(Dewan Rakyat : 7 Mei 2008)
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk turut membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Di kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada sahabat lama Yang Berhormat Datuk kerana terpilih untuk menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan.
Dalam Titah Ucapan Tuanku menegaskan antara lain bahawa Malaysia berperanan untuk memartabatkan imej Islam di persada dunia. Tuanku juga turut menegaskan bahawa Malaysia juga berperanan untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam. Sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia yang juga mempunyai sedikit pengalaman terlibat dengan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri semasa Allahyarham Tun Abdul Razak dan turut juga bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) semasa Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir dan seterusnya ke peringkat Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Malaysia. Maka saya rasakan bahawa Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia tuanku mempunyai makna yang besar dan sungguh bererti untuk didokong bersama terutama sekali oleh umat Islam dalam negara ini, lebih-lebih dari segi institusi-institusi Islam yang ada dalam negara.
Berasaskan kepada Titah Ucapan Duli Tuanku itu tadi, maka saya cuba mengambil kesempatan dalam membahaskan Titah Ucapan Tuanku ini untuk menyentuh lebih banyak kepada perkembangan hal ehwal Islam di dalam negara yang mungkin dapat sedikit sebanyak saya sentuh berasaskan kepada keadaan dan realiti yang berlaku.
Saya mohon izin daripada Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan untuk memberi sedikit latar belakang di mana kedudukan perkembangan Islam sejak beberapa tahun yang lalu di mana di peringkat tertubuhnya Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang hanyalah merupakan salah satu bahagian yang kecil daripada Jabatan Perdana Menteri. Selepas itu dipertingkatkan dan diperbesarkan. Kalau tidak silap saya yang lebih hebat ialah pada tahun 1985. Pada ketika itu dipertingkatkan menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri ataupun BAHEIS dan seterusnya kepada JAKIM yang ada sekarang.
Pengiktirafan kepada sijil-sijil dan ijazah-ijazah daripada lepasan-lepasan pengajian universiti-universiti Timur Tengah khususnya hanyalah baru bermula pada tahun 1972. Sebelum daripada itu kedudukan anak-anak atau para pelajar dan juga graduan-graduan daripada universiti-universiti Timur Tengah khususnya dalam bidang agama ini hanyalah di peringkat yang biasa. Pada tahun 1972, pengiktirafan ini hanyalah di peringkat kalaupun kita mendapat peringkat honours ataupun jiddan misalnya, tetapi diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia pada ketika itu hanyalah di peringkat general degree.
Keadaan ini menjadi sesuatu yang mungkin pada ketika itu melemahkan suasana dan keadaan pentadbiran dan pengurusan Islam di dalam negara kita ini. Apabila perkara ini diperingkatkan dan dipertimbang semula, maka apa yang ada pada hari ini ada sedikit ruang untuk mereka yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal yang mempunyai latar belakang pendidikan agama ini untuk memainkan peranan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila, Yang Berhormat Baling kerana masa pun sudah habis. Sudah habiskah ucapan Yang Berhormat Baling tadi? Belum lagi?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Lagi sejam.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sambung esok. Ahli-ahli Yang Berhormat Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan sehingga jam 10.00 pagi hari Khamis 8 Mei 2008. Mesyuarat ditangguhkan.
Dewan ditangguhkan pada pukul 7.30 malam.
Dewan Rakyat : 8 Mei 2008 - 11.40 pg.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Bismillahirrahmannirahim, Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua menyambung sebagaimana yang telah saya petik daripada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku meletakkan Malaysia berperanan untuk memartabatkan Islam di persada dunia dan Malaysia berperanan untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam.
Sebagaimana yang telah kita tegaskan bahawa apa yang dikemukakan oleh Duli Tuanku memperlihatkan suatu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul oleh semua lebih-lebih lagi bagi kita umat Islam di Malaysia. Tanggungjawab Islam adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang kecil dan tidak boleh dipandang remeh. Ia adalah termasuk di dalam main screen pemerintahan dan kerajaan. Kalau diizinkan saya memetik, apa yang pernah diketengahkan oleh Lukman Hakim Rahmatullah. Pesanan Lukman Hakim, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “saya sudah ubah dan pikul batu yang besar, sudah menanggung besi yang berat tetapi saya tidak pernah bertemu beratnya tanggungjawab tentang Islam.”
Dengan keadaan ini, maka kesempatan ini saya hendak membangkitkan beberapa perkara di mana kita lihat sekarang pengurusan dan pentadbiran Islam dalam negara kita ini masih belum mencapai kepada piawai yang sebenar selaras dengan kehendak dan tuntutan semasa. Sebab itu kita lihat banyak perkara yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran Islam. Ada sahaja perkara-perkara yang tidak lengkap, tidak sempurna dan banyak permasalahan yang timbul daripada ketidaksempurnaan pentadbiran dan pengurusan Islam. Kita lihat dan tidak dapat sesiapa nafikan bagaimana pentadbiran pengurusan kekeluargaan Islam, bagaimana kedudukan pentadbiran dan pengurusan ekonomi umat Islam.
Bagaimana pentadbiran pengurusan pendidikan Islam, saudara-saudara baru kita yang baru menerima Islam. Kita tidak dapat urus dengan baik, kita tidak dapat membina dan membentuk mereka supaya mereka juga menjadi orang-orang yang betul-betul committed dalam Islam. Kita tidak dapat tangani selama ini masalah-masalah yang timbul mengenai dengan murtad. Seolah-olah murtad ini walaupun diperkatakan di setiap tempat di pelbagai audience dan floor yang mempersoalkan tetapi jalan penyelesaian kepada masalah murtad tidak dapat ditangani dengan begitu baik dan begitulah juga dalam masalah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan seluruh pembangunan Islam yang dituntut oleh Islam itu sendiri.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Baling, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berhubung dengan saudara-saudara baru ini, saya rasa kalau dahulu di zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan juga selepas itu, kita dapati PERKIM merupakan sebuah organisasi yang begitu berkaliber dan juga bertanggungjawab untuk memelihara sahabat-sahabat kita yang baru memeluk Islam. Apakah pandangan Yang Berhormat ataupun komen Yang Berhormat tentang peranan PERKIM yang ada pada hari ini yang kita dapati kurang menyerlah berbanding dengan suatu masa dahulu. Apakah perlu kita memberikan satu suntikan baru kepada PERKIM ini supaya penjagaan kepada sahabat baru kita ini lebih berkesan seperti mana yang sebelum ini. Terima kasih.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Pendang. Itulah yang saya katakan tadi. Itu antaranya bagaimana kedudukan yang dimainkan macam PERKIM dan sebagainya, keadaan seolah-olah kita adakan dalam bentuk tempel-tempelan. Contohnya waktu memperkatakan penerapan nilai Islam, JAKIM hanya diizinkan untuk menubuhkan suatu unit penerapan nilai Islam. Satu unit hendak melaksanakan dan memberi pandangan nasihat untuk sebuah negara. mana mampu ‘cc’ nya kecil loadingnya besar.
Begitulah juga kalau sekarang dengan Islam Hadhari. JAKIM diberi tubuhkan satu unit, ini maknanya kita tidak begitu serius, kita tidak memainkan satu peranan yang benar-benar bertanggungjawab untuk mencapai kepada suatu imej Islam di persada dunia yang dituntut atau sebagaimana yang diharapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Jadi, dalam kesempatan ini Tuan Yang di-Pertua, tanpa hendak menafikan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan di mana Duli-duli Tuanku sebagai Ketua Agama Islam, tetapi sebagai rakyat yang mendukung kedaulatan tersebut, maka saya menyarankan beberapa perkara pada kesempatan ini kepada kerajaan.
Pertama sekali ialah penstrukturan semula pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam dalam negara ini hendaklah dikaji semula dan diperkasakan seberapa segera. Mungkin tidak sesuai hanya sebagai satu jabatan yang kita letak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Mungkin kita sudah sampai kepada peringkat keperluan untuk pergi kepada satu kementerian. Kita ada satu Kementerian Kemajuan Hal Ehwal Islam. Di sana dari sudut pentadbirannya dengan seorang ketua pentadbir, ketua setiausaha. Kita tidak perlu lagi hanya satu attach sebagai satu jabatan daripada Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya.
Ini memperlihatkan satu keadaan yang begitu kecil, kecil dalam suasana sekarang. Jadi penstrukturan semula ini perlu dilihat, bagi saya, saya berharapkan sangatlah sebagai salah seorang di antara yang pernah lama juga berkhidmat dalam bahagian ataupun Jabatan Kemajuan Islam ini. Saya cakap ini pun sebab saya sayang dengan perkhidmatan ini. Kedudukan yang ada hari ini ala kadar dan tidak keterlaluan kalau saya katakan kedudukan pegawai-pegawai dan kakitangan...
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Boleh minta laluan?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Boleh sedikit-sedikitlah. Kalau mencelah banyak sangat makmum, imam hendak takbir bila?
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Sedikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan Yang Berhormat bagi Baling. Merujuk kepada apa yang disebut oleh Yang Berhormat bagi Baling, berkaitan dengan krisis ataupun permasalahan yang timbul berkaitan dengan agama, apakah Yang Berhormat bersetuju supaya diadakan Kementerian Agama kemudian, di semua sektor kerajaan dan swasta supaya wujudnya golongan-golongan ulama atau cendekiawan Islam supaya berada dalam BPR contohnya, polis, tentera sudah ada supaya prinsip dan juga dapat diketengahkan hal-hal yang berkaitan dengan agama larangan-larangan dan suruh-suruhan supaya semua kakitangan kerajaan merupakan satu tanggungjawab yang besar. Kita melihat mencegah maksiat cukup popular di bawah Jabatan Agama Islam, tetapi bagaimana dengan sektor-sektor swasta atau kerajaan yang lain. apakah Yang Berhormat bersetuju diwujudkan begitu?
Dato' Ismail Kassim [Arau]: Sambung Arau, Yang Berhormat jawab sekali. Saya menghormati Yang Berhormat bagi Baling Tuan Yang di-Pertua, pendek sahaja. Saya ingin bertanya pandangan Yang Berhormat Baling. Terima kasih. Berhubung dengan ada satu kes pegawai JAKIM yang ditempatkan di penempatan Orang Asli di Pahang. Jadi pegawai berkenaan sepatutnya memperkukuh dan memberi tumpuan ataupun fokus dalam pengajaran agama Islam, terutamanya kepada saudara-saudara baru yang kita lihat keadaan mereka yang tidak teratur dan masih rapuh. Tetapi apa yang dilihat ada di antara pegawai-pegawai yang dibayar gaji. Saya tidak tahulah sama ada gaji itu bersesuaian dengan keadaan tempat tinggal dan sebagainya, menjalankan perniagaan kedai runcit. Tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada urusan proses pengajaran agama Islam dikurangkan, tetapi ditumpu kepada aspek-aspek perniagaan. Apa pandangan Yang Berhormat bagi Baling berhubung perkara ini?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Ya, terima kasih Yang Berhormat Jerai dan Yang Berhormat Arau. Memang kalau kita lihat ini antara kelemahan-kelemahan dan keadaan-keadaan yang berlaku yang memperlihatkan bagaimana penstrukturan perkhidmatan hal ehwal Islam dan pengurusan pentadbiran hal ehwal Islam dalam negara ini perlu diperkasakan. Kalau pegawai sudah ditugaskan, boleh hantar, boleh sambil-sambil meniaga, kita boleh nampak begitulah juga apa yang disebutkan tadi pencegah maksiat. Kalau polis yang ada sekarang ini yang entah berapa puluh ribu dalam negara masih tidak cukup untuk menampung keadaan yang ada dalam negara membina keselamatan dan keamanan.
Inilah juga harus dilihat dalam masalah pelaksanaan untuk penguatkuasaan Islam. Satu negeri ada 15 orang penguat kuasa, hendak buat Islam sungguh atau hendak main-main. Tidak mengapalah saya rasa saya hormat kepada Ahli-ahli Yang Berhormat mungkin hendak mencelah macam kata tadilah. Bukan kata tidak bagi tapi kalau asyik mencelah juga tidak sempat hendak angkat takbir bila hendak sembahyang.
Kedudukan pegawai dan kakitangan misalnya tidak begitu sangat diberi perhatian berbanding dengan kedudukan pegawai-pegawai di jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian yang lain. Contoh, ada kadi atau pentadbir agama daerah sejak dari mula-mula masuk bertugas sampai dekat hendak pencen tidak pernah naik pangkat. Ini 15 tahun, kerja apa ini. Begitu juga kalau kita lihat sampai kepada sekarang ini pun. Imam Besar Masjid Negara jawatan kontrak diisi dengan kontrak. Ini maknanya bukan masalah kedudukan tidak boleh bagi khidmat tetapi keprihatinan, kesungguhan kita itu sendiri dalam mempertingkatkan Islam.
Jadi Tuan Yang di-Pertua kita nampak betul pejabat-pejabat kadi daerah atau pentadbir agama daerah sesetengahnya sekarang ini bangunan cantik. Bangunan cantik, tenaga yang di dalam yang hendak menjalankan bangunan yang cantik terlalu kerdil. Seorang pegawai berijazah dan yang lain lima enam orang pegawai penyokong.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Terima kasih Yang Berhormat Baling, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ada satu isu yang saya kira boleh dimasukkan dalam perhatian seluruh Yang Berhormat sekalian iaitu persoalan tentang Halal Development Corporation di mana kalau dulu dalam soal pensijilan halal ini JAKIM yang akan menjadi institusi yang akan mengeluarkan lesen dan sebagainya. Saya difahamkan hari ini bahawa Halal Development Corporation akan mengambil alih seluruh tugas JAKIM dari sudut pensijilan dan oleh itu saya minta supaya ini pun diambil kira supaya JAKIM terus diperkasakan tetapi bukan dipinggirkan sehingga hilang hak pelesenan hingga JAKIM sudah tidak ada kuasa lagi. Jadi saya mohon supaya dimasukkan sama isu ini. Terima kasih.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Baik, terima kasih Yang Berhormat Parit Buntar saya setuju. Ini antara perkara yang boleh kita lihat bersama. Oleh itu saya masih balik lagi kepada cerita bagaimana agaknya kesungguhan kerajaan kita terhadap Islam ini masih boleh dipersoalkan dan dipertikaikan dalam hal ini.
Kalau kita tengok cara yang cukup simple, Bicara Mufti pukul 1.30 pagi. Siapa dengar pukul 1.30 pagi, tidak tahulah takut Yang Berhormat Rompin dengar. Pukul 1.30 pagi, orang sudah tidur berapa kali mimpi. Ini mainan, saya tidak tahu sampai sekarang dengan Menteri Penerangan yang baru, apakah dia boleh merubah keadaan ini. Yang tidak tentu arah kita bagi prime time., Yang boleh bagi input kepada masalah negara, masalah apa melalui Islam kita tengok. Ulangan khutbah Masjid Negara pukul satu, 12.30 pagi. Jadi nampak kita buat ini macam untuk melepaskan batuk di tangga. Saya tidak tahulah ini maksud Islam Hadhari, minta maaflah.
Itu yang pertama, penstrukturan semula. Begitu juga Yang Berhormat timbulkan tadi, sahabat saya dalam Soal Jawab Lisan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu mengena dengan perkara yang membabitkan fatwa. Sampai sekarang, kenapa kita tidak mewujudkan Darul Ifta’ atau pun sebagainya. Bertujuan supaya permasalahan fatwa dapat diurus secara lebih efektif. Tidak hanya sekadar untuk peringkat Jawatankuasa Fatwa iaitu pandangan mufti sebab itu pandangan seorang mufti yang berwibawa memberi pandangan tidak dibacking oleh satu kedudukan institusi macam Darul Ifta’ maka seorang mufti cakap, ada orang condemn, ramai orang provoke, mempersendakan. Ini pendapat peribadi itu inilah. Habis di mana kedudukan Islam?. Kalau mufti yang ditauliahkan oleh Duli-duli Tuanku boleh diperkatakan begitu sahaja di tepi-tepi jalan oleh sebarang orang. Mana letak imej Islam? Tiada orang tepuk pun.
Jadi Tuan Yang di-Pertua, dengan sebab itu Darul Ifta’ saya cadangkanlah supaya ini diberi perhatian supaya Islam tidak difatwakan sewenang-wenangnya atau pendapat hanya oleh seorang sahaja tetapi merupakan satu institusi yang berautoriti. Dengan itu dia dapat melahirkan tokoh-tokoh ulama’ wibawa yang mampu untuk mendukung fatwa dan begitu juga untuk menghadapi cabaran global sekarang ini.
Yang kedua saya juga menyarankan supaya kerajaan mewujudkan Jabatan Wakaf. Ini dalam masalah ekonomi kalau tidak pun Kementerian Wakaf banyak negara-negara Arab Timur Tengah, Saudi Arabia, Mesir dan sebagainya. Mereka ada Kementerian Wakaf, tidak mengapalah kita bukan hendak salin, hendak tiru membuta tuli tetapi setidak-tidaknya kita harus prihatin banyak masalah pentadbiran harta wakaf dalam negara ini yang tidak begitu sempurna pengurusan. Ada yang wakaf tetapi tidak ada didokumenkan, tidak digazet, tiada siapa yang ambil hal. Apabila orang tua itu yang meninggal, yang wakaf itu meninggal maka anak boleh mempertikaikan begitu sahaja.
Berbilion-bilion harta wakaf dalam negara yang tidak diuruskan dengan baik. Oleh itu Jabatan Wakaf perlu wujud dan maksud saya jabatan-jabatan inilah yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Hal Ehwal Islam tadi tetapi kalau sudah jabatan sahaja kemajuan Islam masakan kita berfungsi dalam erti kata jabatan-jabatan dalam sector organisasi yang macam ini. Jabatan Zakat juga Yang Berhormat walaupun ada di majlis-majlis agama dan jabatan-jabatan agama di negeri-negeri mengambil inisiatif untuk masalah zakat. Tidak bolehkah kita sudah sampai kepada peringkat ini? Kita wujudkan Jabatan Zakat kalau tidak serupa seratus peratus pun macam keupayaan dan kemampuan dari segi lembaga hasil, kita kutip cukai. Kita hendak agih dari segi income tax itu sendiri.
Jadi, biarlah Jabatan Zakat ini pun diuruskan secara yang lebih profesional. Membawa satu keyakinan yang begitu hebat kepada umat Islam khususnya. Bagaimana kita hendak kutip, bagaimana kita hendak agih, di antara itu pula boleh kita menjanakan hak-hak asnaf itu tadi. Supaya dia dapat pulangan ekonomi. Maknanya, janganlah kita hanya bagi ikan tetapi tidak boleh bagi kail. Ini perlu. Ini, orang-orang yang asnaf, tunggu dapat RM20, RM25. Itu pun, nasib baik hari raya. Itu belum lagi. Dahulu, zakat dikeluarkan mengikut bulu. Kalau bulu tidak kena, maka zakat yang sudah dikeluarkan ditarik balik. Ini benda-benda yang saya rasa imej Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi apabila dilihat oleh saudara-saudara kita yang bukan Islam, yang hendak faham apa itu Islam, maka mereka hari-hari, makin hari, makin kabur.
Begitu juga, saya rasa dan saya lihat di sini perlu apabila saya sebut Kementerian Kemajuan Islam. Maka perlu juga ada jabatan terutama sekali jabatan yang menumpukan sepenuh mengenai dengan haji. Haji sekarang memang tidak cukup dengan hanya diuruskan oleh Lembaga Haji. Itu mungkin pada satu ketika dahulu, tetapi dalam konteks perkembangan yang ada dalam negara. Dengan kehendak dan kemahuan masyarakat, kita perlu supaya ada satu jabatan haji supaya kedudukan kerja-kerja ini yang begitu terbeban. Bukan sahaja kita hendak ajak orang pergi Mekah buat haji, tetapi banyak lagi perkara-perkara lain yang kita boleh lakukan dalam jabatan haji itu sendiri supaya umat Islam benar-benar dalam negara ini dapat bermanfaat dalam erti kata perkhidmatan kita dalam kemajuan Islam sebagaimana yang dikatakan Duli Tuanku.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Yang Berhormat dan juga terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ini sudah sampai kepada penutup ucapan ini, jadi saya hendak minta penjelasan satu perkara penting. Pasal Yang Berhormat daripada parti PAS bukan? PAS, perjuangan PAS dalam Islam ini. Yang saya bacalah kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PAS, ada ketikanya dia kata, kita memperjuangkan Islam, negara Islam. Selepas itu, ada ketika pula, di tempat yang lain dia kata, perjuangan menegakkan negara Islam ini bukan agenda utama. Jadi nampaknya ada macam gaya permainan politik di sini. Apabila audience yang lain, lain yang disebut. Audience yang lain, lain yang disebut. Bukankah satu penipuan yang dibuat oleh parti PAS kepada rakyat untuk memancing undi?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Tidak mengapa, tidak mengapa Yang Berhormat, saya faham Yang Berhormat itu. Dia benda negara Islam, benda di tempat lain bercakap. Itu dari sudut approach. Dasar memang yang samalah. Dasar-dasar kita sama. Apa juga yang duduk di dalam parti Islam PAS ini sendiri memperkatakan kedudukan PAS, maka Islam automatically bersama kerana dia dasar itu. Cuma pada ketika itu, yang kita sebut maknanya bahasa yang digunakan. Tidak mengapalah Tuan Yang di-Pertua, saya hendak minta satu minit ini. Oleh sebab saya dari kawasan Baling, kawasan yang saya rasa tidak terkecuali dari masalah pertanian. Maka izin saya sedikit masa, kalau saya terlebih pun.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sila gulung Yang Berhormat, sila gulung. Lagi ada masa Yang Berhormat Menteri menjawab nanti, Yang Berhormat boleh bangkitkan perkara-perkara yang sama. Sila gulung.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Tidak mengapa, ini walau macam mana pun, saya menghormati Tuan Yang di-Pertua jadi, dengan itu saya ucapkan terima kasih. Assalamualaikum w.b.t.
No comments:
Post a Comment