Thursday, August 23, 2007

Keluarga jadi pincang – Dr. Lo’Lo’



KUALA LUMPUR 22 Ogos 2007 – Keluarga akan menjadi pincang jika lelaki dibiarkan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana ia amat bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali.

Menurutnya, Islam sendiri telah menetapkan bahawa tugas utama suami ialah mencari nafkah serta menyediakan keperluan asas mengikut kemampuan masing-masing.

Kata beliau, golongan isteri hanya bersifat sebagai pembantu kepada suami dan mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh lebih tinggi.

“Perkara ini ada disebut dalam al-Quran dan oleh itu ia wajib dipatuhi. Fitrah ini tidak boleh diubah dan jika ia benar-benar berlaku pada masa depan kehidupan keluarga terlibat boleh menjadi pincang.

“Bagi saya bilangan wanita atau isteri profesional lebih ramai bukan satu masalah kerana dalam apa jua keadaan suami wajib menjalankan tanggungjawab mencari nafkah kerana ia merupakan tuntutan agama.

“Jenis pekerjaan tidak harus menjadi isu asalkan pekerjaan itu halal dan tidak bertentangan dengan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bahawa ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan.

Ibrahim berkata, secara umumnya setiap universiti di negara ini memiliki jumlah pelajar perempuan yang jauh lebih ramai berbanding lelaki.

Dr. Lo’ Lo’ berkata, semua pihak harus sedar bahawa setiap peraturan dalam Islam ada hikmahnya dan jika ia diingkari boleh mendatangkan musibah.

Beliau sendiri, jelasnya, mempunyai kenalan wanita yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dan berkahwin dengan lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya lihat keluarga mereka cukup bahagia walaupun pendapatan isteri lebih tinggi daripada suami. Dalam keadaan seperti ini apa yang lebih penting ialah persefahaman.

“Walaupun pendapatan suami tidak setinggi mana, suami tetap menjadi ketua keluarga dan kedudukan ini tidak akan berubah sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam keluarga kenalannya itu ialah suami tetap bekerja walaupun pendapatan isterinya besar.

“Saya tidak boleh terima suami duduk di rumah menjadi suri rumah. Mereka perlu bekerja walaupun pendapatannya tidak seberapa. Suami tetap kena bekerja.

“Kedudukan isteri yang lebih tinggi dari segi kewangan tidak boleh dijadikan alasan tanggungjawab serta tugas menyara keluarga diserahkan kepada isteri.

“Bagi isteri pula kita wajib patuh kepada suami walaupun kita ini golongan profesional. Saya sendiri masuk ke dapur walaupun saya seorang doktor kerana ia adalah tugas saya ketika berada di rumah,” katanya. (Utusan Malaysia : 23 Ogos 2007)

No comments: