Wednesday, May 28, 2008

Ucapan Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: – Usul terima kasih titah DiRaja

(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Lega rasanya, alhamdulillah. Saya tak sangka untuk berucap ini sama peritnya untuk menang dalam pilihan raya Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong dengan memulakan satu statistik yang mengisyaratkan tentang perlunya negara kita ini maju ke hadapan untuk memastikan perpaduan kaum, perpaduan nasional berlaku dalam negara ini. Statistik yang telah dijalankan oleh salah satu daripada badan yang membuat kajian telah menunjukkan bahawa 42% daripada rakyat Malaysia, mereka lebih suka untuk mengecam diri mereka mengikut masing-masing iaitu seramai 42%. Manakala yang mengecam diri mereka sebagai rakyat Malaysia pula ialah sebanyak 45%.

Saya menganggap bahawa peratus ini menuntut kita supaya membuat satu penilaian semula kepada usaha-usaha perpaduan kerana mengikut statistik juga, Ahli Yang Berhormat sekalian, Tuan Yang di-Pertua, bahawa tanggapan kepada usaha-usaha perpaduan ini bagi orang Melayu yang menganggap usaha-usaha perpaduan ini ikhlas ialah sebanyak 62%, kaum Cina menganggap perpaduan ini ikhlas 35%, orang India yang menganggap perpaduan ini ikhlas ialah 75%. Tanggapan ini sudah tentulah merupakan satu yang menuntut kita sebagai pembuat dasar di dalam Dewan Parlimen yang mulia ini untuk kita mencari formula dan jalan keluar bagi kita memperkasakan dan memantapkan perpaduan nasional di dalam negara ini.

Saya mencadangkan tiga langkah yang boleh diambil sebagai usaha-usaha memurnikan perpaduan dalam negara ini, iaitu pertama, mentakrifkan dan mentajdid kan semula makna perpaduan kerana sudah 50 tahun kita merdeka dan kalau kita berlegar di sekitar cara yang sama, saya khuatir keputusan yang kita dapat juga adalah keputusan yang sama. Oleh itu kita harus keluar daripada daerah ini dan mencipta apa yang saya namakan sebagai third graph social reengineering dengan izin, iaitu penstrukturan semula kemasyarakatan graf ketiga untuk kita keluar daripada daerah kongkongan yang selama ini kita terima pakai dan kita harus mencipta satu graf yang baru untuk memastikan perpaduan nasional di negara kita ini tercapai.

Untuk melaksanakan sedemikian, saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan ini untuk memikirkan dan melibatkan tak kiralah kita daripada pembangkang atau daripada kerajaan, apa cara yang baik untuk kita duduk dan kita bincang dan kita bersepakat. Kita buanglah kepentingan parti kita, kita buangkanlah apa sahaja kepentingan yang selama ini kita perjuangkan, kita meletakkan prioriti negara kita ini untuk mencapai kata sepakat bagi kita membina dan memperkasakan perpaduan nasional.

Yang kedua ialah menilai semula doktrin patriotisme yang selama ini diamalkan, yang saya anggap pada satu tahap terlalu sempit dan dangkal. Contohnya; apabila Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional menyebut menyokong pembangkang itu seolah-olah terpengaruh dengan putar-belit dan fitnah, ada yang sampai tahap berani menyatakan kalau tidak menerima pengorbanan yang dilakukan oleh Barisan Nasional ini maka seolah-olah kita tidak beriman. Bagi saya ini satu nilai fahaman yang sempit, kerana bagi kami apa yang kita faham dalam konteks patriotisme itu ialah menyanggah pandangan, menyanggah pendapat itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk penentangan, tetapi ia adalah di atas dasar kasih dan cinta kita kepada negara ini dan tiada siapa yang berhak di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita mempertikaikan patriotisme dan kasih sayang kita terhadap Raja dan negara ini.

Yang ketiganya ialah, membuang fahaman politik yang sempit yang diamalkan. Iaitu menganggap bahawa ada hak cipta terpelihara bagi kumpulan tertentu sahaja di dalam negara ini yang mampu mentadbir negara dan oleh kerana itu walaupun tarikhnya sudah expired, tapi mereka masih lagi merasakan mereka ada stamina sehingga perbuatan mereka ini boleh memberi kesan kepada pengurusan dan pentadbiran negara itu sendiri. Oleh itu, kami menganggap bahawasanya umur UMNO yang baru-baru ini telah diraikan setelah sampai kepada 62 tahun kita menganggap bahawa tunjuklah contoh yang baik kepada anak-anak, kepada cucu-cucu supaya bermuafakatlah, berbincang dengan baik, tapi janganlah menunjukkan ataupun menceritakan rumah tangga itu di hadapan khalayak ramai sehingga ia memalukan bukan sahaja orang UMNO, tapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu saya mengharapkan supaya selesailah masalah dengan anak-beranak, dengan anak isteri elok-elok dan janganlah dedahkan masalah itu kepada pengetahuan umum. Ini kerana saya khuatir kalau mereka sibuk dengan ini dan didedahkan kepada rakyat akan hilang perhatian untuk mereka ini mentadbir negara. Jikalau mereka rasa mereka sudah tidak mahu tadbir negara, hendak sibuk dengan parti, bagi orang lain pula yang tadbir negara ini.

Yang keduanya pula, saya hendak menyebut sedikit tentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan menterinya pun ada di sini bahagian agama Islam. Saya harap dapat mengambil nota-nota supaya dapat dikemaskinikan kedudukan Islam dalam negara kita ini dengan kita mengambil kira bahawa agama lain itu bebas untuk diamalkan tetapi Islam itu sendiri dalam konteks kenegaraan seperti mana yang disalah anggap oleh ramai wakil-wakil Yang Berhormat terhadap perjuangan kami daripada parti PAS. Kami menganggap bahawasanya kemuncak kepada suatu sistem pemerintahan ialah apa yang disebutkan dengan izin...[Membaca sepotong hadis] Atau menegakkan keadilan dan menjalankan consensus ataupun dengan izin, syura. Itulah substance yang dikatakan sebuah negara yang menuju kepada keredaan Allah S.W.T.

Dalam konteks kontemporari hari ini.... [Membaca sepotong hadis] Ataupun menegakkan keadilan dan syura itu diterjemahkan di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita menggubal dasar-dasar, apa sahaja yang memastikan bahawa matlamat tertingginya dan nilai tertingginya ialah menegakkan keadilan. Inilah yang kita perjuangkan dalam konteks bahawa Islam itu lebih substantif daripada formatif seperti mana yang difahami oleh ahli-ahli yang tidak memahami perjuangan Islam ini.

Seterusnya, saya ingin mencadangkan kepada beberapa langkah untuk kita memperkasakan apa yang dinamakan sebagai kedudukan Islam dalam pentadbiran negara ini. Pertama ialah pengukuhan institusi agama Islam dalam pentadbiran setanding dengan Institusi-institusi yang lain. Saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua, bahawa pengarah-pengarah daripada Jabatan Agama Islam ini kebanyakan malah hampir mungkin kesemuanya tidak ada latar belakang daripada Pengajian Islam. Kalau kita tengok untuk menjadi Pengarah Haiwan Veterinar, pengarah hospital contohnya mereka mesti datang dari latar belakang yang mereka wakili. Kalau begitu, sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam, kita tuntut juga kalau boleh biarlah pengarah-pengarah ini datang daripada latar Islam yang layak dari sudut jawatan dan sebagainya. Ini kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di Jabatan Agama Islam Perak iaitu pengarahnya yang ada hari ini bukan daripada kalangan yang ada latar belakang Islam dan yang lebih buruk daripada itu, grednya itu pula tidak sesuai dan tidak cocok dengan kedudukannya sebagai pengarah...Jadi, saya mengharapkan.

Saya hendak ambil satu lagi, yang ini saya rasa saya potong yang lain saya ambil yang itu. Iaitu mengukuhkan institusi fatwa melalui pembentukan pemikiran fatwa, acuan fiqh Malaysia. Saya rasa ini telah dibincangkan oleh para ahli akademik bahawa kita tidak mahu terkongkong dengan fiqh yang datang daripada suasana ataupun negara lain. Kita mahukan fiqh yang dinamakan sebagai acuan Malaysia selagi mana perkara itu tidak bercanggah degan perkara-perkara yang prinsip. Oleh itu, sebuah jawatankuasa perlu diwujudkan bagi kita mentransformasikan fiqh ala Malaysia ini, supaya dokumentasi pengkaedahan fiqh yang bersifat lokal ini dapat menyumbang kepada perkembangan fiqh di peringkat antarabangsa... Saya dengan itu mohon untuk menyokong. Sekian, terima kasih.

No comments: