Tuesday, May 27, 2008

Puncak Niaga kendali 32 loji rawatan air di Selangor


Saidah Hairan
Mon May 26, 08 4:28:43 pm MYT

SHAH ALAM, 26 Mei (Hrkh) - Puncak Niaga Malaysia Sdn.Bhd, Sungai Selangor Sdn.Bhd. dan Konsortium ABBASS Sdn. Bhd mengendalikan 32 loji rawatan air di negeri Selangor.

Demikian menurut Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Infrastruktur Perkhidmatan Awam, Dato' Dr Hasan Ali menjawab soalan daripada Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dalam sesi soal jawab, sidang Dun.

Beliau berkata, teknologi rawatan air mentah ketika ini telah menepati piawaian dan kualiti bekalan air minuman berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, kaedah yang digunakan meliputi tapisan, campuran bahan kimia dan mendapan di loji rawatan tersebut.

"Masalah loji rawatan air seperti di Sungai Semenyih yang menurun akibat pengorekan pasir boleh mengancam kestabilan struktur muka sauh atau rubber wear dan lintasan air paip mentah," katanya.

Beliau berkata, punca pencemaran kawasan perindustrian berlaku di Beranang dan Arab Malaysian Nilai dan kawasan perindustrian Nilai di negeri Sembilan.

Menurut beliau, pengorekan pasir di Sungai Semenyih yang dihentikan pada tahun 2007 menjadi punca pencemaran di samping penternakan babi.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dalam soalan tambahan meminta penjelasan apakah cadangan untuk membeli air dari Pahang dan Perak diteruskan.

Dr Hasan menjawab, permasalahan air di negeri Selangor bermula tahun 1998 setelah menghadapi kemarau yang melibatkan pelbagai masalah.

Mengenai air dari Pahang katanya, perjanjian telah ditandatangani di antara kedua-dua pihak di samping kajian akan terus dilakukan bagi melihat pengaliran air dari Pahang boleh terus dialirkan ke negeri Selangor.

Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib mengajukan soalan tambahan, kenapa rakyat perlu menanggung kos yang tinggi untuk membeli penapis air khususnya di Hulu Kelang.

Menjawab pertanyaan itu, Dr Hasan menjelaskan, Syabas menjamin air yang disalurkan selamat dari segi kesihatan. - mns

No comments: