Tuesday, June 3, 2008

Ucapan YB Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]



(Dewan Rakyat 13 Mei 2008 : 11.17 mlm.)
Usul terima kasih titah DiRaja

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam perbahasan dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua yang memberikan peluang kepada saya untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong.

Pertama sekali saya hanya ada beberapa isu yang hendak diketengahkan dalam Dewan yang mulia ini. Isu yang pertama ialah berkaitan dengan Akta Kolej dan Kolej Universiti. Secara peribadi saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin untuk menilai semula Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 (Pindaan) 1974. Namun untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, sebelum daripada ini pun dua menteri daripada Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Dato' Mustapa bin Mohamed dan Datuk Dr. Shafei Salleh sudah pun menyebut bahawa akta ini akan dipinda. Namun kita belum melihat apa-apa perubahan yang berlaku kepada akta ini. TV3 juga ada melancarkan kutipan responden dan 80% bersetuju supaya Akta AUKU ini dikaji semula.

Tuan Yang di-Pertua, pada pandangan saya AUKU ini patut dimansuhkan bukan sekadar dipinda kerana pandangan umum rakyat Malaysia tetapi kerana substance, dengan izin, AUKU itu jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan universiti, yang zalim tetap zalim walaupun tiada yang menyokongnya. Kertas Putih telah diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi daripada Jawatankuasa Mengkaji dan Meratifikasi Kedudukan IPTA Tempatan sebelum ini. Kalau kita melihat bagaimana jawatankuasa tersebut ditubuhkan di mana kejatuhan ranking IPTA daripada tangga, kalau kita merujuk Universiti Malaya, daripada tangga 192 kepada 246.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, jadi kita hendaklah melihat perkara ataupun cadangan-cadangan yang dikemukakan supaya akta ini dimansuhkan dengan secara serius.

Perkara yang kedua, saya hendak sebutkan berkenaan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti ini yang sudah pun berusia lebih kurang 37 tahun dan selama itu dikuatkuasakan ke atas anak-anak kita yang berada di kampus. Kita telah melihat bagaimana perkembangan generasi muda dan juga IPTA di Malaysia. Kita telah melihat bagaimana dalam akta ini kita dapati bahawa terdapat banyak perkara yang jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang dijamin oleh Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia 1948 dan juga Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat 1981.

Saya ingin memetik beberapa seksyen yang ada di dalam AUKU ini dengan izin Dewan yang mulia ini. Iaitu merujuk kepada seksyen 15(3) dan juga 15(4) – “AUKU melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan”. Ini merupakan sesuatu yang bertentangan terhadap hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan pertubuhan sebagaimana yang dijamin oleh hak asasi manusia dan kita telah melihat bagaimana mereka yang berada di luar universiti pun tidak dilayan seperti mana mahasiswa yang berada di universiti seperti ini.

Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kedua yang saya hendak sebut ialah berkenaan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara ataupun PTPTN. Di tempat saya disebut sebagai ‘PTPTipu’. Ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberikan kemudahan pinjaman kepada pelajar yang mereka ini memasuki ataupun mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta dalam negara kita. Namun dipersoalkan dan diperdebatkan sejak daripada awal lagi penubuhan tabung ini dari sudut halal dan haram. Bagi kami ataupun bagi umat Islam, isu ini sangat penting kerana ia melibatkan kezaliman kepada orang yang tidak berada. Sudahlah mahasiswa akan berhadapan dengan pelbagai bayaran selepas daripada mereka graduasi, pada masa yang sama mereka tidak akan mampu untuk membahaskan dan juga memikul atau pun bertanggungjawab terhadap masalah yang berlaku dalam negara kita. Kita telah melihat bagaimana pelbagai pertubuhan telah mendesak termasuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memberikan hukum terhadap caj yang dikemukakan oleh PTPTN, sama ada riba ataupun tidak. Sampai sekarang polemik itu berterusan walaupun Conference Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 5 dan 6 Mei yang lalu sudah pun berlaku namun keputusannya tidak pernah dihebahkan kepada umum.

Laporan akhbar baru-baru ini juga berkenaan dengan caj perkhidmatannya menarik perhatian saya sekali lagi. Pengerusi PTPTN katanya akan membawa isu caj ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membersihkan salah faham dan kekeliruan berkenaan dengannya. Saya menghargai hasrat Pengerusi PTPTN itu, namun kita apabila disebut bahawa akan dibawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan, sudah tentulah ia sekali lagi menimbulkan polemik terhadap halal ataupun haram caj yang dikemukakan oleh PTPTN. Kita semua mengetahui bahawa dengan jelas PTPTN menggunakan akad pinjaman kepada para pelajar. Ini sudah jelas termaktub dalam laman web PTPTN sendiri.

Keputusan Persidangan Ulama Antarabangsa di bawah Badan Kewangan dan Perakaunan Islam Antarabangsa, AAOIFI menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan daripada jumlah yang diberi pinjam yang telah dipersetujui atau disyaratkan dalam kontrak ataupun akad pinjaman yang dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan ataupun apa-apa manfaat adalah dilarang sama sekali kerana ia adalah merupakan riba.

Namun begitu, dalam masalah kos perkhidmatan, Majlis Syariah AAOIFI dan hasil keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia dalam sidang yang ketiga pada tahun 1986 Masihi berpendapat dibenarkan untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah kos sebenar. Malangnya, cara caj perkhidmatan yang kita dapat lihat di PTPTN, tidak menepati cara yang digariskan oleh Majlis Ulama dunia ini. Faktor terpenting untuk difahami juga adalah riba tidak mengira sama ada di caj di awal perkhidmatan atau selepas perkhidmatan diberikan. Ia sama sahaja selagi mana caj dan kiraan sedemikian diletakkan di dalam akad ataupun kontrak pinjaman.

Justeru oleh sebab itulah, kita melihat bukan sekadar isu kezaliman yang dikenakan kepada peminjam-peminjam PTPTN pada masa yang sama kita juga menuntut Dewan yang mulia ini untuk kita memberikan semula hak yang sepatutnya diperoleh oleh kaum bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Perkara 153.

Tuan Yang di-Pertua, pada masa yang sama, PTPTN juga mempunyai ruang untuk mengenakan caj perkhidmatan seperti mana yang diperdebatkan oleh ahli-ahli akademik yang berada di universiti-universiti tempatan dan juga di peringkat antarabangsa. Sebagai contohnya, PTPTN boleh mengenakan caj dengan sekiranya mereka membeli terlebih awal atau mendapat hak milik terlebih awal terhadap seat ataupun tempat di universiti. Maka dengan mengadakan MoU dengan universiti tempatan dan mereka menyewa misalnya 100 kerusi, maka pada masa yang sama mereka boleh menyewakan semula dalam bentuk sublease. Maka ini adalah diberikan keringanan oleh syariah.

Perkara yang ketiga saya hendak sebut dalam Dewan yang mulia ini iaitu berkaitan dengan Kementerian Pengajian Tinggi, iaitu berkaitan dengan universiti yang saya cintai, Universiti Malaya yang menggunakan cogan kata, ‘Ilmu Punca Kemajuan’ yang ditubuhkan pada tahun 1949 iaitu universiti yang tertua di Malaysia. Baru-baru ini kita merujuk kepada laporan media Bernama.Dot.Com bertarikh 19 Februari 2008, Utusan Online dan beberapa sumber yang lain. Kita telah mendengar ataupun mendapati Universiti Malaya telah mengemukakan satu cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan tanah yang kurang digunakan dengan keluasan 11 hektar daripada keseluruhan tanah kampus utamanya, iaitu seluas 360 hektar.

Menurut Universiti Malaysia, penyelesaian projek pembangunan itu dengan jayanya akan dapat menyediakan Universiti Malaya dengan pendapatan minimum sekurang-kurangnya RM312 juta atau pun nilai tanah sebanyak RM200 juta di campur satu bahagian keuntungan pemaju yang mana nilainya akan menjadi lebih tinggi. Justeru itu, Dewan yang mulia ini ingin melihat dengan cadangan untuk memajukan tanah di kawasan strategik terutamanya sebahagian daripada kawasan Universiti Malaya ini. Adakah Universiti Malaya ataupun Kementerian Pengajian Tinggi sedar bahawa kita sudah pun hilang fokus?

Justeru itu, terdapat banyak lagi isu berlaku di Universiti Malaya. Di antaranya masalah ranking, masalah kurang kolej kediaman kerana tidak cukup tempat kediaman sedangkan mereka perlu untuk mendapat tempat yang kondusif untuk menjadi atau pun membina minda kelas pertama. Pada masa yang sama, universiti ialah tempat untuk kita mengadakan penyelidikan dan antaranya ialah untuk membangunkan bidang integriti pendidikan dan akademik dalam negara kita. Justeru kita memandang serius perkara yang berlaku dan seolah-olah ia telah mengkhianati core business Universiti Malaya yang sebenarnya.

Yang terakhir saya hendak sebut tentang Padang Terap sedikit sebanyak satu daerah yang begitu cantik, jenayah yang paling kurang di negeri Kedah 1.43% sahaja tetapi saya melihat bagaimana di sana penduduk atau rakyat Padang Terap berhadapan dengan kemiskinan ilmu, kemiskinan maklumat di samping kemiskinan harta. Pada masa yang sama mereka berhadapan dengan tindakan politik sempit. Terdapat guru-guru yang diugut, peserta-peserta atau rumah-rumah rakyat miskin....

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang Berhormat. Sila duduk Yang Berhormat.... [Dewan riuh]

No comments: