Wednesday, June 11, 2008

Ucapan Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]

Dewan Rakyat : 7 Mei 2008)
USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN DIRAJA

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama membahaskan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan perkara pertama yang ingin saya sentuh dalam ucapan ialah tentang bagaimana Baginda telah dengan penuh hormat dan dengan penuh keprihatinan menyentuh tentang isu integriti yang mestilah terus berjalan dalam tanah air kita ini bagi memastikan, beberapa institusi penting negara dapat terus diberikan kepercayaan oleh rakyat, dan meningkatkan kredibiliti mereka sebagai badan yang penuh wibawa bagi kepentingan rakyat.

Pertama Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya menyentuh tentang Institusi Parlimen ini sendiri, yang menjadi harapan kepada kita semua. Kita bukan sekadar berbahas di sini, dan dalam penggal yang lalu kita berbahas tentang kenaikan elaun, kita berbahas tentang Akta Saraan Parlimen yang memberikan sedikit imbuhan kepada Yang di-Pertua, Timbalan-timbalan Yang di-Pertua dan juga Ahli-ahli Dewan Rakyat di sini. Akan tetapi yang lebih penting ialah integriti dan peranan Parlimen ini sendiri, di dalam memainkan peranannya untuk memastikan, yang pertama berlakunya penyuburan demokrasi. Kedua demokrasi itu dapat dikembalikan dalam bentuk keadilan untuk dirasai oleh seluruh rakyat di dalam negara kita.

Kita tidak mahu Tuan Yang di-Pertua, kita di sini, Ahli-ahli Yang Berhormat dan kita juga sebagai pemimpin-pemimpin, dan saya menganggap kita semua adalah merupakan leaders of tomorrow. Pemimpin untuk hari esok, yang mesti memberikan sumbangan besar kita dalam Dewan yang mulia ini, supaya anak cucu kita pada masa yang akan datang, dapat mewarisi satu Parlimen yang boleh kita banggakan. Kalau kita bertanya dengan orang Jepun dan orang Korea pada hari ini Tuan Yang di-Pertua, apakah di antara mereka yang paling bangga. Orang Jepun akan menjawab dengan penuh ikhlas dan jujur, bahawa mereka bangga dengan Parlimen mereka. Orang Korea bangga dengan Parlimen mereka, orang Inggeris juga berbangga dengan Parlimen mereka.

Tuan Yang di-Pertua, Parlimen bukan sekadar menempatkan Ahli-ahli Yang Berhormat. Meletakkan Speaker untuk mengendali Dewan yang mulia ini, tetapi rakyat pada masa yang akan datang, mahu melihat Parlimen berperanan untuk memastikan yang pertama, institusi penguatkuasaan negara seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan seumpamanya dan orang-orang yang penting seperti Ketua Polis Negara, AG memainkan peranan mereka dengan penuh beramanah supaya mereka tidak menyalahgunakan kuasa mereka. Dan demikian juga peranan Parlimen, di dalam menentukan nasib orang-orang politik, menentukan jatuh bangun mereka, kerana Parlimen dianggap sebagai institusi yang paling dihormati oleh mana-mana bangsa yang bertamadun.

Sebagai contoh Tuan Yang di-Pertua, kalau saya merujuk kepada beberapa isu yang pernah berlaku dalam Parlimen-parlimen yang terhormat di Jepun. Sebagai contoh; seorang pengerusi ‘Yamaichi Sozue Mozawa’ yang pernah terlibat dalam satu skandal yang mana berlakunya penyelewengan ke atas syarikat ini apabila nama beliau disebut di dalam Parlimen. Isu beliau dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di Jepun pada waktu itu. Isu salah guna kuasa yang telah mengelapkan duit rakyat Jepun yang bernilai jutaan Yen pada waktu itu. Beliau telah mengambil tindakan hara kiri iaitu tindakan membunuh diri. Bukan bermaksud...Saya pada hari untuk menyuruh kita atau mengajak kita melakukan amalan yang seperti ini, tetapi ini menggambarkan, betapa bila tokoh-tokoh besar seperti ini, isu mereka diperdebatkan, nama mereka disebut dalam Parlimen tanpa menunggu mahkamah, mereka telah mengambil tindakan yang mereka anggap memiliki integriti dan moral yang tinggi untuk membersihkan nama mereka dan bangsa mereka.

Demikian juga dalam tahun 1994, bila ‘Lady Van Rederbuck’ yang menjadi perempuan simpanan kepada Ketua Staf Angkatan Bersenjata Diraja British, ‘General Sir Peter Hardem’. Bila isu ini sebagai contoh disebut dan diperbahaskan di dalam House of Common, maka beliau telah mengambil tindakan meletakkan jawatan secara bermoral, dan tidak menunggu mahkamah untuk menghukum mereka. Demikian juga Tuan Yang di-Pertua apabila skandal seks teragung dalam politik British moden melibatkan John ‘Kurtformock’, Menteri Pertahanan British di bawah ‘Hared MacWalen’ dengan seorang pelacur yang bernama Christine Killer. Tanpa berlengah isu ini bila dibahaskan dan diperdebatkan dalam House of Common, memperlihatkan bahawa dengan segera menteri ini meletakkan jawatan.

Disinilah peranan yang sebenarnya yang mesti dimiliki oleh Parlimen Malaysia supaya apa jua yang berlaku salah guna kuasa yang dianggap oleh rakyat, the public out cry ini dapat dipertanggungjawabkan oleh Parlimen untuk memastikan keadilan rakyat ini dapat ditegakkan. Dan perkara-perkara yang seperti ini menunjukkan dan membuktikan Parlimen bukan sekadar menempatkan Ahli-ahli Yang Berhormat mendapat elaun bulanan, Speaker dan Timbalan-timbalan Speaker menunaikan tanggungjawab mereka, tapi institusi ini, Parlimen tidak boleh dianggap sebagai sebuah badan yang penuh integriti berdasarkan kepada nilai jumlah renovationnya ratusan juta ringgit. Parlimen tidak boleh dianggap sebagai sebuah institusi yang canggih berdasarkan kepada keempukan kerusi-kerusinya, tetapi belajarlah daripada House of Common, belajarlah daripada Parlimen Jepun dan Korea yang sangat konservatif, tetapi integritinya sangat diyakini dan kewibawaannya apabila nama-nama orang–orang politik, pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang melakukan skandal ataupun rasuah, ataupun apa jua. Apabila nama mereka ini disebut dalam Parlimen ini, maka moralnya jatuh, dan mereka mengambil tanggungjawab moral membersihkan nama mereka dan rakyat yang mendapat manfaat daripada integriti Parlimen ini.

Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Kubang Kerian dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tertarik dengan perbahasan Yang Berhormat dan pohon penjelasan. Apabila Yang Berhormat membangkitkan tentang Parlimen perlu diletakkan ke tahap yang begitu tinggi, dengan membuat perbandingan dengan Parlimen-parlimen terkenal di seluruh dunia. Cuma, adakah perlu kita balik kepada keadaan Separation of power itu yang perlu ada, bahawa Parlimen ini benar-benar bebas yang memungkinkan kita mewujudkan Akta Perkhidmatan Parlimen, supaya Parlimen ini tidak terikat pada mana-mana badan-badan ahli yang lain seperti eksekutif dan judiciary dan sebagainya. Apa pandangan Yang Berhormat?

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Arau, sahabat saya yang bijaksana dan mengingatkan saya di waktu bangku sekolah dulu, kita belajar tentang Separation of power yang tidak silap saya dikemukakan oleh John ‘Loock’ dan kemudian dikemukakan oleh ‘Mantosque’ dan ini menjadi satu dokumen penting dalam sistem perundangan dalam dunia pada hari ini iaitu tentang Separation of power. Terima kasih kerana boleh bersetuju dengan saya. Ini menunjukkan bahawa dalam menegakkan keadilan dan Parlimen ini, Pembangkang dan pihak kerajaan boleh bersama demi untuk kepentingan rakyat, insya- Allah. Sila, Yang Berhormat Temerloh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [Dato’ Saifuddin bin Abdullah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Saya mungkin tak berkesempatan nak berbahas, tapi saya nak minta penjelasan daripada Yang Berhormat Kubang Kerian tapi sebelum itu, sebelum ‘Mantosque’ adalah ‘Thomas Hobbes’, sebelum ‘Mantosque’, Yang Berhormat tertinggal satu nama. Adakah Yang Berhormat juga memikirkan bahawa Parlimen, selain daripada meluluskan undang-undang dan selain daripada menjadi badan pemantau yang tertinggi kepada segala dasar program dan gerak laku semua orang termasuk Ahli-ahli Parlimen sendiri. Adakah Yang Berhormat juga berfikiran bahawa Parlimen juga harus mencetuskan idea-idea besar untuk tamadun masa depan yang tidak mengira kepentingan politik tetapi hanya mengambil kira kepentingan bangsa, agama dan tanah air, terima kasih.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih rakan saya dari Temerloh. Saya rasa apa yang saya akan cakap lepas pada ini ialah apa yang Yang Berhormat telah sebutkan tadi. Jangan bimbang, kita boleh berkongsi di dalam perkara-perkara yang demi kepentingan rakyat ini.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh Parlimen mestilah menyuburkan budaya menubuhkan kokus-kokus yang lebih aktif dan saya harap sahabat saya yang menjadi menteri daripada Padang Rengas boleh berkongsi pengalaman tentang ini. Ada banyak isu dalam negeri, isu dalam masyarakat, isu wanita, alam sekitar, isu pentadbiran awam dan seumpamanya yang perlu diperhalusi oleh kokus-kokus yang lebih aktif supaya Parlimen ini terus berwibawa dan memberikan juga peranan kita di peringkat antarabangsa. Kokus-kokus ini perlu diberikan mereka peluang yang lebih di samping kita dapat menempatkan Parlimen kita di persada antarabangsa dan benar-benar menjadi world class Parliament.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kalau kita nak memperkukuhkan Parlimen ini, kita dalam prosedur di Parlimen ini, kita bila membincangkan rang undang-undang contohnya, kita akan masuk ke peringkat jawatankuasa tapi kalau dalam konteks Parlimen kita ini, yang saya tengok, saya perhati sebab saya orang baru, bila tiba jawatankuasa, kita turunkan cokmar. Lepas itu kita bincang macam ini juga, sedangkan kalau kita tengok di House of Representative di Washington sana, sebagai contoh bila mereka pergi ke peringkat jawatankuasa, betul-betul jawatankuasa, bersidang di tempat lain, panggil semua NGO-NGO atau badan-badan yang ada relevan dengan rang undang-undang yang hendak dibincangkan, dapatkan input, bincang, bawa balik ke dalam Dewan. Apakah Yang Berhormat Kubang Kerian boleh bersetuju kalau kita pindah ke cara itu?

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, sudah pasti saya bersetuju kerana kita perlu mempelajari perkara yang baik daripada mana-mana Parlimen yang telah menunjukkan kewibawaan mereka. Kokus sangat penting dalam kita memperhalusi rang undang-undang sebagai contoh yang kita perdebatkan pada hari ini. Kadang-kadang Tuan Yang di-Pertua, hanya dua tiga hari diletakkan di atas meja, kemudian barulah kita dibenarkan, diizinkan untuk membahaskan. Ini perkara yang perlu diperbetulkan.

Kalau kita lihat peranan Dewan Negara, Senate, sampai bila kita akan terperangkap, sampai bila generasi akan datang esok akan terus membaca dalam Hansard mereka, kita ini dan sampai bila Dewan Negara akan hanya digelar sebagai “rubber stamp” tanpa kita mengubah paradigma itu untuk kepentingan generasi kita pada masa yang akan datang.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh bagaimana saya melihat, kita mengimpikan kalau kesalahan-kesalahan besar yang dianggap oleh rakyat isu penting, bila lagi kita mahu menghadapkan sebagai contoh Ketua Polis Negara ke dalam Parlimen ini. AG, kalau mereka menyalahgunakan kuasa, kita boleh panggil mereka untuk menghadap kita. Mungkin ini tidak ada dalam peraturan mesyuarat, tetapi kita boleh meminda peraturan-peraturan mesyuarat ini untuk apa, untuk kepentingan rakyat. Untuk apa, untuk kita memastikan Parlimen ini akan dapat berdiri sebagai sebuah badan yang hari esok, hari esok, anak cucu kita akan mengucapkan terima kasih di atas usaha yang kita buat pada hari ini. Ini yang saya maksudkan tentang integriti Parlimen yang mesti kita perjuangkan pada hari ini. Dan saya harap it’s a very timely, dengan izin, dah sampai masanya kita menganjak paradigma ini. Kita bersama, ayuh kami Pakatan Rakyat kami ada ramai kepakaran, ada profesor, ada all the profesionals’ here, kita boleh berkongsi...Dalam kepakaran ini, untuk apa , untuk kita membuat suatu benchmark bila kita tidak ada esok di sini maka rakyat akan memberikan kepercayaan kepada Parlimen ini dengan penuh integriti. Sila.

Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Adakah Yang Berhormat sedar bahawa the separation of power yang berlaku dekat Malaysia ini, kita lihat bahawa Yang Berhormat yang menjadi Ahli Parlimen, mereka juga menjadi Menteri Kabinet dan juga mereka juga menjaga bidang kehakiman. Ertinya tidak wujudnya sesuatu the separation of power. Jadi adakah Yang Berhormat bersetuju dengan perkara ini yang menyebabkan berlaku perkara-perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi, terima kasih.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih rakan saya dari Bukit Gantang. Tentang perkara yang dibangkitkan itu, saya rasa kita, sebab itu perlu ada check and balance yang jelas. Sistem yang ada pada hari ini masih lagi boleh diperbaiki supaya yang penting pada saya ialah delivery system itu, sistem penyampaian itu dan separation of power itu jelas supaya mana-mana pihak yang mendapat kuasa yang di amanah kepada mereka itu dapat menjalankan tanggungjawab mereka demi kebaikan rakyat.

Tuan Yang di-Pertua, dalam bidang kehakiman sebagai contoh, yang mesti Parlimen mengambil perhatian, dulu kita ada tokoh-tokoh yang dianggap penting, nama-nama besar yang izinkan saya menyebut nama-nama mereka dengan penuh hormat, tokoh-tokoh seperti Tun Salleh Abbas, Yang Mulia Raja Azlan Shah...Tun Sufian, kemudian Eusoffe Abdoolcader, George Seah. Ini nama-nama besar yang pernah mengharumkan institusi kehakiman negara. Tetapi ada satu ‘...’ yang berlaku selepas pemecatan Tun Salleh Abbas yang kerajaan pada hari ini mengakui perkara itu. Tapi ialah satu perjuangan yang cukup panjang, suatu pengorbanan yang terpaksa dibuat tapi akhirnya kita dapat menegakkan keadilan ini. Kemudian kita melihat kepada contoh kepada badan penguatkuasaan yang paling penting iaitulah yang diketuai oleh AG, Peguam Negara. Ini perlu diperbetulkan. Kita berbangga bila AG pergi ke Mahkamah Dunia, The Hague, di Belanda untuk berhujah, untuk menyampaikan pandangannya, untuk mempertahankan kedaulatan negara dan isu Batu Putih, dan kita berbangga.

Tapi bila pulang ke Malaysia, AG boleh pergi ke Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman. It’s a mockery dengan izin, ridiculous, untuk mendapatkan perintah reman, berperintah reman ini Tuan Yang di-Pertua dengan penuh hormat, Tuan Yang di-Pertua juga seorang pengamal undang-undang, kalau tok penghulu yang dah banyak kali masuk mahkamah pun boleh minta perintah reman, AG turun untuk mendapatkan perintah reman. Saya rasa ini perkara yang perlu dielakkan yang semata-mata kerana apa, kononnya perhimpunan-perhimpunan haram itu mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara.

AG mesti dipanggil, kalau ada sesuatu peruntukan, ada standing order yang boleh kita pinda sama ada mereka hakim, sama ada mereka ini AG, sama ada mereka ini ketua pengarah pentadbiran dan sebagainya, datang ke Parlimen berhadapan dengan kita untuk kita membahaskan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Tragedi Batu Burok sebagai contoh, saya mengatakan AG ada banyak yang lain, yang besar, berpuluh-puluh laporan polis yang dibuat, berpuluh-puluh laporan yang kita buat mengenai masalah rakyat. Di Sabah yang menjadi rintihan rakan-rakan saya, 80 laporan polis terhadapan Ketua Menteri Sabah, kenapa ini tidak disiasat? Kenapa ini tidak diambil tindakan sewajarnya? Ini kerja AG, ini tanggungjawab mereka. Bukan datang ke Mahkamah Majistret minta perintah reman dan berhadapan dengan peguam-peguam muda kita. Kadang-kadang menjadi bahan ketawa yang memalukan kita yang ada pada hari ini. Jadi ini semua perlu kita perbaiki Tuan Yang di-Pertua, supaya semua badan-badan penguatkuasaan ini mendapat respect. Mereka dengan penuh integriti dihormati oleh rakyat.

Demikian juga dengan Ketua Polis Negara dan pasukan polis. Bukan niat saya untuk menghina dan memperlekeh dan bukan niat saya untuk tidak berterima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia. Dengan penuh hormat saya ingin merujuk bekas Perdana Menteri Malaysia Tun. Dr. Mahathir dan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif sendiri mengatakan ada segelintir, ada sebahagian yang duduk di Bukit Aman itu perlu diberikan perhatian yang serius kerana besar kemungkinan mereka melakukan salah guna kuasa. Isu contoh yang rakyat bertanya ialah isu Tengku Goh. Pelepasan yang begitu mudah yang dibuat, wujudnya surat-surat daripada KDN kepada PDRM yang disampaikan kepada saya untuk saya bawa ke dalam Dewan yang mulia ini. Di antara Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Ini semua siapa yang mahu perbetulkan? Kalau gangster paling besar dalam negara kita ini boleh bebas dengan begitu sahaja, apa lagi harapan rakyat terhadap keselamatan negara? Di mana lagi rakyat ingin menumpang rasa selamat mereka kalau napoleon-napoleon besar ini terus wujud dalam negara kita.

Jadi kita harapkan Parlimen boleh memanggil mereka ini, menghadapkan mereka ini supaya integriti ini dapat kita pelihara. Demikian juga ACA Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin memetik tentang pandangan-pandangan tokoh-tokoh tersohor dalam bidang perundangan dalam bidang kehakiman, dalam bidang yang menyentuh tentang BPR ini. Sebagai contoh kes yang berlaku terhadap bekas Pengarah Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusoff. Kes beliau telah pun dibawa ke mahkamah dan saya tidak berniat untuk menyatakan beliau ini betul atau salah, itu kita serahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.

Tuan Yang di-Pertua, apa yang didedahkan oleh Datuk Ramli di dalam press conferencesnya dua hari sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah, waktu itu beliau sendiri sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kenapa dengan tiba-tiba beliau dan pegawai-pegawai tinggi beliau diambil tindakan pelbagai. Ditukar 24 jam, diturunkan pangkat dan sebagainya, setelah beliau mendedahkan di dalam press conference tersebut bahawa pada waktu itu beliau telah menerima arahan untuk menyiasat kes Tengku Goh ini. Ini satu perkara yang mesti diambil perhatian. Ini keselamatan negara dan rakyat. Di manakah lagi? Kita tidak ada polis swasta Tuan Yang di-Pertua.

Kita tidak ada badan-badan yang dianggap yang lebih berwibawa untuk kita meletakkan harapan keselamatan. Oleh itu saya mengharapkan tokoh-tokoh macam Tunku Abdul Aziz, telah mencadangkan ACA ini mesti ada the right to prosecute. Ini dibuat zaman Tun Razak dahulu. Dibuat tetapi diambil balik kuasa ini untuk apa? Memang apa yang disebut oleh Tunku Abdul Aziz ini dengan izin Tuan Yang di-Pertua, ‘ as the ACA has suggested that it should ask for more powers to enable itself to go up to any public official and demand an account to how he or she has come into possession of asset which appear to be inconsistent with his or her earnings’. Kalau tidak percaya kata Tunku Abdul Aziz, every time I raise this with the ACA I'm told “yes we would like to do it, but the Anti Corruption Act 1997 does not allow for it. If you don’t believe me, pick up your telephone and ask the Hong Kong Independent Commission Against Corruption about the importance of this enabling power in its own success story.” Ini perlu kita contoh. Yang Berhormat bagi Kulai hari ini bercakap macam pembangkang juga minta supaya ACA ini diberikan the right to prosecute, hak untuk mendakwa.

Perkara yang kedua Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bercakap tentang UKM. Satu badan yang ditubuhkan oleh rakyat dan kalau Tuan Yang di-Pertua masih ingat lagi...

Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan Yang Berhormat yang telah menyebut berkaitan dengan kehakiman. Setiap kali berlakunya dan individu-individu tersebut yang dituduh sebagai rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat apakah cukup sekadar Peguam Negara sahaja membersihkan nama beliau ataupun mesti dibawa ke mahkamah membersihkan nama orang tersebut. Minta penjelasan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih sahabat saya Yang Berhormat bagi Jerai. Apa yang disebut oleh sahabat saya dari Jerai itu memang tepat dan saya rasa penyesuaiannya mestilah diambil dan dipandang serius oleh kerajaan supaya apa yang dibincangkan tadi itu dapat kita jadikan satu kenyataan pada masa akan datang.

Saya beralih kepada UKM, kalau saya minta Menteri Pengajian Tinggi dan pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini kalau boleh besok pergilah ke UKM. Adakanlah pertemuan dengan mereka yang bertanggungjawab terhadap isu pelantikan Datuk Tan Hock Lim dengan gaji RM168,000 ini dan beliau telah menjadi suatu masalah besar kepada UKM pada hari ini. Minta maaf Tuan Yang di-Pertua, saya menyebut nama Dr. Tan Hock Lim bukan kerana namanya berbangsa Cina, tidak. Kalau ada doktor berbangsa apa sekali pun yang lebih baik, yang lebih berintegriti daripada beliau sila, tetapi ini masalah yang sedang berlaku dalam UKM sekarang.

Tuan Yang di-Pertua, kita kena ingat UKM ditubuhkan oleh rakyat. Ingat pejuang-pejuang UKM dahulu membawa tabung-tabung ke kampung-kampung dahulu. Ini sejarah UKM. Rakyat memberikan derma untuk menubuhkan UKM. Rakyat yang menubuhkan UKM. Hari ini jangan ada tangan-tangan dan termasuklah apa yang saya hendak sebut pada hari ini adalah tentang Naib Canselornya Prof. Dr. Sharifah Habsah. Mestilah diadakan satu tribunal khas untuk menyemak kembali prestasi beliau untuk menjaga UKM pada hari ini. Ini menjadi satu rungutan besar di UKM pada hari ini. Wang rakyat dihabiskan dengan gaji yang begini besar. Tidak ada lagi tokoh-tokoh akademik, tokoh-tokoh yang boleh mengganti tempat beliau dan jangan dikorbankan UKM ini demi masa depan rakyat.

Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua ialah tentang AUKU iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti. Sudah sampai masanya saya mengharapkan AUKU ini dikaji semula. Apa yang berlaku di universiti pada hari ini benar-benar kita melihat, pelajar-pelajar dijadikan macam budak sekolah rendah. Pensyarah-pensyarah universiti dijadikan macam guru-guru sekolah rendah. AUKU mesti dipinda demi masa depan generasi muda. Berikan kebebasan. Wujudkan demokrasi. Kalau bangsa yang bertamadun, negara yang bertamadun, di manakah lagi kita ingin melihat suburnya demokrasi? Universitilah tempatnya. Bukan dengan satu memorandum yang dihantar oleh pelajar-pelajar, satu surat yang dihantar oleh pelajar kepada dekannya, komputernya dirampas, diajak bertanding dalam setiap kali berlakunya pilihan raya dalam kampus. Ada pelajar yang menyokong pembangkang, diambil tindakan, didenda, diugut, digantung pengajiannya, universiti apa ini? Jadi saya mengharapkan supaya diambil perhatian. Kalau kita hendak pelajar kita, pensyarah kita, kalau kita mahu warga universiti ini, beri mereka kebebasan. Pas kalau mentarbiah, seluruh pun pelajar universiti tidak semua, esok end result nya akan pergi kepada Pas. Begitu juga dengan UMNO.

Kita lihat negara maju. Amerika ada dua Parti. Di Britain ada dua parti, labour and conservative. Pelajar-pelajar mereka boleh menyokong labour parti dan conservative parti, tidak ada masalah. Tidak ada kita dengar hendak gantung, hendak rampas komputer. Ini kerja-kerja yang tidak bertamadun. Berilah kebebasan. Pindalah AUKU demi masa depan mereka. Beri peluang kepada pensyarah-pensyarah menentukan, bagi balik autonomi universiti. Biar satu hari esok, universiti kita ini ada macam Harvard. Jangan belajar di Harvard, belajar di Oxford, belajar di Cambridge, balik pemikiran SPM. [Ketawa] Terima kasih.

No comments: