Oleh Hussain Said, Fazallah Pit, Harris Rajahdin, Bashah Zainol Abidin dan Asrol Awang
PERLIS terus gah menambah koleksi kemenangannya dalam saingan Liga Super dan malam tadi, skuad Singa Utara menundukkan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Pelawat sudah berada di depan seawal minit ketujuh hasil jaringan K Soley selepas dia merampas bola daripada Mohd Azlan Zainal sebelum meluru masuk ke kotak penalti untuk melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail. Tiga minit selepas itu, Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Indra Putra Mahayuddin yang mudah menolak masuk hantaran lintang Mohd Nor Farhan sebelum Zuraidey Jumai, memanfaatkan bola yang muntah untuk gol kedua Perlis pada minit ke-41.
Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tidak mampu menyekat kemaraan Selangor apabila tewas 0-1 bagi membolehkan anak didik K Devan terus mengekori rapat Perlis. Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-56 untuk membolosi benteng tuan rumah yang ketika ini menghuni tangga ketiga dari dasar liga apabila tendangan lencong Safee Sali menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Khairul Iskandar Ismail. Perlis kini mengumpul 38 mata, mengekalkan kelebihan satu mata mengatasi Selangor yang mengekori rapat di belakang mereka.
Di Stadium Darulmakmur, Pahang mencipta kejutan apabila menjinakkan Negeri Sembilan 1-0 hasil jaringan Mohd Azamuddin Akil, pada minit ke-84 tetapi keputusan itu tidak mengubah kedudukan negeri Pantai Timur itu di tangga ke-13. Sementara itu, Polis terikat 1-1 dengan KL Plus di Stadium Tunku Abd Rahman, Paroi, manakala KM Naza tewas kepada MyTeam 1-2 di Stadium Darulaman. (BH: 20/5/2009)
No comments:
Post a Comment