(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)
Tuan Nga Kor Ming [Taiping]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan keizinan kepada saya untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah ucapan Tuanku Duli Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan persidangan kali ini.
Saya terpaksa berucap dengan cepat kerana saya datang daripada Parti Roket dan kerana kesuntukan masa. Persidangan kali ini berlangsung ketika tanah air kita masih ditenggelami dalam suasana kewujudan budaya politik yang baru, yang sedang melangkah menuju ke era transformasi sistem, dua parti yang penuh dengan harapan di samping cabaran. Seperti titah Baginda, objektif Dewan yang mulia ini adalah untuk semua pihak, baik pemerintah mahupun pembangkang untuk membangunkan tanah air kita menjadi semua negara yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing. Sebagai wakil rakyat Parlimen Taiping, saya dengan penuh bangga ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa bandar Taiping telah dikenal pasti sebagai Bandar Warisan oleh Northern Corridor Economic Region (NCER) untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar pelancongan.
Berbekal dengan pelbagai ciri-ciri istimewa yang penuh dengan unsur bersejarah sejak Perang Larut antara Gee Hin dan Hai San, Taiping kini telah menjangkau usia 134 tahun sejak tertubuhnya pada tahun 1874.
Tuan Yang di-Pertua, bandar Taiping adalah municipal township, dengan izin, pertama dalam negara ini. Ia mempunyai 32 perkara yang merupakan nombor satu dalam tanah air kita termasuk ia mempunyai kompleks kerajaan pertama dalam negara ini, jalan kereta api pertama di Port Well, clock tower pertama, Mahkamah Majistret pertama, pasar awam pertama dan lain-lain lagi. Selain itu, bandar Taiping mempunyai taman tasik yang paling menarik dan cantik dalam negara ini serta Zoo Night Safari yang ketiga dalam dunia selepas Quang Zhou dan Singapura. Tambahan pula Taiping terkenal dengan flora dan fauna yang jelas ternampak di Bukit Maxwell serta pelbagai makanan yang enak dan menarik. Sebagai bandar yang mempunyai kadar hujan yang paling lebat di Malaysia, bandar Taiping dengan ciri-ciri istimewa yang sedia ada mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang terunggul dalam tanah air kita. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini mempelawa semua Ahli Yang Berhormat melawat serta membantu mempromosikan bandar Taiping.
Yang lebih penting, saya ingin memohon jasa baik Menteri Pelancongan yang walaupun dikatakan oleh Tenggara, bukan bertaraf wanita, supaya memberikan perhatian yang serius serta meluluskan lebih peruntukan kepada Taiping supaya kesemua 32 perkara nombor satu dalam tanah air kita yang merupakan khazanah negara yang sedia ada dapat dipelihara dan dipertingkatkan. Hasil daripada sektor pelancongan tahun lepas telah pun mendatangkan pendapatan sebanyak RM58.4 bilion. Maka apa salahnya memberikan RM200 juta iaitu 20.25% kepada pembangunan sektor pelancongan di Taiping, khususnya apabila lawatan saya ke Majlis Perbandaran Taiping telah pun mendapat banyak aduan, kerajaan tempatan tidak diberikan peruntukan yang mencukupi, malahan terpaksa mengalami defisit lima tahun berturut-turut di mana rizab yang ada telah pun jatuh daripada RM26 juta menjadi RM6 juta sahaja dalam tempoh lima tahun.
Saya ingin memohon Menteri Pelancongan dapat mengingat kembali Taiping sebagai satu intan yang belum digilap supaya Menteri Pelancongan bukan sahaja memberikan peruntukan yang lebih, maka menimbang semula keputusan memberhentikan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dalam lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Perbuatan sedemikian sedang dihalusi oleh rakyat jelata. Perbuatan sedemikian jelas ternampak unsur-unsur yang gagal memberikan penghormatan kepada demokrasi dan merupakan tindakan yang kurang kematangan. Oleh yang demikian saya berharap pihak Kerajaan Persekutuan mematuhi penggesaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, di mana Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah semangat federalism mesti menjalin hubungan yang rapat dan intim dari segi pelaksanaan dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat kita. Selaras dengan saranan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menghormati pilihan rakyat. Jangan sekali-kali cuba mewujudkan kerajaan dalam kerajaan, iaitu mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di samping Jawatankuasa Keselamatan Sosial dan Masyarakat (JKKK) yang telah wujud sekian lama ini.
Tindakan mewujudkan kerajaan dalam kerajaan adalah satu teladan yang buruk dan akan mendatangkan persepsi negatif di kalangan orang ramai, sekiranya pelaksanaan JPP yang jelas mempunyai “udang di sebalik batu” ini tidak dibendung, ia akan mendatangkan musibah dan mengakibatkan rakyat hilang keyakinan kepada kewibawaan di bawah pimpinan Kerajaan Barisan Nasional, kerana tidak sanggup menerima keputusan pilihan raya oleh rakyat kita.
Tuan Yang di-Pertua, tahun ini merupakan Perayaan Kemerdekaan Ke-51 tanah air kita yang tercinta ini setelah melangkah menjangkau usia lebih lima dekad ini, negara kita pesat membangun daripada sebuah ekonomi berteraskan pertanian menjadi sebuah negara perindustrian, banyak cabaran dan halangan yang kita hadapi di bumi yang bertuah ini dan banyak iktibar yang perlu kita halusi dan hayati bersama sepanjang sejarah pembangunan negara.
Tuan Yang di-Pertua, sekiranya kita mengimbas kembali ketika tanah air kita mencapai kemerdekaan, penduduk Malaya menikmati pendapatan per kapita sebanyak USD350 setahun jika dibandingkan dengan negara Korea Selatan. Pendapatan per kapita Korea Selatan ketika itu hanya mencecah angka USD170 sahaja. Bagaimanapun setelah lima dekad, pendapatan per kapita rakyat Malaysia walaupun mencapai USD5,149 tetapi kini pendapatan per kapita Korea Selatan adalah empat kali lebih daripada tanah air kita. Jika perbandingan dibuat dengan negara pulau jiran kita, Singapura, jurang pendapatan per kapita adalah jauh lebih rendah lagi. Pendapatan per kapita negara tersebut adalah lima kali lebih daripada tanah air kita. Akibatnya ramai pemuda pemudi anak kita banyak yang menjelajah ke negara tersebut untuk mencari mata pencarian. Maka persoalannya adalah mengapa Malaysia sebagai bumi yang dikurniakan dengan pelbagai khazanah alam dan sumber asli, rakyat bumi yang bertuah ini terpaksa meninggalkan anak keluarga dan sanak saudara untuk bekerja di negara asing.
Sekiranya pihak kerajaan membuat penyelidikan dengan agensi pelancongan di sekitar Lembah Kinta, Ahli-ahli Yang Berhormat akan dapati di mana pelawat yang berasal dari Ipoh, Lembah Kinta, Kampar telah dikenal pasti dalam senarai hitam kerana terkenal sebagai salah satu destinasi yang berpotensi tinggi menjadi sumber pekerja tanpa izin sama ada di European Union, Jepun mahupun Amerika. Ramai pemuda dan pemudi Lembah Kinta terpaksa mencari kerja di negara orang lain. Mengapa ini berlaku saban tahun?
Setiap masalah mesti ada puncanya dan akar umbinya adalah dasar diskriminasi Kerajaan Barisan Nasional yang tidak tahu menghargai kepakaran dan keistimewaan rakyat sendiri. Sisa-sisa berbaur perkauman yang sudah lama menjadi basi masih ternampak jejaknya dalam banyak dasar Kerajaan Barisan Nasional, produk zaman feudal yang sudah lama kuno masih dijadikan dampingan dan pedoman sebahagian parti politik pada zaman sains dan teknologi kini. Budaya tongkat mahupun budaya kerusi roda telah lama menghantui pembangunan bangsa Melayu akibat dasar Kerajaan Barisan Nasional yang digenggam oleh UMNO, dan ia merupakan batu halangan untuk sebuah negara mencapai kemajuan. Dengan sumber asli yang dikurniakan, Kerajaan Barisan Nasional kaya tetapi pimpinan BN miskin dari segi minda.
Tuan Yang di-Pertua, tanah air kita terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai keunikan budaya tersendiri dan ini sendiri merupakan satu kekuatan di era globalisasi ini. Umpamanya, sekiranya kita menguasai bahasa Melayu, kita akan berupaya berkomunikasi dengan Kepulauan Nusantara. Sekiranya kita mengetahui bahasa Cina, kita akan mampu berniaga dengan Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan. Sekiranya kita fasih bahasa Tamil, kita mampu berkawan dengan Benua India. Dengan mewarisi bahasa Inggeris dari bekas penjajah, kita dapat berkomunikasi dengan seluruh dunia. Itulah sebabnya slogan Tourism Malaysia adalah dengan izin, “Malaysia Truly Asia”.
Persoalannya sepanjang 51 tahun kemerdekaan, adakah Barisan Nasional sudah insaf? Adakah kerajaan pernah menghargai keunikan yang terpahat dalam sanubari rakyat sendiri dari dasar-dasar yang semakin berfikiran sempit. Saya berasa khuatir segala akhirnya menjadi “indah khabar dari rupa”, impian kekal impian tetapi tidak kesampaian.
Tuan Yang di-Pertua, sebelum terlambat izinkan saya menjelaskan kedudukan Malaysia di dalam mata dunia. Menurut laporan PBB 2006, Malaysia mempunyai jurang perbezaan pendapatan dan kekayaan yang paling serius di rantau Asia Tenggara. Sebagai contoh, di kalangan penjawat awam, jumlah pendapatan di antara pembantu tadbir dan kelas pertama pegawai adalah setinggi 19.1 kali. Dengan erti kata yang lain, gaji Ketua Setiausaha Negara adalah 19.1 kali lebih banyak daripada pembantu tadbir kerajaan. Dari segi freedom of economy, indeks tersebut menunjukkan kedudukan negara hanya berada di tangga 81, satu kedudukan yang merosot dan ketinggalan jika dibandingkan dengan Mongolia, negara asal Atlantuya. Dari segi freedom of press, mengikut Borderless Reporter yang bertapak di Paris, France, kedudukan negara kini menjunam dari tangga 92 bulan ini menjadi 141, satu kejatuhan mendadak yang mencerminkan pemerintahan ala kuku besi Barisan Nasional ke atas kebebasan media.
Oleh yang demikian, apabila Yang Berhormat Kulai yang merupakan Presiden MCA mencadangkan Kementerian Dalam Negeri memansuhkan dasar yang memerlukan setiap surat khabar memperbaharui lesen terbit tiap-tiap tahun. Ia adalah satu usaha yang telah lama, dengan izin, overdue seperti pepatah Melayu, “Kepimpinan Melalui Teladan”. Demi memelihara integriti media investment MCA, Huaren Holdings Berhad adalah digesa menarik diri segera dari memegang saham Nang Yang Press Holdings Berhad, UMNO juga harus menarik diri dari mempengaruhi Utusan Melayu, Media Prima dan lain-lain yang mengawal hampir semua media elektronik dalam tanah air kita ini.
Saya dengan ini ingin mengesyorkan kepada Dewan ini meluluskan rang undang-undang untuk melarang semua parti politik mempunyai saham atau mengawal mass media, dan undang-undang tersebut patut dikemas kini dengan menyemak semula Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan lain-lain undang-undang, dengan izin, draconian yang sudah tidak menepati perkembangan era moden dan generasi laman web kini. Dari segi International Transparency Index, Tuan Yang di-Pertua, kedudukan negara menjunam ke tangga 44, jika dibandingkan dengan zaman Tun Dr. Mahathir yang berada di tangga ke 27. Kaji selidik antarabangsa terbukti, usaha dan janji-janji manis pilihan raya Kerajaan BN tinggal menjadi political rhetoric lips service. Adalah jelas slogan membanteras rasuah, hanya menjadi umpan untuk memancing undi.
Pada pagi ini, kita telah pun mendengar penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di mana MCAC akan ditubuhkan, tetapi tidak akan mempunyai kuasa pendakwaan. Jika tidak, ia adalah sandiwara politik sekali lagi, di mana kita akan tukar senario ini apabila, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan datang, Pakatan Rakyat menjadi Kerajaan Negeri Persekutuan.
Dari segi kedudukan pusat pengajian tinggi, buat pertama kali, Tuan Yang di-Pertua, dalam sejarah, tidak ada satu pun universiti tempatan yang menduduki di antara 12 buah universiti terbaik dalam senarai universiti unggul yang diumumkan oleh Team Studies. Dari segi keselamatan negara, kes-kes jenayah yang ada dibuat laporan polis, Tuan Yang di-Pertua, telah mencecah melebihi 200,000 kes satu tahun. Yang lebih membimbangkan adalah kes rogol telah bertambah 115% dari 3.3 wanita dirogol setiap hari dalam tahun 2003 sehingga sekarang 8.2 orang wanita dirogol setiap hari di Malaysia. Setiap hari di Malaysia, terdapat sebanyak 8.2 orang wanita dirogol. Statistik ini masih tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan kepada polis. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung, keselamatan rakyat tidak lagi terjamin, pelabur asing akan menarik diri dan akhirnya kita semua akan menerima padah.
Dari segi pembangunan ekonomi, negara kita kini telah mengalami belanjawan deficit selama 11 tahun berturut-turut, dengan hutang negara mencecah paras RM198.2 bilion, iaitu setiap rakyat berhutang lebih kurang RM10,000 setiap orang. Yang lebih membimbangkan adalah mengikut laporan Rancangan Malaysia Ke-9, menjelang akhirnya Rancangan Malaysia Ke-9, hutang negara dijangka akan mencapai sebanyak RM351 bilion.
Dari segi pembangunan, sustenance development, mengikut laporan dari New Straits Times di seluruh Malaysia, antara bandar yang diselidik, hanya Kota Melaka satu-satunya bandar raya yang mempunyai, dengan izin, sustainability. Ibu kota kita termasuk Kuala Lumpur telah tercicir keluar dari senarai bandar raya yang boleh kekal membangun. Saya harap semua datuk bandar akan segera melihat perkara ini dengan serius.
Dari segi inflasi, kini Kempen Inflasi Sifar pada satu masa dahulu diheboh-hebohkan sudah menjadi bahan ketawa. Sikap Kerajaan Barisan Nasional yang selalu hangat-hangat tahi ayam, terbukti kempen tersebut sudah menemui jalan buntu selepas BN menang ‘besor’ pada Pilihan Raya Umum 2004. Harga minyak sudah naik lima kali sejak tahun 2000, diesel naik enam kali, harga gas naik empat kali, tol naik, cukai tanah naik, gandum naik, tepung susu naik, mi naik, roti canai naik dan Barisan Nasional sudah menjadi “Barisan Naik”. Saya bagi contoh; harga beras naik, salah satu faktor utama adalah kerana kerajaan memberi status monopoli kepada Bernas untuk mengimport beras. Monopoli mengakibatkan kehilangan daya saing menyebabkan keuntungan kosmetik sebuah syarikat, tetapi rakyat jelata pula yang hidup sengsara.
Tuan Yang di-Pertua, kerajaan telah melakarkan banyak strategi untuk mengurus kewangan negara. Dalam aspek ini saya ingin menyentuh tentang janji kerajaan menguruskan dasar perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat serta mempertingkatkan hasil pendapatan negara.
Hari ini merupakan ulang tahun yang ke-39, May 13th merupakan episod yang amat sedih sekali dalam sejarah pembangunan negeri. Tuan Yang di-Pertua, kita semua berdebat, kita bertukar-tukar fikiran dalam pelbagai perspektif. Kita mungkin berbeza pendapat, berbeza latar belakang, berbeza fahaman politik, berbeza keturunan, budaya mahupun agama, tetapi selepas semua perbezaan ini, Tuan Yang di-Pertua, kita ada satu persamaan yang besar iaitu kita semua adalah anak Malaysia. Saya mengaku dalam Dewan ini, saya bukan orang Cina, saya anak Malaysia keturunan Tionghoa sebab inilah tanah tumpah darah saya... Kita juga hormat kepada Rukun Negara...Kita hormat kepada Institusi Raja Berperlembagaan...
Sebab ini kita tidak mahu lagi ada dasar bumiputera, bukan bumiputera, kita dijadikan second class citizen dalam negara ini. Kita cintakan negara ini, kita harap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri apabila menggulung atau merealisasikan impian Wawasan 2020 dalam pembentukan satu bangsa Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, perbezaan kaum, perbezaan jantina menjadikan kita semua anak Malaysia yang cintakan tanah air kita ini. Sebab itu, berdasarkan prinsip ini...saya harap bahawa tidak ada lagi di mana...politik perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC akan gulung tikar, akan ditutup, dimansuhkan. Tidak ada lagi parti politik perkauman dalam negara ini. Semua parti politik dalam negara ini adalah parti politik berbilang kaum seperti PKR, DAP mahupun PAS. Terima kasih banyak-banyak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment