Friday, April 25, 2008

Terima Kasih JPS Hulu Langat

Assalamu'alaikum wbt,

Saya sebagai Ahli Jawatan Kuasa Bertindak ADUN Bangi mengucapkan terima kasih kepada JPS Hulu Langat kerana menunaikan janji untuk mengorek parit yang menghubungkan 'retention pond' di Kampung Bangi dengan Sungai Bangi. Kerja-kerja menggali oleh kontraktor JPS telah siap pada 23 April lalu berikutan keputusan mesyuarat bersama JPS dan beberapa agensi lain dengan Yang Berhormat ADUN Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pada 18 April 2008.

Parit kecil sepanjang lebih kurang 200 meter ini merupakan permintaan penduduk tempatan sebagai langkah segera mengurangkan paras air yang bertakung di Kampung Masjid dan Kampung Bangi setiap kali hujan lebat turun. Bagaimana pun langkah menggali parit ini diharap menjadi permulaan hubungan yang lebih mantap antara Wakil Rakyat Bangi dengan semua agensi-agensi kerajaan khususnya JPS Hulu Langat. Ada banyak lagi aduan rakyat di Pejabat ADUN Bangi yang masih belum sempat diproses.

Bagi Kampung Masjid dan Kampung Bangi sendiri ada tiga persoalan besar yang memerlukan tindakan segera semua pihak bagi mengelak bencana banjir yang sering berlaku sekarang dari berulang kembali iaitu:

1. Projek Tebatan Banjir Sungai Bangi di bawah JPS yang memberi kontrak kepada Gorass Sdn Bhd beberapa tahun lalu yang terbengkalai hingga kini.

2. Penyelenggraan 'retention pond' oleh MPKj secara tetap dan sistematik atau adakah MPKj tidak pernah menyelenggara 'retention pond' ini?

3. Permohonan JKKK Kampung Masjid, Bangi terhadap sistem perparitan di kampung tersebut yang khabarnya telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat. Penduduk kini menunggu bila agaknya projek ini akan dimulakan.

InsyaAllah saya akan terus memantau perkembangan ketiga-tiga isu di atas dengan penuh minat dan kesabaran.

Sekian, Terima Kasih

Haji Abdul bin Abdul Karim
Jawatankuasa Bertindak ADUN Bangi

No comments: