Thursday, June 26, 2008

Chin pertahan dakwaan Dr. M pernah ugut hakim


SIBU 24 Jun - Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Ian H. C. Chin hari ini mempertahankan dakwaannya bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah membuat ugutan secara terlindung terhadap hakim yang membuat keputusan yang tidak menggembirakan beliau.

Dalam kenyataannya, Chin berkata, jelas sekali bahawa semasa Dr. Mahathir menghadiri satu persidangan hakim pada 1997, beliau "tidak gembira dengan beberapa keputusan mahkamah."

Katanya, kehadiran Dr. Mahathir pada persidangan itu "bukan untuk mendengar perkara yang ingin disuarakan oleh hakim atau berbincang dengan mereka."

"Beliau datang untuk memberitahu hakim apa yang beliau mahu serta betapa dukacitanya beliau dan dengan gayanya, beliau menyatakan ancaman secara terselindung melalui kata-kata yang bermaksud demikian, di sana-sini," kata Chin.

Chin mendakwa Dr. Mahathir juga cuba mempengaruhi hakim yang menghadiri persidangan itu tentang bagaimana mereka patut membuat keputusan.

"Bagi saya dan saya yakin bagi kebanyakan hakim lain, baik dulu atau sekarang, adalah tidak boleh diterima apabila seorang Perdana Menteri menghadiri persidangan hakim untuk bercakap tentang perkara yang patut mereka lakukan dalam membuat keputusan pada masa itu atau kemudiannya," kata beliau.
- Bernama

No comments: