Tuesday, June 3, 2008

Ucapan YB Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: – Usul terima kasih titah DiRaja

(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)

Tuan Haji Ahmad Kasim [Kuala Kedah]: Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kita mengalu-alukan kedatangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di hujung-hujung malam.

Tuan Yang di-Pertua, masa begitu pendek, persiapan begitu panjang tetapi izinkan kepada saya untuk memulakan mukadimah kepada Menjunjung Kasih Ucapan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda yang di-Pertua Agong dengan menyatakan bahawa statistik kemiskinan yang telah ditekankan oleh ke bawah Duli Yang Maha Mulia berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan statistik oleh pihak kerajaan.

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah ucapannya, talah menyentuh berkaitan dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan lima koridor pembangunan ekonomi dengan hasrat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan menggiatkan lagi ekonomi dan mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, negeri, dan wilayah serta membasmi kemiskinan serta menjayakan kejayaan, mengurangkan kadar kemiskinan negara sehingga 36%. Statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan menunjukkan bahawa bilangan kemiskinan dalam negara sekitar 4 juta rakyat lebih dan kemiskinan tegar sekitar 1 juta . Berbanding dengan statistik ini, menunjukkan bahawa perbezaan antara statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan dan juga kenyataan yang diucapkan di dalam Titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Tuan Yang di-Pertua, suasana kemiskinan di dalam negara begitu membimbangkan. Kalau di kawasan Kuala Kedah, masih ada lagi rumah-rumah yang dibuat daripada menggunakan kayu-kayu, plywood-plywood yang dibuang daripada sampah. Tidak perlu kita pergi jauh ke Sabah dan ke Sarawak, tetapi cukup dengan kita melihat di kawasan Kuala Kedah di kawasan tepi sungai, tepi laut sudah membayangkan suasana kemiskinan di dalam negara kita. Oleh sebab itu, kita ingin menggesa supaya bantuan kerajaan yang berjuta-juta ringgit itu diberi keutamaan dalam membina infrastruktur kemiskinan, menyelesaikan masalah kemiskinan khususnya rumah-rumah orang-orang miskin di sekitar kawasan bandar dan juga di kawasan luar bandar.

Tuan Yang di-Pertua, terdapat satu projek mega “gajah putih”. Projek “gajah putih” yang dibuat oleh pemerintahan dahulu, bukan pemerintahan sekarang yang disebut sebagai projek Marina. Ingin saya sebutkan statistik di sini, projek Marina ataupun Yacht Harbor dengan nilainya sebanyak RM26 juta. Projek ini tidak ada manfaatnya kepada rakyat di negeri Kuala Kedah. Projek ini hanyalah menjadi tontonan oleh rakyat-rakyat miskin yang melihat. Projek ini tidak ada faedah kepada mereka dan baru-baru ini berlaku pembaikan bumbung ke atas projek tersebut yang bernilai sebanyak RM 5.7 juta. Projek ini sebenarnya merupakan satu projek yang tidak memberikan apa-apa significant kepada pembangunan dan sehingga sekarang tidak dapat digunakan oleh rakyat di negeri Kedah dan juga dalam kawasan Kuala Kedah.

Tuan Yang di-Pertua, dalam persidangan Langkawi International Dialog dengan izin bertemakan “Membasmi Kemiskinan Melalui Keupayaan” pada 4 Ogos yang lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyebutkan bahawa Malaysia telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 5% dan fakta ini juga menyebutkan bahawa penduduk Malaysia yang berjumlah lebih daripada 26 juta dengan kemiskinan sebanyak 4.6 juta dan sekitar 1 juta miskin tegar.

Manakala kita telah berjaya meleahirkan sebanyak 40 orang termasuk dalam kategori jutawan. Apa yang menjadi kemusykilan kita ialah program-program untuk membasmi kemiskinan sering dibentangkan di dalam bajet negara dengan peruntukan jutaan ringgit. Namun belum mampu untuk sampai ke akar umbinya dan di bawah naungan Koridor Raya Utara sahaja melibatkan Utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah dan Perlis sahaja terdapat 57,760 keluarga di bawah PGK, Pendapatan Garis Kemiskinan dengan berjumlah 116,900 terjadi kepada miskin tegar dan kita mengharapkan kewujudan golongan termiskin dan berpendapatan rendah adalah di kalangan para petani dan nelayan dalam negara kita.

Mereka sedang mengalami persaingan dengan suasana ekonomi yang serba tidak menentu. Kenaikan harga barang termasuk kenaikan harga petrol, maka merekalah yang paling terasa kesannya. Kesemua pendapatan dan hasil daripada sumber pertanian dan nelayan yang masih tidak berganjak daripada takuk lama, manakala bahan input pertanian seperti racun makhluk perosak dan racun rumpai naik sehingga 50% hingga kadar 90%.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memaklumkan tentang kadar racun yang begitu mendadak perubahannya iaitu daripada musim lalu hingga musim sekarang. Sebagai contohnya, racun jenis pasir 250 ml., pada masa musim yang lalu berharga RM42 tetapi kini RM43; ‘Ammin’ 1 liter dulu berharga RM11 dan kini RM13; ‘Cindex’ berharga RM70.50 sekarang ini RM78; dan yang paling ketara ialah ‘Cleansar’ 500 gram dulu berharga RM40 naik kepada RM156.50, bermakna naik lebih daripada 100%.

Ini membayangkan bahawa kedudukan para petani yang menghadapi isu lambakan beras pada tahun 2001 dan begitu juga isu padi, kini begitu mendesak dan menekan lagi suasana kemiskinan yang dihadapi oleh mereka. Peningkatan kos input pertanian termasuk kos-kos perkhidmatan pertanian seperti upah membajak yang kalau dihitung pada setiap relung membayangkan bahawa petani-petani di seluruh negara pada umumnya berada di bawah paras kemiskinan iaitu pada pendapatan kurang daripada RM250 serelung. Sekiranya petani itu mempunyai satu hektar sahaja, barulah pendapatannya sebanyak RM1000 untuk tempoh enam bulan.

Tuan Yang di-Pertua, oleh sebab itu beberapa isu yang dibangkitkan khususnya berkaitan dengan isu padi, isu beras negara, saya ingin menekankan dalam tempoh yang pendek ini iaitu tentang stok penimbal. Oleh kerana latar belakang saya dalam bidang pertanian dan saya pernah bekerja di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda jadi mempunyai sedikit autoriti untuk membicarakan berkaitan dengan isu padi dan stok penimbal. Saya begitu menghargai pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri apabila menaikkan tempoh stok penimbal kepada tempoh tiga bulan. Saya ingin mencadangkan supaya tempoh tiga bulan ini dilanjutkan ataupun ditambah sebanyak tiga bulan lagi menjadikan stok penimbal negara kepada tempoh selama enam bulan.

Kenapa ataupun apa rasionalnya enam bulan? Ini kerana usia padi di sekitar 112 hari sehingga 120 hari. Itu umur padi. Bermakna memakan masa selama empat bulan. Kalau berlaku krisis di luar negara kita memerlukan masa yang lebih daripada usia padi supaya produktiviti padi itu dapat dihasilkan pada setiap musim. Oleh kerana kerajaan melaksanakan dasar tanaman secara serentak untuk menghadapi serangan penyakit, masalah rumpai dan kawalan air yang mudah, itu semestinya menjadi satu amalan baik dalam pertanian oleh kerana tanaman serentak ini membolehkan tanaman padi hidup selama tempoh empat bulan dan kalau dimasukkan dengan proses awal tanaman padi, maka tempohnya memakan masa selama lebih daripada empat hingga lima bulan. Oleh sebab itulah cadangan supaya tempoh stok penimbal tiga bulan itu saya ingin mencadangkan dinaikkan kepada tempoh enam bulan.

Begitu juga dengan projek 10 tan yang dikemukakan. Kajian mengenai projek 10 tan ini menunjukkan hanya 0.6% sahaja berjaya dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, kawasan yang paling subur dengan tanaman pertanian. Sekiranya projek 10 tan ini berjaya sepertimana pengeluaran padi di Amerika Syarikat 8 tan dan keluaran purata negara sebanyak 2.1 tan. Keluaran dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, tempat yang saya bekerja dahulu sekitar 3.5 sehingga 4.5 tan. Itu kadarnya. Sekiranya kita naikkan kepada kadar 10 tan bermakna negara bukan sekadar mampu untuk sara diri tetapi juga mampu untuk mengeksport padi.

Oleh sebab itulah kita minta supaya kajian yang terperinci berkaitan dengan projek 10 tan ini dilaksanakan bersungguh-sungguh kerana ia memberikan pulangan yang baik kepada negara. Begitu juga dengan penambahan di dua kawasan di Sabah dan Sarawak. Umumnya sekiranya kita membuat perbandingan antara kawasan penanaman pada di Jawa dan juga di Kalimantan Selatan, menunjukkan bahawa hasil pertanian di Jawa melebihi sebanyak 20 kali daripada hasil di Kalimantan. Mungkin selepas ini pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani boleh membuat kajian secara terperinci tentang perbandingan hasil di kawasan yang bermutu, tanah lanar laut yang sesuai seperti mana di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda berbanding dengan kawasan di Sabah ataupun juga di Sarawak.

Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali sebelum saya membuat rumusan satu lagi isu yang melanda kemiskinan dalam negara kita ialah kawasan nelayan. Kawasan nelayan ini perlu diberi perhatian yang agak terperinci kerana merekalah golongan yang paling daif dan memberi kesan kepada kemiskinan dalam negara. Di antara masalah mereka ialah mengenai berkaitan subsidi diesel yang hanya dikeluarkan untuk pemilik-pemilik ataupun nelayan yang hanya mempunyai lesen sahaja. Berdialog dengan nelayan membuktikan bahawa mereka minta supaya kerajaan melonggarkan ataupun memberi lesen kepada seluruh nelayan di kawasan zon ‘A’ iaitu kawasan nelayan pantai kerana merekalah yang paling aktif mengeluarkan ataupun menghasilkan produk perikanan yang paling tinggi berbanding nelayan laut dalam.

Oleh kerana mereka tidak ada lesen, maka mereka juga kadang-kadang menyalahgunakan lesen-lesen daripada rakan-rakan dan seumpamanya. Begitu juga apabila mereka keluar ke laut, mereka menghadapi ancaman daripada penguat kuasa yang begitu keras melaksanakan agenda Akta Perikanan....

Akhir sekali saya ingin memberikan rumusan, Tuan Yang di-Pertua. Saya ada beberapa perkara. Pertama dicadangkan supaya memberikan subsidi diesel dan petrol ini kepada semua nelayan di bawah persatuan nelayan yang betul-betul menjadi nelayan. Kedua ialah supaya membuat projek penempatan baru kepada nelayan dan petani yang akan mengusahakan pertanian supaya mereka berpindah dari kawasan pantai terus ke kawasan ikan air tawar; dan yang keempat ialah supaya beberapa duti import untuk bahan input pertanian khususnya racun yang kita import daripada luar negara dikurangkan. Itu sahaja, Tuan Yang di-Pertua, Terima kasih.

No comments: