara Pertabalan Raja selain daripada Raja yang sudah pun sedia ada dan dihormati mengikut undang-undang di negeri Kelantan waktu itu. Itu fakta yang tidak boleh kita padam berbanding dengan hal yang dibangkitkan oleh BBC sepanjang pagi ini. Terima kasih.

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Maksud Yang Berhormat, UMNO lantik Raja baru? [Disampuk] Oh, begitu.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Saya juga ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Bachok di atas satu peristiwa yang berlaku. Saya ingat sampai kini kita tidak tahu lagilah apakah kesudahannya bagaimana satu demonstrasi diadakan baru-baru ini di negeri Terengganu, di mana di situ ada konsep Islam Hadhari telah diterapkan beberapa tahun dikatakan. Bagaimana dalam salah satu demonstrasi itu dibawa satu sepanduk yang ditunjukkan oleh TV sendiri dan tajuk sepanduk itu bertulis ‘Kami hendak Idris natang’. Jadi, adakah setakat ini ada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa terhadap sepanduk ini dan apakah pandangan Yang Berhormat Bachok tentang tindakan daripada kumpulan-kumpulan mereka yang berdemonstrasi. Kemudian yang keduanya juga, tentang 22 orang ADUN yang membantah Upacara Angkat Sumpah Menteri Besar Terengganu yang sekarang telah pun menjadi Menteri Besar. Minta penjelasan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat, saya minta sedikit penjelasan. Apa yang berlaku...Di Kelantan itu telah dibuat oleh Yang Berhormat Pasir Mas.Yang Berhormat bertanding calon bebas guna lambang parti PAS.

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Saya tidak bagi laluan kepada Yang Berhormat Batu Pahat. Hendak menjawab, memberikan respons kepada Yang Berhormat Titiwangsa. Telah pun saya sebutkan tadi, keangkuhan, rasa bongkak, rasa sombong pemimpin-pemimpin sebelum daripada pilihan raya ke-12 itu telah pun diperakui oleh pemimpin UMNO sendiri. Jadi, seperti mana saya bersetuju amat sangat dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Muar tadi, ini masanya sekarang untuk kita semenjak pilihan raya memberikan perkhidmatan kita semaksimum yang mungkin, sebaik yang mungkin bagi memastikan peranan kita sebagai wakil rakyat itu akan benar-benar dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan sahabat saya Yang Berhormat daripada Bachok. Saya ingin menyambung sedikit apa yang Batu Pahat sebutkan tentang social contract, tentang asas-asas pembinaan negara ini dan sehingga Parlimen ini berdiri pada hari ini. Perkara 152 tentang bahasa Melayu, 153 tentang biasiswa hak-hak The Malay Rights yang PAS tidak pernah terkecuali daripada mempertahankan hak-hak ini, tetapi siapakah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan bangsa Melayu? [Tepuk] Yang menukar pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris yang menafikan pandangan-pandangan daripada UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia, pejuang-pejuang bahasa. Siapakah pada hari ini yang tidak memberikan biasiswa kepada anak-anak bumiputera? Janji Pakatan Rakyat, hari ini kami perintah, esok biasiswa kita kembalikan dan semua kaum mendapat pendidikan percuma dalam negara kita. [Tepuk] Ini penegasan social contract kita. Apa pandangan Yang Berhormat?

Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Yang Berhormat Kubang Kerian ambil point saya di dalam yang hendak saya sebutkan. Tuan Yang di-Pertua, selepas 50 tahun kita merdeka negara ini belum pernah diperintah oleh PAS. Negara ini belum pernah diperintah oleh DAP. Negara ini belum pernah diperintah oleh PKR. Sepanjang tahun selepas kita merdeka, negara ini hanya diperintah oleh UMNO yang mengetuai dan menjadi tunjang kepada Perikatan dan Barisan Nasional. Sepanjang pemerintahan itulah, berlakunya penodaan kepada hal-hal yang berkaitan dengan bangsa Melayu itu sendiri. Contohnya bahasa seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Kubang Kerian, isu biasiswa, bahasa Melayu, agama Islam dan sebagainya. Sepanjang tempoh UMNO berpuluh tahun yang negara...

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih kakanda Yang Berhormat daripada Bachok. Saya rasa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Pahat tadi adalah satu perkara yang penting lebih-lebih lagi memandangkan bahawa kenyataan beberapa pemimpin daripada Pakatan - Public Relation ini telah menyatakan bahawa sebelum tanggal 16 September pada tahun ini, Public Relation ini akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Minta maaf Pakatan Rakyat ini akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Jadi kita hendak tahu dari segi persetujuan perkara-perkara asas ini, saya minta Yang Berhormat daripada Bachok jangan cari kelemahan ataupun tuduhan orang lain dan tidak menjawab soalan yang asas. Soalan yang asas itu, saya bagi contoh kepada Yang Berhormat daripada Bachok.

Semalam saya baca kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat daripada Ipoh Timur yang menyatakan bahawa kita perlu mengkaji semula contract social dan dengan izin, “There should be no more distinction between bumiputeras and non-bumiputeras”. Tidak ada lagi perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera dan DAP menentang konsep negara Islam dengan izin, “Because it goes against the structure of our plural society”, menentang masyarakat plural yang ada di Malaysia ini. Jadi kita hendak tahu jawapan yang jelas. Jadi jangan kita sweep under the carpet, jawapan yang jelas daripada Parti PAS hari ini sama ada Yang Berhormat setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat dari Ipoh Timur kerana ini adalah perjanjian ataupun persetujuan asas kepada Pakatan Public Relation ini. Terima kasih.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Tuan Yang di-Pertua, meskipun kemenangan luar jangka diperolehi oleh parti-parti pembangkang, namun wajar diperhatikan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu tetap disifatkan oleh pelbagai pihak sama ada parti politik, golongan akademik dan sebagainya sebagai masih jauh daripada kehendak pilihan raya yang adil, telus dan bersih. Kemenangan pihak pembangkang tidak dapat menolak akan hakikat berlaku pelbagai salah laku yang tentunya telah meletakkan kedudukan pembangkang dalam keadaan disadvantage atau terhalang daripada mengecapi sokongan sebenarnya. Andainya pilihan raya benar-benar bersih dan adil maka pasti Pakatan Rakyat akan memerintah Kerajaan Pusat hari ini.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Kalau Yang Berhormat Speaker bagi saya tambahan dua jam lagi, akan saya jawab semua soalan yang disebut oleh Rembau tadi.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Mohon jawab sekarang. Soalannya mudah sahaja, Yang Berhormat Bachok. Pasal apa bagi Gombak? Tak reti nak jawab ke?

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Bachok dan juga Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Bachok, apakah kita sedar semenjak kebelakangan ini pemimpin elit UMNO sering kali melaungkan soal ketuanan Melayu. Hari ini kita mendengar beberapa suara daripada pemimpin elit UMNO yang menyinggung satu pakatan yang cukup kuat dan kukuh iaitu Pakatan Rakyat. Seolah-olah kita ini mengorbankan kepentingan Melayu. Seolah-olah kita ini mengorbankan kepentingan umat Islam. Saya ingin bertanya kepada Bachok dan mungkin minta sedikit penjelasan. Mengapa agaknya hanya hari ini kedengaran suara-suara ketuanan Melayu, sedangkan sebelum 8 Mac yang dibicarakan hanya “ketuanan menantu”. [Tepuk]

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Saya pohon Tuan Yang di- Pertua bagi masa sampai Yang Berhormat Bachok jawab soalan saya tadi secara jelas. [Disampuk]

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Saya ingin membuat penjelasan di sini apa yang telah dibangkitkan tadi terkandung dalam senarai saya ini. Jadi bagi saya sebut apa yang hendak saya sebutkan mengikut aturan apa yang hendak saya sampaikan dan akan sampai jawapannya nanti kepada Rembau dan rakan-rakan. [Disampuk]

Tuan Yang di-Pertua, menjawab apa yang disebut atau apa yang dibangkit oleh Gombak, saya pun merasa hairan, selepas sahaja 8 Mac tiba-tiba sahaja agenda Melayu menjadi besar. Tiba-tiba sahaja agenda yang berkaitan dengan Islam dan agama Islam menjadi besar. Dulu sebelum pilihan raya, demonstrasi dianggap sebagai sesuatu yang keji, sebagai sesuatu yang melanggar undang-undang. Selepas daripada pilihan raya, kita lihat ramai daripada puak UMNO sendiri yang melakukan demonstrasi ke arah itu.

Tuan Yang di-Pertua, turut merosakkan amalan demokrasi dalam negara kita ini adalah kongkongan media yang keterlaluan sehingga serangan ataupun media blitz, dengan izin, pada waktu 13 hari berkempen itu bukan sahaja dibenci oleh pihak pembangkang, bahkan penyelidikan pelbagai pihak membuktikan bahawa media overkill itu dibenci dan dikutuk oleh pihak sivil, pihak ahli akademi dan penganalisis politik. Ia jauh daripada memberikan padang yang sama rata dan capaian media yang munasabah seperti yang dijanjikan oleh pihak SPR kepada pembangkang dan gabungan BERSIH.

Maklumat adalah kritikal dan memperkasa rakyat membuat pilihan, bahkan sesungguhnya demokrasi itu amat berhajatkan kepada pengundi membuat pilihan berdasarkan maklumat dan pengetahuan atau voters making informed decision, dengan izin. Maka apabila pemilik media yang bersekongkol dengan pihak kerajaan untuk melakukan program raksasa memperbodohkan rakyat dalam apa yang dikatakan sebagai propaganda politik semata-mata kepada segala agenda...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat Bachok telah habis.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Sudah dijanjikan kepada kami untuk tempoh waktu membolehkan kita membawa isu-isu yang berkaitan dengan rakyat yang telah pun kita persetujui dengan Tuan Yang di-Pertua supaya ketua-ketua parti diberikan tempoh yang munasabah untuk kita menyampaikan maklumat... [Tepuk] .tetapi kita disekat sekali lagi maklumat. Hatta di dalam Dewan, janji daripada Yang Berhormat Tuan Speaker kepada kami untuk membolehkan saya sebagai wakil ketua parti, sebagai sifat ketua parti untuk memberikan maklumat-maklumat ataupun pendedahan-pendedahan sewajarnya dalam Dewan ini, tetapi...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Saya minta Yang Berhormat tamatkan. Saya sudah bagi lebih dua minit. Tadi saya sudah bagi amaran daripada awal lagi, kalau hendak beri peluang dan ruang dengan kawan bertanya, mencelah, Yang Berhormat terpaksalah memberi masa-masa itu dalam masa Yang Berhormat berucap. Jadi oleh kerana masa lebih tiga minit, Yang Berhormat...

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Satu minit untuk menggulung sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Satu minit? Saya bagi satu minit untuk menggulung.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Duduk, gulung sahaja parti itu.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: ...saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan betapa ketidakadilan dalam kita memperjuangkan hal-hal berkaitan dengan rakyat ini bukan sahaja sekatan terhadap pembangkang, nampaknya di dalam ini juga, di dalam Dewan yang penuh dengan kemuliaan ini juga [Disampuk] diberikan ruang yang amat terbatas untuk membawa isu-isu rakyat. Bukan ada isu individu, bukan ada isu parti, bukan ada isu politik sempit kampung ala UMNO Barisan Nasional yang hendak kita bawa dalam Dewan ini tetapi isu yang berkaitan dengan rakyat. Namun, saya mengambil kesempatan ini untuk melahirkan kekesalan terhadap apa yang berlaku pada tengah hari ini dan mudah-mudahan ini tidak akan menjadi satu amalan dalam Dewan ini menyekat suara-suara daripada pihak sebelah sini untuk mewakili rakyat dalam memperjuangkan isu-isu mereka. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua.

No comments: