Thursday, May 22, 2008

Ucapan YB Dr. Lee Boon Chye [Gopeng]: – Usul terima kasih titah DiRaja

(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)

Dr. Lee Boon Chye [Gopeng]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk bahas titah Diraja. Tuan Yang di-Pertua, tsunami politik 8 Mac yang lalu merupakan satu peristiwa yang bersejarah. Malangnya sehingga sekarang ada pemimpin Barisan Nasional yang masih dalam keadaan denial dengan izin. Tsunami politik ini dibawa oleh rakyat berbilang kaum yang mengundi untuk tolak politik perkauman, tolak rasuah dan mengundi untuk menegakkan keadilan. Keberanian rakyat telah memberi satu pengajaran kepada pemimpin Barisan Nasional bahawa kuasa adalah di dalam tangan rakyat.

Kini Pakatan Rakyat telah diberi mandat untuk mentadbir lima negeri di mana dari segi saiz ekonomi peratusan KDNK dalam lima-lima negeri ini adalah 44.7% daripada KDNK Malaysia. Antaranya Selangor 21.6%, Pulau Pinang 8.3%, Perak 8.1%, Kedah 4.4% dan Kelantan 2.3%. Ini merupakan satu kekuatan ekonomi yang tidak boleh diketepikan. Prestasi ekonomi kelima-lima negeri Pakatan Rakyat akan memberi impak yang besar kepada prestasi ekonomi keseluruhan negara. Justeru itu saya menyokong saranan daripada Yang Berhormat daripada Tanjong bahawa Kerajaan Persekutuan sepatutnya bekerjasama dengan kelima-lima negeri ini untuk membangunkan ekonomi demi kepentingan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, keberanian rakyat juga telah membangkitkan Yang Berhormat daripada Kulai dan juga Presiden MCA supaya prihatin dan mengambil berat tentang isu rakyat. Undi rakyat juga memberi keberanian kepada Yang Berhormat daripada Kulai untuk menyuarakan isu-isu rakyat yang sebenarnya semasa Yang Berhormat daripada Kulai mencadangkan usul menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 30 April yang lalu. Beberapa cadangan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Kulai sebenarnya merupakan cadangan yang di dokong oleh Parti Keadilan Rakyat selama ini. Isu ini seperti pengakuan bahawa rasuah merupakan musuh utama negara dan cadangan supaya BPR dan sekarang MCAC diberi kuasa untuk tindakan perundangan secara langsung dan juga langkah-langkah lain seperti tender terbuka dalam sistem pemerolehan kerajaan. Cadangan lain oleh Yang Berhormat Kulai juga seperti membantu sekolah-sekolah vernakular seperti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah bantuan seperti Sekolah Agama Rakyat, missionary school dan sebagainya berdasarkan kepada keperluan.

Cadangan beliau juga, menyarankan supaya membina sekolah vernakular dan sebagainya untuk masyarakat setempat mengikut keperluan. Beliau juga mencadangkan supaya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimansuhkan di sekolah rendah dan kembali kepada sistem asal iaitu menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik. Seterusnya beliau juga mencadangkan supaya menubuhkan IPCMC untuk reformasi pasukan Polis Diraja Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, saya mengalu-alukan cadangan-cadangan daripada Yang Berhormat Kulai. Akan tetapi, saya ingin memperingatkan Yang Berhormat Kulai yang juga presiden MCA bahawa terdapat empat orang menteri-menteri MCA dalam Jemaah Menteri sekarang. Sekiranya Kerajaan Barisan Nasional gagal melaksanakan cadangan-cadangan tersebut, adakah MCA akan mengarahkan supaya menteri-menteri dari MCA untuk meletak jawatan dari Jemaah Menteri? Adakah MCA bersedia untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat untuk melaksanakan dasar-dasar dan cadangan-cadangan tersebut?

Jawapan kepada persoalan ini akan memberi gambaran yang sebenar sama ada Yang Berhormat Kulai betul-betul jujur ataupun ucapan itu semata-mata satu muslihat dan sandiwara politik. Saya mendengar tadi Yang Berhormat daripada Jerlun pernah berkata bahawa tsunami politik mungkin boleh membangkitkan UMNO sekali lagi. Saya rasa dalam ucapan Yang Berhormat Jerlun tidak memberi sedikit sebanyak rujukan kepada parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain khususnya kepada MCA gerakan MIC dan PPP sebenarnya yang kalah teruk dalam tsunami politik 8 Mac yang lalu. Ini menunjukkan bahawa, saya rasa mungkin dalam anggapan Yang Berhormat Jerlun, komponen parti-parti ini dalam Barisan Nasional tidak relevan.

Ingin saya alih kepada isu perkhidmatan kesihatan. Tuan Yang di-Pertua, pada 27 April lalu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa negara kita masih kekurangan seramai 9,000 pakar perubatan dan jumlah ini mewakili 40% jawatan yang diperlukan di pusat kesihatan awam. Sudah 50 tahun kita merdeka. Sudah 50 tahun Barisan Nasional mentadbir. Takkan masalah sedemikian pun masih tidak dapat diselesaikan? Saya pernah mengenali pesakit yang menghidapi penyakit jantung koronari yang perlu menunggu lebih satu tahun untuk giliran pembedahan coronary bypass di Hospital Pulau Pinang. Apakah sudah terjadi kepada mutu perkhidmatan kesihatan kita? Sudah pasti perkara sedemikian tidak memenuhi piawaian perkhidmatan yang munasabah, reasonable standard of care, dengan izin.

Tuan Yang di-Pertua, saya faham bahawa kos untuk perkhidmatan perubatan semakin tinggi akibat kenaikan harga ubat, alat-alat yang mahal dan masalah penyakit-penyakit kronik yang memerlukan rawatan yang mahal dan rawatan yang berlarutan. Akan tetapi, perbelanjaan kerajaan untuk kesihatan masih rendah. Sekadar dari segi keseluruhannya 3.8% daripada KDNK pada tahun 2004 dan 3.5% pada tahun 2005. kalau dibandingkan dengan negara-negara yang lain, misalannya Amerika Syarikat 15.4%, United Kingdom 8.1%, Zimbabwe 7.5%, Korea 5.6% dan kalau ada berminat dengan Mongolia 6%.

Kini nampaknya ada kecenderungan trend atau trend kerajaan untuk melepaskan tanggungjawab dalam perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat Kota Raja. Kini beberapa bidang perkhidmatan di hospital telah diswastakan seperti mana yang dikatakan oleh Yang Berhormat Kota Raja tadi dan pembinaan hospital swasta nampaknya digalakkan dan trend ini agak membimbangkan.

Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Kesihatan pernah menubuhkan satu jawatankuasa khas beberapa tahun yang lalu untuk mengkaji Skim Insurans Kesihatan Negara. Iaitu Skim Kewangan Nasional or dengan izin National Health Financing Scheme. Antaranya mencadangkan menubuhkan satu Badan Kewangan Kesihatan Nasional dengan izin National Health Financing Authority untuk meneruskan skim tersebut. Malangnya setakat ini, butir-butir berkenaan skim tersebut masih tidak dimaklumkan kepada orang ramai, mahu pun Persatuan-persatuan profesional dan pihak-pihak berkenaan. Skim insurans kesihatan ini sekiranya dilaksanakan akan membawa kesan yang besar dari segi penyampaian perkhidmatan kesihatan dan juga implikasi kewangan kepada semua rakyat tidak kira kaum, gender, umur, taraf sosio ekonomi ataupun tahap pendapatan. Sebenarnya sebuah agensi perunding khas daripada Australia iaitu KAROL Professional Consultancy telah diupah oleh Kementerian Kesihatan untuk mengkaji isu ini dan laporan seharusnya siap pada akhir tahun 2007. Akan tetapi, sehingga sekarang tidak ada maklumat yang boleh diperolehi dalam soal ini dan saya hendak tanya di manakah ketelusan yang dijanjikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri? Saya mendesak supaya Kementerian Kesihatan memaklumkan keputusan cadangan daripada KAROL Professional Consultancy dan adakan perundingan dan diskusi secara terbuka dengan rakyat berkenaan Skim Kewangan Kesihatan Nasional.

Tuan Yang di-Pertua, kini kita mesti tolak sama sekali usaha-usaha untuk diswastakan perkhidmatan kesihatan, kerana kesihatan tidak boleh dianggap sebagai suatu komoditi yang ada harga yang tertentu yang boleh dijual beli. Perbelanjaan untuk merawat penyakit seperti kanser, sakit jantung dan penyakit kronik yang lain mungkin berbeza ratusan kali ganda mengikut pilihan kaedah rawatan dan kemampuan untuk bayar. Setakat mana rawatan diberikan kepada setiap pesakit bergantung kepada kemampuan seseorang untuk bayar sekiranya perkhidmatan kesihatan diswastakan. Sekiranya kita membenarkan ekonomi pasaran ataupun dengan izin market economy untuk menentukan permintaan dan pembekalan, maka pembekalan perkhidmatan kesihatan akan diberi kepada mereka yang mampu dan bukan kepada mereka yang perlu tetapi tidak mampu. Ini akan membentuk satu sistem dua cabang, dichotomy dengan izin yang tidak adil di mana orang yang kaya raya mendapat khidmat yang cemerlang, mana kala orang yang miskin pula tidak mampu untuk membiayai khidmat yang asas.

Tumpuan Kementerian Kesihatan seharusnya adalah meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital-hospital awam supaya ia bertaraf antarabangsa. Kita seharusnya menjadikan hospital Kementerian Kesihatan sebagai pilihan utama rakyat kerana mutu perkhidmatan yang cemerlang dan bukan kerana kos yang murah sahaja. Ini akan menjamin supaya kesemua rakyat dapat menerima rawatan yang baik, tidak kira sama ada daripada golongan yang kaya mahupun golongan yang miskin. Dalam hal ini saya bersimpati dengan kakitangan di hospital awam khususnya doktor, jururawat dan kakitangan lain yang terpaksa berkhidmat dalam suasana yang agak kekurangan dan menekan. Sumbangan dan pengorbanan mereka harus diiktiraf.

Tuan Yang di-Pertua, pada 2 April 2008 Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan menghantar pesakit kanak-kanak untuk rawatan pembedahan jantung di Hospital Narayanan Hrudayalaya Bangalore, India dengan perbelanjaan sebanyak RM2 juta setiap tahun. Jawapan yang diberikan kepada saya oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan adalah bahawa kementerian kekurangan kapasiti untuk menjalani pembedahan-pembedahan tersebut. Ini jelas menunjukkan kepincangan dalam perancangan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Tuan Yang di-Pertua, ingin saya cadangkan:

i. supaya tubuhkan satu Suruhanjaya Perkhidmatan Khas untuk doktor-doktor di Kementerian Kesihatan supaya ganjaran diberikan kepada mereka lebih menepati hasrat doktor-doktor dan pakar-pakar di hospital awam;

ii. supaya budaya kerja dan sikap di hospital kerajaan perlu diubah supaya lebih mementingkan dan menghormati hasrat pengguna dan pesakit; dan

iii. supaya Kementerian Kesihatan menentukan piawaian perkhidmatan, standard of care untuk rawatan yang diberikan di hospital awam.

Saya mohon menyokong. Terima kasih,

No comments: