Monday, May 25, 2009

Bukit Gantang : Saya dah malas nak salahkan pemimpin PAS

Berikut ialah tulisan asal yang kemudian diedit dan disiarkan dalam versi cetak akhbar Siasah terbaru (banyak artikel bagus-bagus dalam Siasah terbaru dan yang saya suka ialah artikel tulisan Ustaz Mujahid Yusof Rawa):

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang 7 April lalu, PAS hanya mampu memperolehi 43 peratus sahaja undi Melayu. Itu yang dinyatakan oleh Pengarah Operasi (PAS) Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Asmuni Awi Rabu lalu. Dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu, calon PAS Allahyarham Roslan Shaharom mendapat 47 peratus undi Melayu dan kira-kira 65 peratus undi bukan Melayu.

Kira-kira pukul 11.59 pagi pada hari pengundian, apabila berkesempatan masuk sekejap ke kafe siber di Simpang setelah melarikan diri sekejap dari kampung saya di Matang (kedua-duanya dalam kawasan Bukit Gantang), saya menulis seperti berikut: "Kita tumpu undi Melayu, kalau hilang 10 peratus pun dari 47 peratus pengundi Melayu yang dulunya undi PAS itu (bukan dari semua jumlah pengundi), saya rasa PAS masih dapat kira-kira 42 peratus undi Melayu".

Nampaknya jangkaan saya pagi itu tidaklah jauh berbeza dengan apa yang dilaporkan oleh Asmuni. Saya menjangkakan undi Melayu kepada PAS akan merosot berdasarkan keberkesanan Umno memainkan isu "boneka derhaka". Tidak mustahak untuk dibincangkan sama ada tuduhan itu betul atau tidak. Tetapi, Umno berjaya mengapi-apikan sentimen perkauman sempit apabila ia tak henti-henti menyalak dengan tuduhan kononnya Haji Mohammad Nizar Jamaluddin adalah boneka DAP yang derhaka kepada Sultan Perak.

Sebelum pilihan raya kecil itu, saya bersembang merata kedai dengan orang ramai di dalam kawasan Bukit Gantang dan juga di Taiping. Saja-saja saya tanya peluang PAS dalam pilihan raya kecil itu. Lagi tiga hari sebelum pilihan raya, dari enam orang pengundi Melayu yang saya temui, lima orang mengungkit-ungkit isu boneka derhaka.

Seorang pengundi yang saya temui ketika melepaskan gian dan nostalgia saya di gerai cendol Bismillah di Taiping terus terang menyifatkan Mohammad Nizar sebagai "barua Cina". Saya sampaikan dapatan "kajian" saya itu (konon-konon kajianlah tu!) kepada beberapa pemimpin PAS. Hanya dua orang yang jawab iaitu Haji Mohamad Sabu dan Dr Mohd Hatta Ramli. Saya tak ingat apa jawapan mereka. Yang lain mungkin termenung tak tau nak kata apa. Mungkin.

Sebab itulah dengan hati yang berdebuk-debak saya jangkakan hanya kira-kira 42.3 peratus sahaja pengundi Melayu di Bukit Gantang akan mengundi PAS. Yang lain akan tolak PAS kerana dirasuk emosi akibat petaka "boneka derhaka" itu.

Kira-kira lapan hari sebelum mengundi, ada kawan yang membisikkan bahawa PAS akan menang dengan majoriti kira-kira 3,000 undi. Saya beritahu beberapa kawan, kalau satu hari 300 pengundi dari jangkaan 3,000 undi majoriti itu berpaling tadah dari PAS, kita akan menang dengan majoriti 600 undi sahaja.

"Tapi kalau setiap hari dalam masa lapan hari itu kita susut 400 undi, bungkus kita!" saya memberitahu kawan-kawan. Majoriti 600 undi pun saya yakin PAS tetap menang. Tidaklah seperti orang tertentu yang memberi taklimat PAS mungkin kalah. Saya teringat kata-kata yang selalu digunakan Hishamuddin Rais, "apa punya turr!" Nasib baik PAS menang dengan majoriti 2,789 undi. Kira-kira tak lari jauhlah dari jangkaan 3,000 majoriti itu.

Kebimbangan terhadap merosotnya undi Melayu kepada PAS memang menjadi hantu yang menakutkan saya ketika itu. Saya pernah sebut dalam satu majlis di Kota Bharu bahawa isu perkauman bagaikan roti Mongolia yang sangat laris dalam pasaran politik Melayu. Kita pula jual roti apa yang mampu laris di pasaran?!

Lebih menakutkan lagi ialah keberkesanan Umno mengapi-apikan sentimen perkauman itu. Orang-orang Umno bijak memilih istilah yang laris dalam pasaran sentimen Melayu. Saya selalu sebut kepada beberapa pemimpin PAS bahawa parti itu amat lemah dalam bab political lingustic. Saya beri contoh bagaimana berkesannya Sukarno bermain-main dengan emosi rakyat Indonesia dan menyatukan mereka dengan kata-kata "Ganyang Malaysia" sehingga mereka terlupa tekanan ekonomi yang menghimpit mereka waktu itu.

"PAS lemah tahap Seri Perdana bab tu," kata saya kepada beberapa pemimpin PAS. Ada yang bersetuju, ada yang debik saya balik. Biasalah tu.

Hari ini, pilihan raya kecil Bukit Gantang memperlihatkan keberkesanan kata-kata "boneka derhaka" yang seolah-olah menjadi wirid harian Umno itu. Ia seolah-olah sama hebat dengan kata-kata "Ganyang Malaysia" yang pernah digunakan Sukarno di zaman konfrontasi dahulu.

Memang, ketika keputusan pilihan raya kecil tersebut diumumkan, saya bangga sangat menjadi anak Kampung Matang dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang. Tetapi, apabila sudah sahih PAS kehilangan begitu banyak undi Melayu, saya kecewa sangat terhadap kegagalan para pemimpin PAS menangani "political onslaught" Umno itu.

Meskipun begitu, saya dah malas dah nak menyalahkan para pemimpin PAS. Saya tak kisah langsung bakaq ini dipandang sebagai musuh. Yang saya tak tahan ialah soalan "siapa bocorkan maklumat kepada bakaq?"

No comments: