Tuesday, May 6, 2008

USUL PERJANJIAN ROYALTI PETROLEUM

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH P.M. 18(1)

PERJANJIAN ROYALTI PETROLEUM

30 April 2008 11.37 pg.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Bismillahirahmanirahim. Tuan Yang di-Pertua, sebelum saya mengemukakan usul ini saya bagi pihak rakan-rakan di sini mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tan Sri sebagai Speaker dan juga Timbalan-timbalan Speaker.

Saya Yang Berhormat Salahuddin Ayub, Kubang Kerian mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan usul yang melibatkan perkara yang tertentu berkepentingan ramai dan perlu disegerakan. Itulah tentang berkaitan tentang perjanjian royalti petroleum di antara kerajaan pusat dan negeri Terengganu semenjak tahun 1975 mesti dikaji semula.

Tuan Yang di-Pertua, kita semua maklum bahawa royalti petroleum adalah melibatkan antara perjanjian Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tetapi di Terengganu 40 telah dibantalkan secara haram oleh Kerajaan Pusat apabila PAS menguasai Terengganu selepas Pilihan Raya Umum 1999. Pada tahun 2000 pendekatan Kerajaan Pusat menubuhkan Dana Khas Kerajaan Persekutuan ataupun disebut DKKP untuk menyalurkan wang ihsan melalui Program Pembangunan ke Terengganu telah digantikan dengan cara yang tidak bertamadun.

Jika Kerajaan Pusat bersedia mengakui kesilapan ketika memecat Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dahulu maka apa salahnya jika kerajaan yang ada pada hari ini sekali lagi mengakui kesilapan mereka merompak wang rakyat kemudian yang dinamakan wang ihsan. Royalti petroleum ini bukan sahaja perlu dikembalikan semula kepada kerajaan Terengganu atas nama mandat rakyat tapi perlu ditambah pada 10% lagi seperti yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak sebelum daripada ini juga.

Tuan Yang di-Pertua, maka usaha untuk mengembalikan royalti ini akan membolehkan kerajaan negeri merancang pembangunan yang lebih bermanfaat. Walaupun hari ini, saya dan rakan-rakan daripada PAS mengakui pada hari Terengganu masih diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional tapi atas nama rakyat kita mohon royalti ini dipulangkan kembali atas nama dan mandat rakyat. Saya mohon mencadangkan.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima saya pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat kawasan Kubang Kerian pada hari Isnin, 28 April 2008. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkit oleh Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu;

(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak untuk disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa pertama, tertentu. Perkara ini adalah perkara yang tertentu. Kedua, kepentingan orang ramai. Ia adalah bagi kepentingan orang ramai. Ketiga, sama ada ianya berkehendakkan untuk disegerakan. Apabila saya timbang saya dapati perkara ini tidak perlu disegerakan. Ianya boleh dikemukakan dalam sesi perbahasan Titah Diraja nanti. Oleh yang demikian saya menolak usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2). [Tepuk]

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, point of order, point of order. Saya berdiri sekali lagi Tuan Yang di-Pertua menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(3)(b). Setelah saya mendengar Tuan Yang di-Pertua menolak usul yang saya kemukakan dengan penuh sedar saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(3)(b) ini jika mesyuarat tidak memberi izin tapi sekurang-kurangnya 15 orang berdiri di tempat yang menyokong permintaan itu, saya minta yang menyokong saya untuk berdiri 15 orang. Jadi saya mohon supaya Dewan yang mulia ini mengizinkan usul ini untuk ditempohkan untuk dibincangkan demi kepentingan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, telah saya menimbangkan daripada mula lagi kalau pun Ahli Yang Berhormat lebih daripada 15 orang yang berdiri saya juga berpendirian bahawa perkara ini adalah tidak menepati usul yang pertama dibangkitkan iaitu 18(1). Ianya tidak perlu untuk disegerakan. Bukankah semua Ahli Yang Berhormat yang berdiri ini boleh juga membahas usul ini nanti dalam Titah Diraja kerana apabila saya membenarkan juga akan dibahas seperti biasa. Jadi kalau semua yang berdiri ini mahu juga bercakap dengan soal usul ini dipersilakan cakap sewaktu membahas Usul Titah Diraja. Terima kasih. [Tepuk]

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa kita bersetuju untuk berdiri kerana kita merasakan untuk kepentingan ramai. Tuan Yang di-Pertua, sejak tahun 1999 mahkamah tidak pernah bersidang untuk kes ini. Tidak pernah. Ini kepentingan rakyat Terengganu... Dan apa yang saya katakan adalah walaupun......UMNO memerintah Terengganu tetapi demi kepentingan rakyat, kami wakil rakyat di sini untuk rakyat, demi rakyat dan Yang Amat Berhormat pun ada di sini supaya usul ini disegerakan dan ditempohkan demi kepentingan rakyat. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, seperti yang saya nyatakan tadi saya benarkan Yang Berhormat untuk baca usul itu di bawah 18(1) dan usul di bawah 18(1) mengehendaki tiga kriteria yang penting dan satu daripada kriteria itu ialah untuk disegerakan. Saya dapati tidak wujud kerana Yang Berhormat-Yang Berhormat daripada pihak sebelah kiri saya boleh berhujah dalam soal ini. Kalau pun saya benarkan usul ini saya ulang balik juga ada perbahasan juga ada jawapan daripada kerajaan. Jadi kedudukan itu tidak berubah serta-merta kerana perlu juga diperbahaskan cuma saya tidak benarkan kerana tidak memenuhi syarat. Terima kasih.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya mohon penjelasan daripada Tuan Yang di-Pertua. Soalannya ialah apa perlu peruntukan ini kalau ia tidak boleh digunakan seperti mana yang kita gunakan tadi lebih daripada 15 orang bangun. Jadi apa perlu peruntukan ini sedangkan peruntukan ini telah pun dibuat pindaan untuk diwujudkan bagi membolehkan usul-usul yang ditolak oleh Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua: Nanti dahulu, nanti dahulu. Saya buat keputusan dengan soal itu dahulu supaya jelas. Apabila kriteria yang tidak disegerakan itu tidak dapat dipenuhi maka saya mempunyai kuasa untuk menolak kerana apabila saya longgarkan itu setiap persidangan mempunyai usul sebegini. Saya bagi contoh kalau umpamanya usul ini tidak kita bahas hari ini besok malapetaka akan berlaku barangkali harus disegerakan. Apa tindakan Kerajaan Persekutuan harus buat tetapi apabila saya timbang berjam-jam pun kita putuskan juga di sini, kita berbahas juga saya kira kesampaian dia adalah terpulang juga kepada Kerajaan Persekutuan nanti. Jadi itulah makanya saya fikir betul kepentingan rakyat, betul. Kriteria satu itu pun betul juga spesifik isu iaitu royalti tetapi tidak perlu untuk disegerakan. Pengertian saya disegerakan ini kalau tidak dibahaskan juga sekarang maka suatu malapetaka ataupun perkara-perkara yang di luar dugaan kerajaan akan berlaku. [Tepuk] Itu keputusan saya. Sebab itulah saya menolak di bawah 18(2).

No comments: