Wednesday, May 28, 2008

Ucapan Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: – Usul terima kasih titah DiRaja


(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Dengan penuh tanggungjawab, saya Ahli Parlimen kawasan Lembah Pantai turut membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tuan Yang di-Pertua, keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu bukan sekadar mencatat kejayaan terbesar oleh Pakatan Rakyat, tetapi hakikat transisi kuasa yang berlaku secara tenang membuktikan generasi muda telah meletakkan tragedi tahun 1969 hanya sebagai nota kaki dalam sejarah negara. Yang membimbangkan generasi kami dan juga rakyat umumnya ialah jurang perbezaan pendapatan di antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.

Jurang di antara tauke Melayu, Cina dan India yang menghisap cerut cohiba dari Cuba dengan penjual sayur di Pasar Selayang, pemandu teksi di Pantai Dalam dan penjual teh tarik di Brickfields yang hanya mampu menghisap tembakau seludup dari Jawa semakin membesar. Penagihan peluang ekonomi yang tidak adil dan dasar yang terlalu mengutamakan kepentingan mereka yang rapat dengan pemerintah telah melebarkan lagi jurang perbezaan pendapatan antara golongan kaya dan rakyat biasa. Inilah yang sering diperkatakan oleh rakyat.

Kini dunia sedang menghadapi krisis makanan, kenaikan harga minyak yang mengheret kenaikan harga barangan keperluan yang lain memberi kesan yang perit terhadap rakyat bawahan. Kalau diseret sejarah harga minyak yang rendah sekadar mencecah 12 sehingga 26 dolar setong sekitar zaman 1960-an dahulu, jangan lupa dijelaskan juga keadaan ekonomi yang mencatat peningkatan KDNK hingga 8.5% antara tahun 1981 hingga 1997, bukti bahawa pengekalan subsidi bukanlah penyebab longlainya peningkatan tahap ekonomi negara. Ini berbeza dengan keadaan di Malaysia yang sedia ada. Kenaikan harga minyak yang tidak dijangka sehingga mencecah 125 dolar setong, perolehan tinggi keuntungan negara selaku pengeksport minyak sepatutnya memberikan ruangan untuk pelaksanaan projek yang menambah nilai sumber-sumber untuk jangka masa panjang, termasuk pembinaan lebih banyak loji penapisan minyak di negara ini.

Seterusnya, menambah pendapatan bagi mengalih beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. pelaksanaan sistem ration atau resen bagi memastikan kecekapan pengagihan subsidi hanyalah menyambung beban pasca Perang Dunia Kedua sesuatu yang tidak dapat diterima apabila warga seharusnya memandang ke depan dan bukannya menjadi nostalgik dan mengikuti dasar-dasar masa silam.

Tuan Yang di-Pertua, sepanjang berkempen, saya juga melihat rumah-rumah yang didiami oleh anak-anak Melayu miskin di Pantai Dalam. Anak-anak muda Cina dan India sekitar Bangsar. Saya tertanya-tanya apakah yang mereka mahukan? Pastinya mereka inginkan pendidikan dan latihan, peluang pekerjaan dan perumahan selesa. Namun, saya lebih terdorong untuk mengatakan bahawa apa yang mereka dahagakan ialah kebebasan. Memperoleh mutu pendidikan dan keselesaan hidup, menginsafi segala permasalahan rakyat dan negara yang saya sebutkan tadi, ingin saya pancarkan di Dewan yang mulia ini faham keafdalan kebebasan. Saya ulangi keafdalan kebebasan atau privacy of freedom dengan izin, yang telah lenyap di bumi Malaysia dan perlu dikembalikan.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Itulah saya hendak ulas. Dulu Yang Berhormat pergi ke sekolah pakai Mercedes Benz… [Disorak] Kenapa sekarang baru cakap. Dulu pergi sekolah pakai Mercedes Benz….

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Seterusnya Tuan Yang di-Pertua saya sambung, anak muda di Malaysia dahagakan kebebasan dan ia diinjak-injak oleh pemerintah.

Datuk Anifah bin Haji Aman [Kimanis]: Anak orang Melayu lain jalan kaki, dia naik Mercedes Benz ke sekolah…

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Saya selaku ahli muda di Dewan ini bersedia menerima nasihat ikhlas...tetapi dalam masa yang sama saya menyeru agar pemerintah agar memberhentikan segala bentuk seperti cara ini...Serta usaha menyalah, memperkecil serta memperlekehkan anak muda di Malaysia. Kita jangan senang-senang menuding jari tanpa memahami erti membara anak muda yang sentiasa mencari cara dan bentuk untuk menyalurkan letusan yang sekian lama terpendam.

Kerajaan lebih suka generasi masa depan terbelenggu dengan budaya kala bendu kata Orang Jawa yang bermakna kerana cenderung huru-hara menganjur pesta tapi tidak menganjur wacana bebas. Tidak ada kebebasan tanpa kepertanggungjawaban. Itulah yang ditegaskan oleh Haik dalam bukunya The Constitution of Liberty....Dengan sinar kebebasan, generasi muda pastinya memandang serius indeks persepsi rasuah yang...menempatkan Malaysia di tangga 43 pada tahun 2007.sementara melihat Singapura berada di tangga keempat...

Kita tidak hairan sebenarnya pemerintah di Malaysia terutamanya sebelum ini sering menggunakan nilai Asia meminggirkan kebebasan. Proses semacam indoktrinasi ini menggunakan alasan, kononnya kebebasan ini adalah nilai Barat tidak secocok dengan kita dari Timur akan tetapi kita tidak melihat kebebasan menjadi bahagian penting dari pemerintahan di Malaysia. Kita lihat sahaja akta kuno seperti ISA diwarisi dari kerajaan Kolonial British. Betapa undang-undang ini sangat bersalahan dengan kebebasan yang dijamin oleh semangat keperlembagaan itu sendiri. Hakikatnya tanpa ISA pun sudah cukup undang-undang lain untuk mengadili sesiapa pun di mahkamah.

Tuan Yang di-Pertua melalui sistem pendidikan pula, pemerintah mengongkong pelajar dengan AUKU. Sistem di universiti bukan lagi untuk menjana kecemerlangan tetapi cara kemasukan ke universiti hari ini sebagai contoh, hanya menginstitusikan kelaihan atau kelembapan. Sistem kemasukan universiti hari ini hanya menggalakkan aliran keluar bakat-bakat cemerlang yang telah dinafikan kebebasan mereka untuk memasuki universiti di negara ini. Bukan rahsia lagi, ada negara jiran yang sudah memikat pelajar cemerlang kita semenjak di bangku sekolah. Usaha-usaha menginstitusikan ‘kelaihan’ atau dengan izin, institutionalizing mediocrity, sebenarnya juga telah menafikan kebebasan anak-anak muda kita untuk mendapat pengajian terbaik di institusi pengajian tinggi tempatan.

Ahli akademik sudah tidak lagi bebas menyuarakan pandangan ilmiah mereka yang tidak selaras dengan pandangan pemerintah. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Jomo Kwame Sundaram dan juga Edmund Terence Gomez yang hari ini berkhidmat di PBB. Hari ini Akujanji menjadi surat ugutan untuk memaku pemikiran para ahli akademik. Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk penambahbaikan sistem pendidikan, elemen kebebasan dapat dikembalikan dalam sistem pendidikan kita. Suruhanjaya ini perlulah mempunyai bidang kuasa yang membolehkan mereka menyiasat dan mengkaji sistem pendidikan kita daripada sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Dan asas kepada tugas suruhanjaya ini haruslah untuk mengembalikan dan menghidupkan kebebasan dalam sistem pendidikan.

Saya hanya perlu merujuk kepada jawapan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Dewan yang mulia ini bagi menunjukkan bencana yang telah menimpa sistem Pendidikan kita. Di anggarkan 60 ribu hingga 80 ribu graduan universiti tempatan yang menganggur dan jelas sekali, kebanyakan majikan lebih menggemari graduan luar negara. Universiti tempatan pula terus merudum kedudukannya di peringkat di antarabangsa. Pada tahun 2007, tidak ada satu pun universiti tempatan yang tersenarai dalam carta Times Higher Education Supplement. UM yang berada di tangga 162 pada tahun 2006 kini telah terkeluar.

Apa yang ingin saya katakan berkenaan perubahan sistem pendidikan ini bukanlah berbunyi sedap di atas kertas sahaja. Finland sebagai contoh, sebuah negara yang menikmati faedah kebebasan di dalam sistem pendidikan…pertumbuhan kerjasama ekonomi dan pembangunan OACD, berjaya mencapai tahap pendidikan tertinggi di dunia. Terutamanya pencapaian dalam bidang sains, matematik dan minat membaca. Tidak ada formula khusus yang menjayakan sistem pendidikan di Finland....tetapi apa yang diperhatikan adalah bagaimana dijamin keterbukaan dan kebebasan yang diberikan untuk merangka kurikulum, sejajar dengan afdalnya kebebasan dalam pendidikan. Para guru diberi ruang untuk menentukan strategi mengajar di sekolah-sekolah. Kanak-kanak mula bersekolah dari umur tujuh tahun dan digalakkan untuk berdikari dan diajar untuk membuat keputusan sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, penolakan kepada keafdalan kebebasan ini juga mengakibatkan negara semakin merosot daya saing untuk menarik kehadiran pelabur asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Kawalan sempadan yang longgar membawa kepada kebanjiran buruh asing. Namun pada masa yang sama, kerajaan tidak bersungguh dalam membuka pasaran untuk pelabur asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan. Saya sedar ramai yang takut dengan idea kebebasan ini. Sudah saya sebutkan awal-awal tadi bahawa kebebasan datang dengan tanggungjawab. Mereka yang takut dengan kebebasan adalah golongan yang sudah melupakan tanggungjawab individu.

Tuan Yang di-Pertua, dalam pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj mengisytiharkan bahawa tanah air kita akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan. Saya berdiri di Dewan yang mulia ini sambil mengenangkan anak-anak muda dari pelbagai kaum dan agama, saya berharap suatu hari nanti supaya dapat memberitahu mereka bahawa mereka mempunyai tempat di negara ini. Bahawa mereka boleh mengembalikan kedudukan mereka dalam masyarakat dan sememangnya kebebasan hak mereka yang asasi yang telah dijanjikan oleh pengasas negara kita. Tuan Yang di-Pertua saya mohon menyokong.

No comments: