Tuesday, May 13, 2008

Ucapan penasihat DAP- Usul terima kasih atas Titah Ucapan – Bahagian 2

Dewan Rakyat (6 Mei 2008)

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebelum Dewan yang mulia ini ditangguhkan, saya sedang memberi jalan kepada Yang Berhormat Jerlun. Saya tidak tahu dia mahu menggunakan peluang itu atau tidak, atau mahu teruskan.

Dato' Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur dan juga terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jadi, yang pertamanya kita selalu dengar pihak pembangkang selalu sangat mengungki-tungkit mengenai tsunami politik. Saya sendiri sudah banyak kali ke Acheh waktu berlakunya tsunami, jadi kalau boleh hendak minta janganlah kita guna perkataan “tsunami” ini, kerana bila berlaku tsunami bukan sebelah pihak sahaja yang mati, semuanya mati. Jadi, carilah istilah yang lain.

Mengenai rasuah, tidakkah Yang Berhormat Ipoh Timur setuju bahawa rasuah ini tidak semestinya berkait dengan wang ringgit tetapi salah guna kuasa pun dianggap sebagai rasuah. Itulah di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan dulu. Saya pun tertanya-tanya, adakah Yang Berhormat Ipoh Timur setuju bahawa walaupun dalam keadaan sudah bersara empat tahun yang dulu, pengaruh Tun Dr. Mahathir masih dirasai, walaupun dalam Parlimen ini sendiri sehinggakan Yang Berhormat Ipoh Timur selalu mengungkit soal Tun Dr. Mahathir. Terima kasih.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Terima kasih. Yang pertama mengenai perkataan “tsunami”. Sebenarnya pada Mac 2004 apabila Yang Amat Berhormat mendapat kemenangan yang besar, pada masa itu saya ada menggunakan perkataan “tsunami” yang menunjukkan satu perubahan dan kemenangan yang besar dan tidak perlulah kematian besar-besaran, itu untuk menjelaskan.

Yang kedua mengenai korupsi yang pun termasuk penyalahgunaan kuasa – benar, dan sebab itu tadi saya ada tanya sama ada Yang Berhormat daripada Jerlun bersetuju bahawa dalam masa pemerintahan bekas Perdana Menteri 22 tahun ada berlaku banyak peristiwa, yang mana ada penyalahgunaan kuasa dan sama ada rela adakan satu siasatan terbuka khasnya mengenai pemecatan Lord President, Ketua Hakim, Tun Salleh Abas dan sangat jelas bahawa adalah penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri pada masa itu sehingga mengakibatkan 20 tahun kegelapan kehakiman negara kita, di mana kebebasan dan kredibiliti kehakiman jatuh kepada satu tahap yang tidak pernah berlaku di Malaysia. Saya tidak tahu sama ada Yang Berhormat Jerlun bersetuju atau tidak bersetuju.

Yang ketiga saya bersetuju bahawa bekas Perdana Menteri masih ada for good of an evil. Ada good, ada evil tetapi Yang Berhormat Jerlun relakah untuk bincang mengenai apa yang good dan apa yang buruk untuk negara, tetapi itu mungkin untuk perbahasan yang lainlah.

Tuan Yang di-Pertua, saya dapati bahawa Raja Petra Kamaruddin sudah dibawa ke mahkamah, dan ada satu charge sedition dan ada diberi bail RM5,000 dan dia enggan bayar dan sekarang dihantar ke Penjara Sungai Buloh. Saya rasa inilah satu peristiwa di mana saya ada bangkitkan pagi ini yang menunjukkan keengganan Kerajaan Barisan Nasional, adakan satu suasana yang lebih terbuka supaya soalan-soalan berkaitan dengan tingkah laku pucuk pimpinan yang tertinggi adalah satu penjelasan khasnya satu siasatan yang terbuka.

Oleh kerana sekarang RPK di Penjara Sungai Buloh, saya rasa ini satu isu orang ramai. Ada satu kempen “Satu Orang, Satu Ringgit” untuk kumpul wang bail RM5,000 supaya dia boleh dibebaskan. Saya percaya bahawa seramai 82 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, semua rela menderma RM1.00 seorang Ahli Parlimen. Saya tidak tahu sama ada semua Ahli-ahli Barisan Nasional rela buat begitu, 220 Ahli-ahli Parlimen ini. Seringgit seorang yang menunjukkan kita mahu suasana yang lebih terbuka. Itu terpulanglah kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Sebelum ucapan saya diganggu oleh beberapa Ahli Parlimen, saya sedang sebut mengenai sedikit perubahan, yang saya lihat dalam perbahasan ini, di mana ada Ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan yang pun nampaknya berminat mengenai isu korupsi, isu salah guna kuasa khasnya, apabila pencadang Yang Berhormat dari Kulai Presiden MCA, yang memulakan ucapan beliau khasnya mengenai isu-isu korupsi dan sangat berminat. Oleh kerana ini ialah kali pertama saya mendengar seorang Ahli Parlimen baik pun MCA atau parti-parti komponen Barisan Nasional bincang mengenai rasuah di negara kita. Oleh kerana sehingga perbahasan ini, Ahli-ahli Parlimen yang menimbulkan, yang membangkitkan hal rasuah di Dewan yang mulia ini, ialah daripada pihak pembangkang. Tidak pernah ada sesiapa yang bangkit perkara ini bagi pihak Barisan Nasional dan ini satu perubahan yang baik. Akan tetapi kita mahu tengok inilah sebenarnya jujur dan ikhlas dan bukan satu mainan politik sahaja.

Satu soalan yang timbul, di sini ialah memang tempat yang wajar untuk melaksanakan, untuk menterjemahkan idea-idea untuk membanteras rasuah, yang elok baik ialah di Kabinet. Di Parlimen kita boleh menyuarakan. Kita boleh menyuarakan cadangan-cadangan dan bagaimana kita perlulah membanteras ataupun political will untuk membanteras rasuah. Akan tetapi tempat yang boleh melaksanakan, boleh menterjemahkan idea-idea itu menjadi tindakan, rancangan ialah dalam Kabinet.

Saya tidak faham, kenapa Yang Berhormat dari Kulai sebagai Presiden MCA, memilih untuk datang ke Parlimen dan bukan dalam Kabinet supaya boleh melaksanakan idea-idea itu? Apa ertinya? Kalau dia tidak ada peluang untuk masuk Kabinet kita boleh faham, datang ke Dewan yang mulia ini untuk menyuarakan. Itu pun mustahak. Saya mengalu-alukan, bukan saya kata bahawa dia tidak patut mengutarakan cadangan-cadangan, pandangan-pandangan itu. Kenapa dia pilih tidak pergi di Kabinet supaya idea-idea itu bukan sahaja disuarakan, tetapi boleh dilaksanakan? Adakah ini menunjuk bahawa dia tidak ada kepercayaan, tidak ada keyakinan bahawa idea-idea ini boleh diterima, dan boleh dilaksanakan dalam Kabinet? Lebih elok dia datang ke Dewan yang mulia ini berucap, dan rakan-rakannya yang termasuk Yang Berhormat daripada Bentong.

Dato’ Liow Tiong Lai: Adakah Yang Berhormat khuatir bahawa peranan yang dimainkan oleh pihak pembangkang selama ini telah pun diambil alih oleh Parti MCA, kerana MCA sekarang telah pun dapat memberikan pandangan-pandangan yang konstruktif, yang lebih membina untuk pembangunan negara? Dan selama ini pun, kita telah pun menjalankan tugas ini dengan baik dalam Kabinet. Dalam kabinet telah pun kita menyuarakan, telah pun mengimplementasikan dengan berkesan.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Kita tidak takut, kita alu-alukan. Ini bukan kita takut, tadi Yang Berhormat kata bahawa sekarang MCA kemukakan idea lebih konstruktif ini mengaku dulu dia distractive, negatif. [Ketawa] Negatif dan distractive sehingga sekarang perlulah copy DAP dan parti-parti pembangkang supaya lebih konstruktif. Sebab itu saya ada kata kita lebih kompetitif dan kita mengalu-alukan untuk kebaikan negara. Dan dia boleh tengok satu dewan yang lebih seimbang, lebih balance supaya adalah pandangan-pandangan yang bernas boleh dikemukakan dan dibincangkan. Sebab itu, saya mengalu-alukan apa Yang Berhormat dari Kulai utarakan. Saya sangat gembira mendengarnya. Akan tetapi soalan saya ialah, kenapa dia datang, pilih ke Parlimen apabila dia ada tempat yang lebih penting untuk memastikan idea-idea ini dilaksanakan? Bukankah ini lari daripada menjawab? Adakah ini satu contoh bahawa petunjuk yang pertama, dia tidak ada keyakinan bahawa Kabinet adalah tempat untuk melaksanakan idea-idea ini? Kedua, adakah Yang Berhormat daripada Bentong tadi yang berdiri boleh memberi jaminan bahawa segala idea-idea yang dikemukakan oleh Yang Berhormat sama ada dari Kulai atau Ahli-ahli Parlimen MCA tentu akan dilaksanakan di dalam Kabinet oleh kerajaan, bolehkah?

Dato’ Liow Tiong Lai: Saya rasa apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat dari Ipoh Timur itu adalah satu tanggapan dan juga niat jahat, yang tujuan untuk mempolitikkan apa yang diutarakan oleh Presiden MCA dalam Parlimen ini. Saya rasa kalau kita hendak berbincang secara profesional, di mana kita sebagai Ahli-ahli Parlimen hendak berbincang pasal isu, jangan hendak putar belitkan isu macam ini. Kita bawakan isu yang baik - anti rasuah. Kita hendak pastikan bahawa perkara ini dijalankan dengan begitu baik, tetapi pihak pembangkang, pihak daripada Ipoh Timur suka hendak memutar belitkan ini...Itulah fiil, orang kata Yang Berhormat Ipoh Timur. Selama ini dah lama dalam Parlimen, tetapi sentiasa telah menjadi batu api untuk memastikan perkara ini. [Dewan riuh] [Ketawa]

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Cakap sangkaan jahat, itulah sangkaan jahat. Saya tidak ada apa-apa sangkaan jahat, tetapi ini persoalan yang semua ingin tanya. Kenapa tempat yang boleh melaksanakan idea-idea tetapi lari daripada itu, tetapi datang ke Dewan yang mulia ini. Bukan saya tidak mengalu-alukan, tidak setuju! Saya setuju, tetapi kenapa? So, macam cadangan-cadangan lain bukan kali pertama kita dengar. Kita selalu pun ada dan sebab itu tadi, dua hari dahulu apabila saya mendengar ucapan Yang Berhormat dari Kulai, itulah apa yang Ahli-ahli Parlimen DAP kerap kali ada kemukakan, bukannya baru. Itu baik, itu betul dan saya mengalu-alukan, tetapi soalan ialah apa yang mustahak ialah sebagai ketua parti, kenapa ketika ada tempat di Kabinet untuk melaksanakan, untuk mengotakan janji-janji, tetapi tidak memilih untuk berbuat begitu. Ya, Yang Berhormat dari Taiping.

Tuan Nga Kor Ming [Taiping]: Terima kasih Tan Sri Speaker, terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Ipoh Timur, saya hendak minta penjelasan sedikit. Adakah Yang Berhormat berasa ini satu perkara luar biasa, di mana sebuah parti pemerintah yang telah memerintah lebih 50 tahun, sekarang baru mengeluarkan hujah yang membina dan konstruktif tentang rasuah? Dan sebagai ketua parti dalam sebuah kerajaan yang boleh mengubah dasar, adakah ini bukan sandiwara politik apabila dia boleh membuat dasar, tetapi dia pilih di Dewan Rakyat ini untuk mengemukakan isu-isu rasuah ini?

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Saya bersetuju, sangat aneh! Selama 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun, 50 tahun tidak ada pendirian itu daripada parti-parti MCA atau parti-parti komponen yang lain. Kedua, sama ada menimbulkan pandangan persepsi bahawa itu adalah sandiwara, maka itu terpulanglah kepada rakyat dan tentu mereka ada persoalan itu. So macam cadangan-cadangan ada di buat mengenai IPCMC. Yang Berhormat dari Kulai kata patutlah ada IPMC tetapi mengapa untuk empat tahun, tiga tahun kita tidak berhenti dalam Dewan yang mulia ini atau di luar untuk berjuang untuk menubuhkan Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPMC) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penguat Kuasa Polis berkata bahawa cadangan yang terpenting daripada 125 cadangan tetapi sampai minggu lalu tiada seorang Ahli-ahli Parlimen atau Menteri MCA, atau Barisan Nasional pun memberi sokongan, tetapi sekarang, ada. Baik, kita pun harap bahawa ini antara satu reformasi yang akan dibawa oleh Perdana Menteri selepas peristiwa politik tsunami 8 Mac...Tetapi sampai sekarang barulah kita dengar. Sebab itu kita tentu ada soalan, adakah ini jujur, adakah ini ikhlas, adakah Kerajaan Barisan Nasional...

Adakah ini menunjukkan bahawa ini satu sandiwara kalau barulah menyuarakan dalam Parlimen tetapi tidak rela untuk memastikan ia dilaksanakan diterima di Kabinet. Apa ertinya? Dan khasnya untuk tiga empat tahun ini apa pendirian MCA, menteri-menteri MCA mengenai IPCMC. Apa pendirian Yang Berhormat daripada Bentong? Sampai sekarang tidak ada. Sekarang baru dengar, saya mengalu-alukan tetapi bukan saya sendiri sahaja, semua yang mengeluarkan. Adakah itu ikhlas? Adakah itu jujur? Bukan kata kita tidak mahu, menolak hak Yang Berhormat daripada Kulai untuk menyuarakan. Kita mahu dengar lebih suara constructive ini yang selalu ada diutarakan oleh Ahli-ahli Parlimen DAP dan lain-lain Ahli Parlimen Pembangkang. Mereka boleh copy kita, tidak apa. Kita boleh kata ini copyright. Copyright tidak boleh copy. Boleh copy. Semua cadangan di dalam Dewan yang mulia ini yang kita katakan, kita bebas beri license kepada Ahli-ahli Parlimen untuk copy itu….seperti freedom of religion, kebebasan beragama, seperti kehakiman...Keutuhan agama. Ya, Bagan Serai dahulu.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Terima kasih Yang Berhormat dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita banyak dengar daripada rakan-rakan MCA bahawa mereka menyokong satu perjuangan pembangkang, ini minta penjelasan. Satu perjuangan pembangkang yang hampir-hampir lebih 30 tahun saya melihat Yang Berhormat Ipoh Timur berjuang dalam Dewan yang mulia ini dan saya minta Yang Berhormat Ipoh Timur beri penjelasan. Adakah Yang Berhormat Ipoh Timur merasakan bahawa rakan-rakan kita di sebelah sana they have been converted dengan izin ataupun sudah ditarbiah untuk berjuang bersama-sama dengan kita? [Tepuk]

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Harap begitulah bahawa mereka sudah boleh mencontohi parti-parti pembangkang sekarang sungguhpun di peringkat nasional tetapi di peringkat negeri yang ada lima negeri ialah sebuah parti yang memerintah. Seperti yang saya kata bahawa cadangan kita, pendirian kita, kita memberi license kepada MCA...dan lain-lain untuk...Yang Berhormat daripada Bintulu.

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur. Yang Berhormat Ipoh Timur kata tadi menceritakan sahaja salah guna kuasa. Memang cerita semua kita salah. DAP yang canggih, saya cuma mahu tanya di sini, surat khabar 22/04/2008. Ini mengenai isu Grand Saga di surat khabar. Ini executive councillor, Ronnie Liu ini bagi arahan minta boleh roboh itu barrier semua, tetapi tidak pernah pergi siasat siapa salah, siapa tidak salah. Ini perkara mahu pergi mahkamah atau tidak perlu pergi mahkamah, suruh rakyat roboh semua. Akhir sekali, daripada pagi, sini I baca dengan izin, “this crime above because on Friday, Selangor State Local Government, Study and Research Committee Chairman, Ronnie Liu has said the land belongs to the state and gave the council the power to act. At 10.20 heavy machinery brought in by the Bandar Mahkota Cheras Open Acces Road Committee with the help ofdeveloper Narajaya Sdn. Bhd which build the road, begin drilling hole into the concrete barrier and. Work was stop at 10.40, when MPKJ...”

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Saya tidak tahu apa, saya tidak tahu apa kes.

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Ini isu tentang salah guna kuasa. Tidak, ia mengarahkan, to prolong the action, pasal state government kasi arahan to appoint the individual...to determine who had the right over it. Ini ada salah satu salah guna kuasa lagi dah. Saya cuma tanya ini Yang Berhormat Ipoh Timur ini you punya perintah baru berapa lama? Ada salah guna kuasa ke tidak? Ini surat khabar dia, you ada salah guna kuasa atau tidak you punya councillor? Menteri besar juga ada di sini, cuba tanya. Sekarang sudah masuk mahkamah. Janganlah salah guna kuasa you. Hari-hari hentam orang, pun tidak tahu tengok sendiri punya muka.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Saya tidak tahu apa kes ini dan...

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Apa tidak tahu, you hari-hari orang sudah tunjuk ini you cakap tidak tahu... [Dewan riuh]

Tuan Lim Lip Eng [Segambut]: Itu bukan salah guna kuasa oleh Kerajaan Negeri Selangor. [Dewan riuh]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: [Ketawa] Kuman di lautan dia nampak,gajah depan mata tidak nampak ke?

Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [Lenggong]: Salah orang sahaja pandai. Tengok orang salah sahaja.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, baik duduk, yang kita mahu menumpukan perhatian ialah skandal-skandal yang kita semua tahu seperti skandal Port Klang Free Zone RM4.6 billion yang mana Yang Berhormat Bintulu ialah satu main player.

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Yang Berhormat Ipoh Timur, saya mahu minta sedikit penjelasan sama ada Yang Berhormat Ipoh Timur sedar bahawa dalam kes Mahkota Cheras ini Kerajaan Selangor menggunakan kuasa mereka untuk meruntuhkan barricade yang telah dibina tanpa sebarang keizinan. Saya tanya sama ada Yang Berhormat Ipoh Timur juga sedar bahawa apabila penduduk-penduduk daripada Bandar Mahkota Cheras yang cuba untuk meruntuhkan barricade yang illegal itu yang dibina tanpa izin itu, polis-polis telah datang dan menangkap mereka. Saya hendak tanya, sama ada pada pendapat Yang Berhormat Ipoh Timur itulah penyalahgunaan kuasa polis-polis dan yang menyalahgunakan kuasa itu ialah pihak polis dan bukan Kerajaan Selangor yang menggunakan kuasa mereka untuk meruntuhkan barricade yang telah di bina tanpa keizinan pada mulanya?

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya. Saya setuju dengan Yang Berhormat daripada Serdang. Di sini, bincang mengenai korupsi yang dibangkitkan khasnya yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat daripada Kulai mengenai korupsi dan saya mahu tanya ada perkara-perkara yang dikemukakan sebenarnya jujur dan ikhlas dan saya mahu bagi satu contoh iaitu Port Klang Free Zone RM4.6 bilion. Perkara ini saya ada bangkitkan beberapa kali dalam Dewan yang mulia ini...

Dato' Seri Tiong King Sing [Bintulu]: You tak payahlah, saya fahamlah apa you mahu cakap. You sudah cakap banyak kalilah.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Banyak kali, betul. Kenapa banyak kali? RM4.6 bilion skandal yang terbesar lebih besar apabila dibandingkan dengan skandal yang pertama pemerintahan bapa Yang Berhormat Jerlun, Tun Dr. Mahathir. Skandal terbesar masa itu ialah Bumiputera Malaysia Finance skandal BMF skandal RM2.5 bilion. Sekarang Port Klang Free Zone scandal RM4.6 bilion dua kali ganda...

Datuk Wira Ahmad Hamzah [Jasin]: Peraturan Mesyuarat 36(9). Dalam apa-apa perbahasan tidak boleh disebut kelakuan atau sifat sesiapa Ahli-ahli Parlimen atau sesiapa pegawai kerajaan. Di dalam konteks ini Tuan Yang di-Pertua saya berharap semoga Yang Berhormat Ipoh Timur tidak mengulang lagi tuduhan tersebut. Kalau sekiranya ada berlaku rasuah buktikan buat laporan. Jangan kita mengambil konon hendak dapatkan political mileage sebut dalam Parlimen. Buat apa? Pergi lapor kepada polis, kepada BPR supaya dibuat siasatan. Janganlah hendak buat tuduhan liar.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, ini tak kena-mengena. Ini mengenai RM4.6 bilion Port Klang Free Zone scandal dan soalan-soalan yang saya bangkitkan dalam Parlimen dahulu sampai sekarang belum dijawab. Saya harap sekarang boleh dijawab kerana kita ada seorang Menteri Pengangkutan yang baru dan Menteri Pengangkutan yang baru mengikut style dan komitmen MCA yang baru yang mahu membanteras rasuah sehingga beliau pernah berkata dengan izin dalam surat khabar “Ong to tell all on the PKFZ- I wish to reveal to the people the true situation”. The true situation! Sampai sekarang belum mendedahkan the true situation.Report of PKFZ it won’t be just a statement, pledges Transport Minister. Won’t consider whether former leaders would be investigated. Ong Tee Keat revealing the truth about the issue and not personalities. Kita mahu sekarang apa sebenarnya latar belakang selok-belok skandal Port Klang Free Zone yang RM4.6 bilion. Sekarang Pengerusi Port Klang, lembaga pengarah yang baru kata dan dia mengakui semalam di dalam The Sun - Lee Hwa Beng yang baru dilantik sebagai Port Klang Authority, Pengerusi PKA. Lee an accountant by training opined the PKFZ was a bad idea to start with. A bad idea to start with! The idea datang dari Yang Berhormat Bintulu yang mengakibatkan negara rugi RM4.6 bilion. [Tepuk]

RM4.6 bilion bukan satu angka yang kecil. Lima soalan yang saya ada kemukakan saya masih tunggu jawapan. Soalan-soalan pokok ialah kenapa apabila pihak berkuasa Port Klang dan Kementerian Pengangkutan begitu berkeras memberi 1,000 ekar tanah Pulau Indah kepada Port Klang Free Zone pada harga RM25 sekaki persegi atas dasar willing buyer, willing seller. Sungguhpun Kamar Peguam Negara serta perbendaharaan menyuarakan bantahan yang keras dan sebaliknya mencadangkan supaya tanah berkenaan diambil dengan tanah RM10 sekaki persegi dan Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pihak berkuasa Port Klang dan Kementerian Pengangkutan berkenaan atas dua syarat.

Pertama, jaminan tegas dari Menteri Pengangkutan bahawa cadangan Port Klang Free Zone adalah feasible dan self financing. Feasible dan self financing dan tidak akan memerlukan sebarang dana awam, tak perlu wang awam.

Kedua, bahawa setiap RM100 juta perubahan atau variation dalam kos pembangunan Port Klang Free Zone akan memerlukan kelulusan Jemaah Menteri terdahulu. Soalan kedua, dari segi ini syarat yang pertama telah dilanggar apabila kos projek Port Klang Free Zone telah berkembang dari RM1.1 bilion menjadi RM4.6 bilion sehingga memerlukan campur tangan dan tindakan menyelamatkan bail out dari kerajaan.

Syarat kedua telah dilanggar apabila kos pembangunan Port Klang Free Zone yang pada asalnya RM400 juta telah berkembang menjadi RM2.8 bilion tanpa sebarang kelulusan terdahulu daripada Jemaah Menteri untuk setiap kenaikan RM100 juta dalam kos pembangunan berkenaan. Sebenarnya perlulah 14 kali Jemaah Menteri bermesyuarat memberi 14 keputusan kebenaran untuk kenaikan kos pembangunan Port Klang Free Zone daripada RM400 juta kepada RM2.8 bilion. 14 kali perlu Kabinet bermesyuarat dan buat keputusan tetapi satu kali pun tiada. Mana accountability, transparency dan good governance.

Soalan ketiga Menteri Pengangkutan telah melanggar undang-undang dengan mengeluarkan letters of support kepada Kuala Dimensi Sendirian Berhad, syarikat Yang Berhormat Bintulu kontraktor turnkey Port Klang Free Zone untuk mengeluarkan RM4 bilion bon yang telah dianggap oleh pasaran sebagai gerenti kerajaan. Menteri Pengangkutan tidak berkuasa mengeluarkan gerenti kewangan yang mengikat kerajaan kerana surat-surat ini hanya boleh dikeluarkan oleh Menteri Kewangan setelah mendapat kelulusan dari Jemaah Menteri dan letters of support yang pertama telah dikeluarkan oleh bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr. Ling Liong Sik pada 28 Mei 2003 iaitu hari terakhir perjawatan Menteri Pengangkutan beliau, sementara tiga lagi telah dikeluarkan oleh successor beliau Dato’ Seri Chan Kong Choy.

Keempat sama ada bahawa dengan mengiktiraf bahawa empat letters of support yang tidak sah yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan itu masih mempunyai kesan gerenti kerajaan terhadap pasaran kerana Jemaah Menteri pada pertengahan tahun lepas telah memberi kelulusan retrospektif kepada keempat-empat surat berkenaan. Ini telah mencipta liabiliti setinggi RM4.6 bilion kepada kerajaan dalam cubaan build up PKFZ.

Kelima, mengapakah tidak ada tindakan yang telah diambil terhadap bekas menteri-menteri pengangkutan iaitu Tun Dr. Lim Liong Sik, Datuk Seri Chong Kong Choy serta pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan empat letters of support yang tidak sah berkenaan. Yang tidak dengar menteri-menteri pengangkutan Datuk Seri Chong Kong Choy masa itu mendakwa bahawa beliau tidak sedar bahawa sebagai Menteri Pengangkutan beliau tidak berkuasa untuk mengeluarkan letters of support berkenaan. Adakah ini merupakan penjelasan yang boleh diterima sedangkan kerajaan sekarang kini telah terjejas dengan skandal RM4.6 bilion Port Klang Free Zone. Sungguhpun Kabinet ada memberi kelulusan untuk cadangan Port Klang Free Zone atas syarat bahawa ia adalah feasible, self financing, tak perlu apa support wang dana.

Sungguh pun Kabinet ada memberi kelulusan, kebenaran yang bersyarat bahawa projek ini feasible, self financing, tak perlu apa-apa financial support wang kerajaan, sekarang perlulah terikat dengan RM4.6 bilion support kepada bon-bon yang dikeluarkan oleh syarikat Yang Berhormat daripada Bintulu. Bukankah benar sekarang? Bukankah sekarang bahawa Port Klang Authority dapati bahawa dengan sokongan kerajaan RM4.6 bilion pun bukan viable, bukan feasible dan bukan self financing. Dan perlulah meminta Kabinet untuk melonggarkan syarat-syarat untuk pinjaman RM4.6 bilion semacam turun faedah, interest daripada 4% ke 2% untuk memanjangkan tempoh bayar balik daripada 10 tahun yang asalnya kepada 30 tahun, bukan ini semua scandalous? Dan mana itu RM4.6 bilion sudah pergi? Siapa sudah untung? Siapa sudah dapat keuntungan? Adakah Yang Berhormat daripada Bintulu kata dia dapat apa-apa faedah daripada Port Klang Free Zone skandal? Siapa pemimpin-pemimpin MCA? Siapa pemimpin-pemimpin UMNO yang dapat faedah? Bukankah ini masa sudah sampai satu royal commission enquiry into RM4.6 bilion Port Klang Free Zone skandal, the biggest scandal di bawah pemerintahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Dan kita ada Yang Berhormat Bintulu, Pengerusi BBC yang rela berdiri untuk mempertahankan the biggest scandal dalam pemerintahan...

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Yang Berhormat Ipoh Timur, kalau you berani pergi luar Dewan sana cakap. [Tepuk] Saya cabar kamu pergi luar sana cakap. Satu, dua...Saya tunggu luar Dewan sana.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: All right, no problem, bila-bila pun boleh. [Dewan riuh] [Tepuk]

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Bila-bila pun boleh. Tiada masalah. You kata nak minta penjelasan Dewan sidang bulan lepas, Timbalan Menteri Kewangan cukup jelas panjang, jelas. You kata ini projek tidak bagus, Menteri Besar Selangor sekarang ada sini, dia pun ada pergi melawat tapak itu, kalau projek itu tidak bagus, kenapa Selangor mahu beli? Mahu ambil alih? Satu.

Dua, saya bina projek itu termasuk tanah semua RM2 bilion lebih sahaja. Separuh itu, RM2 bilion lebih itu faedah, interest. You faham tak? Kalau tak faham, you tak pandai kira, bawa kalkulator, saya ajar macam mana kira. [Tepuk] Kalau you tak faham, Menteri Besar Selangor ada di sini, dia dulu pun korporat punya orang, minta dia ajar you macam mana kira. You lihat dulu betul-betul, kalau kata ini projek self financing, everybody must support, hari-hari kita pergi condemn, siapa berani mari? Kalau perempuan mahu kahwin, hari-hari orang condemn, ada orang berani kahwin ke?

Ketiga, letter of support. Saya mahu tanya letter of support you kata, ini support. Cuba baca dalam Dewan yang mulia, itu surat letter of support apa dia kata? Ini letter of support kepada rating agency ke ataupun pakai bank? Cuba baca surat itu habis dulu, terang-terang bahawa this letter is not a guarantee letter or the payment, cuma dia beritahu ini agensi kerajaan ada sain perjanjian ini sahaja, itu sahaja.

Tan Sri Dato’ Abd. Khalid bin Ibrahim [Bandar Tun Razak]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin meminta penjelasan dari Yang Berhormat Ipoh Timur yang saya telah pergi melawat FTZ itu kerana untuk mengetahui tentang pelaburan dan kegunaan wang-wang yang telah digunakan untuk membuat hartanah di kawasan tersebut. Saya dari negeri Selangor merasakan kalau kegunaan wang yang begitu besar yang akan memberi
kesan kepada juga ekonomi di kawasan Pelabuhan Klang, saya telah membuat. Adakah saudara daripada Ipoh Timur tahu bahawa harga yang dibuat untuk pembinaan-pembinaan tersebut, adalah saya anggap bukan berkirakan komersial. Jadi oleh sebab itu, pulangan dari hasil-hasil ataupun sewaan yang didapati dari pelaburan hartanah tersebut mungkin tidak dapat dibayar untuk selama 30 ke 60 tahun. Jadi itu sebabnya Kerajaan Negeri Selangor mendapati jika pelaburan itu tidak sesuai dan ditinggalkan, ia akan menjadi beban kepada negeri Selangor. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menolong bagaimana menyelesaikan masalah ini dan pengalaman Menteri Besar Selangor dalam mengambil alih syarikat-syarikat yang tidak menguntungkan dan boleh memberi usaha baru untuk mencari pelabur-pelabur yang benar-benar boleh melabur dalam FTZ ini. Dan membawa satu hasil yang lebih baik daripada yang dijalankan oleh mereka yang hanya membuat pelaburan hartanah sahaja. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Bandar Tun Razak.

No comments: