Tuesday, May 13, 2008

Antara cucigali dan cucicuri

Pertama kali saya mendengar istilah ‘cucigali’ ialah kira-kira sebulan lepas iaitu dalam satu mesyuarat bersama antara Wakil Rakyat DUN Bangi dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan. Ianya bermula dengan laporan bertulis JKKK Kampung Masjid, Bangi mengenai kejadian banjir yang melanda kampung itu dengan mengaitkan kegiatan mencuri pasir di sepanjang Sungai Semenyih sebagai salah satu puncanya.

Semasa menjawab kenyataan laporan itu, wakil Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Hulu Langat menyatakan buat masa ini tiada lagi kegiatan mencuri pasir – yang kini saya istilahkan sebagai cucicuri. Apa yang berlaku sekarang kata beliau ialah projek cucigali yang diusahakan oleh JPS melalui kontraktor-kontraktor lantikan mereka. Dalam projek ini JPS melantik para kontraktor melakukan kerja-kerja mendalamkan sungai dan sebagai balasan mereka dibenarkan menjual semua pasir yang dikorek dan disedut semasa melakukan kerja-kerja tersebut. Ini berlaku kerana JPS tidak membayar sesen pun kepada kontraktor lantikan mereka untuk kerja-kerja yang boleh mengelakkan kejadian banjir.

Bagaimanapun bagi penduduk yang terlibat proses cucgigali ini tidak dilihat semudah yang didakwa oleh JPS. Mereka melihat saban hari puluhan buah lori mengangkut pasir dari sungai-sungai yang terletak di kampung mereka. Adalah dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 lori pasir sungai berjaya dikeluarkan oleh kontraktor berkenaan setiap bulan. Jadi dengan kiraan kasar harga pasir sungai bermutu tinggi itu RM100 selori maka hasil jualan bulanan adalah melebihi RM100,000 bagi setiap kontraktor. Oleh kerana kontraktor ini pula kebiasaannya adalah datang dari luar kampung mereka, maka penduduk kampung menganggap kegiatan ini bukannya cucigali malah ia adalah cucicuri yang halal di sisi JPS.

Atas dasar cucicuri inilah agaknya akhbar Sinar Harian pada 9 Mei lalu menyiarkan bantahan penduduk sebuah kampung di Semenyih mengenai kegiatan korek pasir di kampung mereka. Malangnya berita itu agak mengelirukan kerana bantahan dibuat terhadap projek cucicuri di Kampung Rinching Hilir (KRH) tetapi individu yang ditemu ramah adalah seorang penduduk yang masyarakat tempatan mengenali beliau sebagai penduduk di Kampung Batu Tiga (KBT). Oleh sebab itulah akhbar yang sama hari ini – 13 Mei – menyiarkan berita yang kontradik bertajuk, ‘Penduduk tidak bantah korek pasir’.

Kali ini sumber berita datangnya dari seorang yang mengaku sebagai penduduk KRH yang dipetik sebagai berkata, “Dari mula kerja-kerja pembersihan dilakukan kami (penduduk KRH) tidak pernah membantah kerana ia adalah untuk kepentingan dan keselamatan penduduk. Apa yang dikesalkan adalah penduduk kampung seberang mengaku mereka penduduk KRH sedangkan kenyataan itu palsu.”

Lucu tapi benar. Itulah hakikatnya bila akhbar yang sama menyiar dua buah berita yang sama-sama sekali kontradik antara satu sama lain. Pembaca yang tidak mengenali kedua-dua buah kampung – KBT dan KRH – tentu tertanya-tanya berita yang mana satu yang benar?. Untungnya ialah saya memang mengenali penduduk kampung sebarang – istilah penduduk KRH – yang ditemuramah akhbar berkenaan pada 9 Mei lalu.

Beliau adalah seorang aktivis masyarakat yang disegani di Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi-Semenyih. Kami berkenalan hampir sepuluh tahun lalu dan hubungan kami agak rapat ketika saya memegang jawatan Pengarah MTD Beranang ketika itu. Sementara kampung Rinching Hilir bukanlah asing bagi saya kerana salah seorang Timbalan Pengarah MTD ketika itu yang juga merupakan imam muda kampung tersebut adalah seorang rakan saya.

Jadi sebenarnya kerja-kerja cucigali atau cucicuri dilakukan di sebatang sungai yang memisahkan kedua-dua kampung tersebut. Punca masalah kerana kontraktor telah memberi sagu hati atau pampasan kepada penduduk KRH kerana tanah mereka digunakan untuk aktiviti cucigali itu. Sedangkan penduduk Kampung Batu Tiga tidak diberikan sebarang pampasan atau sagu hati kerana tanah mereka tidak terlibat secara langsung. Bagaimanapun penduduk Kampung Tiga turut menerima kesan kerja-kerja cucigali kerana tanah mereka turut terhakis dan sebagainya.

Garis pemisah antara istilah-istilah cucigali dan cucicuri tentunya semakin mengelirukan bila kita hayati kenyataan Exco Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor yang disiarkan oleh akhbar yang sama semalam – 12 Mei 2008. “Selepas menyusun semula Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), kita akan menggesa mereka menjaga kawasan kampung daripada diceroboh oleh pihak yang menjalankan kegiatan mencuri pasir. Saya tidak nafikan ada wakil kampung yang mengambil bayaran daripada kontraktor atau syarikat-syarikat terbabit demi menutup aktiviti yang menimbulkan kerosakan alam semula jadi tetapi selepas ini kita akan mengambil tindakan. Kita akan memberi ganjaran kepada sesiapa yang menangkap kontraktor menjalankan kerja ini.”

Kesimpulannya Kerajaan Negeri Selangor mengakui kegiatan cucicuri yang mengakibatkan hasil kutipan (cukai melalui Pejabat Tanah) hanya RM17 juta setahun sedangkan sepatutnya sebanyak RM100 juta setahun. Di pihak JPS pula tidak ada kegiatan cucicuri tetapi kontraktor-kontraktor kesayangan mereka hanya melakukan kerja-kerja amal yang dinamakan cucigali! Sementara kita mencarigali makna cucigali dan cucicuri, para kontraktor cucigali semakin lemah bunyi sendawa mereka akibat terlalu lama melakukan kerja amal – 50 tahun – dengan memperkuda beberapa agensi kerajaan dan JKKK yang sama usia dengan mereka mengaut keuntungan halal di sisi JPS!.

No comments: