Thursday, September 20, 2007

Surau Dang Wangi dihimpit pembangunan

Oleh Hanisah Selamat

Jawatankuasa serah memorandum minta kebenaran guna kemudahan tunai solat tarawih

KUALA LUMPUR: Ramadan sudah menjelma namun bagi jemaah Surau Dang Wangi, di sini, yang dinaikkan taraf sebagai masjid sejak puluhan tahun lalu pasti berasa kehilangan apabila masjid tempat mereka menunaikan solat terawih bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada sebuah projek pembangunan. Wangian dan keheningan Ramadan yang selalu mereka hidu, kini tidak seindah dulu, jauh daripada keharuman nama Jalan Dang Wangi tempat letaknya masjid berkenaan.

Walaupun lebih kecil berbanding masjid lain, surau yang berdiri megah di atas lot yang asalnya tanah wakaf sejak 1917 itu mampu menampung bilangan jemaah melebihi 2,000 orang setiap kali sembahyang Jumaat yang kebanyakannya adalah penduduk, peniaga dan pekerja di kawasan berhampiran. Sejak 7 September lalu, masjid berkenaan tidak lagi ‘semeriah’ dulu apabila ia ditutup daripada digunakan orang ramai berikutan arahan pihak berkuasa malah di sekeliling masjid terbabit sudah ditutupi kepingan zink untuk membolehkan projek pembinaan bangunan 20 tingkat blok kediaman anggota polis dan balai polis baru dijalankan.

Pengerusinya, Mohd Subahan Mohd Nasir, berkata walaupun sebuah surau yang mampu memuatkan 600 jemaah turut dibangunkan dalam projek sama, pihak terbabit diminta mempertimbangkan rayuan mereka supaya dibenarkan menggunakan masjid sedia ada untuk bersolat malah jika kawasan itu tidak selamat, diharap mereka diberikan tempat beribadah sementara yang berhampiran. Beliau berkata, kepadatan masjid berhampiran termasuk Masjid Jamek Kuala Lumpur menyukarkan penduduk atau pekerja kebanyakannya sektor swasta di sekitar Dang Wangi sama ada untuk menunaikan solat Jumaat atau terawih tambahan pula kini umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.

“Kalau dulu jemaah sekeliling Dang Wangi hanya perlu berjalan kaki untuk menunaikan solat kini mereka perlu menaiki kenderaan untuk ke masjid lain dan kami berharap pihak tertentu sedia tampil membantu menyelesaikan masalah ini sekali gus menghalang sebarang usaha merobohkan masjid yang sama-sama membangun bersama Kuala Lumpur.

“Kami bukan menolak pembangunan dan usaha mempertahankan masjid ini juga bukan untuk jawatankuasa surau sebaliknya surau berusia hampir 100 tahun ini adalah warisan memandangkan usia serta fungsinya sebagai tempat ibadat sejak berpuluh tahun dulu,” katanya pada majlis penyerahan memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, awal minggu ini. Memorandum terbabit diserahkan kepada Setiausaha Kementerian terbabit, Yew Teong Look, di sini.

Terdahulu, ahli jawatankuasa surau sudah mengirimkan salinan surat supaya masjid Dang Wangi dikekalkan kepada beberapa pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kementerian berkaitan. Bagaimanapun, hingga kini mereka tidak mendapat sebarang balasan malah kawasan projek di sekitar Dang Wangi termasuk surau berkenaan sudah dipagar yang menandakan kerja pembinaan sedang dijalankan.

“Saya merayu pihak berwajib membenarkan masjid ini digunakan untuk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan atau sekurang-kurangnya beri kami tempat sementara yang berhampiran. Sejak 7 September lalu, masjid ini sudah dikunci menyebabkan jemaah yang datang terpinga-pinga. “Kali terakhir ia digunakan untuk solat Jumaat adalah pada 31 Ogos lalu dan solat Jumaat seterusnya kira-kira 100 orang berjemaah di luar masjid selepas ia dikunci. Justeru, sebarang keputusan perlu dibuat secepat mungkin berhubung perkara ini kerana sekarang kita sudah berada pada Ramadan,” katanya.

Sebelum ini, mereka sudah diberikan notis mengosongkan kawasan terbabit pada November lalu namun ahli jawatankuasanya merayu, selain mengemukakan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tetapi ia ditolak pada 17 Julai lalu. Kini, kata putus sama ada masjid sedia ada dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan masih dalam kekaburan tetapi ahli jawatankuasanya menaruh harapan tinggi supaya permintaan jemaah setempat mendapat perhatian sewajarnya.

(Berita Harian : 20 September 2007/ 8 Ramadhan 1428)

No comments: