Tuesday, April 22, 2008

Teresa : Rang Undang-undang Penjara 1995 (Pindaan) 2007

Ucapan YB Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Penjara 1995 (Pindaan) 2007 pada 19 Disember 2007


Tuan Yang di-Pertua, tadi saya menyentuh tentang banduan yang menghidapi penyakit yang boleh merebak, seperti chicken pox. Selalunya mereka tidak diasingkan daripada banduan yang sihat. Jadi kalau seorang sakit selepas itu semua banduan di dalam sesuatu sel atau bahagian itu juga sakit. Jadi saya berharap pihak penjara akan mengambil perhatian tentang keadaan kesihatan dari aspek ini.

Tuan Yang di-Pertua, dalam Pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang dianggotai oleh Ahli Yang Berhormat dari Dewan Rakyat ini, ia termasuk dengan cadangan seperti hukuman khidmat masyarakat ataupun komuniti servis kepada pesalah remaja yang melakukan kesalahan kecil. Jadi saya ingin tanya samada ini telah pun luas dilaksanakan oleh mahkamah ataupun majistret kita. Sebenarnya konsep komuniti servis ini harus diguna pakai pada pesalah dewasa yang melakukan kesalah kecil. Kesalahan kecil seperti mencuri ayam, curi pen dan perkara kecil seperti ini tidak harus dimasukkan ke dalam penjara selama berpuluh-puluh hari ataupun berbulan-bulan.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin sebut tentang tahanan remaja yang menunggu perbicaraan. Pihak peguam negara dan mahkamah haruslah mengadakan fast track system terhadap pesalah ataupun penjenayah remaja yang membabitkan kesalah kecil seperti menjual VCD haram, mencuri petty crime dan sebagainya. Kesannya, selalunya remaja yang membabitkan kesalahan kecik seperti ini, mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan. Kadangkala daripada tiga bulan, ada yang sampai setahun untuk menunggu perbicaraan mereka. Ini adalah amat tidak adil kepada mereka dan selalunya bagi remaja tahanan ini, mereka adalah dari broken homes yang ahli keluarga mereka datang untuk mengenakan bail kepada mereka. Mereka berada di penjara berbulan-bulan.

Dalam lawatan saya di Penjara Kajang pada tahun lepas, saya mendapati tahanan remaja diberi latihan dan sesi kaunseling oleh pihak NGO. Sebenarnya sesi kaunseling berkumpulan seperti ini adalah amat diperlukan di penjara kita. Soalan saya ialah kenapakah ia dilakukan oleh pihak sukarelawan daripada NGO dan pada pandangan saya, mereka ini seharusnya dibayar ataupun digaji oleh pihak kerajaan untuk membantu para tahanan remaja ini untuk balik ke pangkuan masyarakat kerana perkhidmatan seperti ini adalah amat perlu untuk membantu tahanan remaja kita.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Gulung Yang Berhormat.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Tuan Yang di-Pertua, saya gulung. Penjara kita sebenarnya memerlukan lebih pekerja sosial. Saya diberitahu setakat ini penjara kita hanya mempunyai warden dan seorang kaunselor yang berpangkat ASP, tetapi tiada pekerja sosial di penjara kita. Sekiranya kita ingin semua banduan di penjara kita balik ke pangkuan masyarakat, warga penjara kita harus diadakan lebih pekerja sosial untuk membantu banduan penjara untuk balik semula kepada masyarakat dan tidak melakukan jenayah lagi.

Dalam Pindaan Kanun Keseksaan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kami pernah mencadangkan supaya kaunseling diberikan kepada pesalah seksual seperti perogol dan sebagainya. Saya ingin tahu sama ada ini telah pun dijalankan di penjara kita? Kaunselor dan pekerja sosial merupakan software yang amat diperlukan di dalam sistem penjara kita. Ini haruslah dijadikan satu aspek yang diberi tekanan oleh pihak kerajaan.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, walaupun pegawai penjara dan keluarga mereka diberi kediaman di halaman penjara, tapi saya rasa gaji dan elaun mereka haruslah dinaikkan. Ini kerana kadang-kadang waktu kerja mereka bila sekumpulan pesalah ataupun tahanan dimasukkan ke dalam penjara, mereka ada yang terpaksa bekerja dalam tempoh masa yang panjang. Jadi dari segi kebajikan, ia haruslah dipentingkan.

Akhir sekali yang saya ingin tanya ialah, kita ada sistem parol bagi penjara kita. Macam mana dengan pusat pemulihan Simpang Renggam? Saya masih ingat pada beberapa tahun yang lepas rombongan Ahli Parlimen yang melawat Pusat Pemulihan Simpang Renggam, kita mendapati tempat itu begitu sesak dan ada 4 ribu lebih orang dan ada di antara mereka ini tanpa perbicaraan. Jadi kesesakan ini adalah amat menyusahkan mereka, jadi saya rasa parol juga haruslah...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Yusof bin Yacob]: Ya, cukup.

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Sebenarnya penahanan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam itu haruslah dihapuskan. Ini memang tidak adil tanpa perbicaraan, jadi sistem parol juga haruslah diadakan kepada mereka. Ini kerana saya diberitahu bahawa selalunya penjara diextend dua tahun, dua tahun, dua tahun lagi dalam Pusat Pemulihan Simpang Renggam, tapi kita lihat kadar jenayah kita masih meningkat setiap tahun. Jadi ini membuktikan Pusat Pemulihan Simpang Renggam memang tidak berkesan. Jadi saya menyeru kerajaan menghapuskan pusat penahanan bagi pesalah tanpa perbicaraan di Simpang Renggam. Sekian, terima kasih.

No comments: