30 April 2008
4.42 ptg.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Minta maaf saya bangun kerana saya ingat terpaksa secepat mungkin. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud, mencemar Duli bagi merasmikan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-12 di Dewan yang mulia ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada lantikan Tuan Yang di-Pertua yang saya kira telah dengan izin, headhunted daripada Sabah untuk datang ke sini menjadi Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Mungkin kerana kerajaan pada hari ini dia terdiri kerana kerusi-kerusi yang di Sabah dan Sarawak, [Ketawa] membolehkan satu majoriti untuk mendirikan kerajaan. Namun ikhlas saya mengucapkan tahniah. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan rakan-rakan seperjuangan daripada parti-parti pakatan rakyat. Parti Keadilan sendiri, DAP dan Pas yang memberi mandat kepada saya sebagai Ketua Pembangkang. Mandat ini melakarkan... [Tepuk] Mandat ini melakarkan satu sejarah pelantikan Ketua Pembangkang wanita yang pertama di dalam Dewan yang mulia ini. [Tepuk] Apatah lagi Dewan Rakyat kali ini pula mencatat sejarah di mana pembangkang menafikan majoriti 2/3 [Tepuk] parti pemerintah. Dengan demikian...
Prof. Dato' Dr. Abdullah Md. Zin [Besut]: Tahniah.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih. Dengan demikian, kerajaan tidak lagi boleh menjadikan Dewan ini untuk membolos apa sahaja kemahuan mereka tanpa mengambil kira pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat daripada kalangan parti-parti pakatan rakyat. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bangkit memberi sokongan kepada pakatan rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini, di mana beberapa keputusan bersejarah telah dilakarkan di peringkat Pilihan Raya Parlimen. Pada keseluruhannya, 3,796,464 undi atau 49% undi popular diperolehi oleh calon-calon pembangkang.[Tepuk]
Natijahnya, kini Dewan Rakyat menyaksikan kehadiran 82 orang Ahli-ahli Yang Berhormat dari pembangkang kerana perkiraan sistem dan amalan demokrasi ala Westminster dengan izin, yang masih diguna pakai dalam negara kita, pihak pembangkang yang memperoleh 49.4% undi popular hanya diwakili oleh 36.9% bilangan Ahli-ahli Yang Berhormat. Jika sistem perwakilan berkadar atau proportionate representation, dengan izin diguna pakai secara mutlak bagi pilihan raya yang lalu, maka pada hari ini, pembangkang seharusnya paling tidak diwakili oleh 110 ahli berbanding 112 ahli dari Barisan Nasional iaitu perbezaan hanya 2 kerusi.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Berhormat ketua pembangkang. Dengan adanya keputusan pilihan raya yang sedemikian, apakah Yang Berhormat beranggapan bahawa negara kita ini benar-benar mengamalkan sistem demokrasi sehingga ada negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional dimenangi oleh pembangkang, sehingga kemenangan Barisan Nasional 2/3 dikurangkan ataupun masih belum telus lagi pilihan raya yang kita hadapi, dan akan ada lagi demonstrasi di jalanan meminta BERSIH dalam pilihan raya kita.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat yang sudah lama dalam Parlimen. Memanglah kita sudah lalui Pilihan Raya Umum yang baru berlalu, tetapi saya juga hendak bertanya kenapa pada saat-saat akhir sekali tidak boleh kita adakan dakwat hitam? [Tepuk] Kenapakah apa yang kita katakan daftar pemilih itu berbeza? Apakah kita ada masalah lagi yang tidak ditangani oleh kerajaan? Namun saya berterima kasih kepada rakyat yang berani bangun, kalau pun kita ada banyak halangan, kami masih lagi mendapat mandat rakyat. Bayangkanlah kalau kita dapat semuanya adil dan saksama. [Tepuk]
Datuk Haji Ab. Halim Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Tuan Yang di-Pertua, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Pengerusi SPR, ada 4.5 juta nama yang tidak patut ada di dalam daftar masih ada. Mulai daripada 1957 sampai Julai 2002. Ada pun nama-nama mulai Julai 2002 sampai hari ini boleh dibersihkan. Maknanya pilihan raya ini masih tidak telus. Kuasa yang ada dalam Akta Pilihan Raya itu, SPR tidak membenarkan ada pembersihan. Ini perlu, kerajaan mengambil satu sikap meminda akta itu untuk membersihkan. Ini hanya ada dalam kuasa kerajaan. Apakah Yang Berhormat Permatang Pauh bersetuju dengan kenyataan itu?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Pengkalan Chepa. Memang saya bersetuju. Itulah yang saya katakan tadi. Kalaulah kita ada pilihan raya yang betul-betul bersih, kemungkinan lain. Meski pun demikian Tuan Yang di-Pertua, kita bersyukur bahawa rakyat juga telah membuat keputusan dengan memberi mandat kepada pembentukan kerajaan pakatan rakyat di negeri Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Saya yakin dan percaya segala keputusan ini merupakan isyarat jelas bahawa rakyat inginkan perubahan, yakni perubahan ke arah Malaysia baru di masa hadapan.
Insya-Allah, mandat yang diberikan rakyat tidak akan disia-siakan oleh kami dan kami akan memastikan suara dan harapan mereka akan diungkit dan diisi, bukan sahaja dalam Parlimen tetapi di mana jua ruang dan peluang yang ada. Tuan Yang di-Pertua...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Pertama saya hendak ambil kesempatan hendak ucap tahniah kerana dilantik sebagai Ketua Pembangkang dan menjadi satu sejarah kepada negara kita, wanita menjadi Ketua Pembangkang. Yang kedua, cuma hendak tanya sahaja. Dengan kemenangan Parti Keadilan tersebut, apakah ada cadangan Parti Keadilan untuk menukar logonya kepada logo baru untuk melihatkan keadilan PKR yang lebih futuristik?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Alhamdulillah, saya ingat logo Keadilan itu memang cantik, [Ketawa] [Tepuk] tidak perlu diubah-ubah – lambang mata.
Tuan Yang di-Pertua, yang pertama sekali yang ingin saya kemukakan sebagai memulakan tugas rasmi saya sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan yang mulia ini ialah dengan ikhlasnya saya meminta kerajaan, saya memohon kerajaan agar membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri [Tepuk] dengan segera tanpa syarat atau bicarakan mereka dalam mahkamah terbuka jika terdapat sebarang dakwaan terhadap mereka. Sejak diperkenalkan pada tahun 1960, Akta ISA telah menjadi alat yang paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa bicara. ISA juga menyekat kebebasan individu dan meningkatkan kuasa eksekutif serta melemahkan kuasa mahkamah dari menyemak sebarang ketidakadilan, selain menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia. ISA juga mempunyai kesan terhadap masyarakat sivil dan ianya menjejaskan kegiatan dan penglibatan politik di Malaysia. ISA sering kali digunakan untuk menyekat aktiviti politik, bukan sahaja politik, akademik, sosial serta mencengkam pandangan badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik. Dengan ugutan dan ancaman penggunaan ISA, ia juga sering disalahgunakan untuk mempertahankan kepentingan mereka yang berkuasa dan bukan untuk kepentingan keselamatan negara.
Saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa sejak ISA digubal dan dijadikan akta, bilangan mereka yang pernah ditahan di bawah ISA kini sudah mencecah angka seramai 10,711 orang. Kesemuanya ditahan tanpa bicara. Dalam pengamatan kami, kini terdapat seramai 70 orang yang sedang ditahan di bawah ISA di Kem Tahanan Kamunting. Tahanan-tahanan tersebut dilabelkan sebagai JI, Jemaah Islamiah seramai 29 orang, Darul Islam – 17 orang, dokumen palsu dan syiling – 8 orang, ejen perisik asing – 7 orang, Hindraf – 5 orang, Gerakan Pemisah Thai – 2 orang, nuklear – 1 orang dan pendatang tanpa izin – 1 orang. Melalui Dewan ini, pertamanya kerajaan dituntut supaya membebaskan semua tahanan ISA dengan segera tanpa sebarang syarat atau dakwakan mereka di mahkamah terbuka [Tepuk] jika terdapat sebarang tuduhan menurut undang-undang.
Keduanya, kerajaan dituntut supaya menutup Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak dengan segera. Ketiganya, kerajaan dituntut supaya mansuhkan ISA. [Tepuk]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua dan saya juga turut mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat dari Permatang Pauh kerana telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang yang menempa sejarah. Berhubung kait dengan ISA ini, pertama sekali saya hendak nyatakan bahawa saya juga pernah menjadi tahanan ISA. Saya faham dan saya arif apa itu ISA. Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh, berlatarbelakangkan bahawa negara kita ini terdiri daripada berbilang kaum, kita mempunyai ancaman dari segi keselamatan negara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin membangkitkan semangat perkauman di antara satu sama lain. Selain daripada itu, kita juga menghadapi ancaman dari luar yang cuba untuk mengganggu-gugat keselamatan dalam negara.
Yang Berhormat Permatang Pauh, saya rasa bersetuju dengan saya bahawa keselamatan dan kestabilan negara adalah amat penting bagi kesejahteraan rakyat, bagi pembangunan rakyat, bagi kemajuan rakyat dan negara kita dan kita telah membuktikan, rakyat Malaysia telah membuktikan di bawah kepimpinan yang menerajui pemerintahan selama ini, kita dapat menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat berbanding dengan banyak negara lain, satu daripada instrumen yang digunakan oleh kerajaan dalam hal ini ialah ISA iaitu sebagai satu langkah preventif. Jadi Yang Berhormat Permatang Pauh, kita telah melihat banyak peristiwa, banyak insiden, banyak demonstrasi, banyak tunjuk perasaan yang kadang-kadang ianya boleh keterlanjuran. You can get carry away, dengan izin, dengan perhimpunan ribuan manusia walaupun tidak ada tujuan untuk mewujudkan keadaan yang tidak baik, tetapi bagaimana kita boleh mengawal keselamatan dan kestabilan, keamanan di mana adanya perhimpunan 20 ribu, 30 ribu atau 50 ribu orang? Bolehkah pihak pembangkang memberikan jaminan setiap kali mengadakan perhimpunan, ribu-ribu dengan berarak ke sana dan ke mari dengan semangat yang berkobar-kobar boleh menjaga keselamatan negara?
Jadi dengan sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, tolong jawab, tolong beri jawapan kepada Dewan ini, kalau sekiranya ada ISA hendak dijadikan ataupun hendak dihapuskan, tolong beri apakah satu cara yang betul-betul boleh menjamin keselamatan dan kestabilan negara ini. Jangan buat satu permintaan dan tidak ada cadangan. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bersimpatilah Yang Berhormat Pasir Salak pun biasa ditahan. Jadi saya rasa sepatutnya Yang Berhormat mengetahui bagaimana peritnya mereka yang telah ditahan, lagi-lagi perit keluarga mereka yang ditahan, tetapi Yang Berhormat, atas alasan apa pun kita tidak boleh jadi kejam. Atas alasan apa pun, kita tidak boleh membuat perkara yang tidak adil. Kalaulah mereka yang ditahan ini, yang ada 70 orang ini dihadapkan ke mahkamah, apakah tidak lebih adil? Apakah kita tidak percaya dengan sistem kehakiman kita ini? Memanglah kita tidak berapa percaya. Sebab itulah baru hendak diadakan – minta maaf – baru hendak diadakan suruhanjaya hendak memilih jawatan, tetapi kalau kita ikutkan, kita semua bersubahat. Saya tak mahu kalaulah diadakan akta yang begitu kejam ini dan berterusan, kita sama-sama mesti menjawab.
Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Penjelasan. Yang Berhormat saya minta penjelasan. Oleh kerana akta berkenaan ISA ini adalah warisan daripada zaman penjajahan, ianya diwujudkan ketika negara kita dalam keadaan darurat, menghadapi komunis dan selepas negara kita mencapai kemerdekaan ianya diteruskan. Kini, darurat sudah tak ada lagi dan kita menuju ke arah pembaharuan demokrasi yang lebih baik. Adalah menjadi amalan kepada negara-negara demokrasi yang moden, ISA ini sudah tak perlu lagi kerana ISA menunjukkan seolah-olah negara kita tidak selamat dan tidak aman. Apalagi dalam suasana yang ada lebih menunjukkan, ISA ini lebih digunakan untuk kepentingan politik parti yang memerintah daripada kepentingan untuk keselamatan dalam negeri yang sebenarnya tidak wujud. Sekian, terima kasih. [Tepuk]
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Marang dan juga terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya pergi kepada ISA, habis terus, tapi satu soalan saya hendak tanya kepada pemimpin-pemimpin, apakah satu soalan yang berkaitan dengan Vithayamurti yang berada dalam ‘self exile’, dengan izin di London. Apakah dia akan ditangkap apabila dia kembali ke tanah air. Itu satu soalan.
Tuan Yang di-Pertua, saya beralih sekarang bahawa kita perlu mentakrif semula asas baru falsafah dan konsep negara tercinta ini mengekal yang baik dan membasmi serta menghapuskan segala keburukan penyalahgunaan kuasa, pembaziran kewangan dan ekonomi dan manipulasi polisi awam secara sistematik dan terancang untuk kepentingan peribadi. Ini juga telah disentuh oleh ke bawah Duli. Kita akan kemukakan idea-idea baru untuk penyelesaian dalam pengurusan ekonomi. Kita juga akan mencadang keperluan reformasi agar negara muncul sebagai sebuah negara yang benar-benar demokratik. Mengambil yang baik dari pengalaman lama serta dengan suntikan idea-idea baru, kita akan membina asas baru falsafah dan konsep negara, dengan mengambil kira agenda ekonomi Malaysia. Akan memulakan reformasi bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan terlaksana untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, ekonomi moden negara diasaskan dari pembangunan industri getah dan timah. Kemudian pada dekad 70-an dan 80-an, kita berjaya menyusun semula asas ekonomi dengan menjadi pusat pengeluaran semi konduktor dan barangan elektronik pengguna yang sehingga hari ini menyumbang kepada lebih 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK. Kita berterima kasih kepada perancang awal ekonomi negara yang membuat penilaian betul dan tepat pada ketika itu.
Penemuan minyak dan gas di pesisiran pantai negara pada dekad yang sama, telah menjana sumber kekayaan dan asas baru ekonomi dengan pembangunan industri berasaskan petrol dan petrokimia berpusat di Sarawak, Sabah, Pantai Timur Semenanjung, Johor dan Melaka. Pada dekad yang sama juga, negara memberi penekanan dan tumpuan yang besar pada kajian dan penyelidikan dalam industri minyak kelapa sawit dan berjaya menghasilkan industri minyak sawit terbesar dunia pada suatu ketika dahulu. Ini juga telah disentuh oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Dalam Titah Ucapan semalam, pada perkiraan Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, negara sepatutnya sudah menjana kekayaan yang berupaya menanggung seluruh rakyat dengan selesa. Ia sepatutnya berupaya menyediakan infrastruktur, prasarana, kemudahan dan perkhidmatan awam bertaraf dunia pertama kepada rakyatnya pada kadar tol, caj dan cukai yang munasabah dan berpatutan. Negara sepatutnya berupaya menyediakan kemudahan asas kesihatan dan pendidikan secara percuma. Dalam perumahan, negara sepatutnya menyediakan kemudahan yang berupaya dimiliki penduduk dalam usaha menggalakkan pemilikan rumah oleh rakyat.
Secara teori, ekonomi kita sepatutnya berdaya menyediakan pendapatan yang baik kepada semua golongan berasaskan sumbangan produktif mereka dalam ekonomi. Dengan hasil bumi yang kaya, barangan komoditi yang pelbagai dan daya usaha gigih di kalangan penduduk, ekonomi kita sepatutnya cukup dan amat berjaya dan menduduki tangga ekonomi terbilang dunia.
Namun demikian, rakyat kini kian terhimpit dengan peningkatan kos saraan hidup yang begitu ketara dengan inflasi yang tidak dapat dikawal termasuk keperluan asas isi rumah. Ini juga telah diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pagi tadi, apabila beliau membahas dan memberi jawapan tentang soalan saya tentang tender terbuka. Keluarga sederhana tertekan untuk memenuhi keperluan dan saraan hidup harian, kerana terpaksa membayar penggunaan kemudahan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan. Ramai tidak dapat memenuhi tuntutan bayaran bulanan...
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tadi, berkenaan soalan yang ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada pagi ini, mengenai dasar tender terbuka. Jawapan yang telah diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan bahawa 68% projek-projek awam diberikan secara tender terbuka dan ada lagi 32% melalui direct negotiation tender. Beliau mengatakan bahawa, ada perkara-perkara yang penting seperti sector keselamatan tidak boleh dibuka tendernya, kena direct nego. Memanglah kalau beli submarine itu kena berhati-hati, tapi masalahnya saya ada satu contoh. Ini bukan pasal beli submarine, buat jalan pun dia kena buat direct nego. Saya pernah tanya dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan satu projek di kawasan saya, Projek Naik Taraf Jalan Seremban ke Senawang yang menghubungkan Seremban ke Rembau...Satu projek RM150 juta diberikan secara direct negotiation, hanya bina jalan! Adakah ini kerajaan cakap tak serupa bikin? Kata nak buat direct nego tetapi pada hakikatnya banyak projek-projek awam masih dijalankan melalui cara direct negotiation yang menyebabkan bahawa banyak kebocoran dalam ekonomi kita, banyak kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan kita yang tidak sepatutnya dibocorkan. Setuju ke Yang Berhormat Permatang Pauh bahawa kerajaan cakap tak serupa bikin?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat dari Rasah, saya bersetuju.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Kalau betul ada penyelewengan, keluar Dewan tolong buat laporan.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Ini jawapan yang diberikan dalam Dewan Undangan Negeri memang ada direct negotiation.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Saya cabar kepada Yang Berhormat Rasah, dalam kata ada penyelewengan dan sebagainya ...
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Ini betul, ini kenyataan, statement, fakta.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Lepas ini saya cabar Yang Berhormat Rasah buat laporan polis.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Saya dipilih oleh rakyat untuk berucap dalam Dewan Rakyat.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuduhan liar tidak boleh dibuat di sini. Saya wakil kerajaan, saya wakil pihak kepada kerajaan oleh pihak pembangkang.[Tepuk]
Ini tuduhan tidak bertanggungjawab, tidak bermoral, tidak beretika.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Siapa yang tidak bermoral?
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang Berhormat, tidak bermoral, tidak beretika.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Saya dipilih oleh rakyat untuk berucap di dalam Dewan Rakyat.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Fitnah, rakyat tidak suruh Yang Berhormat buat fitnah. Rakyat suruh Yang Berhormat bercakap secara bertanggungjawab.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta dia tarik balik.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak bermoral, nak tarik apa? Nak suruh tarik apa? Inilah perangai contoh parti pembangkang. Pecat sahaja.
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Pecat apa?
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Rakyat Rasah tidak suruh buat fitnah.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Pasir Salak kata dia bekas tahanan ISA. Dia setuju ditahan bawah ISA, kalau dia setuju ditahan bawah ISA, dan dia juga ditahan, dia memang tidak layak duduk dalam Parlimen. Ini kerana kalau dia setuju dia ditahan bermakna dia adalah seorang yang bersalah. Saya ditahan di bawah ISA, saya tidak setuju saya ditahan kerana saya tidak bersalah. Bila Pasir Salak setuju dia ditahan bermakna dia seorang yang bersalah. Seorang yang bersalah tidak layak duduk dalam Parlimen. [Dewan riuh] [Tepuk]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua, inilah pengecut, kena tahan sikit sudah menangis, takut. Pengecut.
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Boleh kata apa pun, tetapi saya telah saman Kerajaan Malaysia dan saya menang dalam kes, tetapi Pasir Salak kamu langsung tak lawan balik bermakna kamu bersalah dan kamu tidak layak duduk dalam Parlimen.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: [Ketawa] Saya nak menjawab Rasah kerana tadi pagi saya pun tidak berpeluang membuat soalan tambahan. Saya faham apa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan, kalau ada negotiation tender, tender berunding terus, kita nak jaga sektor bumiputera, sector mereka-mereka yang dalam erti kata keselamatan, saya faham. Namun, seperti mana yang Rasah sebutkan tadi, apakah dalam projek-projek seperti Stadium Kuala Terengganu, projek yang sepatutnya memakan jumlah RM200 juta menjadi RM400 juta. Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai, sekolah Tuan Yang di- Pertua, dibina dengan wang ihsan dan bumbungnya baru saja roboh. Ini yang dikatakan kita tidak perlu expertise yang besar-besar ini, nak buat sekolah. Apa yang kita hendakkan, menjaga wang rakyat yang diamanahkan. Tuan Yang di-Pertua, saya hanya nak masuk sikit point itu sebab pagi tadi Tuan Yang di-Pertua sendiri pun tidak bagi saya soalan tambahan. Itu soalan saya Tuan Yang di-Pertua.
Okey, sekarang ini saya sambung, terima kasih. Ramai tidak dapat memenuhi tuntutan bayaran bulanan dan rumah-rumah terutama rumah kos rendah dan sederhana terlelong meningkat tahun demi tahun. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terdiri daripada lebih 50% daripada penduduk negara, keupayaan menyimpan sudah hampir tiada tetapi 10% lagi rakyat yang berada ...
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Dengan izin, apakah yang dimaksudkan oleh Ketua Pembangkang tadi ialah merupakan perumahan yang menjangkau contohnya di Balik Pulau menjangkau sehingga RM800 ribu, RM700 ribu yang mana rata-rata orang Balik Pulau kebanyakan kerjanya hanya pendapatan RM700, RM800; tidak mampu merupakan satu dasar yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang. Maksudnya tidak akan ada lagi rumah-rumah yang tidak mampu milik oleh terutama sekali penduduk tempatan. Mohon penjelasan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat dari Balik Pulau. Itu yang saya nak katakan Tuan Yang di-Pertua, bahawa kadang-kadang kita melihat tidak ada safety net, satu jaringan untuk keselamatan bagi mereka-mereka ini yang berpendapatan rendah. Saya juga biasa pergi, mereka kebanyakannya nelayan dan mereka terpaksa diusir keluar kerana developers datang untuk membuat bangunan-bangunan tinggi yang harganya RM700 ribu, RM800 ribu. Mereka ini adalah rakyat Malaysia, bukan pendatang tanpa izin atau dengan izin.
Saya sambung Tuan Yang di-Pertua, tetapi 10% lagi rakyat yang berada di sekeliling pusat pembangunan pesat menikmati kemewahan ketara hasil hubungan rapat mereka dengan kepimpinan negara. Jurang pendapatan di antara 10% rakyat terkaya dan 90% yang lain begitu ketara. Daripada perubahan kepada ekonomi moden seperti dibayangkan dalam Wawasan 2020 di mana jurang pendapatan dirapatkan di kalangan penduduk setiap tahun negara diselubungi dengan pelbagai masalah. Laporan Pembangunan Insan Bangsa-bangsa Bersatu 2007 menunjukkan Malaysia yang tercinta mempunyai jurang pendapatan di antara yang kaya dan yang miskin paling tinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Papua New Guinea Tuan Yang di-Pertua, kita jurang yang paling lebar. 10% rakyat terkaya menguasai 38.4% kekayaan negara. Manakala 10% rakyat termiskin memiliki hanya 1.7%.
Inilah simbol dan manifestasi kerasuahan dan kerakusan polisi ekonomi negara yang cuma mengejar kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar atau KDNK, figures dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Boleh nampak cantik, kitalah maju, kitalah apa, bagaimana rasa rakyat termiskin di bawah?
Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya kita berhadapan dengan kesilapan dalam pengurusan ekonomi sejak kerajaan memperkenalkan konsep persyarikatan Malaysia atau Malaysia incorporated dengan izin yang menyamakan negara seperti sebuah syarikat. Manakala syarikat ini membuat keputusan dan pertimbangan tanpa perlu merujuk kepada pemegang saham terbesar iaitu rakyat. Rakyat hanya boleh mempersoal melalui sidang Parlimen yang diwakili oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat. Oleh kerana wujud dominasi parti pemerintah yang begitu mutlak di dalam Parlimen pada ketika itu. Maka tidak ada banyak halangan bagi kerajaan untuk melalukan apa sahaja demi kepentingan mereka. Dalam banyak hal rakyat tidak tahu menahu apa yang kerajaan lakukan kerana semua saluran maklumat dikuasai dan dikongkong oleh kerajaan. Pertanggungjawaban dan ketelusan diketepikan dengan alasan untuk memecut pembangunan ekonomi. Di bawah konsep ini kerajaan mengalihkan ratusan bilion ringgit sumber kewangan negara dianggarkan antara RM500 hingga RM550 bilion yang hampir kesemuanya dipinjam dari institusi kewangan baik dalam mahupun luar negara ke dalam projek-projek mega dan yang terakhir termasuk projek Masjid Kristal yang disalurkan melalui wang ehsan. Masjid itu cantik Tuan Yang di-Pertua...
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Minta penjelasan. Setujukah Yang Berhormat kalau saya katakan ratusan bilion yang dibelanjakan itu memang tidak dibelanjakan dengan betul dan rakyat tidak mendapat faedah daripadanya.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Saya kena qualify. Ada juga yang dibelanjakan Tuan Yang di-Pertua, kita kena rasional dan objektif. Ada juga yang baik tetapi, kita hendak berhentikan pembaziran, penyalahgunaan kuasa yang telah dimasukkan di dalam titah ucapan. Kenapa difokuskan? Negara kita negara kaya, point itu yang saya hendak katakan. Negara kita...
Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, ketua pembangkang. Saya ingin mendapat penjelasan ringkas mengapakah Masjid Kristal di Terengganu itu dimasukkan dalam projek mega membazir. Jadi minta penjelasan daripada Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, terima kasih.
Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit juga tentang pembaziran. Minta laluan sedikit. Saya juga ingin di sini minta penjelasan kerana pagi tadi kita mendengar Yang Berhormat bagi Kinabatangan bagaimana di tempat dia jalan raya begitu teruk. Di sini saya ingin memaklumkan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh di kawasan saya Kampung Baru ada sebuah jalan yang pendek sahaja satu kilometer sahaja tetapi dibina dengan harga RM17 juta. Bermakna satu meter RM17 ribu harganya. Saya bersimpati dengan sahabat-sahabat Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah dan Sarawak kerana tidak mendapat kemudahan asas jalan raya, api dan air serta elektrik. Tetapi pembaziran dilakukan di Kuala Lumpur dan juga di sesetengah bahagian negara kita. Minta penjelasan daripada Yang Berhormat.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih kepada kedua-dua Yang Berhormat itu. Saya hendak menjawab Yang Berhormat bagi Kuala Kedah dahulu. Saya diberitahu Tuan Yang di-Pertua, cantik Masjid Kristal itu, memang cantik. Saya difahamkan bahawa kosnya yang sepatutnya jadi itu adalah RM60 juta tetapi telah meningkat dalam kompleksnya RM360 juta. Saya difahamkan Yang Berhormat dari Marang boleh (terangkan nanti), sebab saya inginkan orang Terengganu memberikan penjelasan tetapi setakat yang saya tahu apabila saya pergi ke Terengganu apabila Parlimen mula-mula dibubarkan, masjid itu tidak boleh ditakrifkan, diisytiharkan, diumumkan sebagai masjid kerana tidak ada qariah.
Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: [Bangun]
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Maaf, saya bukan orang Terengganu, saya diberitahu. Minta maaf Yang Berhormat bagi Kota Belud. Kota Belud di Sabah, saya hendak bercakap tentang Terengganu sekejap. Maaf ya, saya bagi kepada orang Terengganu sebab Masjid Kristal di Terengganu.
Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, ketua pembangkang, oleh kerana ianya dinamakan Masjid Kristal merupakan satu projek tamadun Islam yang keseluruhan perbelanjaannya hampir RM1 bilion. Masjid itu sahaja sebagaimana yang disebut ia merupakan replika masjid yang terkenal di dunia untuk tatapan pelancong dan pelancong sudah tentu pergi ke masjid-masjid yang asal dan tidak datang ke replika itu. Maka apa faedahnya projek seperti ini untuk rakyat? Sekian.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, memberikan saya peringatan kerana saya tidak ada figure-figurenya tetapi pointnya ialah pembaziran. Pointnya yang saya diberitahu bahawa masjid itu telah dibelanjakan dengan begitu banyak tidak boleh ditakrifkan sebagai sebuah masjid kerana tidak ada qariah. Kalau hendak pergi ke masjid itu saya difahamkan kena naik bot. RM17, tambang itu betul. Saya diberitahu RM17 untuk menunaikan ibadah di situ. Jadi saya hendak katakan dalam point pembaziran... Point pembaziran ini, inilah yang hendak ditunjukkan sebagai satu contoh. Sila Yang Berhormat bagi Kota Belud.
Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Permatang Pauh. Saya cuma ingin bertanya mengenai masjid ini. Yang Berhormat berkata masjid ini membazir, rasuah, harga terlalu tinggi dan sebagainya. Saya ingin meminta penjelasan kepada Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, Ketua Pembangkang, apakah dengan kemenangan 2/3 di Terengganu oleh Barisan Nasional bermakna rakyat Terengganu mahukan masjid ini dan menyokong tindakan kerajaan membina masjid ini, terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Itu keputusan pilihan raya. Saya bercakap tentang masjid. Kalau ditakrifkan kata masjid itu tidak boleh dikatakan sebagai masjid dan asas pembinaan masjid itu adalah untuk pelancongan. Itu yang saya hendak. Tuan Yang di-Pertua, saya telah diberitahu bahawa arah kiblat pun telah dikeluar 6 degree...
Dr. P. Ramasamy [Batu Kawan]: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, apa yang saya dengar daripada ucapan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh ialah satu jurang yang begitu besar antara retorika dengan realiti di Malaysia. Pembangunan yang tidak seimbang, pembangunan yang mengakibatkan pembaziran yang keterlaluan, maka konsep sustainable development ini tidak wujud, misalnya di kawasan saya di Batu Kawan, tanah yang luas boleh didapati di kawasan saya di Batu Kawan. Malangnya orang tempatan ini tidak ada rumah, tidak ada kawasan untuk memelihara lembu-lembu, ayam dan sebagainya, tidak ada sekolah, tidak ada tempat ibadah. Inilah pembangunan yang telah dilakukan selama 20 tahun atau 30 tahun khususnya di Batu Kawan. Nampaknya bahawa apa yang dapat kita bayangkan dalam ucapan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh ialah bahawa retorika jugalah yang diberikan perhatian, tetapi realitinya adalah sesuatu yang sangat-sangat berbeza, terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua...
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, saya memohon maaf kerana masa kita sudah sampai 5.30 petang. Jadi hujah Yang Berhormat Permatang Pauh boleh disambung pada hari Isnin, 5 haribulan. Ahli-ahli Yang Berhormat Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi hari Isnin 5 Mei 2008, Mesyuarat ditangguhkan.
Dewan ditangguhkan pada pukul 5.30 petang.
Wednesday, May 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment