Monday, June 30, 2008

Kenyataan Media DSAI dari Kedutaan Turki

JUN 29, 2008, KUALA LUMPUR, MALAYSIA

Saya mengeluarkan kenyataan ini dari Kedutaan Republik Turki di Kuala Lumpur. Saya dihantar ke kedutaan tersebut awal pagi ini kerana menyedari nyawa saya di dalam bahaya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menawarkan bantuan di saat yang memerlukan dan saya terhutang budi kepada Duta Turki di sini atas kesediaan beliau untuk menerima saya.

Semenjak dari pilihanraya 8hb Mac, ada beberapa sumber yang boleh dipercayai dari dalam kerajaan dan juga perisikan tentera yang menasihati saya bahawa terdapat agen-agen kepimpinan Barisan Nasional telah pun memulakan plot untuk mencederakan saya, keluarga saya serta penyokong saya. Saya diberitahu kemungkinan adanya usaha untuk membunuh saya sebagai salah satu cara untuk menidakkan kehendak rakyat dan untuk mengakhiri proses perubahan yang sudah pun bermula di Malaysia.

Meskipun berhadapan dengan ancaman yang bertujuan untuk menutup mulut saya, keterangan baru mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan jenayah di dalam memalsukan bukti-bukti kes yang melibatkan saya pada tahun 1998 akan tetap didedahkan kepada umum.

Tuduhan yang dibuat pada hari Sabtu tersebut tidak lebih dari satu ulangan peristiwa yang berlaku pada tahun 1998 apabila saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, lalu dikurung dan dipukul, kemudiannya didakwa serta disabitkan bersalah di atas perbuatan yang tidak saya lakukan oleh sebuah mahkamah kangaroo.

Penipuan ini jelas dirancang oleh kepimpinan korup Barisan Nasional yang menggunakan seluruh aparat kekuasaan kerajaan termasuklah dengan mengawal badan kehakiman, pihak polis dan juga cengkaman ke atas media perdana. Perancangan jahat ini diulangi oleh kerajaan Barisan Nasional, bertujuan untuk melemahkan arus perubahan dan pembaharuan yang meletus semenjak pilihanraya Mac 2008.

Saya ingin menyatakan kepada keluarga saya, rakan-rakan dan juga penyokong di Malaysia bahawa saya berada di dalam keadaan selamat dan tetap teguh seperti sebelumnya untuk terus berjuang demi Malaysia yang bebas dan adil.

ANWAR IBRAHIM

No comments: