Monday, May 25, 2009

Bukit Gantang : 'Terpedaya' lakonan pengundi

Oleh NIZAM HAMID

pengarang@utusan.com.my

TSUNAMI politik yang berlaku tahun lalu dilihat masih berlaku sehingga kini apabila keputusan pilihan raya kecil semalam menyaksikan pakatan pembangkang terus diterima oleh pengundi. Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kelmarin merupakan bukti bahawa Barisan Nasional (BN) belum mampu keluar daripada tsunami itu walaupun beberapa langkah perubahan telah diambil. Malah BN juga belum dapat membaca hati pengundi terutama di kalangan bukan Melayu khususnya kaum Cina dan India.

Komposisi pengundi di DUN Bukit Selambau adalah Melayu mewakili 51 peratus, Cina 19 peratus dan India 29 peratus manakala kaum-kaum lain satu peratus. Walaupun riak dan maklum balas daripada pengundi terlibat menampakkan angin perubahan yang semakin positif, keputusannya tetap tidak berpihak kepada BN.

Berilah mereka projek dan janjilah pelbagai program pembangunan, undi mereka tetap sukar diperolehi malah pengundi bukan Melayu juga sudah terikut rentak "beri kita ambil, undi tidak bagi" dan berpegang pada kata-kata "pengundi bijak hanya makan umpan. Ini terbukti menerusi beberapa projek yang diberikan Kerajaan Pusat kepada masyarakat India di DUN Bukit Selambau.

Dua buah sekolah Tamil di Sungai Petani menerima pakej rangsangan awal yang diberikan Kerajaan Pusat bernilai kira-kira RM400,000 bagi tujuan naik taraf selain kemelut tanah di Kampung Sungai Tukang yang diselesaikan dengan pembelian tanah RM2 juta oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) daripada sebuah koperasi bagi membolehkan masyarakat India di situ terus tinggal di penempatan berkenaan.

Namun ketika tumpuan diberikan kepada pengundi kaum India di kawasan berkenaan yang dikatakan lari daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu, masyarakat Cina pula menimbulkan rasa tidak puas hati kerana mereka tidak menerima pakej rangsangan yang sama.

Pengerusi Kajian Ketahanan Negara, Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizzuddin Mohd. Sani bersetuju bahawa antara faktor kekalahan BN adalah kerana tidak mendapat sokongan daripada kaum Cina dan India selain sebahagian pengundi Melayu yang terus kekal dengan pakatan pembangkang.

"Pengundi Cina sejak awal lagi sudah menunjukkan kecenderungan kepada pakatan pembangkang dan ini boleh dilihat apabila mereka memakai baju dan logo Pas, DAP serta PKR.

"Malah jentera BN terutamanya MCA dan Gerakan tidak begitu agresif dalam kempen di kawasan pengundi Cina. Kita dapat lihat bilik gerakan MCA ditutup pada pukul 11 malam tetapi bilik gerakan pembangkang dibuka hingga ke awal pagi," katanya.

Beliau yang mengikuti perjalanan kempen tersebut sejak seminggu lalu juga memberitahu, pemerintahan pakatan pembangkang di Perak dan Pulau Pinang juga banyak mempengaruhi masyarakat Cina di Kedah terutama dalam soal pemberian tanah dan pelbagai peluang ekonomi lain kepada mereka.

Malah katanya, 'rampasan kuasa' di Perak menjadi satu isu besar di kalangan pengundi Cina terutama selepas melihat banyak manfaat kepada kaum itu jika kerajaan negeri dikuasai pakatan pembangkang.

Sentimen Hindraf dan Makhal Sakti katanya, masih kuat di kalangan pengundi India yang terus bersimpati dengan pertubuhan tersebut. "Mereka juga mempertikaikan kenapa kerajaan hanya membebaskan dua dan tidak semua pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," ujarnya.

Kebanyakan pengundi juga katanya, melihat prestasi wakil rakyat BN selama ini yang tidak begitu cemerlang sehinggakan masih ada kawasan yang belum mendapat bekalan air bersih. Namun sehingga pengundian berakhir petang kelmarin, BN masih yakin dengan sokongan masyarakat India terhadap parti itu dan peningkatan sokongan pengundi Cina dengan kemasukan semula bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam BN. Mereka percaya dengan maklum balas positif dan janji sokongan daripada pengundi terlibat. Tetapi lakonan dan janji manis mereka akhirnya terserlah apabila keputusan di peti-peti undi menunjukkan perkara sebaliknya berlaku.

Satu yang pasti di Bukit Selambau, pengundian tidak dibuat kerana kaum. Jika kaum menjadi asas utama, mungkin calon Bebas daripada kaum Cina, Tan Hock Huat akan memperoleh undi Cina tetapi beliau memperolehi 78 undi sahaja. Malah calon Bebas Melayu yang paling popular, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, bekas pemimpin UMNO Bahagian Merbok mendapat 528 undi manakala Husaini Yaacob pula mendapat 257 undi. Undi rosak pula 415 undi sekali gus menunjukkan protes terhadap calon MIC, Datuk S. Ganesan bagi mewakili BN bukanlah begitu besar. Sebanyak 24,611 atau 70.28 peratus daripada 35,140 pengundi berdaftar yang keluar mengundi.

Sementara itu Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berpendapat, ada masalah sokongan di kalangan pengundi muda dan juga yang bukan Melayu apabila parti itu tewas di saluran pengundi muda dan kawasan bukan Melayu. Katanya, ketiadaan platform dalam partiparti komponen seperti MCA untuk generasi muda menyebabkan sokongan kepada BN semakin terhakis di kalangan pengundi muda bukan Melayu.

"Kita sedar tentang masalah sokongan di kalangan pengundi muda tetapi apa yang kita lakukan. Kebanyakan pengundi BN adalah mereka yang sudah berusia dan akan meninggalkan kita. "Sedangkan pengundi muda sepanjang masa bertambah dan jika BN gagal menarik sokongan mereka, BN akan kehilangan kuasa satu hari nanti," katanya. Sebab itulah katanya, pergerakan tersebut melihat tentang perlunya penubuhan Puteri BN gabungan daripada suara orang muda di dalam parti-parti komponen bagi membolehkan gerak kerja dilakukan bagi menarik sokongan generasi muda termasuk di kalangan bukan Melayu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Mohd. Noor Abd. Aziz pula mempunyai pandangan berbeza dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau khususnya berkaitan dengan jentera yang terlibat dalam kempen.

"Kita kena mencontohi Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun ke kawasan penempatan penduduk dengan bersikap rendah diri sambil berjalan kaki sahaja. "Tetapi saya lihat jentera BN turun ke kampung-kampung dengan menaiki kereta mewah sedangkan sesetengah rakyat hidup dalam kemiskinan," ujarnya yang berkempen di peti undi Kuala Sin. Katanya, deretan kereta mewah yang masuk ke kampung-kampung bukan sahaja menarik perhatian ramai tetapi juga membawa imej kurang baik di kalangan pengundi.

Luahan hati Mohd. Noor itu tidak boleh dipandang ringan terutama sekali ketika kempen pilihan raya pakatan pembangkang menjurus kepada isu rasuah. Memang mudah untuk menuduh si polan dan si polan kaki rasuah dan khalayak pendengar pula menerimanya secara bulat-bulat. Dalam ceramah pembangkang, apa yang tidak mereka kata kepada pemimpin BN? Rasuah berbilion ringgit, mega komisyen malah terlibat dengan pembunuhan. Hinggakan apabila ada jentera BN menaiki kereta mewah, kedengaran ada yang berkata: "Sudahlah, kereta mahal beli dengan duit rasuah."

Memang tidak adil secara semborono menuduh mereka hidup mewah hasil rasuah kerana sesetengah daripada mereka bertungkus-lumus berusaha mencipta kejayaan dalam kerjaya masing-masing. Sudah tentulah mereka yang berjaya dalam pelajaran dan kerjaya mempunyai gaya hidup yang berbeza dengan kumpulan masyarakat yang pencapaiannya biasa sahaja.

Pemimpin pembangkang juga dilihat menggunakan kereta mewah tetapi itu tidak menjadi isu kerana yang sentiasa dipertikaikan ialah pemimpin BN dan mereka yang berada di sekelilingnya. Pakatan pembangkang sebenarnya telah berjaya menanam imej rasuah pemimpin BN itu sehingga rakyat benci kepada parti itu. Ia bukan baru dilakukan tetapi sudah begitu lama diperkatakan dalam kempen-kempen mereka. Tetapi itulah yang berlaku di peringkat bawahan, sesetengahnya tidak boleh menerima orang lain lebih hebat daripada mereka dan kepercayaan bahawa orang UMNO mewah kerana rasuah bukanlah satu yang luar biasa.

Maka mahu tidak mahu, para pemimpin BN yang menjadi sasaran perlu mengambil langkah bagi membetulkan imej itu supaya parti tersebut boleh meneruskan legasi para pemimpin terdahulu. Transformasi di bawah kepimpinan baru sama ada dalam kerajaan atau pun parti ketika ini, perlu memberi hala tuju yang jelas dan membuktikan bahawa pemerintah sedia ada mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi.

Mungkin nasihat Tun Mahathir di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani Ahad lalu wajar direnungi, "turunlah padang dan bersalamlah dengan rakyat."

No comments: