Monday, May 12, 2008

Penduduk BMC anggap k'jaan Pakatan 'lemah'

Andrew Ong & Lee Weng Keat | May 9, 08 5:27pm

Penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) menganggap kerajaan negeri Selangor "lemah" dan tidak mampu menangani pertikaian berhubung pemasangan tembok

penghadang yang menutup jalan bagi mengelak bayaran tol di Lebuhraya Cheras-Kajang.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, pengerusi jawatankuasa buka jalan BMC, Tan Boon Hwa berkata, kerajaan negeri telah gagal memaksa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk bertindak dalam perkara tersebut.

Katanya, surat dari pejabat tanah Hulu Langat mengesahkan tempat tembok penghadang itu dibina bukan milik syarikat konsesi Grand Saga ataupun di bawah bidangkuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Bagaimanapun, dalam memorandum tersebut, Tan berkata, MPKj hanya berdiam diri dan gagal mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Grand Saga.

Tan memetik Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan1974 yang menyatakan sesiapa yang membina struktur secara haram dalam kawasan awam boleh ditahan tanpa waran oleh pegawai polis atau pegarah kerajaan tempatan.

Hukuman melanggar undang-undang tersebut ialah denda tidak melebihi RM500 dan denda RM1,000 bagi kesalahan berikutnya.

Mesyuarat minggu depan

Kira-kira 40 penduduk BMC telah berhimpun di kompleks kerajaan negeri Selangor untuk menyuarakan rasa tidak puashati mereka kepada Khalid, tetapi mereka kecewa dengan jawapannya.

Khalid menolak permintaan mereka supaya melawat kawasan tempat tembok penghadang itu dipasang, yang mencetuskan pertikaian antara penduduk di situ dengan syarikat konsesi lebuhraya, Grand Saga.

Menteri besar berkata, pegawainya sedang menguruskan mesyuarat dengan empat pihak minggu depan, membabitkan kerajaan negeri, kerajaan pusat, Grand Saga dan penduduk di situ.

Tan memberitahu pemberita kemudiannya bahwa penduduk kecewa dengan respons Khalid tetapi masih optimis mengenai mesyuarat minggu depan.

Sementara itu, Tan mendakwa beliau dipukul di muka, belakang dan kaki oleh anggota polis sewaktu berlaku pergelutan malam tadi ketika pekerja Grand Saga membina semula tembok penghadang di jalan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Tan berkata, penduduk akan terus memusnahkan tembok di situ setiapkali ia dibina semula oleh Grand Saga.

Katanya, berdasarkan apa yang berlaku malam tadi, para penduduk tidak boleh lagi berdepan risiko mengalami kecederaan.

Gas pemedih mata dan meriam air digunakan untuk menyuraikan kira-kira 500 penduduk yang membuangkan tembok di situ malam tadi.
Tan adalah antara empat individu yang ditahan dalam kejadian tersebut. Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan ikat jamin.- Malaysiakini

No comments: