Monday, 19 January 2009
KAMAL AMIR MENULIS
DENGAN segala “bala tentera politik” berserta seluruh sidang wazir dan para pengampu dikerahkan berkampong selama lebih dua minggu di Kuala Terengganu, akhirnya rakyat tetap dengan keputusan mereka menolak calon Barisan Nasional. Kalau dalam musim pilihanraya umum dahulu Pakatan Rakyat dikalahkan dengan majorit Cuma sekitar enam ratus undi sahaja, namun untuk pilihanraya kecil kai ini Barisan Nasional mendapat tamparan cukup hebat apabila majoriti calon Pakatan Rakyat memperolehi lebih dari 2,500 undi.
Untuk pertama kalinya dalam sejarah majoriti sebegitu besar tercatat dalam musim pilihanraya kecil. Sedangkan calon Barisan Nasional yang juga merupakan partai pemerintah di negeri Terengganu turun kegelangang bersama pelbagai “peluru” dan “bom jerangkap samar” namun tetap gagal membena keyakinan pengundi untuk menolaknya sebegitu mengaibkan.Jika dihitung dan diperincikan satu persatu tidak kurang dari lima ratus juta ringgit peruntukkan diumumkan oleh para juak serta sidang wazir kerajaan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak yang tentunya mampu mencairkan setiap hati pengundi untuk menyokong calon tajaan Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid.
Namun setelah kertas undi dikira satu persatu, biarpun lebih 5,000 anggota pasukan polis diturunkan sebagai “perang saikologi” bersama barisan pemimpin utama negara terdiri dari kalangan menteri, timbalan menteri, menteri besar, setiausaha politik dan jaguh-jaguh politik, rakyat tetap menzahirkan “suara rakyat kuasa keramat” menolak calon Barisan Nasional.
Bayangkanlah bagaimana jadinya jika calon Barisan Nasional turun ke gelanggang seperti calon Pakatan Rakyat, penuh dengan pelbagai kekurangan? Sifir mudahnya tentulah lebih teruk lagi calon Barisan Nasional mengalami tamparan dengan jumlah undi majoriti pasti lebih bertambah kepada Muhamad Wahid Endut.
Inilah realiti sebenar di mana rakyat dengan jelas memberi mesej kepada pimpinan yang berada di anjung seri perdana agar segera memperkemaskan diri. Jika tidak segera “sedar diri” dan andainya masih lagi angkuh, bongkah dan merasakan rakyat bagaikan boleh dicucuk hidungnya maka saat buat mereka semakin hampir bakal “ditendang keluar” dari Seri Perdana.
Dalam waktu yang sama ternyata jelek serta benci rakyat masih sukar dibendung terhadap kepimpinan hari ini yang belum “sedar diri” untuk segera berubah sikap. Meskipun pelbagai bentuk imbuhan dicurahkan, rakyat bijak mengambilnya tetapi tetap menolak calon Barisan Nasional.
Meneliti pelbagai siri ceramah dan kempen yang diutarakan oleh sidang wazir memanda menteri dalam angkatan Abdullah Ahmad Badawi beserta Mohd Najib Razak, calon Pakatan Rakyat dianggap bagaikan tidak bernilai biarpun satu senpun. Begitu juga dengan pelbagai bentuk serangan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup hodoh digambarkan oleh mereka.
Biar apapun rakyat Kuala Trengganu tetap tidak berganjak dengan keputusan majoritinya menolak sebarang bentuk politik caci mencaci, politik “hulurisma”, politik projek dan politik “upah”.Begitu juga dengan kepimpinan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, ternyata cakapnya langsung “tidak laku” dihati rakyat. Malahan mereka bagaikan mahu mengajar beliau supaya sedar diri dan tahu diuntung betapa hebatnya “Suara Rakyat Kuasa Keramat” yang tidak lagi bersedia dengan percaturan ugut mengungut atau lebih tepat lagi cara “gedebe” atau “samseng”.
Datuk Ahmad Said yang ditolak oleh pimpinan Umno sebagai calon Menteri Besar enam bulan lalu, serta diselamatkan oleh Istana serta rakyat Kuala Terengganu bagaikan lupa diri serta tidak tahu diuntung bagaimana kuasa yang dimiliki olehnya bukan datangnya dari pilihan para juak dan penyokong Abdullah Ahmad Badawi serta Najib Razak. Dirinya di angkat sebagai Menteri Besar kesan kebencian dan gelodak amarah rakyat melihat angkuhnya puak-puak yang berada dianjung kuasa di seri perdana menodai wang rakyat.
Malangnya dalam musim pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, dalam nada sebegitu angkuh Ahmad Said sanggup melukai hati rakyat dan para pengundi mempamerkan hala cara politik “gedebe” dengan menyatakan bahawa pembangunan atau peruntukan kerajaan seolah-olah hanya untuk mereka yang menyokong calon Barisan Nasional.
Sewajarnya keputusan pilihanraya kecil Parlimen P 36 di Kuala Terengganu perlu segera diambil iktibar dan segera insaf diri di kalangan mereka yang berada di anjung Seri Perdana untuk tidak meneruskan kebobrokkan menghirup air mata rakyat. Kalangan sidang wazir dan memanda menteri di anjung kuasa harus memahami kehendak hati nuranai rakyat menolak “korupsi, nepotisma dan kroni”.
Kekalahan calon Barisan Nasional di Kuala Terengganu juga menyaksikan kali ketiga Mohd Najib sebagai Pengarah Pilihanraya mengalami kegagalan. Untuk itu beliau tidak seharusnya meletakkan kekalahan tersebut hanya disebabkan oleh meluat dan bencinya rakyat kepada Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, malahan dirinya juga turut ditolak dan masih belum mampu mengamit yakin rakyat.
Kalau dipilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu mungkin boleh diterima alasan meruap dan bencinya rakyat kepada halacara kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Namun melalui pilihanraya kecil Permatang Pauh yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih undi sebegitu besar harus dijadikan kayu ukur kepada dirinya sendiri kerana waktu itu pelan perlaihan kuasa telahpun didengungkan.
Dalam erti kata lain, soal Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri sudah tidak berbangkit lagi kerana pengumuman telah dibuat membayangkan Dato’ Seri Mohd Najib adalah pengganti mutlak kepada Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga di musim pilihanraya kecil Kuala Terengganu.Dunia telahpun mengetahui bahawa Dato’ Seri Mohd Najib adalah “Presiden Umno dalam penaentian” yang sekadar menunggu bulan Mac 2009 untuk dimentapkan sebagai Presiden kerana 190 daripada 191 bahagian Umno telahpun mencalonkannya sebagai Presiden.
Namun kekalahan Barisan Nasional yang dipimpin olehnya sebagai pengarah pilihanraya adalah terletak dibahunya serta tidak lagi boleh dilampiaskan kepada orang lain. Jika di negara luar berlaku keadaan sebegini sudah pasti pemimpinnya segera mengambil keputusan “meletakkan jawatan” untuk dilihat sebagai pemimpin berintergeriti.
Persoalan paling utama yang mulai menerjah difikiran saya serta tentunya kalangan ahli Umno, mampukah Dato’ Seri Mohd Najib memimpin Barisan Nasional untuk kembali menebus kekalahan di lima buah negeri serta menambah semula dominasi dua pertiga kerusi di Parlimen di musim pilihanraya umum kali ke 13 nanti setelah Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri?Jika dilihat dari sudut prestasi, ternyata keadaannya amat mustahil.
Bagaimana mungkin beliau mampu menentang “tsunami politik” yang bakal menerpa bersama gelodak “suara rakyat kuasa keramat” dimasa akan datang? Sedangkan untuk dua pilihanraya kecilpun beliau kecundang bagaimana pula mahu berhadapan di gelangang lebih hebat lagi?Tanpa sebarang perubahan, tanpa adanya kesedaran diri dikalangan pimpinan Umno, tampu bersedia menerima hakikat bahawa rakyat masih tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib sebagai pemimpin dan teraju utama Umno, tanpa mahu menerima hakikat berang rakyat tetap terus membara, pastilah Umno dan Barisan Nasional sedang menanti saat untuk dikafankan.
Sementara itu mantan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh mensifatkan bahawa kekalahan Barisan Nasional di Kuala Trengganu adalah mesej jelas rakyat menerusi refrendum menolak kepimpinan hari ini. Menurutnya “Sudah tiga kali dalam tempoh sepuluh bulan Barisan Nasional dimalukan dalam pilihan raya besar dan kecil. Saya kagum benar betapa gigihnya para anggota parti di medan juang tempatan bertungkus lumus selama dua minggu. Namun kita tumpas atas sebab masalah di peringkat nasional. Rakyat memang menolak UMNO dalam bentuk dan wataknya sekarang, dan mereka menolak kepimpinannya.
Begitu kuat rakyat mencanangkan kehendak mereka pada PRU 8 Mac dan di Permatang Pauh, UMNO sama ada tuli lantas tidak mendengar seruan rakyat yang mendambakan perubahan fundamental atau memang tidak mampu memberi respons yang sewajarnya.
Kekuatan dan kuasa wang, jentera dan penjawat tidak berdaya mengungguli seruan mendesak perubahan. BN akan tewas dan akhirnya akan kehilangan segala-galanya, sehinggalah kita secara ikhlas lagi bersungguh memberikan respons yang sewajarnya.
Sayangnya, balik-balik lagu lapuk “ini tak harus ditafsirkan sebagai pengundi mengetepikan BN” yang dikumandangkan. Para pemimpin kita terus menyangkal kebenaran hinggakan anggota parti dan anggota BN yang setia akan terasa mereka bagaikan di dalam kapal yang sedang karam.
Dalam kawasan pilihan raya Melayu pun UMNO dimalukan dengan kekalahan dengan majoriti sebanyak 90%. Kita kalah sebab orang Melayu tidak mengundi kita dalam negeri di mana kita memerintah. Begitu banyak sumber nasional parti yang menguasai Persekutuan ini kita hamburkan namun kita tumpas jua.
Ini sebenarnya lebih menyerupai referendum mengenai kepimpinan dan ujian sama ada UMNO masih relevan. Maka, jika UMNO dalam bentuknya kini tidak lagi relevan kepada bangsa Melayu, rumusan yang bernama BN sudah berkubur. Sebab kaum Cina tiada sebab lagi untuk terus menyokong MCA, dan begitulah seterusnya. Dengan itu ranaplah konsensus perjanjian perkongsian kuasa yang mendasari sistem politik kita sejak Merdeka dulu.
Hal ini punya implikasi amat serius. Selama ini kita mendakwa bahawa bertitik tolak atas perjanjian itulah wujud keamanan sosial di Malaysia. Sebuah parti yang menafikan hakikat sebenar tidak mungkin membentuk kerajaan dengan cukup realisme dan keberanian untuk menghadapi ekonomi yang meleset dan sedang lebur – apatah lagi jika ia menafikan itulah keadaan ekonomi sebenar. Memang kita kini terumbang ambing di segara yang tidak dicartakan dan tiada nakhoda yang mengawal teraju.
....... fikir-fikirkanlah.
No comments:
Post a Comment