Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Nu`aim dari Bishr bin Muhajir dari `Abdullah bin Buraidah dari bapanya yang berkata, "Aku duduk bersama Nabi saw dan mendengar baginda berkata,
تَعَلَّمُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَة
(Belajarlah Surah Al-Baqarah, kerana mempelajarinya adalah rahmat, dan melupakan nya merupakan satu penyesalan dan tukang-tukang sihir tidak akan dapat menghafaz nya). Baginda diam sebentar dan menyambung kembali,
تَعَلَّمُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ وَآلَ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا الزَّهْرَاوَانِ، يُظِلَّانِ صَاحِبَهُمَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ غَيَايَتَانِ أَوْ فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، وَإِنَّ الْقُرآنَ يَلْقى صَاحِبَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حِينَ يَنْشَقُّ عَنْهُ قَبْرُهُ كَالرَّجُلِ الشَّاحِبِ فَيَقُولُ لَهُ: هَلْ تَعْرِفُنِي؟ فَيَقُولُ: مَا أَعْرِفُكَ. فَيَقُولُ: أَنَا صَاحِبُكَ الْقُرْآنُ الَّذِي أَظْمَأْتُكَ فِي الْهَوَاجِرِ وَأَسْهَرْتُ لَيْلَكَ وَإِنَّ كُلَّ تَاجِرٍ مِنْ وَرَاءِ تِجَارَتِهِ، وَإِنَّكَ الْيَوْمَ مِنْ وَرَاءِ كُلِّ تِجَارَةٍ فَيُعْطَى الْمُلْكَ بِيَمِينِهِ وَالْخُلْدَ بِشِمَالِهِ وَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ تَاجُ الْوَقَارِ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَانِ لَا يَقُومُ لَهُمَا أَهْلُ الدُّنْيَا، فَيَقُولَانِ: بِمَا كُسِينَا هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ ثُمَّ يُقَالُ: اقْرَأْ وَاصْعَدْ فِي دَرَجِ الْجَنَّةِ وَغُرَفِهَا، فَهُوَ فِي صُعُودٍ مَا دَامَ يَقْرأُ هَذًّا كَانَ أَوْ تَرْتِيلًا
(Belajarlah Surah Al-Baqarah dan Al `Imran kerana mereka merupakan dua cahaya dan mereka melindungi orang yang membacanya di Hari Kiamat nanti sebagaimana dua gumpalan awan atau dua jalur bayang atau dua kumpulan burung yang sedang terbang. Al Quran akan menemui pembacanya dalam bentuk seorang lelaki yang pucat mukanya bila kubur mereka dibongkar.
Al Quran akan bertanya, ‘kenalkah kamu siapa aku?’ Mereka menjawab, ‘kami tidak mengenali kamu.’ Al Quran akan menjawab’Akulah sahabat kamu, akulah Al Quran yang menyebabkan kamu dahaga di waktu panas (kerana membaca) dan menyebabkan kamu bangun di waktu malam. Setiap peniaga ada barang dagangannya. Namun hari ini semua bentuk dagangan di dunia dahulu tidak lagi laku).
Pangkat kebesaran diberi di tangan kanannya, kehidupan yang kekal abadi di tangan kirinya dan kepalanya dimahkotakan dengan mahkota kemuliaan. Kedua-dua ibu bapanya akan diberi persalinan yang tidak mampu dimiliki oleh sesiapa pun di dunia dahulu. Kedua-dua ibu bapa itu akan bertanya, ‘kenapa kami diberi persalinan ini?’ Lalu dijawab, ‘kerana anak kamu membaca al Quran’ Kemudian dikatakan kepada pembaca al Quran, ‘bacalah dan terbang ke mana-mana lapisan syurga. Mereka akan membaca dan terbang ke mana-mana ceruk di syurga tidak kira mereka membaca dengan lancar atau tidak.
اقْرَأُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ شَافِعٌ لِأَهْلِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ اقْرَأُوا الزَّهْرَاوَيْنِ، الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا يَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، يُحَاجَّانِ عَنْ أَهْلِهِمَا يَوْمَ الْقِيَامَة
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Umamah Al-Bahili yang berkata bahawa beliau mendengar Nabi saw bersabda, (Bacalah Al Qur'an, kerana ia akan mewakili orang yang membacanya pada Hari Kiamat nanti. Bacalah dua cahaya, Al Baqarah dan Al ‘Imran kerana mereka akan datang dalam bentuk dua gumpalan awan, dua bayang atau dua barisan burung pada Hari Kiamat dan akan menjadi peguambela bagi pembacanya pada hari tersebut) Kemudian berkata lagi;
اقْرَأُوا الْبَقَرَةَ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَة
(Bacalah Al-Baqarah, kerana ia satu rahmat, meninggalkannya satu penyesalan dan tukang-tukang sihir tidak akan dapat menghafaznya)
يُؤْتَى بِالقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدَمُهُم سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَان
Imam Ahmad meriwayatkan dari An-Nawwas bin Sam`an dari Nabi saw yang bersabda, (Pada Hari Kiamat Al Quran dan pengamalnya akan dibawa ke hadapan Allah swt dengan didahului oleh pengamal Surah-surah Al-Baqarah and Al `Imran.)
كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ ظُلَّتَانِ سَودَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، يُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا
An-Nawwas berkata, "Baginda membuat tiga perumpamaan terhadap dua surah ini dan aku tidak melupainya sejak itu. Baginda berkata (Mereka akan datang seperti dua gumpalan awan, dua bayang gelap atau dua barisan burung yang sedang terbang untuk membela pengamal-pengamalnya) Hadis ini turut dicatat di dalam Sahih Muslim.
Surah Al-Baqarah diturunkan di Madinah
Tidak ada perselisihan pendapat bahawa Surah Al-Baqarah telah diturunkan semuanya di Madinah. Malahan surah ini merupakan surah yang mula-mula diturunkan di Madinah sementara ayat,
وَاتَّقُواْ يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ
(Dan takutilah Hari di mana kamu akan dikembalikan kepada Allah (2:281) merupakan ayat terakhir yang diturunkan bersama-sama dengan ayat berkenaan riba’.
Khalid bin Ma`dan (wafat 105H) menggelar Al-Baqarah sebagai Al Fustat (khemah) Qur'an. Sesetengah ulama berkata surah ini mengandungi seribu berita kejadian, seribu perintah suruhan dan seribu perintah larangan Bagi mereka yang mengira bilangan ayat di dalam surah ini mereka berkata ia mengandungi dua ratus lapan puluh tujuh ayat. Enam ribu dua ratus dua puluh satu (6,221) perkataan dan dua puluh lima ribu lima ratus (25,500) huruf. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Ibn Juraij meriwayatkan dari ‘Ata’ dari Ibn Abbas (wafat 68H) yang berkata, ‘Surah Al Baqarah telah diturunkan di Madinah’ Khasif pula meriwayatkan dari Mujahid dari `Abdullah bin Az-Zubair sebagai berkata; "Surah Al-Baqarah telah diturunkan di Madinah.”
Imam-imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Ibn Mas’ud menjadikan kedudukan Kaabah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya ketika melontar tujuh biji batu di Jamrah dan berkata, “Dia yang menerima Surah Al Baqarah (Nabi saw) mengerjakan Rami (melontar batu ketika mengerjakan Haji) begini.” Ibn Marduwiyah meriwayatkan Hadis Shu`bah dari `Aqil bin Talhah dari `Utbah bin Marthad; "Baginda saw melihat sahabat-sahabatnya tidak berada di barisan hadapan dan berkata,
يَا أَصْحَابَ سُورَةِ الْبَقَرَة
(Wahai sahabat-sahabatku dari Surah Al-Baqarah.) Aku ingat peristiwa ini berlaku sewaktu Perang Hunain di mana para sahabat sedang berundur dari barisan hadapan. Kemudian baginda memerintah ‘Al-‘Abbas (bapa saudaranya) supaya melaungkan,
يَا أَصْحَابَ الشَّجَرَة
(Wahai sahabat-sahabat di bawah pokok – para sahabat yang mengambil bahagian dalam Perjanjian Ar-Ridwan yang diadakan di bawah pokok) Di dalam riwayat yang lain Al-`Abbas melaungkan, “Wahai sahabat-sahabat Surah Al-Baqarah!'' bagi menggalakkan mereka supaya datang balik ke barisan hadapan yang menyebabkan mereka menyahut seruannya dari pelbagai sudut.
Begitu juga ketika peristiwa Perang Al-Yamamah bagi menentang Musailamah Al Kazzab, para sahabat berundur buat seketika kerana bilangan pengikut Musailamah yang ramai. Para Muhajirin dan Ansar beteriak sesama mereka dengan berkata, ‘Wahai orang-orang Surah Al Baqarah’. Kemudian Allah swt memberi kemenangan kepada mereka. Mudah-mudahan Allah memberkati para sahabat baginda.