Wednesday, June 18, 2008

Kes Sanglang: Perbicaraan tentang kejujuran


Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

harakahdaily : Mon Jun 16, 08 1:39:10 pm MYT

Selepas pilihan raya umum 2004, BN Kelantan telah memfailkan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Pasir Putih. Di dalam pilihan raya tersebut calon Umno-BN yang sepatutnya diisytiharkan menang telah diisytiharkan kalah oleh SPR manakala calon PAS yang kalah iaitu Kalthom Othman telah diisytiharkan menang.

Memandangkan memang terdapat kesilapan yang genuine oleh pihak SPR maka semasa perbicaraan petisyen Pasir Putih tersebut calon PAS bersedia menyerahkan kerusi Parlimen Pasir Putih kepada calon Umno-BN yang sepatutnya diisytiharkan menang.
Meskipun keputusan untuk menyerahkan kerusi Pasir Putih tersebut adalah suatu yang agak berat untuk dibuat, namun demi menghormati pilihan rakyat Pasir Putih yang telah memilih calon BN sebagai wakil rakyat mereka maka ianya diserahkan kepada BN dengan hati terbuka.

Kini dalam Pilihan Raya Umum 2008 sejarah yang sama berulang kembali. Bezanya kali ini SPR telah membuat kesilapan dengan megisytiharkan calon BN yang kalah, Abdullah Hassan sebagai pemenang sekaligus menafikan kemenangan calon PAS iaitu Ustaz Hashim Jasin sebagai wakil rakyat Dun Sanglang, Perlis.

Jika dilihat kepada kesemua Borang 14 (Borang Penyata Rasmi Undi) yang dikeluarkan oleh semua Ketua Tempat Mengundi (KTM) di semua tempat mengundi di Dun Sanglang tersebut, adalah jelas Ustaz Hasim telah mencapai kemenangan dengan majoriti 47 undi.

Semasa saya menerima keputusan yang berasaskan Borang 14 tersebut, keputusan pilihanraya Dun Sanglang masih belum diwartakan. Memandangkan keputusan belum diwartakan, saya dan beberapa peguam PAS yang lain berpandangan keputusan tersebut masih belum muktamad dan SPR masih boleh membetulkan keputusan itu dan seterusnya mewartakan keputusan sebenar iaitu Ustaz Hashim yang seharusnya dilapor pilih sebagai wakil rakyat Dun Sanglang.

Kami lantas memfailkan Saman Pemula bagi mendapatkan perisytiharan Mahkamah bahawa Ustaz Hashim diisytiharkan menang dan seharusnya dilapor pilih. Kami juga meminta Mahkamah memerintah SPR mewartakan keputusan pilihan raya tersebut dengan memasukkan nama Ustaz Hasim sebagai calon yang mendapat undi tertinggi. Malangnya jauh daripada membuat pengakuan terhadap kesilapan tersebut, kedua-dua pihak iaitu SPR dan calon Umno tersebut membantah Saman Pemula itu atas alasan kes tersebut seharusnya difailkan melalui petisyen pilihan raya.

Malangnya Yang Arif Hakim menerima bantahan teknikal tersebut dan menolak Saman Pemula Ustaz Hashim tanpa kos.

Pada masa itu saya berhujah bahawa meskipun sebarang keputusan pilihan raya harus dicabar melalui petisyen pilihan raya di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, namun kes ini amat berbeza kerana keputusan masih belum diwartakan. Ini bermakna, saya hujahkan keputusan tersebut masih belum muktamad dan boleh dibetulkan dan diwartakan mengikut keputusan yang sebenar sepertimana yang ditunjukkan di dalam kesemua Borang 14.

Saya meminta Mahkamah menggunakan kuasa sedia ada (inherent power) untuk membetulkan ketidakadilan yang berlaku (to correct injustice).

Di atas penolakkan saman pemula itu, saya menasihati Ustaz Hashim untuk memfailkan petisyen pilihan raya. Maka Ustaz Hashim pun memfailkan petisyen pilihan raya. Saya amat berharap calon Umno dan SPR tidak akan membantah petisyen pilihan raya tersebut.

Jangkaan saya silap. Apabila kes ini mula dipanggil pada kali pertama pada 14/5/2008 tiada pengakuan kesilapan oleh calon BN.

Calon BN bukan sahaja tidak mahu mengakui malahan membuat permohonan untuk membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut dengan pelbagai bantahan yang bersifat teknikal.

Kes ditetapkan untuk pendengaran pada 21 Mei 2008 namun masih tiada pengakuan oleh calon BN dan SPR. Kes kemudian ditangguh kepada 28 Mei 2008 untuk pendengaran permohonan calon BN bagi membatalkan petisyen Ustaz Hashim tersebut. Sebelum hujah dimulakan saya masih bertanya peguam calon BN adakah anakguam beliau mahu mengaku kesilapan tersebut. Jawapan beliau, tiada arahan daripada anakguam beliau untuk mengaku.

Mahkamah pun meneruskan pendengaran bantahan calon BN. Hati saya menggelegak marah dengan sikap calon BN yang masih tidak mahu mengakui kesilapan. Tapi saya hanya pendamkan kemarahan tersebut di dalam hati.

Saya bertanya di dalam hati: "Di mana kejujuran?" Saya pun bersungut di dalam hati adakah calon BN tidak takut memakan elaun wakil rakyat yang bukan miliknya?
Peguam beliau akhirnya berhujah dan mengambil masa lebih kurang empat jam untuk meminta Mahkamah membatalkan petisyen Ustaz Hashim. Saya membuat hujah balas dalam masa lebih kurang 1 jam sahaja.

Selepas penghujahan tamat dan sebelum Y.A. Hakim menangguhkan kes untuk keputusan, Y.A. Hakim telah bertanya peguamcara SPR tentang pendirian SPR di dalam kes ini. Ketika itulah buat kali pertama (iaitu pada jam 4.00 petang 28 Mei 2008) peguam SPR mengakui secara terbuka terdapat kesilapan yang menyaksikan Ustaz Hashim diisytiharkan kalah dan calon BN diisytiharkan menang. Peguam calon BN agak terkejut. Saya terkejut tapi sedikit gembira. Lewat mengakui kesilapan adalah lebih baik daripada tidak mengakui langsung.

Kesemua peguam dipanggil ke kamar hakim selepas pengakuan SPR tersebut. Akhirnya peguam calon BN diberi tempoh sehingga 4 Jun 2008 untuk mendapatkan arahan anakguamnya sama ada beliau juga ingin mengakui kesilapan sepertimana yang SPR lakukan.

Pada 4 Jun, peguam calon BN memaklumkan saya anakguamnya bersetuju mengakui kesilapan tapi beliau diarahkan untuk memohon supaya pilihan raya itu diisytiharkan terbatal dan pilihan raya kecil diadakan.

Saya tidak bersetuju dan mencadangkan kepada beliau agar isu sama ada pilihan raya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang dihujahkan untuk Y.A. Hakim membuat keputusan.

Akhirnya setelah pengakuan dibuat oleh calon BN bahawa beliau juga mengakui terdapat kesilapan, Y.A. Hakim memberi saya tempoh satu hari sahaja untuk berhujah sama ada pilihan raya semula perlu diadakan ataupun Ustaz Hashim diisytiharkan menang tanpa pilihan raya semula.

Pembaca mungkin bertanya kenapakah perlu pilihan raya semula? Bukankah BN dan SPR telah mengakui kesilapan? Isu ini berbangkit kerana Parlimen telah memansuhkan peruntukan di dalam Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membenarkan hakim pilihan raya mengisytiharkan mana-mana calon sebagai pemenang. Pindaan ini dibuat selepas kes petisyen Bukit Bintang yang melibatkan calon DAP, Wee Choo Keong.
Dengan pemansuhan itu secara zahirnya seolah-oleh Y.A. Hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang.

Dalam masa 24 jam maka kami (saya, Haji Arif Yusuff, Zulmi Sabri dan Iqbal) membuat penyelidikan. Kami berhujah bahawa meskipun seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah dibatalkan, Mahkamah masih mempunyai kuasa sedia ada (inherent power) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana fakta kes ini menunjukkan secara jelas terdapat kesilapan yang bukan berpunca dari Ustaz Hashim atau calon BN tetapi pihak SPR.

Memandangkan SPR dan calon BN telah mengakui terdapat kesilapan maka Mahkamah seharusnya mempunyai kuasa sedia ada (inherent power) untuk mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang kerana itulah pilihan rakyat Dun Sanglang pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Dengan mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang, kami hujahkan, Mahkamah pada hakikatnya bukan melantik Ustaz Hashim sebaliknya hanya mengesahkan dan menghormati keputusan atau pilihan rakyat Dun Sanglang yang mahukan Ustaz Hashim mewakili mereka dan bukannya Abdullah Hassan.

Hujah telah diberi. Keputusan akan diumumkan pada 18 Jun 2008 ini. Menang atau pilihan raya kecil bagi saya bukan persoalannya. Bagi saya perbicaraan Sanglang ini adalah perbicaraan mengenai kejujuran (the trial of honesty)!-

No comments: