Wednesday, January 21, 2009

Politik Rasuah dan Politik Janji Rasuah RM 1 billion

Kenyataan Akhbar

National Institute for Electoral Integrity (NIEI)

Isnin, 19 Januari 2009

Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu P036
Penginstitusian Rasuah Pilihanraya: Politik Rasuah dan Politik Janji Rasuah RM 1 billion

Tiga perkara yang ketara dapat diperhatikan dalam perjalanan proses pilihanraya kecil (PRK) kawasan parlimen Kuala Terengganu (P036):

1. Penginstitusian rasuah dalam pilihanraya
2. Penyalahgunaan jentera kerajaan
3. Kehadiran terlalu ramai anggota polis

Amalan rasuah berleluasa dalam pilihanraya di Malaysia, ini dapat dikenalpasti berlaku dalam proses PRK Kuala Terengganu.

Amalan rasuah pilihanraya diinstitusikan dalam pelbagai bentuk. Yang lazim difahami ramai ialah pemberian wang tunai secara langsung. Di PRK P036, wang ehsan sebanyak RM300 bagi orang dewasa dan RM250 untuk muda-mudi diumumkan akan diagih untuk warga Terengganu. Manakala pengundi Cina diedarkan angpau sebanyak RM300 sempena perayaan Tahun Baru Cina. Penarik beca Kuala Terengganu pula dijanjikan wang ehsan sebanyak RM10,000 seorang.

Para wartawan pun tidak ketinggalan dirasuahkan. Pada petang 16 Januari 2009, sehari sebelum hari mengundi, wartawan-wartawan yang berada di pusat media Barisan Nasional diagihkan wang sebanyak RM300. Dua minggu sebelum itu, pihak yang sama telah memberikan para wartawan baju hujan yang bernilai RM98 sehelai.

Rasuah secara tidak langsung untuk memancing undi sangat banyak sekali, antara lainnya disenaraikan seperti di bawah ini:

1. Penubuhan dan pemberian RM1 juta untuk Tabung Kecemasan Nelayan
2. Peruntukan RM150,000 untuk skim pembangunan nelayan Kuala Terengganu
3. Pemberian secara lambak tanpa tender 583 projek Kelas F yang bernilai RM15.8 juta
4. Upacara mengasas projek pembinaan unit kardiologi yang bernilai RM10 juta
5. Upacara perasmian projek pembinaan masjid di Kubang Ikan (Kuala Terengganu) pada 15 Januari 2009
6. Upacara pecah tanah pembinaan 1,200 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
7. Perasmian peruntukan RM100 juta untuk membina 1000 unit rumah kos rendah di Kuala Terengganu
8. Pemberian RM6.1 juta untuk SJKC Chung Hwa Wei Sin
9. Pemberian sebanyak RM2.5 juta untuk masyarakat Cina Kuala Terengganu
10. Pengumuman grant RM50 juta untuk sekolah-sekolah Cina
11. Pemberian pilot E-book kepada 100 orang pelajar di Kuala Terengganu. Janji pemberian sejumlah 23,000 buah E-book, berharga RM1,300 sebuah, kepada kanak-kanak sekolah.
12. 206 orang penenun songket menerima satu set seorang Kek Tenunan Tradisional yang berharga RM695 satu unit
13. Pemberian RM408.6 juta kepada kerajaan Negeri Terengganu sebagai royalti minyak
14. Mengisytiharkan projek untuk meluaskan ruang keluar-masuk pelabuhan perikanan di Pelabuhan Cendering

Penyalahgunaan Kuasa dan Jentera Kerajaan

Berkaitan dengan amalan rasuah di atas ialah salah guna kuasa dan jentera kerajaan di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan:

• Di peringkat kerajaan tempatan, Datuk Bandar Kuala Terengganu merangkap Pegawai Kanan Pilihanraya, Mat Razali Kassim berkempen dan mendesak kakitangan di bawahnya untuk mengundi BN. (Beliau terpaksa meletakkan jawatan Pegawai Kanan Pilihanraya).

• Penggantinya, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, yang sebelumnya memangku Pegawai Kanan Pilihanraya, Wan Mustafa Wan Hassan juga disangsikan kerana melibatkan diri dalam program kempen BN.

• Penggunaan pejabat Menteri Besar dan jentera-jentera Jabatan Kerja Raya dalam upacara pecah tanah perasmian pembinaan masjid.

• Ketika ceramah di Taman Perumahan Pusu Tiga, Gong Badak, Menteri Besar Ahmad Said mengararahkan Jabatan Saliran dan Perparitan untuk mengkaji masalah banjir di kawasan itu

• Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Kewangan Negeri melibatkan diri dalam program-program taklimat BN yang disasarkan kepada imam dan bilal masjid, ketua kampung dan pegawai perkhidmatan awam. Termasuklah pegawai kerajaan luar kawasan yang mengundi di P036

• Perasmian nama Institut Pendidikan Guru Malaysia kepada Kampus Datuk Razali Ismail, dan sebuah SMK kepada SMK Datuk Razali Ismail (arwah wakil parliamen BN Kuala terengganu)

• Kementerian-kementerian Persekutuan yang berikut didapati terlibat dalam kempen PRK P036:

1. Kementerian Kesihatan
2. Kementerian Pendidikan
3. Kementerian Kebajikan Masyarakat
4. Kementerian Pertanian
5. Kementerian Kewangan
6. Jabatan Perdana Menteri
7. Kementerian Penerangan
8. Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti

Kempen juga menwar-warkan khidmat dan perbelanjaan kerajaan yang telah dilaksanakan seolah-olah dibiayai oleh BN:

• Peruntukan RM500,000 di bulan Disember 2008 untuk mangsa banjir;
• RM200,000 telah dibelanjakan untuk membeli makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir
• Penggantian atap-atap rumah
• Pendaratan pesawat MAS penerbangan pulang haji direk ke Kuala Terengganu

Ramai menteri dan timbalan menteri kabinet Persekutuan serta menteri besar dan ahli-ahli exco negeri-negeri yang datang berkempen untuk PRK P036. Antara lainnya ialah:

1. Abdullah Badawi
2. Najib Razak
3. Zahid Hamidi
4. Mohd Shafie Apdal
5. Dr. Ng Yen Yen
6. Shahrizat
7. Hishamuddin Hussein
8. Muhyidin Yassin
9. Ong Tee Kiat
10. Muhamad Taib
11. Azalina Othman
12. Syed Hamid Albar
13. Noh Omar
14. Hamzah Zainudin
15. Ali Rustam
16. Lim Guan Eng
17. Ahmad Said
18. Mohamad Nizar
19. Ngeh Koo Ham
20. Nik Aziz
21. Khalid Ibrahim
22. Theresa Kok
23. Elizebeth Wong
24. Husam Musa
25. Nik Aziz Nik Mat
26. Hasan Ali

Persoalannya, atas perbelanjaan siapakah kehadiran mereka berkempen di Kuala Terengganu itu?

Juga berlaku amalan rasuah dalam bentuk pengedaran dan pemberian percuma oleh BN surat khabar Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian. Pelbagai konsert anjuran Jabatan Penerangan Malaysia diadakan, termasuk persembahan penyanyi termuka dari Terengganu iaitu Salim Iklim.

Pihak pembangkang Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga didapati melanggar etika amalan pilihanraya yang baik. Contohnya, pemberian percuma kerusi roda di Bukit Tepu, khidmat percuma gunting rambut dan rundingan kesihatan pakar homeopati.

Terlalu Ramai Anggota Polis

Dianggarkan 10,000 anggota polis berpakaian biasa dan seragam dikerahkan bertugas di Kuala Terengganu sepanjang tempoh kempen PRK di situ. Nisbahnya 1 orang polis untuk 8 orang pengundi.

Kehadiran terlalu ramai polis memberikan suasana sebagai keadaan perang. Jika tujuannya untuk menjaga keselamatan, tetapi kesan adalah disebaliknya, orang ramai terasa tidak selesa dan berpersepsi seolah keadaan dalam darurat. Ini bertentangan dengan suasana pilihanraya yang baik, iaitu bebas dan tenteram.

Akta pilihanraya perlu dipinda untuk membenteras rasuah dan janji rasuah sebagai kaedah membeli dan membeli undi. Terutama sekali, penyalahgunaan kuasa dan jentera kerajaan untuk kempen pilihanraya mestilah diharamkan.

Para pengundi Kuala Terengganu sudah pun menunjukkan sikap matang, majoriti mereka tidak dapat digula-gula lagi.

Yunus Ali
Pengerusi NIEI

No comments: