(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan harapan bahawa 8 Mac 2008 ini akan membuka lembaran baru dan membawa harapan kepada era baru demokrasi Malaysia.
Pada 8 Mac 2008, Tuan Yang di-Pertua, rakyat jelata telah menunaikan kewajipan dan menggunakan hak mereka untuk memilih sebuah kerajaan. Kita menghormati kebijaksanaan pengundi untuk memilih wakil rakyat dan gabungan parti-parti politik untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Kita perlu menerima keputusan pengundi untuk menuntut perubahan politik yang akhirnya memperlihatkan kehilangan majoriti 2/3 parti pemerintah di Dewan Rakyat ini dan juga lima buah kerajaan negeri. Kita harus menyahut pesanan Seri Paduka Baginda supaya kita hendaklah menjadi kepentingan negara sebagai matlamat utama dalam menunaikan mandat rakyat yang diberikan kepada kita.
Bagi diri saya Tuan Yang di-Pertua, saya amat bersyukur kerana pengundi di kawasan Parlimen Tanjong, Pulau Pinang, telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat untuk penggal ketiga. Saya berjanji akan menunaikan peranan ini dengan sedaya upaya saya. Pertamanya, saya menyeru pucuk pimpinan Kerajaan Pusat untuk menerima hakikat bahawa mereka perlu menguruskan dengan lima buah kerajaan negeri yang memilih parti pembangkang untuk menerajui kerajaan negeri ini.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Perlembagaan Persekutuan kita sejak merdeka dan penubuhan negara Malaysia. Dalam proses pembinaan negara selama 50 tahun ini, kita telah meletakkan rangka untuk menguruskan perhubungan Kerajaan Pusat dengan negeri-negeri. Pada masa-masa dahulu, kita melihat pergolakan politik akibat daripada masalah dalam perhubungan antara Kerajaan Pusat dengan negeri-negeri. Misalnya di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Kita juga sering mendengar rungutan daripada wakil-wakil daripada Sabah dan Sarawak bahawa negeri mereka dilayani sekadar sebuah negeri dalam Persekutuan dan bukan sebagai satu wilayah daripada tiga wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Selepas penubuhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru, saya ada menyeru Kerajaan Pusat untuk menggunakan kebijaksanaan untuk menguruskan perhubungan di antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri. Perhubungan ini haruslah dijalinkan mengikut lunas-lunas Perlembagaan dan lebih-lebih lagi atas kematangan politik yang meletakkan kepentingan negara, kemakmuran dan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat dan integriti pemerintahan atas kepentingan individu atau kepartian yang sempit.
Tuan Yang di-Pertua, kita sering mendengar konsep kongsi kuasa di kalangan rakyat yang membentuk Malaysia. Sekarang kita perlu memperluaskan konsep kongsi kuasa ini di antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk oleh gabungan politik yang berbeza. Saya ingin menegaskan pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menghormati mandat rakyat dan mementingkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat demi menjaga kepentingan rakyat. Selepas Pilihan Raya Umum, kita ada mendengar kenyataan-kenyataan daripada menteri-menteri tertentu yang tidak dapat menerima keputusan rakyat dan mementingkan kepentingan parti daripada kepentingan rakyat. Ada pemimpin UMNO yang kini menjadi pembangkang di negeri Pulau Pinang mahu projek seperti Jambatan Pulau Pinang Kedua dihentikan dan Kota Belud saya rasa hari itu pun merasa begitu kerana rakyat telah menolak Barisan Nasional.
Tuan Yang di-Pertua, saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak bersikap sedemikian sebab beliau Perdana Menteri bagi semua rakyat dan semua negeri. Walaupun pahitnya hakikat negerinya sendiri, negeri Pulau Pinang jatuh kepada DAP, PKR dan PAS, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masih perlu menunjukkan beliau seorang pemimpin politik yang menerima keputusan rakyat dengan sikap yang boleh kita sanjung tinggi. Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus embrace each other dengan izin demi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.. Kongsi kuasa Kerajaan Pusat dengan negeri dapat memberi keyakinan kepada dunia bahawa Malaysia sudah matang dan bersedia mengambil tempatnya di persada dunia maju. Keyakinan ini amat penting untuk menjadikan Malaysia menarik kepada pelabur-pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia. Pertimbangan politik tidak seharusnya menjadi halangan kepada usaha untuk membangunkan negara dan memperkasakan rakyat. Malaysia akan gagal jika kita masih tidak dapat memecahkan kepompong lama sebab kita perlu menyatupadukan segala tenaga dan usaha untuk bersaing dengan negara-negara yang lain di dunia ini. Dunia tidak akan berhenti seketika untuk membolehkan Malaysia mengejar mereka. Sekali pun kita dapat mengekalkan tempoh pembangunan yang sedia ada, kita tidak dapat jamin kita masih boleh bersaing dengan cekapnya dengan negara-negara jiran kita.
Sektor swasta memainkan peranan sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Sejauh manakah inisiatif pembiayaan swasta telah mencapai sasarannya. Memandangkan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan adalah terhad, kita perlu menggiatkan inisiatif pembiayaan swasta lagi. Saya menyeru supaya kerajaan-kerajaan negeri diberi lebih kuasa dan ruang untuk menggalakkan inisiatif pembiayaan swasta untuk menjana projek-projek yang sesuai untuk membantu Kerajaan Pusat membangunkan negeri-negeri. Di negeri Pulau Pinang, PFI boleh dibenarkan untuk melaksanakan projek infrastruktur utama untuk mengatasi kekangan asas supaya negeri Pulau Pinang dapat terus membangun sebagai negeri yang maju dalam perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan di samping menjadi pusat bagi wilayah NCER dan Indonesia-Malaysia- Thailand Growth Triangle (IMT-GT). Tuan Yang di-Pertua, negeri Pulau Pinang terlalu penting untuk gagal. Gagalnya negeri Pulau Pinang, gagallah NCER dan IMT-GT.
Tuan Yang di-Pertua, keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Umum yang pertama diadakan selepas negara memasuki fasa 50 tahun yang kedua selepas kemerdekaan adalah sangat bermakna. Kita boleh mengesan pelbagai implikasi daripada keputusan politik ini. Demi masa depan negara kita, kita harus menyambut sekurang-kurangnya dua implikasi kepada pembangunan negara ini.
Pertamanya Tuan Yang di-Pertua, keputusan politik yang telah membawa perubahan kerajaan tanpa menimbulkan impak, tanpa menimbulkan perkara seperti tercetusnya insiden berdarah 13 Mei selepas Pilihan Raya Umum tahun 1969. Rakyat pada keseluruhannya menerima keputusan ini dengan tenang dan sebagai satu proses demokrasi yang perlu ditegakkan. Saya berharap semua pihak dapat memelihara semangat demokrasi dan membuktikan peralihan politik boleh berlaku tanpa perlunya insiden berdarah seperti 13 Mei.
Keduanya Tuan Yang di-Pertua, keputusan politik ini telah memperkasakan rakyat, empowerment untuk memilih kerajaan dengan mudahnya. Rakyat sudah sedar mereka mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan yang tidak dapat memenuhi aspirasi mereka. Mesej penting adalah mana-mana gabungan politik tidak boleh take for granted dengan izin. Mereka akan kekal sebagai parti pemerintah untuk selama-lamanya. Rakyat akan akhirnya menerima faedah kerana parti-parti pemerintah dan parti-parti pembangkang akan lebih bertanggungjawab. Wujudnya sistem dua parti ini memang akan memperkayakan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Tuan Yang di-Pertua, satu tuntutan rakyat Malaysia adalah untuk memulihkan sistem pilihan raya dalam majlis-majlis perbandaran ataupun PBT yang dimansuhkan 40 tahun dahulu. Saya ada minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk memulihkan sistem pilihan raya kepada kerajaan tempatan. Jawapannya adalah seringkas-ringkasnya iaitu kerajaan tidak bercadang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan. Saya minta Kerajaan Pusat untuk menimbang semula keputusan ini supaya tidak menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan tempatan yang dapat menjaga kepentingan mereka. Kerajaan Pusat harus menyediakan satu road map ke arah pemulihan sistem pilihan raya termasuk meminda undang-undang yang menghalang proses ini.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan berhubung dengan persijilan halal yang juga dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pokok Sena iaitu Penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Halal. Baru-baru ini saya ada menerima aduan daripada Persatuan Pengilang Kicap di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bahawa ekoran dengan rejim baru ini, mereka akan menghadapi...sebab diambil alih oleh perbadanan ini yang selama ini
logo halal yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Negeri Pulau Pinang tidak akan diperakukan lagi. Mereka menghadapi cabaran untuk menambah baik kemudahan-kemudahan untuk dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh perbadanan.
Saya berharap kerajaan dapat menimbang untuk memberi satu tempoh yang lebih panjang supaya mereka dapat membaiki kilang-kilang dan menambah baik peralatan supaya dapat memenuhi syarat-syarat ini dan akhirnya saya juga berharap demi mewujudkan negara dan negeri-negeri ataupun perbandaran yang lebih selamat. Saya menyeru Kerajaan Pusat untuk meluluskan perbelanjaan ataupun peruntukan untuk membolehkan pihak berkuasa tempatan misalnya di negeri Pulau Pinang untuk memasang CCTV di seluruh negeri Pulau Pinang dan kawasan majlis perbandaran. Ini untuk menjadikan Pulau Pinang selamat sebab memang terbukti
dengan pemasangan CCTV ini, kadar jenayah dapat dikurangkan dan memandangkan kita sedang menghadapi masalah-masalah berhubung dengan keselamatan dan jenayah, kadar jenayah yang semakin meningkat, peruntukan ini amatlah berguna untuk memastikan negeri dan perbandaran kita selamat. Sekian, terima kasih.
Thursday, May 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment