Thursday, August 23, 2007

Isu siasat AKSB lebih bermotifkan politik - MB

Maslan Yusoh, Wajdi Mayusoh

KOTA BHARU, 21 Ogos (Hrkh) - Kerajaan Kelantan menjelaskan kesemua projek meningkatkan prasarana bekalan air di negeri ini mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat. Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, setiap projek yang dijalankan di Kelantan di bawah pengawasan bersama kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terbabit, perbincangan wakil daripada perunding, kontraktor, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Kementerian Kewangan dibuat terlebih dahulu. “Setelah segala masalah termasuk berkaitan aspek teknikal selesai barulah pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih sistem bekalan air di Kelantan. Menurut laporan itu, siasatan itu dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan yang digunakan bagi kerja membaik pulih paip lama dan menaik taraf loji yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi. Projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM345 juta. Ia adalah sebahagian pinjaman mudah sebanyak RM600 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kelapan kepada Kelantan. Projek terbabit iaitu membina skim bekalan air di Chicha, Kota Bharu dengan kos RM80 juta, skim bekalan air Kampung Puteh (RM29.8 juta), bekalan air Kuala Krai (RM8 juta), Merbau Chondong fasa 1 (RM66 juta), skim air Kelar (RM87.4 juta).
Selain itu projek membaik pulih dan menaik taraf sistem retikulasi bekalan air negeri Kelantan yang melibatkan kerja-kerja menggantikan paip lama melibat peruntukan sebanyak RM20 juta.
Md Anizam berkata, berdasar kepada prosedur ditetapkan penelitian dilakukan di semua peringkat sebelum projek itu dilaksana sehingga pembayaran dibuat Kementerian Kewangan.
Menurutnya dakwaan projek itu tidak mengikut spesifikasi sukar berlaku kerana setiap projek yang dijalankan dilakukan penelitian semua pihak termasuk wakil kementerian. Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama bagi menyalurkan maklumat diperlukan pihak terbabit mengenai projek meningkatkan prasarana bekalan air yang telah dijalankan di Kelantan sebelum ini.
Mengenai rungutan penduduk yang didakwa tidak mendapat air daripada Lojing Merbau Chondong, katanya penduduk terbabit kemungkinan sebelum ini menggunakan air perigi dan kini membuat permohonan mendapatkan bekalan air bersih AKSB. Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam AKSB.

“Selaku ketua kerajaan saya memberi jaminan akan memberi kerjasama dan ruang sepenuhnya kepada BPR untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan ke atas AKSB. "Sebelum ini saya telah tegaskan bersedia membuka pintu kepada BPR untuk siasat mana-mana agensi kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan masyarakat Cina dari Bandar Ipoh, Perak di JKR10, hari ini.

Bagaimanapun beliau turut mempersoalkan kenapa kes-kes rasuah berprofil tinggi seperti kes Ketua Polis Negara, Tan Seri Musa Hassan dan kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam, Negeri, Dato’ Johari Baharom tidak disiasat secara terperinci seperti yang dilakukan BPR kepada AKSB.

“Saya terkilan kenapa berita negatif tentang Kelantan yang belum tentu kebenarannya diperbesar-besarkan dalam akhbar, tetapi kes-kes rasuah yang sudah terbukti dibiarkan dan dibersih pula oleh pihak kerajaan. “Kenapa tuduhan-tuduhan rasuah dan penyelewengan peringkat kerajaan pusat terutamanya di kalangan pemimpin Umno tidak disiasat dan dibawa ke mahkamah untuk dibuktikan kebenarannya,” ujar beliau.

Menurutnya juga isu berkaitan AKSB dibesar-besarkan semata-mata untuk memburuk-burukkan imej kerajaan negeri dan sebagai modal menghadapi pilihan raya. “Bagi saya isu penyelewengan AKSB sengaja diada-adakan bagi memalukan kerajaan negeri dan untuk kepentingan politik pilihan raya semata-mata,” tambah beliau.

Md Anizam juga berkata, siasatan sepatutnya turut dilakukan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan loji skim bekalan air Kampung Puteh, Kota Bharu. Pembinaan loji tersebut melibatkan kos RM29.8 juta pada awalnya diberi kepada UB Usahabina Sdn Bhd. Projek itu yang dimulakan pada April 2002 sepatutnya siap pada Oktober 2003. Ekoran masalah yang berlaku kontraktor lain pula dilantik kerajaan bagi meneruskan kerja-kerja dilaksanakan syarikat pertama.

Sementara itu, orang ramai pula menggesa BPR menyiasat pembinaan tiga jambatan iaitu di Tendong dan berhampiran Bukit Panau di Pasir Mas serta Ketereh yang gagal disiapkan sehingga sekarang.

“Sepatutnya BPR menyiasat projek tersebut kerana ia ternyata menyusahkan rakyat yang terpaksa melalui jambatan sementara dalam tempoh begitu lama. Tanpa perlu laporan pun, BPR patut menyiasat kerana ia boleh dilihat dengan mata. “Sedangkan syarikat yang mengendalikan projek bekalan air di Kelantan dilantik kerajaan Pusat. Agensi kerajaan negeri hanya menyelia kerja-kerja yang dijalankan,” kata Ahmad Abdullah, 56 dari Pulau Chondong.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini, pemimpin pembangkang cuba menggamatkan dewan dengan isu air, namun gagal. Kali ini isu tersebut diketengahkan lagi yang dilihat lebih bermotifkan politik. - mj

No comments: