Ahmad Lutfi Othman
Thu Jan 15, 09 3:28:22 pm MYT
Keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu dijangka bakal melakar sejarah tersendiri. Namun, sebelum lebih 80,000 pengundi mencipta rekod, banyak perkembangan menarik ditunjukkan semasa berkempen, yang mempunyai impak besar terhadap lanskap politik negara di masa depan.
Misalnya, kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, terutama kerjasama antara DAP dan PAS, begitu mengkagumkan. Bagi saya, hubungan baik kedua-dua parti ini juga menempasatu sejarah baru, apatah lagi ia ditunjukkan di Terengganu, sebuah negeri yang menghimpunkan ramai pemimpin berpengaruh PAS.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dengan gaya santai dan low profile, datang berkempen untuk memenangkan calon PAS, yang disebut Setiausaha Agung DAP itu sebagai MAWE (Mohd Abdul Wahid Endut), selepas bapanya, Lim Kit Siang ikut serta pada hari penamaan calon.
Rombongan Guan Eng turut membawa skrin layar besar yang dipasang di atas sebuah lori panjang, yang menayangkan bahan-bahan kempen dengan persembahan cukup kreatif, bergerak dari satu tempat ke lokasi yang lain.
Dalam satu sidang akhbar di markas besar PAS di Kuala Ibai, walaupun ada wartawan akhbar Cina menimbulkan isu Hudud, mungkin untuk memaksa Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng berbeda pendapat secara terbuka, tetapi kebijaksanaan kedua-duanya terserlah.
"Kita masuk pilihan raya ini sebagai satu pakatan, dan kita juga akan keluar nanti, sama adakalah atau menang, sebagai satu pasukan. Isu lebih besar bukan Hudud tetapi soal ekonomi, peluang pekerjaan juga mengapa kos barang tetap tinggi walaupun harga minyak turun," tegas Guan Eng.
Dengan nada sama, Ustaz Hadi menekankan bahawa banyak isu-isu tempatan dan penyalahgunaan wang negeri yang wajar dibahaskan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat.
Hubungan erat bukan sahaja ditunjukkan oleh pemimpin atasan PAS, DAP dan KeADILan di pentas pidato, malah dijelmakan melalui kerjasama tulus ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Mereka saling membantu menaikkan poster, berkempen dari rumah ke rumah, mengedar risalah, menyediakan pelbagai kemudahan dan mendermakan wang. Dokongan itu nampak ikhlas, bagi memastikan era baru politik Malaysia, dengan nilai-nilai kudus-tulus dapat menggantikan suasana siasah yang sarat dengan kepentingan diri, bersendikan rasuah dan salahguna kuasa.
Bibit-bibit kemunculan sistem dua parti dilihat sedang mekar mewangi bagi menamatkan hegemoni Perikatan-BN yang berkuku sejak negara merdeka. Ramai mengharapkan tsunami politik yang melanda Pantai Barat, Mac 2008 bakal menggegarkan Kuala Terengganu malam 18 Januari nanti.
Kempen juga menyaksikan betapa isu-isu utama dan konflik yang dihadapi rakyat dapat dibentangkan secara terbuka dan mendapat perhatian luar biasa audien.
Kehadiran tokoh-tokohbesar negara, dari BN dan Pakatan, memudahkan rakyat membuat penilaian terhadap keupayaan pemimpin mereka. Hendaknya dengan itu kesedaran berpolitik masyarakat awam juga ditingkatkan.
Umno-BN mudah memanipulasi sentimen perkauman bagi mengekalkan kuasa apabila rakyat senang diusik emosi dengan provokasi terancang.
Dan hubungan parti-parti pembangkang mudah terlerai jika pemimpin PAS dan DAP terus berada di kutub bertentangan.
Pengundi KT kini bagaikan raja. Mereka boleh menentukan haluan besar politik negara, mempengaruhi dasar dan sikap kerajaan. Maknanya, mereka turun mengundi bukan hanya untuk memilih wakil rakyat terbaik - yang prihatin, berakhlak, tidak sombong dan mesra-rakyat - tetapi mereka juga memikul amanah membetulkan keadaan yang pincang, selepas kerajaan BN gagal memahami mesej yang cuba disampaikan majoriti rakyat 10 bulan lalu.
Kesempatan berharga ini tidak wajar dipersiakan. Sokonglah calon PAS yang bersedia berkhidmat untuk anda dan berupaya memberi tekanan kepada kerajaan - negeri dan pusat - agar lebih menghormati suara dan aspirasi rakyat.
Saya yakin isu-isu yang didebatkan di Kuala Terengganu, misalnya royalti dan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris), akan mendapat reaksi positif kerajaan jika anda berjaya memenangkan Abdul Wahid Endut. Undilah calon PAS!
No comments:
Post a Comment