Friday, June 27, 2008

Anwar amal nepotisme?


KUALA LUMPUR 26 Jun – Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) digesa memberi penjelasan tentang dakwaan terdapat ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai penasihat syarikat milik kerajaan negeri Selangor itu.


Bekas Setiausaha Anwar, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, beliau amat terkejut apabila diberitahu tentang perkara itu dan jika benar bermakna tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah melanggar prinsip reformasi.

“Selama ini, Anwar sering katakan bahawa tidak patut wujudnya nepotisme dalam politik, namun kini, dia sendiri yang mengamalkannya dengan melantik ahli keluarga menjawat jawatan tersebut.

“Pihak pengurusan KDEB harus tampil untuk memberi penjelasan tentang perkara ini dan mengesahkan kebenaran dakwaan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaannya sebelum ini mengenai ahli keluarga Anwar yang dilantik sebagai penasihat KDEB, baru-baru ini.

Menurut Mohamad Ezam, beliau mendapatkan maklumat tentang dakwaan itu daripada sumber, tetapi tidak dapat mengesahkan kebenarannya.

Sehubungan itu, Mohamad Ezam menggesa KDEB agar mengeluarkan kenyataan umum untuk menjelaskan dakwaan itu.

“Kini, hanya KDEB dan juga pengerusinya yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim boleh mengesahkannya. Saya berharap, pihak berkenaan dapat mengesahkannya dengan secepat mungkin,” katanya. – Utusan

PKR: Adik Anwar letak jawatan 24 jam

Friday, 27 June 2008

(Malaysiakini) - Ahli keluarga terdekat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan jawatannya secara mengejut daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat besar milik kerajaan Selangor, semalam.

Saudara kandung Anwar, yang tidak dinamakan, menyerahkan surat meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam, kata sumber-sumber PKR.Tindakan adiknya dibuat setelah ditegur oleh penasihat PKR itu bagi mengelakkan tugasnya di syarikat itu "mencemarkan imej" beliau dan parti, kata mereka. Sumber-sumber itu memberitahu Malaysiakini hari ini, Anwar tidak tahu-menahu mengenai pelantikan adiknya itu sehinggalah beberapa hari lalu.

Selain memaksa adiknya meninggalkan tugasnya di KDEB, menurut sumber-sumber lagi, Anwar juga memaklumkan perkara itu kepada menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.Mereka bagaimanapun tidak mengetahui jawatan atau tugas sebenar adik Anwar di syarikat senaraian awam itu.

"Beliau diambil bekerja dan tidak salah untuk bekerja (di KDEB) tetapi Anwar tidak mahu ia merosakkan imej parti," kata sumber-sumber sewaktu diminta mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas setiausaha politik Anwar itu berkata pelantikan saudara kandung mantan timbalan perdana menteri itu dibuat "beberapa minggu, bulan lalu".

"Apakah betul ada ahli keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat KDEB? "Saya mahu penjelasan mereka sebelum saya membuat kenyataan lanjut," kata bekas ketua Angkatan Muda PKR itu kepada media selepas ceramah 'Sirih Pulang ke Gagang' di Sungai Besi malam tadi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar. Difahamkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat lembaga pengarah dan kemungkinan mengambil masa yang panjang.

No comments: