Wednesday, April 9, 2008

Mufti sokong ternakan babi

(Kelantankini) - Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tindakan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek ternakan babi berkelompok boleh diterima jika ia bertujuan untuk menyatukan semua ladang ternakan haiwan itu.

Bagaimanapun katanya tindakan berkenaan adalah salah jika ia bertujuan untuk menyumbang kepada kepesatan industri ternakan haiwan berkenaan yang jelas salah di sisi agama.

“Sebaliknya jika niat mereka (kerajaan Selangor) ingin memelihara alam sekitar dengan menyatukan semua ladang ternakan itu di Selangor, maka ia boleh diterima kerana dapat mengelak pencemaran berlaku.

“Oleh kerana projek ini hanya untuk bekalan domestik, mungkin jumlahnya tidak begitu besar dan boleh dikawal sekiranya ia benar-benar bukan untuk dieksport dan dengan niat menjaga persekitaran,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan PAS menyokong keputusan kerajaan Selangor melaksanakan projek ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di Sepang. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata beliau menyokong penuh projek berkenaan selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar. Selain Dr Halimah yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, dua Exco PAS yang turut menyokong ialah Datuk Dr Hassan Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam) serta Iskandar A Samad (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek bernilai RM100 juta yang akan dilaksanakan di Sepang itu sebenarnya telah diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan negeri sebelum ini. Katanya, barisan Exco negeri yang bermesyuarat Rabu lalu merasakan amat wajar untuk meneruskan projek berkenaan memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri itu.

Bagaimanapun Utusan Malaysia melaporkan bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti yang didakwa. Menurutnya, walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 30 Januari lalu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahupun memberikan kelulusan.

“Ini kerana katanya, saiz ladang yang dicadangkan terlalu besar. “Dasar kerajaan negeri ketika itu adalah menetapkan setiap ladang ternakan babi hanya untuk menampung keperluan rakyat negeri Selangor iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukan bagi tujuan eksport secara besar-besaran,” menurut laporan itu.

Bekas Pengerusi Tetap Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Dato’ Abdul Rahman Palil, mendakwa masyarakat Cina di Selangor turut membantah cadangan kerajaan negeri membina ladang ternakan babi secara berkelompok itu. Katanya, mereka membantah kerana bimbang ladang ternakan babi itu akan menimbulkan pencemaran teruk kepada alam sekitar berikutan najis kumbahan haiwan berkenaan sukar dilupuskan sekali gus mampu mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

“Kerajaan perlu mengkaji dengan teliti cadangan ini dengan memastikan kaedah yang bakal digunakan tidak membawa kepada pencemaran alam sekitar,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Shamsuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata tindakan Exco PAS itu boleh dilihat sebagai usaha menunjukkan bahawa mereka bukannya taksub sehingga menidakkan keperluan bukan Islam.“Mereka ingin membuktikan bahawa PAS yang sinonim dengan perjuangan Islam juga boleh menjadi liberal dan terbuka seperti parti lain iaitu DAP dan PKR serta mengambil kira keperluan kaum lain seperti Cina dan India,” katanya.

Negara Islam bukan agenda Pakatan


Fathi Aris Omar & Beh Lih Yi Malaysiakini : Apr 8, 08 2:00pm

Agenda negara Islam tidak menjadi sebahagian inti Pakatan Rakyat tetapi sekadar idealisme ahli-ahli PAS, kata naib presiden parti itu Datuk Husam Musa.

"Pada zaman nabi Muhammad, tidak secara jelas menyebut negara Islam. Perdebatan tentang istilah ini boleh mengelirukan. Pada pendapat saya, kita perlu mencari istilah yang lebih disenangi atau dapat difahami oleh masyarakat ramai.

"Oleh kerana negara Islam sebagai idealisme (PAS), maka ia memberikan satu panduan kepada petugas-petugas PAS," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam.

Beliau diminta mengulas kontroversi awal penubuhan Pakatan Rakyat minggu lalu susulan kenyataan timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam."

Husam, yang juga exco kanan kerajaan PAS itu, berkata intipati perjuangannya termasuklah tadbir urus yang Islamik seperti amanah, telus, adil dan saksama, tidak mendiskriminasi, membantu yang lemah dan prihatin.

"Prinsip-prinsip tadbir urus ini lebih mustahak kerana keadaan negara hari ini - rasuah yang melanda, penghakisan (kebebasan) dalam badan kehakiman, kebebasan bersuara, kebebasan beragama," katanya.

"Idealisme negara Islam harus diteruskan oleh ahli-ahli PAS tetapi PAS juga telah menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai kerangka utama untuk bergerak.

"Saya ingat (penerimaan) ini satu jaminan kepada pemimpin-pemimpin kanan seperti Karpal Singh bahawa tidak ada perubahan (yang berbeza) di luar imaginasi mereka."

Isu negara Islam, tambahnya, sering mengelirukan kerana model yang ada kini seperti Iran, Arab Saudi, Bangladesh mencipta tanggapan berbeza-beza kepada banyak orang.

"Untuk melawan gejala rasuah, apakah asas tindakan anda? Jadi, bagi ahli-ahli PAS, ajaran Islam (sebagai asasnya).

"Anda mesti menjadi seorang pemimpin yang bersih, bertanggungjawab, telus, dan ini semua preskripsi untuk tadbir urus yang juga Islamik. Jika anda tidak mempunyai (asas) ini, anda hanya seumpama pemimpin Umno."

Menurut Husam lagi, Pakatan Rakyat membenarkan ketiga-tiga parti pembangkang berada dalam satu platform dan terpulang kepada parti masing-masing menentukan parameter utama pakatan tersebut.

"Khususnya berkaitan tadbir urus, termasuk kerajaan yang bersih, adil, memberi peluang sama rata, mengambil berat kumpulan miskin dan tertinggal, mengutamakan kebajikan, menguruskan (wang) negara secara berhemah, dan dengan itu mengelakkan pembaziran, melaksanakan amalan tender terbuka - ini akan banyak membantu negara kita berada atas landasan yang betul," katanya.

"Dan inilah yang telah hilang - kemandirian badan kehakiman, kebebasan bersuara, agenda moral untuk generasi muda, menurunkan kadar jenayah, masalah penyalahgunaan dadah, - inilah agenda-agenda negara yang juga selari dengan ajaran Islam. Tidak ada pertentangan di sini.

"Jika kita membincangkan (isu) PAS sebagai tunjang Pakatan Rakyat, ia mestilah selepas penerimaan orang ramai, bukan dengan cara mendakwa 'saya (PAS) tunjang (Pakatan)' tetapi mestilah melalui penerimaan awam, dan inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah," katanya.

Pakatan, nama awal yang masih di peringkat cadangan, diumumkan 1 April lalu kini menunggu keputusan muktamad daripada setiap satu daripada tiga parti pembangkang itu.

Keputusan menubuhkannya dibuat dalam satu perjumpaan awal minggu lepas yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

Semalam Ahmad dilaporkan menafikan bertegas PAS harus menjadi "tunjang" pakatan itu dan melahirkan rasa kesal pada laporan-laporan media yang dianggapnya "menyimpang daripada kenyataan asalnya" mengenai isu tersebut.

Cerita Sebenar Di Sebalik Projek Ternakan Babi Di Selangor


Terkejut beruk betul saya apabila mengikuti rancangan ulasan akhbar daripada TV1 RTM awal pagi tadi mengenai Projek Ternakan Babi di Selangor yang kononnya akan dilaksanakan tidak lama lagi. Pengulas berita dengan penuh aksi dan gaya telah memetik kenyataan EXCO PAS, Dr. Halimah Ali dengan menuduh yang bukan-bukan kepada PAS kerana menyokong projek berkenaan. PAS dianggap telah lupa perjuangan dan sanggup menjual agama kerana kepentingan politik. Malah pengulas “kuda kayu” ini tidak segan silu menasihatkan PAS bahawa daging babi adalah haram dimakan bersandarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan juga petikan kitab Injil. Selanjutnya beliau menfitnah PAS dengan menyatakan bahawa dengan projek ini kelak PAS akan membenarkan pula jualan daging babi di tepi-tepi jalan.

Apa punya kepala hotak mentaliti orang-orang RTM ini pun saya tak faham. Kita ingatkan apabila dah kalah pilihanraya dan dapat Menteri baru mereka akan berubah dan akan menjalankan tugas dengan lebih profesional. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Kalau dah UMNO tu tetap UMNO, dulu, kini dan selamanya. Perangai haprak mereka nampaknya tak kunjung reda sehingga rakyat usung mereka ramai-ramai dan buang ke dalam laut.

Berbalik kepada cerita ternakan babi tadi. Apa yang RTM sibuk sangat tentang ternakan babi? Bukankah selama ini pun terdapat ribuan babi di mana-mana di Malaysia. Lupakah mereka kepada isu babi di Negeri Sembilan dan Melaka dahulu yang bukan setakat melibatkan kaum Cina tetapi juga pimpinan UMNO di dalam mengaut keuntungan. Dan jangat kita lupa bagaimana pimpinan BN menyalahguna duit derma mangsa-mangsa penyakit bawaan babi (JE) untuk kepentingan mereka.

Perlu diingat bahawa negara kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, dan ada di kalangan rakyat yang makan daging babi. Justeru itu binatang ini perlu dipelihara bagi mendapatkan dagingnya. Ketika RTM asyik menghentam keromo PAS, perlu diingat bahawa ternakan babi terus berjalan tanpa ada usaha konkrit untuk mengawalnya daripada mencemar alam sekitar. Kita berterusan menghadapi pencemaran air yang akhirnya membawa bencana kepada umat Islam sendiri.

Saya kebetulan tahu benar tentang projek yang dimaksudkan oleh YB Teresa Kok dan YAB Menteri Besar Selangor. Ini kerana projek ini ditawarkan oleh syarikat kawan baik saya beberapa bulan yang lepas. Untuk makluman RTM, projek ini diluluskan oleh kerajaan Khir Toyo 2 minggu sebelum pembubaran parlimen. Walaupun saya orang kuat PAS, saya menyetujui projek yang dicadangkan oleh rakan saya ini kerana selepas menelitinya secara terperinci, saya dapati ia amat berguna di dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam yakni isu pencemaran air.

Projek berteknologikan Jerman ini adalah satu sistem ternakan babi moden dan tertutup (closed system). Ini bermakna babi akan dipelihara di dalam tempat tertutup (lengkap dengan pendingin hawa) dan segala najis yang tercerna akan dikitar untuk pengeluaran gas (methane). Malah darah babi apabila disembelih pun akan menjadi sebahagian daripada kitaran ini. Lantas tidak akan wujud lagi sebarang pencemaran (zero-pollution) akibat ternakan babi selepas ini. Pihak Jabatan Haiwan dan juga pegawai-pegawai kerajaan lain telah membuat kajian mendalam mengenai kesesuaian projek ini termasuk membuat lawatan ke Jerman untuk melihat sendiri bagaimana keberkesanannya. Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat dan bersetuju melaksanakannya di Selangor, dan jika berjaya akan dikembangkan pula ke seluruh negara.

Seperkara lagi perlu disebutkan bahawa usaha ini adalah di bawah pembiayaan swasta. Kerajaan negeri hanya menyediakan tapak projek. Orang-orang bukan Islam perlukan daging babi sementara kita perlukan air yang bersih dan persekitaran yang nyaman. Bukankah projek ini satu kompromi yang amat hebat untuk rakyat negara ini? (Dari Bloger Anak Bapa)

Isu Ketua Kampung, Muhammad Taib 'tidak siuman'?

Ekmal Yusof

TAIPING, 9 April 2008(Hrkh) - Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa membantah sekeras-kerasnya di atas tindakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang telah melakukan majlis pelantikan semula Penghulu-penghulu, Ketua-ketua Kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.

"Perbuatan sedemikian adalah perbuatan seorang kurang akal atau pun tidak siuman sahaja kerana pada bila masanya pula bahawa mereka yang berkenaan itu telah meletakkan jawatan? Kerana dari maklumat yang saya tahu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah memaksa mereka untuk meletakkan jawatan sehingga tamat tempoh kontraknya pada 31 Disember tahun ini nanti,"katanya di ceramah perdana, Tapak Pasar Malam, Kamunting dekat sini malam tadi. Tegasnya, "setahu saya, hanya seorang Penghulu sahaja telah meletak jawatan dengan menunjukkan surat bersedia untuk berhenti di Majlis Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berjumpa Penghulu, Ketua Kampung dan JKKK di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh 20, Mac lalu.

"Saya tidak sangka seorang Bekas Menteri Besar Selangor dan pernah popular di suatu ketika di zaman Tun Dr Mahathir dahulu sanggup buat kerja seperti perbuatan budak-budak kerana apa hak dia hendak campur urusan negeri Perak. Ini bukan di bawah Umno-BN lagi tetapi telah beralih kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang diperkenankan oleh Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah," tegasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional menegaskan bahawa segala urusan mengenai Penghulu, Ketua Kampung dan JKKK adalah di dalam kuasa kerajaan negeri Perak maka dan orang luar tidak boleh campur tangan atau tiada hak langsung ke atas perkara tersebut sama sekali.

"Ingin saya mengulangi lagi kenyataan Menteri Besar Perak, katanya, bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah dan belum lagi memaksa sesiapa dari mereka untuk meletak jawatan kerana mereka boleh meneruskan kerja sehingga 31, Disember depan. Juga mereka boleh meneruskan kerja jika ada keserasian untuk bersama-sama membangunkan kerajaan yang ada sekarang,"tambahnya.

Tegasnya,"jika terdapat kekosongan nanti, maka Menteri Besar Perak telah menyatakan banyak kali iaitu caranya untuk memilih jawatan-jawatan berkenaan adalah dilakukan dari pemilihan penduduk kampung tempatan itu sendiri dengan cara demokrasi dan seadilnya. Untuk mengelakkan daripada berlakunya orang yang dilantik itu nanti tidak disukai oleh masyarakat tempatan." - mks.

Kenyataan Kerajaan Negeri Selangor mengenai projek ternakan babi

Harakahdaily Wed: 9 Apr 2008

Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.


Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.


Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming. Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar 'one stop' yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor. Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

2,100 ketua kampung empat negeri diberi jawatan baru


SERI ISKANDAR: Semua 2,100 ketua kampung di empat negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan meletak jawatan dan diserapkan semula dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Menterinya, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata permulaan, 817 ketua kampung dan 11,438 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Perak meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Mei ini dan berurusan terus dengan kementeriannya tanpa melalui kerajaan negeri. “Nama jawatan mereka belum diputuskan tetapi semua mereka kemungkinan akan dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan (JPPP) seperti cadangan Persatuan Ketua Kampung Perak hari ini (semalam).

“Serentak itu, kementerian akan berurusan terus dengan mereka dalam melaksanakan projek pembangunan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan di kampung masing-masing," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan 817 ketua kampung di negeri ini di Institut Latihan Kemas di sini, petang semalam. Empat negeri yang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum lalu ialah Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Muhammad berkata, elaun RM400 sebulan kepada ketua kampung, elaun mesyuarat JKKK serta elaun lain yang diberikan kepada mereka sebelum ini juga akan dibayar seperti biasa tetapi terus kepada mereka dan tidak melalui kerajaan negeri.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai perkara itu dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini untuk dibincangkan seterusnya diluluskan. Katanya, kementerian itu juga sedang mengkaji kemungkinan menaikkan jumlah elaun sedia ada memandangkan ketua kampung terbabit tidak lagi akan menerima elaun antara RM50 hingga RM200 yang lazimnya dibayar oleh kerajaan negeri. Beliau berkata, keputusan meletak jawatan itu bukan dibuat oleh kementeriannya tetapi atas permintaan dan kehendak ketua kampung sendiri yang berasakan agak sukar untuk bekerja di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat. “Mereka terutama ketua kampung di Perak ada pendirian yang jelas iaitu berdiri teguh dan sokongan sebulat suara terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Di Selangor, walaupun mereka menggunakan pendekatan berbeza setakat ini tetapi sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan, begitu juga dengan Pulau Pinang dan Kedah yang difahamkan akan mengikut langkah diambil Perak," katanya.

Ditanya kemungkinan wujud dua jawatan ketua dalam satu kampung dan pertindihan tugas, Muhammad berkata, JPPP akan bekerja di bawah kerajaan Persekutuan manakala ketua kampung dilantik kerajaan negeri bertugas untuk negeri masing-masing.

"Bagi kita, ketua kampung di empat negeri ini hanya satu iaitu yang dilantik oleh kerajaan Pusat kerana mereka sudah menyandang jawatan itu sejak berpuluh tahun lalu, berpengalaman luas dalam pentadbiran kampung dan pengaruh yang sudah kukuh. “Jadi, mereka amat diperlukan untuk melaksanakan projek pembangunan di luar bandar dan kita tidak akan membabitkan ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri," katanya.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa ada ketua kampung di Perak yang dipaksa meletak jawatan serta tandatangan mereka dipalsukan, Muhammad berkata semua 817 ketua kampung di negeri ini hadir pada perjumpaan semalam dan tiada seorang pun yang membangkitkan perkara berkenaan. (Berita Harian : 9 April 2008)

Tuesday, April 8, 2008

Media cuba keruhkan hubungan Pakatan Rakyat - TMB


KOTA BHARU, 7 April 2008 (Hrkh) - Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Dato' Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal di atas laporan akhbar yang dianggap menyimpang daripada kenyataan asalnya mengenai isu Pakatan Rakyat. Katanya, beliau tidak bermaksud mahu parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat dipaksa menerima PAS sebagai tunjang kepada pakatan yang baru dibentuk.

"Pakatan itu masih lagi di peringkat awal yang dipersetujui semua parti pembangkang termasuk PAS, KeADILan dan DAP. Jadi soal siapa yang perlu mengetuai pakatan itu belum diputuskan. "Sesiapa pun boleh mengetuai pakatan tersebut apabila ia dipersetujui semua ahli dalam pakatan yang dibentuk," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan Ahmad menyebut PAS wajar menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dibentuk parti-parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuh sebuah negara Islam. Bagaimanapun kenyataan itu disifatkannya ditulis mengikut persepsi wartawan itu sendiri dan bukannya menulis apa yang dicakap. Menurutnya dalam kenyataannya sebelum ini tidak pernah pun disebut soal negara Islam sebagaimana dilaporkan. Kata beliau apa yang diutarakan sebenarnya mahu memberi masa kepada mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat faham mengenai konsep pentadbiran berteras Islam yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu.

"Tidak dinafikan kita memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai konsep pentadbiran Islam yang dibawa PAS. "Buat masa ini biarlah semua ahli dalam pakatan faham sebelum sesuatu itu dilaksanakan. Ini kerana pakatan yang dibentuk dilihat sudah diterima rakyat," ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Harun berkata, isu pertelagahan di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sengaja ditimbulkan media massa bagi menenggelamkan perpecahan dalaman Umno yang berlaku sekarang. Katanya, media harian milik Umno dan BN sengaja membesar-besarkan isu pertelagahan dalam Pakatan Rakyat, sedangkan pada hakikat ia tidak berlaku.

"Buat masa sekarang tidak timbul siapa yang akan menerajui Pakatan Rakyat kerana ia masih baru dan di peringkat awal lagi. Ahli-ahli parti hendaklah menyerahkan perkara itu kepada pemimpin atasan. "Belum sesuai lagi kita mahu mengutarakan pandangan peribadi masing-masing mengenai Pakatan Rakyat. Sekarang adalah masa untuk bekerja selepas diberi mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu," ujarnya. - mj