20-05-2008 02:15:02 PM Oleh G. MANIMARAN
SELEPAS 24 jam negara dikejutkan dengan 'bom politik' Tun Dr. Mahathir Mohamad, persoalan mengenai punca dan sebab yang membawa kepada tindakan keras lagi muktamad bekas Perdana Menteri itu masih belum jelas. Meskipun Dr. Mahathir sudah menjelaskan dengan panjang lebar sebab berhubung pendiriannya termasuk menerusi blognya, tetapi ia masih kurang meyakinkan ramai.
Di sebalik persoalan-persoalan itu, termasuk sama ada siapa lagi yang akan membarisi keputusan Dr. Mahathir juga masih belum jelas. Setakat tengah hari tadi, empat orang sudah jelas dengan pendirian mereka. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, bekas Setiausaha Agung Ummo, Tan Sri Sanusi Junid dan pemimpin veteran dari Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah. Kemungkinan beberapa pemimpin Umno yang tidak sebaris dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah pasti akan berbuat demikian.
Sedang rakyat masih mencari arah untuk menerima keputusan Dr. Mahathir, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad semalam melontarkan idea bahawa negara akan berdepan dengan satu lagi pilihan raya umum, kali ini pilihan raya tergempar pula.
Oh! Sudah! Kata beliau, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, tindakan Dr. Mahathir kemungkinan memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan pilihanraya umum sekali lagi. Negara baru sahaja mengadakan pilihan raya umum ke-12 iaitu pada 8 Mac. Tempoh mandat yang diperoleh masih belum cukup 100 hari.
Dalam pilihan raya umum ke-12, Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen. BN hanya menguasai 140 kerusi manakala pembangkang pula 82 kerusi, sekali gus muncul desas-desus bahawa budaya melompat parti akan menjadi kenyataan bagi membolehkan barisan pembangkang, Pakatan Rakyat membentuk kerajaan peringkat persekutuan. Malah, Shahrir, antara pengkritik kuat ketika krisis Umno 1987/88 menambah, keputusan Dr. Mahathir itu boleh mengakibatkan situasi di mana ramai ahli Parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan.
Beliau, kini Ahli Parlimen Johor Baru, juga berpandangan kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menubuhkan sebuah kerajaan baru atau mengadakan pilihanraya umum baru.
Bagaimanapun Presiden Pergerakan Just, Dr. Chandra Muzaffar, yang mengikuti perkembangan politik sejak empat dekad lalu menolak andaian sedemikian. Sambil memberikan dua sebab, kata beliau, pembubaran Parlimen untuk memanggil pilihan raya tergempar adalah sesuatu yang tidak akan berlaku. Pertama, jelas beliau, ahli-ahli Parlimen BN khususnya Umno tidak akan berbuat demikian dengan mengambil kira keperluan kedudukan dan status bagi mereka sebagai ahli politik.
Kedua, situasi semasa hanya merupakan isu kepimpinan, bukannya isu yang membabitkan BN secara keseluruhan. "Oleh itu, saya merasakan tidak mungkin, tidak mungkin pilihan raya tergempar akan diadakan," katanya.
Jumaat lalu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu mStar Online, kerajaan baru meskipun berusia kurang daripada tiga bulan masih boleh dibubarkan. Jadi, kerajaan persekutuan pimpinan Abdullah tidak ada halangan untuk berbuat demikian jika desakan dan keperluannya wujud. Tetapi persoalan ialah adakah wujud keperluan dan desakan untuk berbuat demikian sudah mula wujud? Nampaknya, pandangan Chandra juga boleh diterima.
Malah ketika Umno menghadapi krisis kepimpinan 'mirip isu semasa' pemimpin Umno dan BN ketika itu, Dr. Mahathir sendiri tidak pernah membubarkan Parlimen. Pilihan raya hanya diadakan pada tahun 1990 meskipun krisis sudah mula wujud sebaik sahaja pilihan raya umum 1986. Tambahan pula ketika itu Umno dan BN tidak berhadapan dengan isu politik besar seperti sekarang di mana majoriti di Parlimen mengecil dan berhadapan dengan saingan pembangkang dan kehilangan kuasa kerajaan negeri di lima buah negeri.
Bagaimanapun pandangan Shahrir yang mengakui perkembangan terbaru sudah pastinya tidak membantu keadaan dalam Umno sekarang, lebih-lebih lagi ketika pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar (bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno) mendakwa beliau boleh menarik ahli-ahli Parlimen Bn melompat parti. Perkembangan tersebut tegas beliau boleh mengurangkan jumlah ahli Parlimen dari Umno yang menjadi parti dominan BN, yang memerintah sekarang. Pastinya Abdullah juga tidak mahu mengambil caturan politik yang digerakkan oleh Dr. Mahathir.
Jika Abdullah bertindak memanggil pilihan raya tergempar sekarang sudah pasti ia sama sekali tidak akan memanfaatkan BN dan Umno. Sebaliknya ia boleh membawa kesan yang lebih buruk ketika wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak sudah memberikan kata dua dalam tuntutan mereka dan membuka ruang yang luas kepada tindakan melompat parti.
Wednesday, May 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment