Wednesday, June 18, 2008

Konsert: Dewan Muslimat cadang temui MB Selangor


oleh : Saidah Hairan

Harakahdaily : Wed Jun 18, 08 12:57:22 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mahu konsert Ratu Dangdut dan Ratu Rock yang dijangka diadakan 6 Julai ini dibatalkan atau digantikan dengan artis yang lebih bersopan.

Ketuanya, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, persembahan hiburan yang hendak diadakan di Selangor perlulah lebih sopan, lebih-lebih lagi sempena sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu katanya, Dewan Muslimat PAS Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan perkara itu secepat mungkin.

Baru-baru ini Dewan Pemuda PAS Selangor menghantar memorandum membantah konsert yang menjemput artis Mas Idayu dan Ella pada 6 Julai ini.

Wan Hasrina berkata, sepatutnya kerajaan negeri turut menyokong bantahan yang dilakukan Pemuda PAS kerana konsert itu akan meninggalkan kesan lebih buruk terhadap pendidikan moral rakyat.

Menurut beliau, mesej kerajaan Pakatan Rakyat ialah untuk membangunkan rakyat ke arah kehidupan sejahtera dan berakhlak mulia.

Tetapi jika konsert yang menjadi budaya Umno itu diteruskan maka ia tidak selari dengan mesej yang hendak disampaikan kerajaan negeri.

"Kita bercakap daripada sudut pembinaan moral rakyat bukan dasar parti masing-masing. Mungkin DAP dan KeADILan tidak meletakkan Islam sebagai dasar utama tetapi kita mesti bersatu pendapat dalam soal pendidikan rakyat," tegasnya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya walaupun dalam beberapa perkara PAS boleh bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri tetapi ada perkara yang menjadi teras perjuangan PAS, prinsipnya tetap dipertahankan.

"Jika bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam, PAS akan bantah tetapi bantahan yang dibuat tidaklah sampai menjejaskan pentadbiran kerajaan Selangor," kata beliau.

Beliau juga menjelaskan bantahan yang dibuat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Selangor terhadap keputusan kerajaan sebelum ini tidak bermakna berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu membuktikan kematangan parti Pakatan Rakyat yang bertindak sebagai check and balance dan tidak seperti berlaku terhadap parti lawan.

Menurut beliau juga Selangor sebelum ini menjuarai segala aspek jenayah dengan kadar yang tinggi diwarisi sejak di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Apakah kerajaan Pakatan Rakyat akan menyambung rentetan yang telah dilakukan pemimpin BN sebelum ini tanpa memperdulikan soal moral dan akhlak," katanya.

Beliau juga berkata, konsert yang melalaikan tersebut pastinya merencatkan hasrat kerajaan negeri mahu menjadi `Hub Ilmuan'. -

No comments: