Monday, June 30, 2008

Indeks Rasuah Malaysia

DEWAN RAKYAT
Khamis, 8 Mei 2008

2. Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja] minta Perdana Menteri menyatakan bilangan pegawai dan nama jabatan masing-masing yang dikenakan tuduhan rasuah sepanjang tahun 2003 hingga 2007 dan nyatakan kategori rasuah yang dilakukan oleh mereka. Apakah strategi mutakhir bagi mencegah amalan rasuah di kalangan pegawai kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, dari tahun 2003 sehingga 2007, Badan Pencegah Rasuah telah membuat sebanyak 544 pendakwaan ke atas pegawai dan kakitangan kerajaan atas pelbagai kesalahan. Perincian perangkaan mengikut jabatan adalah seperti berikut:

Nama Agensi Bilangan Pendakwaan

Polis Diraja Malaysia 217
Jabatan Pelajaran 59
Pihak Berkuasa Tempatan 28
Jabatan Kebajikan Masyarakat 19
Jabatan dan Majlis Agama Islam 14
Jabatan Kerja Raya 12
Jabatan Pengangkutan Jalan 13
Angkatan Tentera Malaysia dan
Kementerian Pertahanan 12
Pejabat Tanah Daerah 11
Jabatan Kastam Diraja Malaysia 11
Lain-lain Jabatan 148
Jumlah Besar 544

Dari segi kategori rasuah yang dilakukan, ianya adalah seperti berikut:

(i) di bawah seksyen 10(A) dan seksyen 11(A) Akta Pencegah Rasuah 1997 iaitu kesalahan menerima dan mendapat rasuah ini sebanyak 329 kes;

(ii) di bawah seksyen 10(B) dan 11(B), Akta Pencegah Rasuah 1997 iaitu kesalahan memberi dan menawarkan rasuah seramai empat orang;

(iii) di bawah seksyen 11(C) Akta Pencegah Rasuah 1997 iaitu kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu adalah sebanyak 103 kes;

(iv) di bawah seksyen 15 akta yang sama, kesalahan menyalahgunakan kedudukan itu ada 40 kes;

(v) di bawah Anti Money Laundering Act ataupun AMLA, 1 kes; dan

(vi) di bawah Kanun Keseksaan dan lain-lain perundangan, ada 67 kes dan jumlah besarnya ialah 544 kes.

Bagi meningkatkan usaha pencegahan rasuah di sektor awam, BPR akan berusaha mengubah kaedah daripada penguatkuasaan dan tindakan punitif kepada menggalakkan jabatan atau agensi kerajaan supaya tampil bekerjasama dengan BPR dalam pelbagai aspek pelaksanaan Program Pencegahan Jenayah Rasuah, Penyelewengan dan Salah Guna Kuasa dengan penekanan kepada aspek kawalan dalaman atau internal control, dengan izin. Ini akan dilaksanakan melalui pembentukan Jawatankuasa Bersama Mencegah Rasuah ataupun singkatannya JBMR yang merupakan kesinambungan ke atas usaha-usaha yang dilaksanakan melalui mekanisme Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) sedia ada. Berbanding dengan JKP yang hubungannya secara langsung dengan kementerian dan kerajaan negeri, JBMR pula melibatkan hubungan secara langsung dengan agensi-agensi yang kritikal dan berisiko tinggi, dengan memberi fokus ke atas jabatan-jabatan yang kritikal. Ia akan memberi kesan yang lebih besar ke atas keberkesanan pencegahan rasuah dalam negara ini.

BPR juga akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Audit Negara dalam mengambil tindakan awal bagi menangani kepincangan dalam jabatan-jabatan kerajaan di mana unsur-unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan boleh berlaku. Selain itu, BPR akan memberi tumpuan terhadap kes-kes bercorak intelligent based investigation, dengan izin, terutamanya yang melibatkan rasuah bersindiket. Ianya melibatkan penggunaan kaedah-kaedah perisikan dalam kes-kes rasuah, bagi melancar dan meningkatkan keupayaan siasatan terhadap jabatan-jabatan kerajaan.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Yang Berhormat Padang Rengas. Baru-baru ini Perdana Menteri telah mengumumkan akan membentuk MCAC ataupun Malaysian Commission on Anti Corruption. Persoalan saya adakah dengan pembentukan MCAC ini kerajaan juga bercadang untuk menggubal undang-undang yang membebaskan maklumat iaitu Freedom Information Act dan juga undang-undang untuk melindungi whistle blowers, dengan izin.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, adalah betul sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Kota Raja iaitu pada 15 April yang lepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun membuat pengumuman akan menubuhkan MCAC. Dalam hal ini kita tidak bercadang untuk meminda mana-mana akta yang dikatakan oleh Yang Berhormat sebentar tadi kerana dalam Akta OSA itu sebenarnya ia boleh menjadi rahsia tetapi Jemaah Menteri boleh bersidang dan membuat keputusan jika perlu sesuatu perkara itu hendak dilepaskan daripada OSA pada bila-bila masa kita boleh lakukan perkara itu.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Pertanyaan tambahan saya ialah selain daripada pendekatan, penyiasatan dan juga aduan yang dilakukan untuk melihat gejala rasuah di kalangan pegawai-pegawai ini, apakah BPR tidak mahu menggunakan pendekatan mereka sendiri melihat lifestyle pegawai-pegawai ini terutama yang junior, duduk rumah banglo, kereta banyak dan sebagainya. Sepatutnya ini juga menjadi satu pendekatan untuk melihat sama ada dia melakukan rasuah ketika mendapat sumber sehingga mampu hidup dalam lifestyle yang sebegitu mewah. Terima kasih.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, di bawah Akta Pencegah Rasuah 1997, BPR diberi kuasa untuk menghantar surat bukan tunjuk sebab tetapi pertanyaan bagaimanakah kamu boleh hidup lebih daripada apa yang dianggap sebagai gaji dan pendapatan kita. Itu memang ada dalam Akta Pencegahan Rasuah. Saya percaya oleh kerana seksyen itu wujud bermakna bahawa BPR memang ada pemantauan terhadap mereka yang hidup mewah lebih daripada pendapatan mereka.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Adakah Yang Berhormat Menteri bersetuju bahawa strategi mutakhir untuk membanteras rasuah ialah bahawa kerajaan ada menunjukkan political will dan memberi keutamaan tertinggi untuk membanteras rasuah. Hari ini saya merasa terperanjat kenapa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada di sini dan kita mengalu-alukan tidak menjawab soalan ini yang tidak memberi satu mesej dia ada memberi top priority dalam perkara ini. Itu political commitment dan adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa sampai sekarang kita tidak lihat political will dan top most commitment ini memandangkan bahawa 18 ekor ikan yu yang dikatakan patut ditangkap pada tahun 2004 masih bebas. Ikan bilis semua ditangkap tetapi ikan yu belum ditangkap. Kedua, sampai sekarang sungguhpun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada satu, dua kali apabila memerintah kerajaan ini ada menyebut mengenai zero tolerance for corruption tetapi sampai sekarang nampaknya sudah ditinggalkan. Adakah ini perlu kita menunjukkan top most priority dengan satu National Integrity Plan yang sudah gagal dalam lima tahun ini yang target sasarannya ialah bahawa dalam tahun 2008 Transparency International Corruption Perceptions Index sekurang-kurangnya tempat ke-30 tetapi sekarang 43. Adakah ini akan diadakan satu target yang baru sekurang-kurangnya lebih kurang daripada 20 yang menunjukkan kita ada komitmen, kita ada top most priority.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, budaya dalam Barisan Nasional ini, apabila Perdana Menteri melantik seorang menteri dia bukan hanya melakukan pelantikan tetapi dia juga memberi kepercayaan kepada Menteri berkenaan untuk menjawab. [Tepuk] Saya rasa mungkin Yang Berhormat budaya DAP lain. Walaupun tidak lagi menjadi setiausaha, anak di sebelah tetapi mahu duduk di depan kerana tidak percaya.

Tuan Yang di-Pertua, mencegah rasuah ini sebenarnya ia wujud dalam manifesto pilihan raya Barisan Nasional pada tahun 2004 lagi. Pada ketika itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengetuai Barisan Nasional dalam pilihan raya. Oleh kerana itu merupakan manifesto kita pada tahun 2004, maka sudah tentu dalam suatu perkara yang begitu besar untuk dilaksanakan bagi kita melawan rasuah tidak mungkin ia boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Namun kalau Yang Berhormat mengatakan tidak ada political will, saya takut, Yang Berhormat ini bercermin mata tebal takkan tidak nampak. Apa yang kita lakukan pada hari ini jelas menunjukkan bahawa inilah political will kita untuk memerangi rasuah.

Saya harap Yang Berhormat ini walaupun sudah tidak menjadi Ketua Pembangkang - sekarang ini cuma jadi... tidak tahulah apa benda. Saya tidak tahu. Harap akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya untuk kita melawan dan membanteras rasuah ini. Dalam soal...

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Kerjasama tentu ada tetapi mahu political will.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Ini, apa ini? Apa? Standing orderkah? Hanya standing order sahaja boleh bangun. Malu. Ramai Ahli Parlimen baru di sini. Jadi, belajar beramai-ramai. Kalau dari segi zero tolerance ini Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat, kita memang akan melawan rasuah. Percayalah dan kita perlu sokongan daripada sebelah sana untuk bersama-sama kita memerangi rasuah di negara Malaysia yang kita cintai.

No comments: