Friday, August 24, 2007

Cadangan Common Law diganti dengan undang-undang syariah disokong


TERAS menyokong penuh cadangan Tun Ahmad Fairuz supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Kenyataan beliau itu sangat wajar memandangkan erti kemerdekaan 50 tahun Malaysia tidak membawa makna jika kita masih bergantung dan bersandar kepada undang-undang penjajah.

Sememangnya antara aspek yang sangat penting dalam mencapai kemerdekaan ialah sesebuah negara itu dapat menggunapakai undang-undangnya sendiri sebagai ganti kepada udang-undang Inggeris dalam pemerintahan negara.

TERAS berpendapat adalah sangat penting 50 tahun kemerdekaan menggerakkan sebuah pendekatan yang lebih tepat dengan budaya dan khazanah kita sendiri dalam mengisi erti kemerdekaan. Apalah gunanya kita masih beramal dengan perundangan yang jelas asing dari realiti dan keadaan tempatan kita sedangkan kita sudahpun mempunyai khazanah perundangan kita sendiri sejak sebelum kemerdekaan dicapai .

TERAS berpendapat adalah sangat wajar Malaysia menggubal semula sistem perundangannya kearah berteraskan syariah kerana sistem syariah Islam yang lengkap dan meliputi semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara telah pun mempunyai tapaknya sejak kedatangan Islam pada abad 13 lagi.

Apatah lagi sistem perundangan Islam merupakan sistem yang tidak memisahkan antara undang-undang peribadi dengan undang-undang awam. Malah kesepaduan undang-undang Islam antara aspek rohani dan jasmani, antara peribadi dan awam dan antara negara dan masyarakat jauh lebih unggul dari perundangan Inggeris yang sekular.

Kami dengan itu menyeru agar pihak kerajaan menimbangkan dengan teliti cadangan Tun Ahmad Fairuz itu supaya kemerdekaan 50 tahun ini menjadi titik bermula kita melaksanakan proses Islamisasi perundangan seperti yang cuba dilakukan oleh Almarhum Prof Ahmad Ibrahim.

TERAS berpandangan adalah tidak tepat mereka yang berfikir bahawa sistem syariah tidak punya tempat dalam perlembagaan persekutuan. Tafsiran Artikel 3 dalam perlembagaan sepatutnya memberi justifikasi bahawa agama Islam yang dimaksudkan sebagai agama resmi persekutuan hendakalah berdasarkan makna Islam yang murni dan meliputi. Bukan hanya soal acara ritual semata seperti yang sedang digambarkan oleh golongan yang mahu memisahkan undang-undang agama dari negara.

Kenyataan Media
22 hb Ogos 2007


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

(Harakahdaily : 24 Ogos 2007)

Kaji undang-undang nafkah anak luar nikah

SHAH ALAM 23 Ogos 2007 – Majlis agama Islam negeri-negeri dicadangkan mengkaji serta menggubal Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berhubung pemberian nafkah oleh bapa kepada anak luar nikahnya. Cadangan yang dibuat pada muzakarah pakar-pakar Islam mengenai anak tidak sah taraf (luar nikah) itu dikemukakan kerana ketika ini tiada sebarang enakmen yang jelas diperuntukkan oleh mana-mana negeri mengenai pemberian nafkah kepada golongan itu.

Dekan Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Zaleha Kamarudin berkata, ketika ini pemberian nafkah atau tanggungan anak luar nikah hanya diletakkan pada bahu ibu dan bukannya bapa kepada anak berkenaan. Menurutnya, pihak majlis agama Islam negeri-negeri diharap meneliti perkara itu kerana si bapa dilihat seperti terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab kepada anak terbabit.

“Sebaliknya, yang menanggung musibah serta bebanan daripada perbuatan yang dilakukan ialah ibu serta anaknya yang tidak berdosa. “Oleh itu, adalah tidak salah jika undang-undang memperuntukkan bapa anak luar nikah terbabit bertanggungjawab membesarkannya selain sebagai denda atas kesalahan yang telah dilakukan sehingga menyebabkan anak-anak itu lahir,” katanya.

Zaleha berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Nafkah Anak Tak Sah Taraf: Perspektif Undang-undang pada Muzakarah Pakar Ketiga yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Dr. Amran Kasimin di sini hari ini. Turut hadir ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Selain itu, muzakarah tersebut turut mencadangkan supaya majlis agama Islam setiap negeri menubuhkan satu dana khas bagi membantu membiayai perbelanjaan serta mengurangkan beban anak-anak terbabit khususnya yang terbiar tanpa mengetahui siapa ibu bapa mereka.- Utusan Malaysia (24 Ogos 2007)

Penerapan syariah ganti Common Law


PUTRAJAYA 23 Ogos 2007 – Sebarang usaha untuk menerapkan prinsip keadilan undang-undang syariah dalam sistem kehakiman di negara ini bagi menggantikan penggunaan Common Law Inggeris amat dialu- alukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin. Menurut beliau, pihaknya percaya langkah itu boleh dilaksanakan melalui proses tadrij atau berperingkat-peringkat menerusi kajian teliti melibatkan pelbagai aspek perundangan.

‘‘Dari segi pandangan umum, jika ada usaha berterusan ke arah itu, kita amat mengalu-alukan dan berharap ia dilaksanakan secara berperingkat supaya menjamin kejayaan pelaksanaannya.
‘Ini kerana Islam juga meraikan prinsip-prinsip keadilan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kaunseling Pesakit Terminal dan Kronik di sini hari ini. Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hospital Pakar al-Nur dan World Assembly Muslim Youth (WAMY).

Abdullah mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak memikirkan sumber lain selain Common Law Inggeris bagi mendapatkan prinsip- prinsip keadilan. Katanya, undang-undang Islam adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama. Menurut Abdul Gani, prinsip tersebut juga boleh didapati dalam kebudayaan, cara hidup dan agama termasuk Islam serta adat seperti yang diamalkan sekarang di Sabah dan Sarawak.
Abdullah yang menyifatkan kenyataan Abdul Gani itu sebagai positif, bagaimanapun, mahu penerapan prinsip undang-undang Islam dalam sistem undang-undang negara tidak dilakukan secara drastik.
‘‘Tentang perinciannya saya tidak boleh sebut kerana ia di luar bidang kuasa saya. “Jabatan Kehakiman dan Syariah Malaysia sedang menumpukan kepada penyeragaman rang undang-undang syariah di negeri-negeri yang kini sudah sampai ke peringkat 90 peratus pelaksanaannya,” kata beliau.

Terdahulu, Abdullah berkata, pihaknya bersedia menambah bilangan kakitangan dari Jakim untuk ditempatkan di hospital-hospital bagi membantu pesakit terminal dan kronik melakukan ibadah seperti solat selain memberi dorongan kepada mereka untuk terus tabah menempuh kehidupan.

‘‘Pada masa ini terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang menziarahi pesakit dari katil ke katil
tanpa mengira agama bagi menyampaikan hadiah dan memberi kata perangsang agar mereka cepat sembuh. ‘‘Saya berharap lebih banyak NGO tampil membantu. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersedia mengeluarkan peruntukan wang zakat dari Baitulmal sekiranya ada NGO yang mahu menjalankan aktiviti tersebut,’’ katanya. - Utusan Malaysia (24 Ogos 2007)

Thursday, August 23, 2007

'Peralat' Institusi Raja untuk kaut untung?



Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Hrkh)-Kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur,yang menelan belanja RM 1 billion disifatkan sebagai bukan atas kemahuan Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin tetapi disebabkan oleh pihak berkepentingan yang mempunyai agenda tertentu untuk mengaut untung yang lebih dengan menggunakan nama institusi raja-raja.

Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar beranggapan ada pihak tertentu yang seolah-olah memperalatkan institusi raja untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan membazirkan wang rakyat, dan sebagai satu helah supaya masyarakat tidak mempersoalkan ketelusannya kerana khuatir dilabel atau didakwa sebagai menghina atau menderhaka kepada raja-raja.

"Tidak timbul soal saya derhaka kepada Raja tetapi saya derhaka kepada pihak pengurusan kewangan negara dan mempersoalkan pembaziran wang rakyat RM1 billion," katanya. "Saya rasa hati kecil Baginda Sultan Mizan pun merasakan ini bukanlah satu keperluan penting malah melibatkan jumlah wang rakyat yang begitu besar tetapi saya percaya ada agenda orang-orang tertentu untuk mendapat habuan melalui projek pembinaan Istana," katanya.

Selain itu daripada maklumat yang diperolehi, hasil projek pembinaan istana negara itu kemungkinan akan digunakan sebagai dana untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau mengulas demikian ketika ditemui di ruang lobi Kementerian Kerja Raya sebaik sahaja menyerahkan memo untuk disampaikan kepada Menteri Kerja Raya Dato' Seri S. Samy Vellu semalam. Memo tersebut adalah untuk memohon penjelasan daripada pihak kementerian yang bertanggunjawab dalam projek pembinaan istana itu dan memo terbabit diterima oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dato Syed Jamal Syed Jaaffar dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausahanya, Dato' Asiah Marzuki. Turut hadir dalam rombongan menyerahkan memo tersebut ialah AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad, Timbalan Ketua Muslimat Wan Hasrina Wan Hassan dan Setiausaha Muslimat Aiman Athirah bersama wakil PAS yang lain.

Kita tidak menghalang pembinaan Istana Negara untuk memberi keselesaan kepada Yang Dipertuan Agong tetapi yang dipertikaikan ialah kos begitu luar biasa dan melibatkan dana awam berjumlah RM1 billion, walaupun ada yang mempersoalkan kewajaran dan keperluan membina istana yang baru, kata Mahfuz.

"Kita tidak menghalang pembinaan dan wajar beri tempat selesa kepada raja kita, cuma yang dipertikaikan ialah kosnya dan kita mahu penjelasan," katanya Tambah Mahfuz lagi projek yang melibatkan jumlah besar itu diserahkan pula secara rundingan terus kepada satu syarikat kontraktor sahaja Maya Maju Sdn Bhd, yang difahamkan bukan pun daripada kategori kelas A atau B, malah tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Sebelum ini, berita utama muka belakang Harakah keluaran 1-15 Julai 2007 mendedahkan bahawa kos kerja-kerja tanah Istana Negara baru ini mencecah hampir RM130 juta, manakala kerja-kerja interior design bernilai sekitar RM250 juta. Site Office Building pula dicadangkan RM9 juta, manakala kerja landscaping & garden melebihi RM35 juta. Berdasarkan Kabinet sudahpun meluluskan kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu yang pada awalnya bernilai RM400 juta tetapi telah meningkat melebihi RM1.1 bilion!-Az

Isu siasat AKSB lebih bermotifkan politik - MB

Maslan Yusoh, Wajdi Mayusoh

KOTA BHARU, 21 Ogos (Hrkh) - Kerajaan Kelantan menjelaskan kesemua projek meningkatkan prasarana bekalan air di negeri ini mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat. Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, setiap projek yang dijalankan di Kelantan di bawah pengawasan bersama kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor terbabit, perbincangan wakil daripada perunding, kontraktor, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Kementerian Kewangan dibuat terlebih dahulu. “Setelah segala masalah termasuk berkaitan aspek teknikal selesai barulah pembayaran dibuat kepada kontraktor terlibat,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih sistem bekalan air di Kelantan. Menurut laporan itu, siasatan itu dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan yang digunakan bagi kerja membaik pulih paip lama dan menaik taraf loji yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi. Projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM345 juta. Ia adalah sebahagian pinjaman mudah sebanyak RM600 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kelapan kepada Kelantan. Projek terbabit iaitu membina skim bekalan air di Chicha, Kota Bharu dengan kos RM80 juta, skim bekalan air Kampung Puteh (RM29.8 juta), bekalan air Kuala Krai (RM8 juta), Merbau Chondong fasa 1 (RM66 juta), skim air Kelar (RM87.4 juta).
Selain itu projek membaik pulih dan menaik taraf sistem retikulasi bekalan air negeri Kelantan yang melibatkan kerja-kerja menggantikan paip lama melibat peruntukan sebanyak RM20 juta.
Md Anizam berkata, berdasar kepada prosedur ditetapkan penelitian dilakukan di semua peringkat sebelum projek itu dilaksana sehingga pembayaran dibuat Kementerian Kewangan.
Menurutnya dakwaan projek itu tidak mengikut spesifikasi sukar berlaku kerana setiap projek yang dijalankan dilakukan penelitian semua pihak termasuk wakil kementerian. Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama bagi menyalurkan maklumat diperlukan pihak terbabit mengenai projek meningkatkan prasarana bekalan air yang telah dijalankan di Kelantan sebelum ini.
Mengenai rungutan penduduk yang didakwa tidak mendapat air daripada Lojing Merbau Chondong, katanya penduduk terbabit kemungkinan sebelum ini menggunakan air perigi dan kini membuat permohonan mendapatkan bekalan air bersih AKSB. Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada BPR untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam AKSB.

“Selaku ketua kerajaan saya memberi jaminan akan memberi kerjasama dan ruang sepenuhnya kepada BPR untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan ke atas AKSB. "Sebelum ini saya telah tegaskan bersedia membuka pintu kepada BPR untuk siasat mana-mana agensi kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan masyarakat Cina dari Bandar Ipoh, Perak di JKR10, hari ini.

Bagaimanapun beliau turut mempersoalkan kenapa kes-kes rasuah berprofil tinggi seperti kes Ketua Polis Negara, Tan Seri Musa Hassan dan kes Timbalan Menteri Keselamatan Dalam, Negeri, Dato’ Johari Baharom tidak disiasat secara terperinci seperti yang dilakukan BPR kepada AKSB.

“Saya terkilan kenapa berita negatif tentang Kelantan yang belum tentu kebenarannya diperbesar-besarkan dalam akhbar, tetapi kes-kes rasuah yang sudah terbukti dibiarkan dan dibersih pula oleh pihak kerajaan. “Kenapa tuduhan-tuduhan rasuah dan penyelewengan peringkat kerajaan pusat terutamanya di kalangan pemimpin Umno tidak disiasat dan dibawa ke mahkamah untuk dibuktikan kebenarannya,” ujar beliau.

Menurutnya juga isu berkaitan AKSB dibesar-besarkan semata-mata untuk memburuk-burukkan imej kerajaan negeri dan sebagai modal menghadapi pilihan raya. “Bagi saya isu penyelewengan AKSB sengaja diada-adakan bagi memalukan kerajaan negeri dan untuk kepentingan politik pilihan raya semata-mata,” tambah beliau.

Md Anizam juga berkata, siasatan sepatutnya turut dilakukan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan pembinaan loji skim bekalan air Kampung Puteh, Kota Bharu. Pembinaan loji tersebut melibatkan kos RM29.8 juta pada awalnya diberi kepada UB Usahabina Sdn Bhd. Projek itu yang dimulakan pada April 2002 sepatutnya siap pada Oktober 2003. Ekoran masalah yang berlaku kontraktor lain pula dilantik kerajaan bagi meneruskan kerja-kerja dilaksanakan syarikat pertama.

Sementara itu, orang ramai pula menggesa BPR menyiasat pembinaan tiga jambatan iaitu di Tendong dan berhampiran Bukit Panau di Pasir Mas serta Ketereh yang gagal disiapkan sehingga sekarang.

“Sepatutnya BPR menyiasat projek tersebut kerana ia ternyata menyusahkan rakyat yang terpaksa melalui jambatan sementara dalam tempoh begitu lama. Tanpa perlu laporan pun, BPR patut menyiasat kerana ia boleh dilihat dengan mata. “Sedangkan syarikat yang mengendalikan projek bekalan air di Kelantan dilantik kerajaan Pusat. Agensi kerajaan negeri hanya menyelia kerja-kerja yang dijalankan,” kata Ahmad Abdullah, 56 dari Pulau Chondong.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini, pemimpin pembangkang cuba menggamatkan dewan dengan isu air, namun gagal. Kali ini isu tersebut diketengahkan lagi yang dilihat lebih bermotifkan politik. - mj

Mansuh Common Law -- Ketua Hakim Negara


Oleh Zabry Mohamad

PETALING JAYA 21 Ogos 2007 – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim hari ini mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara ini kerana ia menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau juga menegur sesetengah pengamal undang-undang yang terus mengguna pakai Common Law Inggeris dalam kes-kes perbicaraan tertentu.

Sambil menyifatkan mereka sebagai ‘katak di bawah tempurung penjajah’, Ahmad Fairuz menegaskan, gejala tersebut tidak seharusnya berlaku selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Menurut beliau, setelah negara merdeka selama lima dekad, pakar-pakar perundangan tempatan seharusnya sudah mampu mewujudkan undang-undang yang lebih bermutu dan sesuai dengan keadaan semasa.

‘‘Sudah 50 tahun kita merdeka, sudah 50 tahun kita terlepas daripada cengkaman penjajah, tetapi Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 masih kekal dalam perundangan kita. ‘‘Apakah ini petanda bahawa Common Law Inggeris itu adalah undang-undang yang paling baik di dunia? Apakah ini petanda bahawa pakar undang-undang kita masih di bawah tempurung penjajah?’’ soalnya.

Ahmad Fairuz berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar mengenai pemikiran ilmiah dan sumbangan Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini. Turut hadir ialah Pengerusi IKIM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah institut itu, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurut Ketua Hakim Negara, kegagalan memartabatkan perundangan sendiri seolah-olah memperlihatkan Malaysia sudah ketandusan kepakaran sehingga terpaksa meminjam daripada Common Law Inggeris sejak tahun 1957. Katanya, di Malaysia, Common Law Inggeris masih dirujuk dalam kes-kes mahkamah jika tiada akta undang-undang tempatan yang boleh dipakai sebagaimana terkandung dalam Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Seksyen 3 akta berkenaan memberi laluan kepada mahkamah negara ini untuk mengetepikan Common Law Inggeris, mengutamakannya atau mengambil kira keadaan setempat dalam membuat penghakiman. Seksyen 5 akta yang sama membenarkan pemakaian seluruh undang-undang perdagangan yang ditadbir di England melainkan jika terdapat undang-undang tempatan.

Ahmad Fairuz memberitahu, sudah tiba masanya kedua-dua seksyen tersebut dipinda dengan memansuhkan semua rujukan kepada Common Law Inggeris dan undang-undang serta kaedah-kaedah ekuiti yang ditadbirkan di England. Sebagai ganti, menurut beliau, pengamal undang-undang mungkin boleh merujuk kepada keputusan-keputusan mahkamah di negara ini yang mengikut undang-undang tempatan dan memberi keutamaan kepada keadaan di negeri-negeri di Malaysia.

Dalam hubungan ini, beliau mahu pakar undang-undang di Malaysia bersepakat sama ada mahu meneruskan amalan merujuk kepada Common Law. Jika sebaliknya, tegas beliau, pendekatan baru perlu diambil bagi menggantikan Common Law Inggeris yang dilihat sudah sebati dalam perundangan negara. Beliau menambah, mungkin juga sudah tiba masanya untuk memartabatkan undang-undang Islam bukan sahaja dalam perundangan negara tetapi juga perundangan antarabangsa. Sekiranya idea itu diterima, jelas beliau, sudah pasti keharmonian undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat dicetuskan sehingga memberi impak maksimum kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Ahmad Fairuz turut melancarkan buku berjudul Permata Pengislahan Perundangan Islam yang merupakan biografi Allahyarham Ahmad Ibrahim. Ahmad Ibrahim ialah tokoh perundangan yang banyak menyumbang kepada pembangunan perundangan di negara ini khususnya undang-undang Islam. Beliau merupakan salah seorang peguam dalam perbicaraan kes Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan kemudian dituntut semula oleh keluarga asalnya. Perbicaraan kes Natrah mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 82 tahun pada 17 April 1999 merupakan profesor undang-undang di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - Utusan Malaysia (22 Ogos 2007)

Pas minta penjelasan projek Istana Negara


KUALA LUMPUR 21 Ogos 2007 – Pas hari ini mengemukakan satu memorandum kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia meminta penjelasan mengenai pembinaan Istana Negara. Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar menyerahkan sendiri memorandum itu yang menurut beliau mempersoalkan ketelusan dan integriti dalam proses pembinaan projek itu.

Menurutnya, Pas bukan membantah pembinaan Istana Negara dan tidak mahu dilabel derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong tapi mempersoalkan cara pengurusan dan kewangan projek ini.

‘‘Kita faham projek ini amat penting kerana istana yang sedia ada telah lama iaitu sejak 50 tahun dahulu. ‘‘Bagi saya, dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, Baginda patut ada kediaman rasmi yang lebih baik,’’ katanya.

Mahfuz berkata demikian selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Syed Jamal Syed Jaaffar dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Asiah Marzuki.

Sementara itu, Syed Jaaffar berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu sejurus beliau pulang dari lawatan kerja di luar negara nanti. - Utusan Malaysia (22 Ogos 2007)

BPR boleh siasat AKSB – Nik Aziz


KOTA BHARU 21 Ogos 2007 – Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dalam siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan negeri, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

‘‘Saya buka peluang 25 jam sehari kepada BPR, mereka nak datang untuk siasat, datanglah. Ada tak ada kes penyelewangan, hanya Tuhan yang tahu, kalau BPR nak siasat, siasatlah,’’ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa BPR sedang menyiasat AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur sistem bekalan air di Kelantan berharga RM600 juta. Menurut laporan yang memetik sumber itu, BPR telah menghantar sepasukan pegawainya ke Kelantan untuk menyiasat perkara itu dan mendapati ada asas untuk siasatan terperinci dijalankan. Pegawai-pegawai BPR itu juga dilaporkan membuat semakan di Pejabat Kewangan Negeri yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran untuk projek itu. Nik Abdul Aziz juga berkata beliau tidak bercadang meminta laporan daripada AKSB mengenai dakwaan berkenaan.

Mengulas isu yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional telah beberapa kali cuba membawa isu itu ke pengetahuan Dewan Undangan Negeri Kelantan tetapi dihalang oleh kerajaan PAS Kelantan.

‘‘Kita telah menggunakan saluran yang betul secara profesional iaitu sidang Dewan Undangan Negeri tetapi ditutup rapat oleh kerajaan dan ruang perbincangan mengenainya juga tidak pernah diberi,’’ katanya kepada Bernama. Annuar berharap semua pihak memberi kerjasama kepada BPR dalam siasatan itu supaya apa yang berlaku dalam AKSB diketahui umum.
– Bernama/Utusan Malaysia (22 Ogos 2007)

Undang-undang syariah terbaik – Gani


KUALA LUMPUR 22 Ogos 2007 – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, Seksyen 3 dan 5 Undang-Undang Sivil 1956 yang berasaskan prinsip Common Law Inggeris, lazim digunakan dalam perbicaraan apabila keadaan memerlukan.

Beliau berkata, kedua-dua seksyen itu memberi peruntukan untuk mengguna pakai norma-norma atau amalan biasa serta prinsip-prinsip lain yang menekankan kepada keadilan dan pembahagian yang saksama mengikut Perlembagaan negara.

‘‘Undang-undang tersebut telah diguna pakai oleh para pengamal undang-undang sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam mencadangkan rujukan kepada Common Law Inggeris dimansuhkan daripada undang-undang sivil negara. Menurutnya, penggunaan Common Law hanya menggambarkan minda pengamal undang-undang tempatan yang masih terjajah. Beliau turut mencadangkan supaya usaha dilakukan untuk memartabatkan undang-undang Islam dalam perundangan negara dan perundangan antarabangsa.
Abdul Gani bagaimanapun berkata, undang-undang Syariah adalah yang terbaik kerana ia menekankan kepada keadilan dan pembahagian hak yang sama. Katanya, sudah sampai masanya untuk semua pihak memikirkan lebih daripada Common Law untuk prinsip-prinsip keadilan dan pembahagian hak saksama bagi mengisi bahagian-bahagian yang perlu dimantapkan dalam sistem perundangan negara.

‘‘Sudah tiba juga masanya untuk kita mendapatkan prinsip-prinsip tersebut (keadilan) dalam kebudayaan, cara hidup dan agama termasuk agama Islam dan juga undang-undang adat seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak,’’ jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, undang-undang Syariah dilaksanakan di negara ini setelah digubal dan diluluskan oleh Parlimen. Menurutnya, mengikut undang-undang Syariah, memberi keadilan dan hak saksama kepada yang berhak merupakan prinsip utama mengikut ajaran al-Quran. (Utusan Malaysia : 23 Ogos 2007)

Keluarga jadi pincang – Dr. Lo’Lo’



KUALA LUMPUR 22 Ogos 2007 – Keluarga akan menjadi pincang jika lelaki dibiarkan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana ia amat bertentangan dengan agama dan fitrah kehidupan manusia kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali.

Menurutnya, Islam sendiri telah menetapkan bahawa tugas utama suami ialah mencari nafkah serta menyediakan keperluan asas mengikut kemampuan masing-masing.

Kata beliau, golongan isteri hanya bersifat sebagai pembantu kepada suami dan mereka tidak seharusnya dibebankan dengan tugas menyara keluarga walaupun pendapatan yang diperoleh lebih tinggi.

“Perkara ini ada disebut dalam al-Quran dan oleh itu ia wajib dipatuhi. Fitrah ini tidak boleh diubah dan jika ia benar-benar berlaku pada masa depan kehidupan keluarga terlibat boleh menjadi pincang.

“Bagi saya bilangan wanita atau isteri profesional lebih ramai bukan satu masalah kerana dalam apa jua keadaan suami wajib menjalankan tanggungjawab mencari nafkah kerana ia merupakan tuntutan agama.

“Jenis pekerjaan tidak harus menjadi isu asalkan pekerjaan itu halal dan tidak bertentangan dengan Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bahawa ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) dibiarkan berlarutan.

Ibrahim berkata, secara umumnya setiap universiti di negara ini memiliki jumlah pelajar perempuan yang jauh lebih ramai berbanding lelaki.

Dr. Lo’ Lo’ berkata, semua pihak harus sedar bahawa setiap peraturan dalam Islam ada hikmahnya dan jika ia diingkari boleh mendatangkan musibah.

Beliau sendiri, jelasnya, mempunyai kenalan wanita yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dan berkahwin dengan lelaki berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya lihat keluarga mereka cukup bahagia walaupun pendapatan isteri lebih tinggi daripada suami. Dalam keadaan seperti ini apa yang lebih penting ialah persefahaman.

“Walaupun pendapatan suami tidak setinggi mana, suami tetap menjadi ketua keluarga dan kedudukan ini tidak akan berubah sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku dalam keluarga kenalannya itu ialah suami tetap bekerja walaupun pendapatan isterinya besar.

“Saya tidak boleh terima suami duduk di rumah menjadi suri rumah. Mereka perlu bekerja walaupun pendapatannya tidak seberapa. Suami tetap kena bekerja.

“Kedudukan isteri yang lebih tinggi dari segi kewangan tidak boleh dijadikan alasan tanggungjawab serta tugas menyara keluarga diserahkan kepada isteri.

“Bagi isteri pula kita wajib patuh kepada suami walaupun kita ini golongan profesional. Saya sendiri masuk ke dapur walaupun saya seorang doktor kerana ia adalah tugas saya ketika berada di rumah,” katanya. (Utusan Malaysia : 23 Ogos 2007)