Ini fasal pada menyatakan dibahagi fa’i atas segala mustahaknya. (Maka makna fa’i) itu harta ikhtisas yang dapat daripada kafir dengan tiada perang dan tiada perlari kuda dan unta dan umpamanya. (Maka iaitu) seperti jizyah yang diambil daripada mereka itu. (Dan asyar) perniagaan yang disyaratkan atas kafir apabila masuk kepada negeri kita dengan perniagaan. (Dan sesuatu) yang bercerai mereka itu daripadanya dan jikalau bukan kerana takut sekali pun seperti bala’ yang mengenai akan mereka itu. (Dan harta peninggalan) orang yang dibunuhkan dia atau mati ia atas riddahnya. (Dan harta peninggalan) kafir zimmi atau seumpamanya yang mati dengan ketiadaan waris atau ada waris yang tiada menghabisi akan terkah maka sekeliannya harta fa’i.
(Maka dibahagikan) harta fa’i dan ikhtisasnya lima khamas (seperlima) seperti ghanimah. Dibahagikan satu khamas yakni satu khamas harta fa’i itu atas orang yang lima orang yang dibahagikan atas mereka itu khamas ghanimah dahulu iaitu satu bahagian bagi Rasulullah saw, dibelanjakan kemudian daripadanya (wafat baginda) bagi maslahah Muslimin dan satu bahagian bagi zawil qurbi dan iaitu Bani Hashim dan Bani alMuthalib dan satu bahagian bagi anak yatim dan satu bahagian bagi miskin dan satu bahagian bagi ibnu sabil.
(Dan diberikan) yang empat khamas (empat perlima) harta fa’i itu bagi orang yang berperang iaitu segala tentera yang sudah ditentu akan mereka itu oleh imam bagi perang sabil dan ditetap akan segala nama mereka itu di dalam daftar kemudian daripada bersifat sekeliannya dengan Islam dan taklif dan merdeka dan sihat yakni disyaratkan bagi memberi akan mereka itu dengan empat syarat ini. Maka dibahagi oleh imam atas mereka itu yang empat khamas atas kadar hajat sekeliannya.
Tiada wajib disamakan bahagian antara mereka itu maka tiada ia seperti ghanimah. Maka wajib atas imam diperiksakan daripada hal tiap-tiap seorang daripada mereka itu dan daripada hal segala anak bini dan sahaya mereka itu yang lazim nafkahnya. Dan diperiksakan daripada kadar yang memadai akan sekeliannya maka diberikan barang yang memadai akan sekeliannya daripada nafkah dan kasuh dan lainnya daripada segala belanja dan dirai oleh imam pada hajat itu akan masa dan tempat dan ketika mahal dan murah seperti masa panas dan sejuk dan tempat seperti negeri Hijaz dan Mesir dan umpamanya kerana bersalah-salahan hujah maka diraikan adat negeri pada makanan dan lainnya dan mahal dan murah kerana hajat pada ketika murah itu kurang daripada hajat pada ketika mahal. Maka jika lebih daripada hajat sekeliannya harus bagi imam dibelanjakan dia pada maslahah al Muslimin iaitu dibaikkan akan segala kubu-kubu, segala tepi-tepi negeri Muslimin tempat yang ditakutkan dia dan dibeli senjata perang dan kuda atas qaul yang sahih yang muktamadnya.
Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 207-208 Cetakan 13 Oktober 1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin Ismail Daud Fatani)